|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Dengan nama Allah saya memulakan tulisan ini.

pertamanya saya meminta maaf sekiranya kandungan surat ini tidak mengikut prosedur atau aturan bahasa yang tertib dan betul. Anggaplah saya budak baru belajar,jika ada salah silap harap ditunjukkan dan dinasihatkan yang mana betul di ruang komen yang saya buka seluas-luasnya.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,Perdana Menteri Malaysia Dato seri Abdullah Ahmad Badawi. Izinkan saya memanggil dato seri dengan gelaran pak lah. Jika panggilan ini dianggap suatu yang kurang ajar,mohon dimaafkan saya kerana saya pernah mendengar Pak Lah tidak akan marah jika dipanggil Pak lah.

Pak Lah yang dihormati,

terlebih dahulu saya ingin bercerita kenangan di masa silam sewaktu saya mula-mula kenal Pak Lah. Semuanya bermula di suatu hari ketika saya mencongok di depan televisyen menonton berita dan kemudian wajah pak lah muncul dari luar negara. Pak Lah ketika itu adalah Menteri luar negara.

Ketika Pak lah memberikan komen terhadap soalan wartawan,saya sudah terpikat dengan gaya kelembutan dan wajah yang merendah diri yang terpancar dari air muka Pak Lah,maka saya pun memuji Pak Lah dengan berkata,"menteri ini lain daripada menteri umno". Ada beberapa pemimpin umno ketika itu juga yang saya kagumi termasuklah Dr Mahathir mohamad (sekarang Tun),Anwar Ibrahim,dan Mustafa Mohamad.

lalu ibu saya telah bercerita kepada saya di waktu itu,dengan berkata,"inilah pak lah, datuknya dulu ulama Abdullah Fahim yang memberikan tarikh kemerdekaan negara".

Pak lah yang dikasihi,

adapun saya terkilan dengan kenyataan demi kenyataan Anwar Ibrahim sesudah keluar dari UMNO,kerana saya pernah melihat Anwar Ibrahim memuji Dr Mahathir semasa perhimpunan agung UMNO yang terakhir. Saya kecewa kerana Anwar Ibrahim yang saya kagumi telah bermain politik sepertimana politik orang-orang politik.

Ketika Dr Mahathir bertindak mengkritik kerajaan, saya menunggu dengan cemas apakah tindakan Pak Lah seterusnya,adakah Pak Lah akan bertindak bermain politik sepertimana orang politik berpolitik?

lalu episod demi episod itu berlangsung dan mencemaskan pelbagai pihak, namun saya pula semakin lega dengan tindakan Pak Lah yang jarang orang politik bertindak sedemikianrupa iaitu tunggu dan lihat. Diam dan biar. Apabila telah reda,Pak Lah jelaskan satu persatu. Kemudian Pak Lah telah membuat kenyataan bahawa "kutuk jangan dibalas dengan kutuk,marah jangan dibalas dengan marah".

Maka ketika itu saya pun mengucapkan "alhamdulillah".

Pak Lah yang disegani,

ketika pilihanraya umum yang lalu,Pak Lah telah mengumumkan pendekatan Islam Hadhari sebagai pendekatan kerajaan jika menang pilihanraya. Apabila ditohmah oleh pemimpin pembangkang bahawa Islam Hadhari adalah cubaan mengubah ajaran islam dan memberikan pengertian islam yang baru, maka ketika itu Pak Lah menyebut bahawa "Islam Hadhari bukan ajaran baru,tetapi islam hadhari adalah merujuk pada ajaran islam yang sebenar (fundamental)".

ketika itu saya merasakan Allah telah membuka ruang buat Islam tertegak dalam UMNO yang selama ini dipandang sebagai parti kebangsaan atau sekular.

Saya abaikan cakap-cakap parti pembangkang yang menentang islam hadhari dengan mandakwa bahawa islam hadhari adalah cubaan kerajaan menipu rakyat dengan retorik. Ini dibuktikan dengan pendedahan demi pendedahan pihak pembangkang mengenai kemungkaran yang semakin berleluasa di zaman pak lah yang cuba menghidupkan islam hadhari.

parti pembangkang juga membuktikan bahawa islam hadhari tiada jauh berbeza dengan pendekatan UMNO yang sekular sebelum ini iaitu dari zaman Tunku hingga Tun Mahathir.

Pak Lah juga ada menyatakan Islam Hadhari telah diamalkan oleh orang UMNO sejak penubuhan UMNO lagi.

Saya berasa sedikit kecewa.

Pak Lah yang budiman,

tiada niat untuk saya mengajar Pak Lah dalam menguruskan negara mahupun mengajar Pak Lah bagaimana menguruskan politik,dan sesungguhnya saya sedar saya cuma anak muda yang baru sahaja kenal dunia dengan usia yang masih mentah dibanding dengan pengalaman Pak Lah yang telah lama mengharungi onak duri kehidupan.

Pak Lah pernah menyertai Parti semangat 46 kerana tidak bersetuju dengan amalan UMNO ketika itu,Pak Lah pernah keluar UMNO dan masuk semula UMNO,Pak Lah bersih dari sebarang tuduhan atau gosip rasuah sehingga Pak Lah digelar Mr Clean.

Saya mengucapkan takziah kepada pemergian arwah ibu dan isteri Pak Lah dan sesungguhnya ketika Rasulullah mengharungi cabaran dalam menyebarkan islam juga Rasulullah diuji oleh Allah dengan pemergian pakcik dan isteri baginda.

Semoga Pak Lah menjadi tabah seperti Rasulullah s.a.w.

Pak Lah yang merendah diri,

Di waktu awal pelantikan Pak Lah sebagai Perdana Menteri Malaysia,Pak lah ada berkata bahawa ,"bekerjalah bersama saya dan bukan bekerja untuk saya".

Pak Lah juga berkata,"jika ada sebarang cadangan atau pandangan,boleh kemukakan kepada saya,kita timbang bersama-sama.Saya menghargai pandangan semua pihak".

Atas kenyataan-kenyataan Pak Lah itulah maka saya mengarang surat ini untuk bercerita akan pandangan saya dan betapa saya mahu bekerja bersama-sama Pak Lah dengan berpegang kata-kata Pak Lah sendiri,"kita bekerja ikhlas kerana Allah dan bukan kerana kepentingan peribadi".

Pak Lah juga menyampaikan sajak yang berbunyi,

"Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,

Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman
Kita bongkar rahsia sunnah nabi
Cari panduan
Aku hidup kerana Dia Rabbi
Dialah teman
Dialah wali
Dia mencukupi
Aku hidup bererti

Menikmati damai abadi"

maka saya yang juga mencari damai abadi ingin memberikan cadangan supaya ditambah dalam Islam Hadhari itu semangat "REDHA ALLAH CENTRIC".

saya percaya Pak Lah juga mahu mencari redha Allah,dengan berpegang teguh al quran dan sunnah Rasulullah.

Islam hadhari yang diumumkan Pak Lah telah membuka ruang yang luas buat ahli agamawan UMNO mempromosikan islam dengan pengertian sebenar ke serata Malaysia.

Saya menyambut baik usaha para daie sama ada dari kerajaan sendiri atau dari NGO,dengan mengambil peluang pendekatan Islam Hadhari yang diumumkan kerajaan sebagai dasar utama untuk mengisi usaha pembangunan,telah dimanfaatkan untuk PERKASAKAN DAKWAH di malaysia.

saya sedih apabila para daie yang tidak mahu memanfaatkan peluang ini untuk menyebarkan ajaran islam sebenar sedangkan Pak Lah telah mengumumkan bahawa Islam Hadhari bukan ajaran baru tetapi ajaran islam sebenar.

Maka kerajaan di bawah pemerintahan Pak Lah tidak boleh menghalang usaha dakwah.

ini suatu yang baik.

Pak lah yang berjiwa rakyat,

ketika heboh isu IFC , telah tersebar nama beberapa pemimpin UMNO menandatangani persetujuan untuk diadakan IFC,dan ini adalah bukti bahawa dalam UMNO ada ahli yang tidak faham Islam sebenar atau mungkin saya boleh sebut Islam hadhari.

Beberapa pemimpin UMNO yang menganjurkan program yang mengandungi maksiat jelas membuktikan bahawa pemimpin itu tidak memahami islam hadhari yang saya percaya menolak maksiat.

Kita tahu ada juga NGO yang ditaja oleh kerajaan telah bertindak terpesong dari jalan ahlus sunnah wal jamaah yang saya percaya adalah jalan ikutan Pak Lah dengan ayat dalam sajak Pak Lah bahawa Pak Lah mencari mana dia Syafie (imam Syafie). Dan sukacita saya sebutkan bahawa NGO itu adalah Sisters In Islam.

Saya tahu anak perempuan Pak Lah juga menyertai NGO itu,walaupun saya tidak pernah mendengar sebarang pendapat anak perempuan Pak Lah itu mengenai isu IFC, tetapi kerana kehadiran anak Pak Lah dalam SIS maka parti pembangkang telah mendakwa Pak Lah merestui IFC.

Saya tidak tahu bagaimana pandangan Pak Lah dalam isu IFC,walaupun Pak Lah ada sebut tangguh,dan memberikan jawapan pada mufti perak bahawa tangguh bererti tidak akan diadakan selama-lamanya,namun saya harap Pak Lah benar-benarlah teguh untuk mencari Imam Syafie (berpegang kepada jalan ahlus sunnah wal jamaah).

Dialog antara agama,seperti yang disebut oleh Tuan Guru Nik Aziz sendiri bahawa boleh diadakan tetapi biarlah di antara mereka yang ahli dalam bidangnya dan bukan individu sebarangan.

Saya menyokong pendapat ini,dan saya tahu Pak Lah juga akan menyokong pendapat ini,kerana ahlus sunnah wal jamaah tidak menolak dialog antara agama untuk mencari pemahaman antara satu sama lain dan mengelakkan unsur-unsur prejudis. Saya dapat tahu Anwar Ibrahim juga bersetuju dengan dialog antara agama.

Maka Pak Lah-Nik Aziz-Anwar Ibrahim yang saya lihat sebagai pemimpin tiga parti melayu utama Umno-Pas-Keadilan sebenarnya boleh bersatu hati andai sahaja kita berpegang kepada prinsip ahlus sunnah wal jamaah.

Inilah idea yang ingin saya sampaikan.

Saya berdoa agar Pak Lah dapat terus berlaku jujur dan amanah dalam melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia dan terus menjadi orang yang berhemah dalam menghadapi tohmahan,kritikan dan cacian sepertimana Rasulullah s.a.w yang terus berbuat kebaikan kepada umat baginda yang melakukan kezaliman ke atas baginda.

Pak Lah yang memahami,

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, dalam UMNO ada ahli yang tidak memahami Islam Hadhari.

Tetapi atas sebab kenyataan Pak lah bahawa islam hadhari bukan ajaran baru tetapi adalah islam sebenar,maka kebanyakan ahli UMNO terpaksa berjuang demi Islam dan memahami Islam sebagai langkah menyokong Pak Lah.

Kita telah mendapati pada hari ini,para pemimpin UMNO telah banyak menyebut ungkapan "islam","muslim",dan "Allah" sebenarnya merupakan suatu perkembangan yang baik.

Saya bersangka baik terhadap semua pemimpin UMNO,samada mereka benar-benar beramal dengan apa yang mereka katakan atau tidak itu urusan mereka dengan Allah,tetapi seperti yang Pak Lah katakan beberapa kali kepada media,"jika ada sesuatu dakwaan sila kemukakan bukti",maka jika ada bukti pemimpin UMNO melakukan penyelewengan tugas atau pecah amanah,maka saya harap Pak Lah tidak teragak-agak untuk menghukum mereka dengan keras kerana mereka telah disaksikan berbohong kepada rakyat yang mereka janjikan sesuatu yang mereka tak amalkan iaitu sifat jujur dan amanah.

kita sering mendengar kes-kes pemimpin yang rasuah dan kebanyakan pemimpin itu adalah dari kalangan ahli UMNO sendiri. saya tahu islam hadhari baru sahaja digunakan semasa zaman Pak Lah,dan bukan mudah untuk mengubah UMNO menjadi gerakan islam seperti Ikhwanul Muslimin.

tetapi pak lah telah pun menyebut islam hadhari akan menjadi pendekatan Umno dan kerajaan,maka inilah masanya menapis UMNO dari sisa-sisa sekularisme yang tentu sekali ditentang oleh Pak Lah yang mahu mencari damai abadi yang mahu tunduk pada Rabbi.

Pak Lah teruslah menyebarkan ajaran islam sebenar dalam ucapan-ucapan Pak Lah supaya nanti akan menyenangkan untuk menapis ahli UMNO yang menolak islam.

Saya punya pengalaman berdialog dengan ahli UMNO yang sekular. Tetapi apabila saya datangkan hujah Pak Lah yang mahu membina modal insan yang menurut al quran dan sunnah maka mereka terdiam tidak berani melawan kerana takut dituduh tidak menyokong Pak Lah.

Orang-orang sekular akan menjadi ahli-ahli yang tidak bergerak bebas kerana mereka diperhatikan dan nama pak lah dapat digunakan untuk mereka akur dengan ajaran islam dan mereka akhirnya akan dipersisihkan hingga terhapus dari muka bumi malaysia.

Oleh itu, saya harap sementara Pak Lah masih menjadi perdana menteri ini, perbanyakkanlah teguran dan dakwah kepada ahli UMNO supaya mereka semuanya akan memahami ajaran islam sebenar yang akhirnya akan bawa keredhaan Allah kepada UMNO.

Jika Pak Lah diangkat menjadi Perdana Menteri sekali lagi dalam pilihanraya akan datang,maka saya harap rombakan kabinet Pak Lah akan menghapuskan menteri UMNO yang sekular dan mengangkat menteri yang faham islam.

Jika beberapa penggal Pak Lah menjadi perdana menteri seperti yang ditakdirkan ke atas Tun Dr Mahathir yang memimpin negara selama 22 tahun ,maka saya percaya lama kelamaan kabinet kerajaan akan diisi oleh pemimpin yang berkualiti dengan iman dan islam yang tulen di atas jalan ahlus sunnah wal jamaah.

Pak Lah pemimpin yang beriman,

saya percaya Pak Lah mempunyai maklumat akan aktiviti politik kurang sihat yang berlaku dalam pemerintahan kerajaan sendiri.

mereka merancang dan menunggu dan mereka bukanlah pejuang Islam hadhari yang mencari damai abadi.

ada di kalangan mereka yang muda,ada di kalangan mereka yang tua. yang pasti mereka menunggu untuk naik. Dan saya berasa amat tidak selesa jika mereka merosakkan impian damai abadi umat islam sekalian iaitu mencari keredhaan Allah.

oleh itu, Pak Lah mesti lakukan sesuatu. Para ulama ahlus sunnah wal jamaah di negara kita punya bilangan yang cukup ramai untuk menjadi penyokong kepada usaha pentadbiran berteraskan islam seperti yang dikehendaki oleh Pak Lah sendiri.

Tubuhkan jawatankuasa ulama yang diiktiraf sebagai memantau aktiviti pentadbiran kerajaan supaya tidak lari dari dasar islam. Bukankah islam hadhari adalah islam sebenar? bukankah Pak Lah mahu pendekatan islam hadhari menjadi dasar pentadbiran? Maka siapakah yang memahami islam selain para ulama kita? bukankah Pak lah mahu mencari damai abadi? bukankah Pak lah ingin mencari al ghazali dan asy syafie? maka siapakah yang lebih mengenali al ghazali dan asy syafie melainkan ulama kita?

maka saya mencadangkan jawatankuasa pemantau islam hadhari yang dianggotai para ulama yang mahir dalam setiap ilmu ahlus sunnah wal jamaah dan juga pakar-pakar islam yang mahir dalam bidang selain itu seperti ekonomi,sosial dan politik agar menganggotai majlis atau jawatankuasa ulama ini.

Oleh itu sekiranya nanti naik perdana menteri sekular yang munafik dari UMNO maka jawatankuasa ini mampu mengadu kepada Majlis Raja-raja agar melucutkan jawatan perdana menteri kerana telah menentang dasar islam dalam pentadbiran bernegara.

Pak lah usahakanlah secepat mungkin idea ini,kerana saya amat khuatir jika sesuatu berlaku pada Pak Lah yang memang tidak kita doakan dan kita harap dijauhkan tetapi Allah itu tidak akan menangguhkan ajal seseorang hambaNya,maka seharusnya kita sebagai manusia yang masih diberikan kekuatan dan Pak Lah yang diberikan kekuasaan untuk memanfaatkan masa dan peluang yang ada.

saya menyambut baik RMK9 dan usaha Pak Lah dalam membentuk modal insan,insyaAllah jika Allah mengizinkan saya hidup selepas ini lagi,dan diberikanNya kekuatan kepada saya maka saya akan berusaha menghapuskan segala macam golongan sekularisme, pluralisme agama, penyokong hedonisme dan lain-lain yang saya kira adalah usaha untuk bekerja bersama-sama pak Lah dalam menegakkan agama islam di muka bumi Malaysia.

setakat ini sahaja dahulu. Jika saya ada cadangan lain,saya akan menulis lagi surat kepada Pak Lah.

Moga Pak Lah dapat membaca terus surat saya ini.

wassalam.

muhammad fakhrul razi bin mohamed mokhtar.
(MFR STUDIO)
Jepun.

2 komentar:

amano said...

semoga paklah membaca surat anda. amin.

Anonymous said...

Alhamdulillah....
AGama itu nasihat...