|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH



Saya bersyukur atas dua tulisan yang menyentuh soal filem islamik oleh dua orang ilmuwan ini. Tulisan itu ditulis pertamanya oleh Ustaz Zaharuddin dan keduanya ditulis oleh Dr Hilmi Abdullah.

USTAZ ZAHARUDDIN

Ustaz Zaharuddin membangkitkan kemungkinan ada proses Tadarruj (usaha membaikpulih secara beransur-ansur) dalam produksi Filem Islamik yang mengandungi aksi haram seperti pembukaan aurat dan persentuhan bukan mahram dalam lakonannya. Proses itu diharuskan setelah menimbang besarnya maslahat dan kecilnya mudarat yang bakal dibawa oleh sebuah Filem Islamik itu. Ertinya jika kesan dan keuntungan pada dakwah Islam lebih besar dan perbuatan haram dalam filem itu hanya mendatangkan mudarat yang kecil, maka ia dimaafkan kerana masih dalam proses membaikpulih secara beransur-ansur(Tadarruj).

Kalau benar ia dalam adalah sebuah proses Tadarruj , maka pelanggaran hukum hakam tadi bukanlah diHALALkan. Apa yang haram tetap haram tetapi proses timbang tara ini, apabila dilihat secara 'big picture' penyertaan dalam industri perfileman tadi adalah ke arah memperbaikinya sedikit demi sedikit. Ia diteruskan atas maqasid umum itu.

Macam orang baru masuk Islam, kita tak wajar nak mengharap serta mengarah perubahan diri secara drastik, mewajib segala penunaian kewajiban agama dalam tempoh sehari. Justeru, perubahan kepada kebaikan itu berlaku dalam keadaan si muallaf masih membuat benda haram seperti tidak solat lima waktu contohnya, tidak tutup aurat dan sebagainya. Ketika itu, ia tidak bermakna kita halalkan yang haram tetapi ia adalah satu proses.
Namun Ustaz Zaharudin tetap berpandangan hujjah Tadarruj hanya layak jika sebuah filem islamik itu benar-benar menyasarkan dakwah sebagai matlamat utama dan bukannya keuntungan, sehingga pembikin filem tersebut mestilah sentiasa berusaha
memotong, meminimakan serta meniadakan unsur-unsur yang tidak menepati hukum Islam.

Namun kebimbangan saya, jika ada pengarah dan penerbit yang lebih memfokuskan kepada keuntungan berbanding membawakan mesej Islamik yang tulus. Tatkala itu, akan muncul banyak ciri-ciri haram di dalam filemnya kerana terlalu ingin mengikuti selera penonton.

Seseorang penulis skrip, penerbit dan pengarah filem Islamik yang sebenarnya sepatunya meletakkan mesej dan inti filem sebagai pokok dalam pembikinan mereka. Hanya dengan itu, mereka mungkin layak dianggap sedang bertadarruj.

Jika benar-benar hujjah tadarruj digunakan, mesej dakwah disasarkan, saya kira pihak pembikin filem Islam mesti sentiasa berusaha memotong, meminimakan serta meniadakan unsur-unsur yang tidak menepati hukum Islam. Itu penting bagi memastikan maslahat yang ditagih sentiasa melebihi mudarat yang terlahir dari prosesnya, contoh seperti lagu tema nyanyian wanita tentunya TIDAK DIPERLUKAN. Adegan peluk, cium atau bersentuh tidak semestinya sentiasa diperlukan bagi mendatangkan kesan kepada penonton.
Apa yang saya dapat faham Ustaz Zaharuddin melihat dari dua perspektif, sehingga membayangkan ada kemungkinan proses Tadarruj itu:

Perspektif Pertama: Seorang pendakwah cuba menyuntik dakwah dalam produksi yang dibikin oleh perosak.

Ini saya dapat lihat dari gaya jawapan Ustaz Zaharuddin sebenarnya beliau banyak menumpukan pada isu "ustaz yang menghalalkan" yang disebut saya dalam soalan. Namun soalan saya ada dua isu. Isu pertama berkenaan dengan hukum mengharuskan aksi haram oleh penggiat industri hiburan sendiri dengan alasan oleh mereka,

Ini kerana ada yang menganggap selok belok industri hiburan lebih diketahui oleh orang hiburan sendiri. Maka patut atau tidak patut, baik atau tidak baik mereka melakukan perkara haram itu sehingga boleh mereka mengHARUSkan pembukaan aurat dan persentuhan lelaki perempuan dalam nyanyian atau lakonan atas dua alasan:

1) menyampaikan mesej dan pengajaran dengan lebih berkesan

2) mencari rezeki, kerana itulah satu-satunya jalan mereka boleh cari makan

Sebenarnya hujah nombor 1, saya kutip dari hujah para pelakon dan para penyokong Drama "Nur Kasih" yang mendakwa drama itu telah mendatangkan manfaat yang besar sehingga boleh menenggelamkan segala kemungkaran yang dilakukan dalam drama itu. Jika benar drama Nur Kasih yang memaparkan aksi gomol dan peluk berpeluk yang luar biasa telah mendatangkan manfaat dan pengajaran yang cukup besar, maka apakah itu layak dikira Tadarruj?

Dari pandangan Ustaz Zaharuddin dari perspektif pertama, sekurang-kurangnya ada seorang pendakwah yang faham benar akan matlamat dakwah sedang cuba membaikpulih produksi dengan penyuntikan nilai dakwah untuk memberikan maslahat yang besar pada islam. Adalah mustahil proses Tadarruj sedang dijalankan tanpa seorang pun dalam produksi berniat untuk berTadarruj. Persoalannya, dalam kes drama Nur Kasih, siapakah pendakwah yang sedang membaikpulih itu?

Hujah yang kedua pula, saya petik dari kes pelakon Anne Ngasri yang sudah berhijab, mendakwa dia membuka hijab semasa penggambaran drama Mayang Mengurai bagi mencari rezeki. Saya tak nampak proses Tadarruj dapat menjawab hukum harus yang dipegang oleh Anne Ngasri. Saya tak fikir "mencari rezeki" antara kaedah atau proses "membaikpulih", apatah lagi drama Mayang Mengurai tak didakwa sebagai drama bermatlamat dakwah. Jika diri Anne Ngasri yang nak "dibaikpulih", beliau bukan di"baikpulih" tapi di"rosak"kan apabila hijab yang telah dipakai disuruh dibuka oleh produksi.

Perspektif Kedua: Produksi tidak dapat mengawal sepenuhnya tindakan dan aksi pelakon.

Saya kira Ustaz Zaharuddin menganggap pelakon berlakon dengan gaya dan aksi yang bertentangan dengan Islam adalah perbuatan di luar kawalan produksi. Ini dapat dilihat dari kenyataan Ustaz Zaharuddin,

Kita juga mengharapkan penglibatan penulis skrip, pengarah, penerbit dan pemilik idea Islamik dan pergaulan mereka dengan para pelakon akan mampu mengubah sang pelakon sedikit demi sedikit. Maklumlah, nasihat dan kata-kata dari seorang pengarah, penerbit dan penuli sskrip secara tidak langsung boleh mempengaruhi orang yang dibawahnya.
Sebenarnya isu kedua yang saya bawa dalam soalan berkenaan dengan hujah "ustaz" yang beralasankan "darurat" itu memang merujuk kepada produksi Drama Astro Oasis di bulan Ramadhan yang lepas bertajuk, Cinta Sempurna. Adapun hujah dari perspektif pertama mungkin boleh diterima jika dianggap produksi Cinta Sempurna adalah produksi rosak yang cuba disuntik elemen Islamik oleh Ustaz Hasrizal selaku pencerita asal.

Namun adakah benar produksi Cinta Sempurna diproduksi oleh perosak? Saya kira kes Drama Cinta Sempurna ini mesti dilihat dengan penuh teliti, merujuk kepada fakta berikut:

1) Cinta Sempurna diniatkan untuk menjadi bahan santapan rohani di bulan Ramadhan, dan diwar-warkan sebagai drama dakwah sejak sebelum pengggambaran lagi.

2) Ustaz Zabidi yang diakui sendiri oleh Ustaz Zaharuddin sebagai berfikrah dakwah, adalah penulis skrip drama ini dengan menjemput Ustaz Hasrizal untuk menyuntik lebih 'umph' lagi elemen dakwah dalam skrip beliau.

3) Ustaz Zabidi membantu dalam usaha mencari pelakon yang sesuai untuk watak skripnya.

4) Ustaz Zabidi menyaksikan juga beberapa aksi shooting drama tersebut.

5) Drama ini ada barisan panel syariah bagi memantau mesej dakwah yang disampaikan.

6) Drama ini dihasilkan setelah banyak perbincangan dibuat.

7) Pelakon Faezah Elai berjaya dihijabkan dalam produksi.

Poin nombor 7 bukti tidak wujud pelakon yang berlakon secara tak terkawal oleh produksi.Malah setiap pelakon yang professional mereka sanggup berlakon sehabis baik sehingga memenuhi apa yang dihajatkan oleh produksi. Faezah Elai berhijab dalam Cinta Sempurna bukti pelakon rela dikawal oleh produksi.

Berkenaan dengan isu "ustaz"

Saya kira "ustaz" yang saya ingin bangkitkan soal "menghalalkan" dalam soalan itu bukanlah Ustaz Hasrizal, tapi adalah Ustaz Zabidi. Saya pernah kritik Ustaz Zabidi dan karya Cinta Sempurnanya ini dalam entri bertajuk, "Sebenarnya wujudkah pejuang Islam sebenar dalam industri hiburan?".

Tapi saya juga meminjam hujah-hujah Ustaz Hasrizal berkenaan "darurat" ke dalam soalan kerana isteri dan penyokongnya yang komen di web beliau memperlihatkan ada usaha mengatakan keperluan untuk melanggar hukum supaya matlamat menyampaikan mesej dakwah tercapai [baca no 3].Di sinilah saya melihat tidak ada proses "Tadarruj" , kerana mereka bukannya mahu "membaikpulih" karakter kepada memenuhi keperluan Islam, tetapi kemahuan mereka sangat tinggi kepada "merosak" Islam untuk memenuhi keperluan karakter. Lebih-lebih lagi hujah supaya "face the reality".

Adakah benar dakwah dalam filem perlu tunjuk seumpama realiti? Saya kira pegangan saya dikongsi sama dengan Dr Hilmi Abdullah yang tulisannya tersiar dalam Utusan baru-baru ini.

DR HILMI ABDULLAH

Tulisan bertajuk "Kenapa Festival Filem Islam Menyepi?" itu dimuatkan dalam ruangan Bicara Agama Utusan. Pada perenggan awalnya menyebut akan usaha menganjurkan Festival Filem Islam oleh kerajaan negeri Kelantan telah terhenti. Saya fikir permainan ayat Dr Hilmi cukup membuatkan wartawan pro-UMNO dalam Utusan terasa bahagia kerana dapat "cah keting" kepimpinan PAS Kelantan dengan menyindir mereka menganjurkan Festival Filem Islam hanya sebagai gimik untuk meraih undi Pilihanraya ke-12 lepas.

Namun, saya lebih bahagia dengan perenggan-perenggan di tengah tulisan itu yang berbicara soal idea Filem Islamik yang sangat mirip dengan apa yang saya pernah sampaikan berbulan sebelum tulisan Dr Hilmi ini. Khususnya apa yang ditulis Dr Hilmi,

Setelah kata putus dicapai, rasanya tidak sukar bagi pengarah yang kreatif untuk menghasilkan filem-filem yang dimaksudkan. Bagi menghasilkan filem yang mengisah-kan tentang kehidupan junjungan Nabi Muhammad s.a.w. misalnya, pengarah filem tersebut mestilah mengambil kira dan menghormati pandangan jumhur ulama yang mengharamkan penonjolan watak Nabi Muhammad s.a.w. secara visual. Lalu bagaimanakah filem tersebut boleh dihasilkan?

Bagi pengarah yang tidak mahu berfikir panjang, mereka akan segera angkat tangan, tetapi tidak bagi pengarah yang betul-betul berjiwa seni. Bagi mereka, banyak kaedah yang boleh digunakan, dan kesannya kepada penonton masih tetap sama. Lalu terciptalah kaedah pergerakan kamera bagi menggambarkan pergerakan Nabi Muhammad s.a.w. Kisah hidup Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat dan isteri baginda pula diceritakan melalui perbualan orang ramai sesama mereka. Maka, di manakah susahnya?


Hujah yang hampir sama pernah saya gunakan dalam entri "Review Teledrama Musafir",

Saya tak faham, apabila agama menegah kita dari menonjolkan wajah Nabi, boleh pula kita berjaga-jaga dalam drama atau filem untuk tidak menonjolkan wajah Nabi. Bijak pula kita menjaga batas syarak, walaupun jika difikirkan oleh pengusaha tipikal drama dan filem tentunya mereka pening kepala bagaimana nak tonjolkan watak yang tidak boleh ditunjukkan wajah, jasad, malah suaranya pun? Tapi jelas, sudah banyak drama dan filem mengisahkan sirah Rasulullah s.a.w tidak satu pun menjadi bodoh dengan menunjukkan wajah Nabi, tapi tetap berjaya menghidupkan watak Rasulullah dalam drama dan filem mereka. Nah, kata kuncinya gunalah kreativiti.


Begitu juga apabila Dr Hilmi senada dengan saya dalam menafikan keperluan segala bentuk aksi-aksi yang bertentangan dengan hukum Islam dalam menafsirkan Filem Islamik,

Oleh itu, filem yang islamik seharusnya filem yang tidak mengandungi adegan-adegan yang tidak sepatutnya seperti berpelukan antara pelakon lelaki dan wanita, pendedahan aurat yang keterlaluan, penonjolan aktiviti-aktiviti maksiat secara terang-terangan, aksi-aksi ganas yang melampau, dan mengandungi elemen-elemen khurafat dan syirik. Termasuk dalam konteks ini juga ialah filem-filem yang mengandungi unsur-unsur komedi dan lawak jenaka yang kosong, mencarut, membodohkan, dan komedi yang kotor dan jijik.

Saya pernah memberikan takrif berkenaan filem dan drama orang-orang Islam lagi mukmin yang semuanya mestilah bersifat Islamik dalam entri bertajuk "Filem Lakonan Islami",

Filem dan drama orang-orang Islam lagi mukmin WAJIB meninggalkan segala perkara HARAM, mengunakan daya kreativiti tertinggi untuk memelihara syariat dalam lakonan, dan mestilah dibina berasaskan prinsip dakwah yang kuat. Kita buat filem bukan nak ikut kesukaan orang ramai, tapi nak dapat kesukaan Allah pada kita. Maka, hujah yang mengatakan nanti orang ramai tak suka menonton filem yang tak ada aksi haram dan ikut syariat 100% tertolak. Kita bukan nak dapatkan kesukaan orang.Celakalah siapa yang buat drama dan filem buat nak biar orang suka dan sanggup biar Allah murka. Celaka kau.


Dr Hilmi juga ada membangkitkan perihal orang yang curiga dan tidak yakin jika mematuhi akan batas hukum Islam dalam menghasilkan karya filem,

Lalu, ramai juga yang bertanya, kalau itu tidak boleh dan ini tidak boleh, macam mana nak buat filem? Takkan semua filem mesti berunsurkan dakwah seperti Syukur 21 dan Ayat-Ayat Cinta? Kalau begini, industri filem kita akan menjadi malap? Macam mana pelakon, pengarah, dan penggiat filem nak cari makan? Dan seribu satu lagi persoalan yang lebih bersifat pesimistik, curiga, dan menampakkan ketidakyakinan mereka untuk mengubah wajah filem kita sekarang ini. Malah, soalan-soalan yang dikemukakan kadang-kadang boleh membawa kepada keingkaran terhadap hukum Allah dan penolakan agama dalam filem.


Saya juga pernah menjelaskan ada orang yang akan berasa Filem Islamik itu boring (bosan kerana tidak ada aksi haram yang mengujakan) dalam entri yang sama,

Isu kemiskinan misalnya, boleh diangkat. Contohnya filem Children of Heaven mengangkat nilai dan dakwah akan semangat kekeluargaan dari seorang anak hanya berkisar akan masalah sepasang kasut yang dikongsi. Isu nampak remeh, tapi segala macam perasaan kita menerawang pula pemikiran kita mengaitkan akan soal kemiskinan, soal kejujuran, soal semangat yang boleh dikaitkan pula pada isu yang besar dengan kiasan-kiasan di minda. Itulah filem kreatif namanya! Menggunakan subjek yang kecil untuk menyentuh mesej yang besar! Saya tak fikir seluruh pengusaha filem drama di Malaysia terlalu bangang untuk fikirkan idea sebegini.

Children of Heaven tidak ada aksi letupan, tidak ada aksi perempuan seksi, tidak ada aksi ranjang, malah tidak diselang-selang dengan dialog panjang atau menjerit pekik, hanya bahasa biasa tetap tidak membosankan sekian ramai penontonnya di seluruh dunia. Ya, soal boring ini subjektif. Kawan saya menonton filem tembak-menembak penuh saspen dan aksi pun tertidur boring.

Dr Hilmi juga cukup kagum dengan Pengarah Majid Majidi yang mengarah Filem Children of Heaven, dan itulah antara hujah kuat beliau mengapa Festival Filem Islam sangat diperlukan,

Justeru itu, di sinilah peri pentingnya festival filem Islam dianjurkan dan dihidupkan kembali dalam bentuk yang lebih segar, meyakinkan, dan melibatkan lebih banyak pihak. Melalui festival filem ini, forum-forum dan seminar-seminar boleh diadakan dan semua pihak boleh memberikan pandangan bagi mencari dan merangka bentuk filem yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam, termasuklah pandangan daripada pengarah Iran tersohor Majid Majidi.

Rata-rata apa yang dibicarakan oleh Dr Hilmi adalah apa yang pernah saya selalu bangkitkan ketika mengulas dunia Filem dan Drama dalam isu-isu Hedonisme atau Dakwah dalam blog ini. Benar, kemahuan saya untuk proses Tadarruj dilakukan dengan bersungguh dalam produksi Filem dan Drama di negara kita disokong dengan pembentangan idea saya untuk "membaikpulih" mana-mana babak atau aksi yang mungkin ingin dilakonkan dalam Filem atau Drama melalui entri saya bertajuk "Beberapa Idea Lakonan Islami". Di Iluvislam.com juga, sebelum saya meminta diBAN di sana, saya juga beberapa kali menghantar post dan berdiskusi perihal Filem Islamik, Lakonan Islami, atau Filem Dakwah. Lihat: Idea Lakonan Islami , Hukum Berlakon Bersentuhan Bukan Mahram Dalam Filem/Drama, Review Nur Kasih TV3, Review Ketika Cinta Bertasbih 1, Review Drama-drama Berunsur Dakwah dan lain-lain.

Jelas di sini, perbicaraan saya dalam isu Filem atau Drama bukan anti pada sesiapa secara personal, malah saya amat menyokong Puan Maizura Mohd Ederis (Nur Kasih) atau Ustaz Zabidi Mohamed (Cinta Sempurna) jika mereka benar-benar sudi dan sedia menggunakan bakat mereka menulis skrip untuk tujuan dakwah. Begitu juga dengan Ahmad Idham (Syurga Cinta) jika beliau benar-benar sedia untuk membaiki pengarahannya untuk manfaat dakwah islamiah. Saya tak pernah juga mengharamkan mana-mana Ustaz yang mahu membaiki dan membaikpulih samada secara Tadarruj atau Revolusi, seperti yang saya selama ini kuat menyokong misi "Memasjidkan Seni" yang dicetus oleh Faisal Tehrani.

Yang saya tentang, protes dan bantah adalah mereka yang menafikan batas Islam sehingga mengatakan batas dan hukum itu tak terpakai dalam penggambaran Filem dan Drama, malah menyindir usaha membaiki Filem atau Drama ke arah 100% mengikut syarak sebagai terlalu bermimpi, idealist, perfectionist, tak berpijak di bumi nyata, tak mahu terima realiti, malah menganggap usaha itu akan merendahkan taraf dan mutu filem atau drama.

Selepas ini, saya akan cuba karang berkenaan dengan TADARRUJ DALAM FILEM KETIKA CINTA BERTASBIH.

2 komentar:

Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah said...

Drp. Dr. Mohd. Hilmi b. Abdullah

Terima kasih kerana memberi ulasan terhadap tulisan saya tersebut. Adalah lebih baik jika kita dapat berkenalan dgn lebih rapat selepas ini.

pustakahilmi@yahoo.com
pustakahilmi.blogspot.com

mfrstudio said...

insha Allah Dr. memang menjadi suatu pegangan saya adalah bertemu dan bertaaruf dengan siapa saja yang sudi untuk bersaudara.