25 TAHUN
Malam ini malam yang sedikit lain buat aku kerana malam ini merupakan malam bagi tarikh 16 Januari 2010 , yang menandakan aku sudah berumur 25 tahun mengikut kalendar Gregory dan malam ini juga diadakan Majlis Perpisahan Tahunan bagi komuniti pelajar Malaysia di Toyama.
Rata-rata tiada siapa di kalangan ahli komuniti Toyama yang tahu atau ingat bahawa tarikh 16 Januari yang dipilih mereka untuk diadakan Majlis Perpisahan untuk sesi 2009/2010 itu bertepatan dengan tarikh umur aku genap 25 tahun. Aku sengaja tidak menghebahkannya dan aku juga tidak mahu ada yang menghebah atau mengingatinya. Lagipun, aku bukanlah orang yang meraikan "hari jadi", dan tak pernah aku diajar dalam keluarga aku tentang sambutan "hari jadi".
Namun ada yang istimewa dengan umur 25 tahun itu. Umur itu adalah umur yang pernah aku ucapkan sesuatu semasa memulakan misi "membina empayar MFR" pada tahun 1997 ketika aku di tahun 6, tahun akhir di sekolah rendah. Walaupun kata-kata itu aku sudah mansuhkannya setelah menukar misi tersebut dengan misi baru, "3 cita-cita" pada tahun 2000 ketika aku di tingkatan 3 tahun akhir bersekolah di Klang, namun aku seakan-akan terus mengingati akan janji dan ikrar di tahun 6 itu.
25 tahun adalah umur sasaran aku untuk empayar aku sudah mula terbina. Empayar yang aku maksudkan adalah usaha aku untuk menjajah dunia ini. Pada saat itu, aku sangat percaya bahawa hanya dengan penjajahan maka perubahan akan dapat dilakukan ke atas dunia yang sangat aku marah dan geram ketika itu. Aku merasakan banyak perkara perlu diubah, dan aku sangat yakin jika perubahan dilakukan maka tamadun manusia akan bertambah baik. Umur 25 tahun. Aku perlukan 13 tahun untuk itu, fikir aku ketika itu berumur 12 tahun. 13 tahun diambil dari kisah perjuangan dakwah Nabi di Mekah sebelum berjaya berhijrah ke Madinah selepas itu.
Malam ini, sewaktu Majlis Perpisahan, diberikan ruang buat semua pelajar senior yang akan bergraduasi bulan 3 nanti untuk memberikan sepatah dua kata.Kata-kata terakhir mungkin. Giliran aku agak hujung, kerana aku adalah senior yang lambat setahun bergraduasi. Rakan seangkatan aku sudah bergraduasi tahun lepas. Aku memulakan kata-kata aku dengan memetik Hadis pertama nukilan Imam Nawawi dalam kitab Hadis 40 beliau, yang ada menyentuh mengenai hijrah.
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.
Aku mengarang tulisan ini kerana aku berasa kata-kata aku tadi ada yang tidak cukup dan tidak lengkap dengan apa yang aku sudah rancang untuk perkatakan. Jikalau nanti, ada pelajar Malaysia di Toyama yang terserempak tulisan aku ini, maka ini adalah isi lengkap sebenar apa yang aku ingin perkatakan.
TERIMA KASIH DAN MOHON MAAF
Aku sebenarnya sangat-sangat ingin berterima kasih pada orang-orang tertentu yang telah membantu aku.Aku merasakan kesusahan dan kesempitan yang aku sangat-sangat menanggung beban di bumi Toyama adalah 2 peristiwa kemalangan yang menimpa aku di Toyama ini.
Dalam peristiwa kemalangan pertama, aku benar-benar berasa hilang punca. Aku benar-benar kaget, cuak, tak tentu hala, hilang arah dan segala ribut kalut. Sebenarnya peristiwa kemalangan itu pernah aku ceritakan kisahnya di dalam entri aku tahun 2006 dahulu [Kelam Juangku 1][Kelam Juangku 2]. Ketika itu, ada ramai senior yang memberi aku semangat dan bantuan sebenarnya. Ada yang datang ke bilik aku menenangkan hati aku, memberikan aku nasihat, ada yang membantu aku mendapatkan kerja part-time untuk mengumpul wang bagi membayar denda, dan ada yang meminjamkan aku wang ketika aku sangat sulit untuk membeli makanan hingga aku susut berat badan hingga 45kg.Jasa kalian tidak ternilai oleh aku. Terlalu besar.
Dalam peristiwa kemalangan yang kedua pada tahun 2007 pula,[lihat pengumuman tentangnya] yang menyebabkan aku patah tangan, hilang 3 gigi di depan, terkoyak bawah bibir, juga merupakan peristiwa yang telah menyebabkan ramai pihak datang melawat aku di hospital, beri kata-kata semangat pada aku, ada yang siap mengirim buku untuk aku baca di wad, ada yang tolong bawakan pakaian untuk aku, ada yang sudi mengirim-ngirim sms untuk hiburkan hati aku, ada yang telah bersusah payah berjumpa dengan sensei hal ehwal pelajar asing untuk mendapat jaminan bagi pembedahan mulut dan tangan aku dijalankan,ada yang tolong mengemas bilik aku yang memang susah untuk dikemas, ada yang tolong masak dan bawakan bubur daging untuk aku. Aku terharu. Aku terharu dan aku sedih. Pertolongan kalian amat besar buat aku.
Aku tak mampu balas segala pertolongan itu, dan hanya Allah mampu membalas ganjaran besar buat kalian. Namun, jika aku memohon pada Allah untuk kurniakan kalian ganjaran besar, sedangkan hati dan diri aku bergelumang penuh dosa, noda, hitam, gelap, malap tanpa cahaya terang limpah hidayah dari iman yang bercahaya terang, masakan Allah memandang diri aku ini? Aku perlu berhijrah. Kali ini bukan kerana dunia untuk mendapat habuannya , seperti membeli kereta Galant yang menyebabkan aku kemalangan dulu, atau kerana perempuan yang aku ingin nikahi sebelum kemalangan kedua, tapi hijrah untuk menuju Allah dan Rasul. Persis Hadis yang diungkapkan sebelum ini.
Maafkan aku kerana telah menyulit dan menyusahkan kalian ketika aku hadapi masalah itu. Maafkan aku kerana tidak mampu membalas jasa dan budi baik kalian buat aku. Maafkan aku atas sikap dan perangai aku yang panas baran, cakap pedas, tak kenang budi, tak sopan, dingin, tidak mesra, berlagak hebat, tidak peduli hati dan perasaan orang, mengumpat, mengata, memandang rendah, membenci, dan sebagainya. Maafkan aku jika aku masih ada sisa sisa sifat mazmumah setelah cuba berhijrah. Maafkan aku atas kekhilafan diri aku ini. Maafkan aku jika banyak di antara kalian yang terluka atas sikap dan kata-kata aku.Maafkan aku. Maafkan aku.
HIJRAH DAN PERUBAHAN
Aku perlu berhijrah atas sebab keburukan yang ada dalam diri aku. Aku berusaha membaiki dan meningkatkan iman aku. Aku berusaha melipatgandakan pengorbanan diri, masa, tenaga, dan harta aku untuk agama Allah. Tapi aku bukanlah selalu berjaya capainya, malah kegagalan itu sering sangat terjadi.
Kemunculan Gofuku Mosalla pada tahun 2008 dahulu bukan usaha aku semata-mata. Janganlah mengatakan aku telah banyak berkorban untuk mosalla, janganlah mengatakan jika aku tiada lagi di Toyama maka usaha di sini akan terhenti, janganlah mengatakan orang seperti aku perlu muncul lagi di Toyama, sesungguhnya jika kalian tahu siapa aku sebenar seperti sejarah yang aku ceritakan di atas, maka kata-kata tadi amat bahaya sekali.
Cukuplah hanya aku sahaja yang telah buat kesilapan dan terpaksa bersusah payah untuk bangkit dan membina kembali trek perjuangan. Kalian tak perlu tempuh jalan-jalan mengarut itu semula. Apa yang kalian perlu ada dan pegang, adalah mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan ke jalan yang terbaik dapat kalian corak dan bentuk, jalan dan buat, baiki dan tingkat, maju dan kembang, sebar dan luas, kuat dan teguh, siap dan diredhai Allah.Istiqamah jalan mencapai keikhlasan. Dan sesungguhnya keikhlasan itu kunci segala amal akan diterima Allah s.w.t.
Ramai orang mengingatkan akan peri penting hidup di Toyama secara bersatu, peri penting hadirkan diri dalam aktiviti untuk memeriahkan, peri penting beraktiviti bersama dan bukan mengasingkan diri, peri penting untuk merapatkan ukhuwwah dan bukannya berpuak atau bermusuh. Alhamdulillah, nampaknya kita semua sepakat akan nilai berjemaah itu satu faktor penting untuk kekuatan. Tapi sering bayangan kita pada kekuatan dan meriah itu hanya pada aktiviti sukaneka atau pertandingan yang kita tandingi sebagai wakil Toyama. Bagaimana dengan kekuatan dan meriahnya kita pada asas dan tiang agama kita ini, solat berjemaah dan tempat yang paling disukai Allah, iaitu masjid kita Gofuku Mosalla?
Kita mampu lakukan yang terbaik dan tak perlu menjadi "Fakhrul Razi" yang hanya insan yang banyak kesilapan itu, tapi jadi diri kalian yang sangat segar dengan semangat dan idea untuk membina kerangka dan meneguh binaan perjuangan yang lebih kuat dan teguh di bumi Gofuku Toyama ini. Aku yakin, dengan individu-individu muda di Toyama yang aku lihat punya semangat untuk hadapi pengalaman baru, rajin untuk berkorban dan membaiki diri, sudi belajar dan mengajar apa saja ilmu dimiliki, menyayangi saudara semuslim dan sanggup membantu kesulitan dan kepayahan orang lain. Sikap dan nilai ini perlu saling kuat menguatkan, perlu saling kukuh mengukuhkan, perlu saling lengkap melengkapkan. Hanya dengan itu usaha akan jadi istiqamah, istiqamah akan bawa ikhlas, ikhlas menjayakan impian mencapai redha Allah dambaan kita semua.
Hari ini, isu kelemahan umat Islam tak dapat lari dari pengetahuan kita. Sejauh mana kita pergi, ke Barat kita mendengar tentang Islam, ke Timur kita lebih lagi mendengar tentang Islam. Islam akan terus diperkata, terus menjadi isu demi isu yang paling hangat, dan semua itu adalah peringatan akan tanggungjawab kita untuk memeluk erat-erat, rapat-rapat agama yang Allah telah sempurna dan redhai ini, Islam. Kita generasi muda mesti berani mengambil perjuangan Islam sebagai perjuangan asasi, tujuan, matlamat dan cita-cita akhir dan teragung dalam hidup kita. Kita mesti berani revolusi, reformasi, berani berubah dan lakukan perubahan, untuk tinggikan Islam setinggi yang boleh.
Aku teringatkan sebuah adegan dalam filem Ketika Cinta Bertasbih 2 yang memaparkan watak Khaerul Azzam mengulas kitab Al Hikam dari Ibn Athaillah berkata, "Barangsiapa yang yakin dirinya berasa tawadhuk, berasa rendah hati, maka dia benar-benar orang yang takabbur."
Aku amat-amat cuba menasihati diri aku akan bencana takabbur ini. Bukan soal aku akan berasa ingin takabbur, berikutan aku sudah bencikan sifat itu.Tapi soal adakah aku pernah terlintas yakin diri aku adalah orang yang benar-benar tawadhuk? Itu lebih bahaya kerana keyakinan itu kadang muncul tanpa disedari,dan itulah sifat orang yang benar-benar takabbur! Aku berlindung dengan Allah dari sifat itu. Itulah sebabnya kita ini saling memerlukan, ayuh satukan diri kita semua dalam saf solat jemaah, saf mesyuarat fikir risau umat, dan saf dakwah membaiki dan tingkat iman diri sendiri.
Wallahua'lam.
1 komentar:
Assalamualaikum
Selamat Ulang tahun kawan.
bertemu semula setelah 4 tahun.
Post a Comment