|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Dua orang junior aku sedang berjalan menuju Tokyo Mosque


Baca dulu bahagian pertama:
CITA-CITA MEMBINA MASJID DI GOFUKU TOYAMA I


Semalam 1 januari 2010, Nagih, saudara dari Mesir yang merupakan Presiden ke-2 bagi Projek Masjid di Toyama memaklumkan pada aku jumlah kutipan keseluruhan untuk Projek Masjid di Toyama mencecah angka 2 juta Yen (lebih kurang RM70 ribu). Sambil aku meng-update laman blog Projek Masjid itu, aku cuba mengimbas kembali beberapa detik-detik penting yang berlaku sesudah mesyuarat bersama Saudara Imtiaz (Pakistan) Oktober lalu.

Mungkin aku boleh mulakan dengan pemergian aku ke Tokyo seorang diri bagi mengutip derma di 3 masjid untuk Projek Masjid kami pada 29 Oktober 2009.

PATUH MESYUARAT

Benarnya, aku tidak akan melupakan saat sehari sebelum aku bertolak ke Tokyo itu. Malam itu satu mesyuarat tergempar diadakan hanya kerana Ketua bagi Kumpulan Pengutip Derma Ahli Perniagaan yang kami lantik, Dr Faisal (Pakistan) berkehendakkan resit dicetak bagi kegunaan mereka mengutip derma di kalangan ahli perniagaan yang rata-ratanya dari Pakistan di Jalan nombor 8, komuniti Toyama Mosque di bandar Imizu.

Bagi tujuan mencetak resit itu, maka ditimbulkan kembali isu yang telah lama kami selesaikan iaitu nama projek ini.

Baik, untuk makluman, projek kami pada mulanya dinamakan Toyama University Masjid Project. Ia sebenarnya adalah cadangan dari Saudara Imtiaz yang merupakan orang lama di Jepun. Dalam mesyuarat tidak kedengaran bantahan berkenaan dengan keputusan amir mesyuarat memilih nama itu.

Tidak lama selepas itu, kami adakan mesyuarat kecemasan kerana beberapa orang pelajar Fakulti Perubatan di Kampus Sugitani berkehendakkan amir Projek Masjid yang juga merangkap amir Gofuku Mosalla, saudara Zamir (pelajar Malaysia tahun 1) untuk melihat semula nama tersebut kerana sangat mengelirukan. Aku merasakan memang nama itu mengelirukan, kerana meletakkan Toyama University Masjid Project seolah-olah mengisytiharkan projek itu dibawah kelolaan pihak universiti,padahal tak ada kaitan pun.

Kemudiannya yang datang mesyuarat kecemasan tak sampai 6 orang. Ini kecemasan atau tidak? Tak ada satu batang hidung pelajar Mesir dan Pakistan yang menyuruh menukar nama hadir dalam mesyuarat kecemasan itu. Maka, hasil dari mesyuarat kecemasan itu kami yang sedikit dalam mesyuarat itu memutuskan nama Masjid Projek kami ditukar kepada Toyama Muslim Masjid Project. Maka nama itu akan membawa erti Projek Masjid ini dikelolakan oleh seluruh muslim di Toyama.

Hal itu selesai pada 16 Ogos 2009 tapi 28 Oktober ditimbulkan kembali hanya kerana takut ahli-ahli perniagaan Pakistan di bandar Imizu yang menguruskan Toyama Mosque di bandar Imizu itu menjadi keliru dengan nama itu. Alasannya pada tahun 1999 ketika mereka mahu membina Toyama Mosque, nama ahli jawatankuasa mereka adalah Toyama Muslim Association. Maka kononnya nama Toyama Muslim Masjid Project seolah-olah memberi erti projek membina Toyama Mosque yang sudah selesai tahun 1999 itu. Padahal hal itu hanya ketakutan dari Dr Faisal, kerana sejak bulan Ogos lagi beberapa kali kami telah ke Toyama Mosque di bandar Imizu memaklumkan akan projek membina masjid di Gofuku dengan nama Toyama Muslim Masjid Project.

Kononnya malam sebelum aku bertolak ke Tokyo itu, Nagih yang membawa cadangan Dr Faisal untuk mengubah nama projek hanya pada resit yang akan dicetak itu sahaja. Tapi rupanya sesudah aku bertolak ke Tokyo 29 Oktober, mereka mengadakan satu mesyuarat khas lain tanpa aku di Toyama untuk mengubah nama projek mengikut cadangan Dr Faisal, menjadi Toyama Muslim Students Masjid Project. Bukan itu sahaja, amir pun ditukar dengan Saudara Nagih diangkat menjadi Presiden ke-2 menggantikan Saudara Zamir, dan semua ahli jawatankuasa kembali dirombak.

Baik, pada asasnya menstruktur semula ahli jawatankuasa memang adalah suatu yang baik, tetapi yang aku tak selesa dengan sikap mereka adalah kepatuhan mereka pada keputusan mesyuarat.

Jika setiap keputusan mesyuarat dibincang dan dibincang lagi dan lagi sesudah mesyuarat selesai, sehingga hanya akan berhenti dibincang apabila menepati kehendak atau pendapat satu dua orang, maka lebih baik tak diadakan mesyuarat tetapi nantikan sahaja keputusan yang keluar dari mulut satu dua orang yang mahu buat keputusan itu.Baik, apa-apahal pun aku tetap berpegang pada ketaatan keputusan mesyuarat. Maka biarpun keputusan mesyuarat yang paling akhir di bulan oktober itu diadakan bagi memansuhkan segala keputusan mesyuarat yang lepas, maka aku memilih untuk taat. Jika aku boleh bersikap begini, mengapa mereka tak bersikap begini pada mesyuarat yang awal-awal? Sebenarnya masalah ini bukan membelenggu komuniti kecil kami di Toyama ini sahaja, malah di dunia Islam amnya pun, hal yang sama menjadi faktor utama mengapa banyak pelan tindakan tak dapat dilaksana secara berkesan- tak ada kepatuhan mesyuarat.

MENGGERAK USAHA

Berbekalkan pengalaman aku ke Tokyo seorang diri mengutip derma dari 3 masjid dan 1 mosalla di Tokyo (Makki Masjid, Otsuka Masjid, Ichinowari Masjid, dan Kamata Mosalla) pada 29 Oktober itu, kami bersetuju merencanakan satu misi bergerak ke 14 masjid meliputi kawasan Tokyo dan Aichi pada 25 Disember 2009. Setelah sesi pujuk memujuk diadakan, 24 orang pelajar Islam Toyama University bersedia untuk menyertai misi besar ini.Ya, 17 dari mereka adalah pelajar Malaysia.

Namun setelah tolak campur, ubah dan ubah berikutan ada masjid yang tak dapat dihubungi, masjid yang tak sudi menerima kunjungan, masalah kereta yang tak cukup,maka akhirnya jumlah masjid yang akan kami lawati pada 25 Disember 2009 menjadi 10 masjid jumlahnya.

5 Masjid di Aichi-ken (Nagoya Mosque, Nagoya Port Mosque, Toyota Mosque, Ichinomiya Mosque, Kasugai islami Center), 4 Masjid di Tokyo (Tokyo Mosque, Asakusa Mosque, Hachioji Mosque, Okachimachi Mosque) dan 1 Masjid di Niigata (Niigata Port Masjid atau Madani Mosque).

Aku dipertanggungjawabkan untuk mengetuai misi ke Tokyo bersama dengan 8 orang pelajar Malaysia lain. Sebelum bertolak, aku mengingatkan semua pelajar Malaysia yang akan ke Tokyo, Aichi atau Niigata untuk membersihkan niat kami. Hal yang sama aku peringatkan seperti yang pernah Saudara Imtiaz ingatkan sewaktu mesyuarat oktober itu, jangan risau berkenaan dengan duit derma. Apa tujuan sebenarnya kita melawat masjid-masjid itu memaklumkan perihal projek ini memerlukan derma dari saudara-saudara di sana, hanya semata-mata mahu menjemput saudara-saudara islam di kawasan lain di bumi Jepun ini mendapat peluang untuk menanam saham untuk akhirat.

Masjid, apakah asasnya? Tidak lain dan tidak bukan adalah TAQWA. Benar, dua kisah masjid yang punya dua sifat bertentangan telah dikisahkan dalam Al Quran dalam surah at Taubah yang kedua-dua masjid itu kisah masjid di zaman Nabi Muhammad s.a.w, iaitu Masjid Quba dan Masjid Dhirar.

Allah s.w.t berfirman dalam surah At Taubah ayat 107-108:


Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.

Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). (at Taubah: 107-108)

Selanjutnya Allah s.w.t berfirman lagi,


Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (at Taubah: 109)


HASIL DARI HATI

Alhamdulillah, mesyuarat 1 Januari 2010 itu benar-benar buat aku sedikit lega. Derma yang berjaya dikumpul dari tiga rombongan 25 Disember 2009 itu lebih 500 ribu Yen. Dan setelah diupdate segala akaun yang lain, pungutan derma untuk kami membeli bangunan untuk dijadikan masjid di Gofuku Toyama sudah mencecah 2 juta Yen (seperti yang aku maklumkan di awal entri). Kami memulakan projek ini pada akhir Julai 2009, ini bermakna dalam 5 bulan mengumpul 2 juta Yen boleh dikatakan berbaloi, walaupun rekod saudara-saudara di Fukui mengumpul lebih 9 juta Yen hanya mengambil masa 6 bulan.

Kalau dibandingkan hasil kutipan ketiga-tiga rombongan itu, misi ke Tokyolah yang paling corot sekali. Walaupun melawat 4 masjid, kami cuma membawa pulang kutipan 35 ribuYen saja. Sedangkan trip ke Aichi-ken mengumpul kira-kira 300 ribu Yen, dan trip ke Niigata-ken mengumpul kira-kira 200 ribu Yen. Paling membanggakan tentulah trip ke Niigata, mereka hanya melawat satu masjid sahaja sudah mendapat 200 ribu Yen.

Aku memesan kepada semua yang menyertai trip-trip itu bahawa hasil kutipan yang akan kita bawa balik, adalah 100% bergantung kepada penilaian Allah samada kita layak membawa kutipan yang banyak atau tidak. Ini disebabkan, apabila kita menyeru orang lain menderma, yang hanya dapat membuka hati orang seterusnya menggerakkan tangan mereka mengeluarkan wang untuk menderma adalah semata-mata Allah s.w.t. Atas pertimbangan itu, dengan kutipan tercorot walaupun trip yang termahal kerana jarak Tokyo dari Toyama lebih jauh daripada jarak Toyama dengan Aichi-ken atau Niigata-ken, akulah orang paling utama untuk bermuhasabah diri.

Di satu sudut, aku mengaku merasai seakan-akan ada teguran yang Allah ingin aku sedari, mungkin ada niat terpesong yang wujud dalam hati aku sebelum, semasa atau selepas rombongan itu. Di satu sudut yang lain, satu kesedaran mengenai "masjid" dapat diambil iktibar pada semua peserta ke Tokyo yang rata-rata adalah junior aku.

Kami memilih tarikh 25 Disember kerana hari itu adalah hari Jumaat, dan tentulah untuk mengutip derma perlu diadakan ketika hari paling ramai orang hadir ke masjid, ya tentu sekali hari Jumaat ketika solat Jumaat diadakan di Masjid. Rata-rata 4 masjid yang aku pilih untuk dilawati adalah masjid yang terkenal di Tokyo yang memiliki bangunan yang boleh memuatkan lebih 100 orang.

Alhamdulillah, Tokyo Mosque yang dekat dengan stesen Yoyogiuehara itu membantu kami dengan cukup profesional. Cuma kadang-kala terlalu protokol juga tidak selesa buat kami. Tokyo Mosque yang diurus oleh warga Turki di Tokyo mengumumkan perihal kutipan derma kami dalam khutbah Jumaat mereka. Namun sangatlah ringkas pengumumannya yang hanya memakan masa 3-4 saat sahaja, "Today's donation for Toyama Muslim Students Masjid Project" dan habis. Tapi Saudara A.R Siddique yang baru saja aku berkenalan beberapa hari di internet sebelum trip, sangat membantu menggalakkan orang-orang Islam yang sudah selesai solat Jumaat untuk menderma bagi Projek Masjid kami.

Beliau mengetuk-ngetuk tangannya di atas tabung derma yang disediakan oleh pihak masjid, sambil meminta semua orang membantu Projek Masjid kami. Malah dia dengan selamba memekik nama aku, "Where's Fakhrul Razi? Where's Fakhrul Razi?" seperti yang diceritakan junior aku kepada aku setelah aku keluar dari masjid. Aku memeluknya erat seperti sudah lama kami berkenalan, dan aku mengucapkan banyak-banyak terima kasih dan penghargaan padanya atas segala bantuannya buat aku menjayakan trip ke Tokyo itu menghubungi pihak-pihak autoriti masjid.

Aku kemudiannya turun ke tingkat bawah di luar masjid, mengedarkan pamphlet projek masjid kami kepada hadirin solat Jumaat yang perlahan-lahan bergerak pulang. A.R Siddique berbual dengan aku ketika aku sibuk mengedarkan pamphlet, beliau lalu memegang pipi aku dan mendoakan agar masjid kami menjadi kenyataan. Ada terbit sedikit rasa terharu dengan kasih sayang yang beliau tunjukkan pada aku. Beliau lalu berjalan pergi sambil aku nampak langkahnya uzur seperti beliau tidak begitu sihat dengan dirinya yang sudah berusia.

Pihak Tokyo Mosque mengatakan kutipan derma itu akan mereka depositkan ke akaun masjid kami, yang aku harapkan segera dibuat. Oleh itu,aku meninggalkan Tokyo Mosque tanpa bawa apa-apa kutipan bersama dengan juniorku yang dua orang lagi.

Kisah berbeza di Hachioji Masjid. Di sana, polis Jepun bersama dengan perisikan Amerika sedang memantau aktiviti masjid dan setiap hari Jumaat, seorang ejen akan dihantar untuk mengumpul maklumat. Tapi perkara itu telah dimaklumkan oleh Saudara Shah (Pakistan) pada aku sehari sebelum kami bergerak ke Tokyo. Dua orang junior aku yang dihantar untuk mengutip derma di sana sudah bersedia sebarang kemungkinan. Langkah bijak junior aku untuk berlakon tidak memahami bahasa Jepun, betul-betul buat ejen polis Jepun yang berpakaian casual itu berputus asa untuk merisik lagi.

Kisah Hachioji Masjid memang rumit. Ringkasnya bangunan masjid itu siap tahun 2002. Tapi semasa dibeli, bangunan itu didaftarkan atas nama seorang perempuan Jepun. Kemudiannya pihak polis mendapati , duit pembelian masjid datang dari Arab Saudi, dan penderma wang itu adalah Raja Fahd! Maka pihak polis mensyaki bangunan itu ada misi-misi rahsia yang tersembunyi kerana pembeliannya seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu. Akhirnya pihak masjid bersama kedutaan Arab Saudi mengisytiharkan bangunan itu adalah dibeli oleh kedutaan dengan segala bil ditanggung oleh pihak Arab Saudi.

Namun, atas kerana mahu menjaga hubungan baik dengan kerajaan Jepun, akhirnya 2-3 tahun lalu Hachioji Masjid tidak lagi ditanggung bilnya oleh pihak Arab Saudi, dan kehadiran polis membuatkan bilangan pengunjung masjid juga berkurang. Namun pihak Hachioji Masjid tetap memberi peluang kepada pihak kami mengutip derma pada hari itu. Walaupun tidak sebanyak trip di aichi atau niigata, namun kemurahan hati pihak sana membantu di saat situasi mereka juga belum pulih dan reda buat kami sangat-sangat berterima kasih pada mereka.Mereka malah menyedekahkan dua pemanas (heater) dan satu gas stove pada kami.

Di Asakusa Masjid juga bilangan yang hadir solat Jumaat merosot. Asakusa Masjid antara masjid yang dikendalikan oleh Islamic Circle of Japan yang mengurus beberapa masjid lain di Jepun. Bilangan hadirin solat Jumaat berjumlah 13 orang seperti yang diceritakan oleh dua orang junior aku ke sana, memang mengejutkan aku. Pihak Asakusa Masjid juga melemparkan satu soalan buat kami, "Benar-benarkah kalian mahu membina masjid sedangkan kalian hanya pelajar universiti? Kalian boleh jamin masjid itu akan diimarahkan?"

Benar, soalan yang sama pernah Nagih tanyakan pada aku, "Apa cara kita mahu pastikan masjid yang akan kita beli akan terus diimarahkan dan terus dijaga? Kita tak boleh memberi jaminan sentiasa akan ada pelajar muslim belajar di Toyama Universiti, bukan?"

Benar, usaha dakwah kepada masyarakat Jepun amat mustahak. Hanya jika ada sekumpulan orang Jepun menjadi muslim seterusnya menjadi pengimarah masjid di Gofuku Toyama ini, maka ketika itu kebarangkalian masjid yang akan kami bina lebih relevan. Saat kepentingan dakwah masih berada di awang-awangan di hati para pelajar malaysia yang merupakan kelompok majoriti muslim di Toyama Universiti, adakah semua itu hanya akan jadi impian?

Masjid keempat yang kami lawati di Tokyo adalah Masjid Okachimachi atau Masjid as-Salam. Solat Jumaat pada hari itu dihadiri lebih 60 muslim yang rata-rata adalah warga ahli perniagaan kaya dari Sri Lanka. Namun atas kerana faktor presiden masjid mereka pulang bercuti di Sri Lanka, 2 orang junior aku ke sana tak dibenarkan mengutip derma dari kalangan hadirin Jumaat. Padahal seminggu sebelum trip, Saudara Faiq (Sri Lanka) yang merupakan presiden masjid itu sudah berikan lampu hijau pada aku untuk menghantar wakil ke sana. 0 Yen untuk kutipan dari masjid as-Salam.

KE MANA JALAN HIDUP AKU 2010?

Aku memang berniat untuk mengikuti kursus pembinaan iman dan islah diri 4 bulan dari sillabus syura Nizamuddin setelah aku bergraduasi nanti. Namun, memang istikharah aku membuahkan petanda lain. Aku hanya akan mencatatnya setelah aku bergraduasi nanti. Insha Allah jika aku masih hidup. Jika aku mati, biar niat itu saja terakam sebagai halatuju kematianku. Kisah diari ini masih panjang atau pendek, aku tidak ketahuan.




Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).(at Taubah:111-112)

0 komentar: