|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Boleh mula baca entri berkaitan:
1) JALAN HIDUP AKU DI JEPUN 2008
2) JALAN HIDUP AKU DI JEPUN 2009


MESYUARAT

Pada 25 September, mesyuarat mingguan "Masjid Project" ke-15 yang hanya dihadiri oleh 3 orang iaitu aku (Malaysia), Faruk (Bangladesh) dan Nagih (Mesir) membincangkan kerisauan kami akan projek masjid yang dianggap berjalan lembab. Kelembapan itu tak dapat dielakkan berikutan pelajar Malaysia yang memegang populasi terbesar 80% di bumi Gofuku Toyama ini semuanya tidak ada di Toyama kecuali aku seorang sebagai penjaga Mosalla (yang tinggal dalam Mosalla).

Faruk menceritakan pengalamannya ke Fukui bertemu saudara-saudara seperjuangan yang baru saja menyelesaikan pengubahsuaian ke atas Masjid Fukui baru mereka yang mereka berjaya beli sekitar bulan 7-8 yang lalu. Mereka, saudara-saudara di Fukui menceritakan pengalaman mereka kepada Faruk akan jerih perih mereka mendapatkan rumah yang dijadikan masjid itu sekarang.

Asas perjuangan masjid Fukui bermula lebih awal sekitar 2 tahun sudah dengan mengutip sedikit-sedikit wang dari pelajar-pelajar Islam di Universiti Fukui. Namun perjalanan usaha mereka agak agresif sekitar 6-7 bulan tahun ini, dengan mereka merasakan penting untuk bertindak cergas dalam usaha membina masjid di Fukui itu. Mereka meletakkan nilai wang yang harus diberi oleh setiap pelajar sebanyak 50000 yen (RM1750) . Akhirnya mereka berjaya mengumpul 2 juta yen (RM70 000) dari komuniti Islam mereka saja iaitu kebanyakannya pelajar universiti saja.

Mesyuarat-mesyuarat diadakan dan mereka menekankan peri penting membina masjid ke dalam pemikiran dan hati setiap invididu dalam komuniti mereka, hingga sekitar 20 orang bersedia untuk keluar dalam jemaah melawat masjid-masjid lain sekitar Jepun untuk mengutip derma tambahan. Setiap bulan pasti ada dua hingga tiga kali lawatan ke Masjid mahupun Mosalla yang ada di seluruh Jepun dan kadang kala lawatan diadakan dua tiga kali juga di tempat yang sama.

Rasionalnya, kali pertama melawat orang tempatan hanya disebarkan berita mengenai projek mereka membina masjid, sedikit saja derma yang diperolehi. Namun kali kedua dan ketiga melawat, perkembangan projek yang berkembang pesat diperdengarkan membuatkan orang tempatan teruja untuk sama-sama menjayakan projek tersebut. Pernah terjadi, komuniti Mosalla yang kecil pun menderma lebih 2 ratus ribu yen (RM7 ribu) dan Masjid yang besar hanya menderma nilai yang lebih kecil.Akhirnya dalam 6 bulan cergas menggerakkan projek masjid mereka, wang terkumpul sebanyak 9 juta yen (RM315 ribu) berjaya untuk mereka beli sebuah rumah untuk dijadikan masjid.

Apa yang Faruk cuba sampaikan dalam ceritanya mengenai kisah perjuangan pembinaan Masjid Fukui adalah penglibatan semua individu dalam memberikan pengorbanan masa, harta dan diri sendiri untuk menjayakan Projek Masjid mereka. Pastinya, jika hanya 3 orang (seperti yang berlaku dalam mesyuarat itu) sahaja yang berfikir untuk menggerakkan Projek Masjid di Toyama ini, projek ini tak akan ke mana.

Nagih bersetuju dengan Faruk, lalu mencadangkan supaya satu majlis untuk meletakkan "fikir" akan pentingnya "Projek Masjid Toyama" ini diadakan di kalangan pelajar Malaysia yang merupakan majoriti populasi pelajar Islam di sini, dan merupakan golongan yang paling sedikit menderma dan berkorban untuk menjayakan projek masjid itu.

Aku yang sudah terasa pedih di hati, terkena padu ke atas batang hidung lalu aku mencadangkan diri aku sendiri untuk memberikan kata-kata jitu untuk semua pelajar Malaysia. Faruk dan Nagih bersetuju berikutan bahasa yang sama, boleh membantu memberikan maksud yang lebih jelas.

Sebenarnya apa masalah pelajar Malaysia? Masalahnya mereka tidak faham mengapa perlu bersusah payah untuk agama Allah. Mereka tidak faham mengapa "seorang mahasiswa luar negara" perlu mengorbankan masa, harta dan diri untuk perkembangan agama Allah di bumi kafir Jepun ini. Mereka tidak faham mengapa diri mereka yang "tidak bergaji" yang hanya menerima biasiswa JPA perlu untuk mendermakan sebahagian wang biasiswa yang diterima mereka. Mereka tidak faham mengapa perlu membina sebuah masjid yang mereka hanya akan guna sekitar 4 tahun saja iaitu keberadaan mereka untuk pengajian hanya sekitar 4 tahun saja. Mereka tidak faham mengapa tanggungjawab memperjuangkan agama Allah dan mendirikan masjid dan usaha dakwah di kawasan kampus ini perlu diletakkan di bahu mereka, padahal mereka hanya "pelajar" saja.

Aku tak nampak ketidakfahaman mereka ini berikutan sistem pendidikan sekolah dan pendidikan rumah yang majoriti mereka lalui. Aku tidak menyalahkan mereka seratus peratus jika mereka tidak faham betapa serius dan pentingnya untuk menjadi pejuang agama Allah. Ini bukan bicara retorik atau main-main, keseriusan perjuangan ini sangat memuncak sehingga fokus kehidupan kita wajar meletakkan titik matlamat ini, iaitu memperjuangkan agama Allah dalam diri, keluarga, masyarakat dan alam seluruhnya. Ini adalah tujuan dan matlamat hidup. Kita tak mampu untuk lari. Benar, Allah tidak membebankan suatu yang kita tidak mampu, tapi apakah jaminan suatu peluang untuk berjuang itu kita mampu atau tidak. Bagaimana boleh kita tahu "tidak mampu" padahal sedikit pengobanan dan perjuangan pun tak digerakkan?

SOLAT JUMAAT

Pelajar Malaysia seluruhnya kembali pada tanggal sekitar 30 September hingga 1 Oktober. Pada 2 Oktober, hari Jumaat setelah selesai solat Jumaat yang diadakan seperti biasa di Mosalla, aku pun bangun untuk memberikan semangat akan Projek Masjid Toyama ini.

Memetik firman Allah dalam surah al baqarah 261,


Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.



Lalu aku menjelaskan dalam dwi bahasa - inggeris dan bahasa melayu, betapa usaha menginfak sebahagian harta ke jalan Allah bukanlah suatu kerugian. Malah jumlah infak itu akan dilipatgandakan oleh Allah s.w.t akan ganjarannya. Aku menjelaskan dunia ini adalah kebun-kebun untuk kita menanam amal yang hasil tanaman itu akan dipungut di akhirat nanti. Mengapa kita rasa takut untuk menanam amal-amal infak, adakah kita lebih rasa untung jika harta yang kita ada hanya memenuhkan perut dan nafsu kita? Perut akan buncit, makanan akan jadi tahi, nafsu akan lelah, sejauhmana sangat kenikmatan dunia ini berkekalan, manusia lebih mengutamakan dunia padahal kehidupan di akhirat itu lebih baik dan kekal.

Aku memetik hadis bahawa sesiapa yang membina rumah Allah di dunia, kelak Allah akan bina mahligai untuknya di syurga. Padahal kita tahu jika membina mahligai di dunia, sudahlah bangunannya pasti usang dan runtuh, kita sendiri berapa tahun sangat nak tinggal dalam mahligai. Bila ajal tiba, kembali kita ke lubang tanah gelap, kusam dan dalam (kubur). Apakah keuntungan lain lebih bermakna dari keuntungan-keuntungan yang dipersiapkan untuk kita di syurga? Sudahlah mahligainya kekal, kita sendiri juga kekal di dalamnya yang nikmatnya sangat jauh indah dan lazat dari nikmat di dunia.

Lalu, habis aku berbicara sampai tempias-tempias air liur ke depan, suasana semakin hangat, aku semakin bersemangat. Aku lalu menjemput kesemua hadirin jumaat untuk hadir ke mesyuarat mingguan pada malam itu sebagai menunjukkan kita menyokong perjuangan membina masjid ini dan bersedia untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 20 000 yen (RM700) bagi setiap seorang. Majlis solat jumaat itu berakhir sebegitu dengan harapan aku agar semua pelajar Malaysia hadir.

TAKLIM

Malam itu mesyuarat kali ke-16 Projek Masjid Toyama 2 Oktober berlangsung. Sebelum itu solat 'isha jemaah sepenuh solat Jumaat, hampir kesemua pelajar Malaysia hadir untuk solat 'isha. Selepas solat, pembacaan taklim harian dimulakan oleh Saudara Ahsanulhaq (Kashmir), kemudian beliau menyambung perbicaraannya mengenai Projek Masjid. Beliau mengulang kembali pentingnya usaha membina masjid itu dan memetik hadis sama yang aku petik siang tadi selepas solat Jumaat. Faruk (Bangladesh) menambah dengan pentingnya setiap individu dalam komuniti untuk berkorban dalam usaha itu.

Kemudiannya Nagih (Mesir) menambah lagi tentang derma 20 ribu yen yang diwajibkan ke atas setiap seorang untuk didermakan itu masih menyedihkan , hanya 10% sahaja yang selesai menderma, yang lain kelihatan seakan tidak rasa perlu menderma.Kemudiannya, Abdel Aziz (Maghribi) pula menambah bahawa semua orang perlu bermuhasabah bagaimana sejarah Gofuku Mosalla diadakan.Beliau membayangkan jika tiadanya usaha orang-orang yang mengasaskan Gofuku Mosalla pastinya tidak ada kesempatan untuk muslim pelbagai negara untuk duduk bersama, berkenalan dan membina ukhuwwah, solat jemaah, mengaktifkan dakwah, dan menjadi pusat makanan halal kawasan Gofuku.Beliau menyatakan adalah penting untuk orang yang ada selepas Gofuku Mosalla mengusahakan perjuangannya untuk membina masjid pula. Kemudiannya perjuangan itu akan diteruskan oleh generasi seterusnya sehingga akan menjadi asbab perkembangan dakwah di Jepun, seterusnya berbondong-bondong orang Jepun akan memeluk Islam dan Jepun akan menjadi negara Islam yang berjuang, inshaAllah.

Abdel Aziz menyerahkan kepada aku pula untuk berbicara, tapi sebenarnya mesyuarat masih belum bermula. Itu asalnya sesi Taklim, lalu aku cepat-cepat mengumumkan sesudah solat sunat ba'diyah nanti, mesyuarat mingguan projek masjid akan diadakan, dan meminta semua yang hadir untuk kekal dalam majlis.

Apabila mula mesyuarat, aku telah membentangkan repot sepanjang bulan Ramadhan yang semuanya boleh dibaca di dalam blog Projek Masjid. Namun aku menekankan betapa nilai derma terkumpul sehingga kini sangat menyedihkan. Bukan sedih orang luar tidak memberi, tetapi sedih kerana jumlah kecil itu sebahagian besar diberi oleh orang luar Toyama malah luar negara Jepun juga, dan bukannya komuniti sendiri di Gofuku ini. Aku sedih betapa ramai yang tak mengendahkan kepentingan projek ini, malah tidak memandang sebelah mata pun. Ini kesedihan yang berlaku dalam banyak negara umat Islam, kata aku. Banyak negara umat Islam hanya memperuntukkan wang untuk syiar Islam, itu bagus. Tapi berapa banyak diperuntukkan untuk membangunkan semangat cinta untuk berjuang dan berkorban demi Islam di kalangan negara umat Islam terutama Malaysia. Aku menyatakan rasa sedih aku betapa hari ini sedikit sekali anak-anak muda Islam di malaysia yang mahu mengorbankan masa mudanya demi perjuangan agama. Aku menyatakan, adakah ada perjuangan lain yang boleh kita usahakan selain perjuangan untuk agama kita, padahal yang akan ditanya pada kita oleh Allah s.w.t nanti , "apakah yang kita buat untuk agamaNya?".

Selesai aku bersyarah menambah lagi sesi membangkitkan semangat perjuangan sejak siang tadi, maka individu yang kami tunggu-tunggu untuk hadir dalam mesyuarat kali ke-16 itu pun tiba, Saudara Imtiaz (Pakistan).

Siapa saudara Imtiaz ini? Beliau adalah orang penting yang telah membangunkan 2 buah masjid di Jepun iaitu Masjid di Shizuoka dan Masjid Toyama di Shinminato yang agak jauh dari kampus kami. Beliau telah hadir dalam mesyuarat pertama projek masjid ini dengan banyak sekali kelemahan aku sebagai pengelola mesyuarat itu ditegur dan dibetulkan beliau. Beliaulah yang berikan garis panduan untuk memulakan projek masjid itu atas kerana pengalaman luas beliau berurusan dengan pihak kerajaan Jepun yang sangat tidak suka masjid dibina di Jepun.

KISAH SAUDARA IMTIAZ

Malam itu, Imtiaz membuka kisah lama yang perit tentang perjuangan beliau membina masjid di Shizuoka. Beliau berharap semua yang duduk dalam mesyuarat boleh mengambil iktibar. Ayat pertama beliau adalah, "Duit bukan masalah, jangan terlalu tertekan dengan jumlah duit yang boleh dikumpul, jangan tergopoh gapah dalam usaha ini, mesti diingat usaha membina Masjid bukan suatu yang mudah".

Kisahnya bermula hampir 5 tahun dulu sehingga kesannya beliau masih perlu uruskan hingga sekarang. Seperti juga yang diusahakan kebanyakan komuniti Islam, di Shizuoka juga komuniti Islam berkumpul dan berbincang untuk membina masjid. Sewaktu itu mereka juga seperti kami, menyewa sebuah rumah untuk dijadikan Mosalla. Saudara Imtiaz adalah seorang ahli perniagaan yang mengorban seluruh diri dan perniagaannya untuk dakwah dan Islam. Beliau sampai ke Shizuoka tetapi ramai yang telah tahu usaha penat gigih beliau dalam perkembangan dakwah di Jepun. Beliau dipilih sebagai Amir (ketua) projek untuk Masjid di Shizuoka itu.

Saban minggu berminggu mereka bermesyuarat, lalu datanglah seorang Jepun menawarkan bantuan pada mereka untuk membeli Mosalla yang mereka gunakan waktu itu untuk dijadikan Masjid. Orang Jepun itu sebenarnya adalah pengutip sewa rumah yang mereka jadikan Mosalla itu, namun tuan rumah asal tidak mahu menjualkan rumah itu pada orang Islam. Oleh sebab itu, pengutip sewa itu sudi untuk membeli rumah itu dan menjual kepada orang Islam dengan harga yang sama. Ini bermakna dia tidak membuat untung langsung atas bantuannya itu. Cuma perlu dibayar sedikit wang untuk proses penukaran hakmilik.

Lalu, duit yang dikumpulkan pun cukup untuk membayar wang tersebut. Sehari sebelum pembayaran dibuat, pada malam di bulan Ramadhan, komuniti Islam di situ adakan solat tarawih seperti biasa di Mosalla. Namun, malam itu tak biasa buat Saudara Imtiaz, beliau yang penat pada siang harinya berurusan sana sini untuk proses pembelian Mosalla, telah berhasrat untuk solat tarawih di rumah saja. Selesai sampai di rumah beliau terbaring di sofa dan tertidur sehingga beberapa panggilan datang ke telefon bimbit beliau mengejutkan beliau dari tidur.

"Lari, Imtiaz, lari segera!" kata suara dalam panggilan itu.

Imtiaz bertanya, "Mengapa aku perlu lari, apa yang terjadi?"

Suara itu menjawab, "Mosalla kita sudah terbakar! Habis rumah-rumah jiran juga disambar api!"

Imtiaz tidak melarikan diri, tetapi beliau berkejar ke tempat kejadian dengan segera. Melihat dengan rasa penuh terkejut, beliau beristighfar, Mosalla yang bakal mereka beli pada hari esok sudah hangus dijilat api. Jiran-jiran di sekitar Mosalla juga sudah bising-bising dan marah-marah. Bomba, polis dan pihak media juga sudah sibuk mengerjakan tugas masing-masing. Dalam kekalutan itu, Imtiaz berlari meredah manusia yang mengerumuni tempat kejadian, masuk ke kawasan Mosalla yang sudah rentung. Polis yang melihat Imtiaz segera menangkap beliau,"Apa kamu buat di sini? Siapa kamu?"

Imtiaz yang berasa sangat sedih akan apa yang sudah berlaku terus saja bersuara, "Saya adalah orang yang bertanggungjawab atas semua ini. Semua jangan risau, saya akan bertanggungjawab".

Maka setelah Imtiaz mengatakan sebegitu, orang-orang islam yang pada asalnya sedang menyorok , barulah keluar dari tempat mereka dan menemani Imtiaz dalam menjelaskan keadaan sebenar.

Sebenarnya setiap kali tarawih, memang sudah ditetapkan yang hadir cuma lelaki sahaja, kerana keadaan Mosalla yang tidak selesa untuk pihak isteri dan anak-anak kecil. Namun, malam itu beberapa lelaki tidak mengendahkannya, lalu mereka bawa isteri dan anak-anak untuk solat tarawih bersama. Oleh itu, wanita dan anak-anak bersolat di tingkat atas. Ramadhan tahun itu musim sejuk, maka pemanas yang menggunakan minyak tanah dihidupkan. Disebabkan tingkat atas agak sempit, maka seorang isteri yang berada dekat pemanas mengalihkan pemanas itu rapat ke dinding rumah.

Atas sebab dinding rumah itu mudah terbakar maka terbakarlah dinding itu atas kepanasan pemanas. Isteri-isteri dan anak-anak kecil mereka tidak tahu untuk buat apa melihatkan kebakaran sudah terjadi, maka telah menyimbah air ke atas dinding. Mereka tidak tahu, apabila dinding itu basah, kandungan bahan kimia dalam dinding itu lebih mereaktifkan api. Maka kebakaran pun terjadi dengan cepat, lalu kesemua orang berlari bertempiaran termasuk jemaah tarawih.Disebabkan semua orang tidak ada pengalaman menghadapi kebakaran di Jepun sebelum ini, semua orang Islam itu menyorok sambil api menjilat habis rumah jiran-jiran orang jepun juga.

Selalunya jika orang Jepun yang menghadapi situasi itu pastinya si Jepun akan membunuh diri kerana bayaran pampasan atau gantirugi bukan sedikit yang perlu ditanggung. Imtiaz tidak mahu mengalah, beliau hadapi juga ujian perit itu walaupun berseorangan. Ramai ahli mesyuarat yang dulunya berapi-api nak memperjuangkan masjid, waktu tragedi itu sudah berlaku, ramai yang lari hanya menyerahkan Imtiaz seorang menguruskannya. Mujur ada sahabat-sahabat yang rapat dengan beliau sudi memberikan pertolongan dan mereka hadapi kes kebakaran itu, masuk keluar balai polis, turun naik mahkamah, hingga segalanya selesai.

Selepas itu, mereka kembali membentuk mesyuarat semula. Ingin mulakan semula projek masjid yang terhenti. Mula kembali dengan sifar derma. Kali ini, mereka menjaga setiap amal para anggota. Menjaga hati untuk ikhlas memperjuangkan masjid semata-mata kerana Allah bukan kerana riak dan takabbur.Memperbanyakkan solat sunat memohon agar Allah memelihara dan melindungi mereka serta meletakkan mereka sebaris pejuang agamanya yang ingin membina rumah untukNya di bumi Jepun ini.Beberapa lama selepas itu, Allah mempermudahkan perjuangan mereka, satu jumlah derma yang lebih besar dari projek awal telah mereka berjaya kumpul. Mereka lalu berjaya membeli sebuah bangunan, dan dijadikan masjid shizuoka hingga sekarang.

MUHASABAH

Apa yang Saudara Imtiaz mahu sampaikan, bahawa setiap usaha semuanya bergantung kepada kehendak Allah. Kita tidak boleh berasa bahawa diri kitalah yang telah buat itu dan ini untuk Islam atau dakwah. Mudah bagi Allah untuk menghentikan usaha yang kita sangka dibuat oleh kekuatan kita sendiri. Allah boleh bakar masjid yang kita sangka dibina oleh kita, Allah boleh lenyapkan wang yang kita sangka dikumpulkan oleh kita. Mudah bagi Allah untuk melenyapkan suatu yang kita tak sangka-sangka akan lenyap. Namun, mudah juga bagi Allah untuk menjayakan usaha kita, Allah boleh datangkan wang besar untuk kita, Allah boleh beri kita bangunan yang besar untuk kita, apa yang Allah mahu lihat adalah kesungguhan kita berjuang dan sejauh mana kita berjuang atas niat kerana Allah semata-mata.

Air mata mula bergenang dalam kelopak mata aku. Aku tak dapat nak mengangkat muka dalam mesyuarat itu kerana malu akan diri aku ini yang tidak langsung menjaga hati. Apa yang aku kejarkan adalah mahu membina masjid Allah sebelum aku meninggalkan bumi Jepun ini, tapi sejauh mana usaha aku itu disematkan keikhlasan? Sejauh manakah usaha aku itu diletakkan kehambaan diri? Benar, aku pernah rasa diri aku terseksa kerana seakan-akan usaha memperkasakan Islam di Gofuku ini hanya atas pundak aku, aku yang kena buat itu aku yang kena buat ini. Aku yang kena banyakkan korban masa, tenaga dan harta. Sedangkan semua pelajar Malaysia lain tak perlu buat apa-apa berseronok dan berseronok dengan biasiswa mewah dari JPA. Namun malam itu aku memandang semula hati aku. Aku buat semua ini pengorbanan dan perjuangan bukan kerana orang, mengapa aku mesti rasa terseksa. Apakah aku tidak bangga bekerja untuk Tuhanku? Apakah aku tidak gembira berjuang menegakkan kalimah Tuhanku? Aku tak patut rasa sedih, terseksa, atau payah malah marah.

Solatku, Ibadahku,hidupku, matiku, hanya kerana Allah s.w.t.

Saudara Imtiaz mengingatkan, perjuangan membina masjid ini adalah ibadah kita. Maka sebelum kita tanya apa yang orang sudah lakukan untuk projek masjid ini, setiap orang mestilah bertanya sudah banyak mana pengorbanan yang mereka lakukan untuk projek masjid ini. Beliau mengingatkan lagi bahawa apabila kita minta derma daripada orang untuk projek masjid ini, kita bukan mahu wang mereka, tapi kita mahu membuka peluang untuk mereka sama mengecapi indahnya berjuang untuk agama Allah. Wang yang mereka laburkan dalam masjid ini bukan untuk kita, tapi untuk diri mereka sendiri yang akan mereka nikmati ganjaran besar dari Allah di akhirat sana.

INFAK

Buat orang Malaysia, anda dibukakan peluang untuk sama-sama merasai kelazatan menginfakkan harta di jalan Allah, kami telah buka satu akaun Tabung Haji untuk anda menderma. Wang dalam Tabung Haji ini akan dikumpulkan sehingga satu jumlah yang besar sebelum dibawa ke Jepun untuk ditambah dalam dana pembelian dan pembinaan Masjid di Gofuku Toyama ini.

berikut adalah maklumat akaun tersebut:

Akaun Tabung Haji untuk Toyama Muslim Masjid Project


Bagi yang tinggal di negara lain, boleh menderma menerusi Paypal dengan klik di sidebar blog ini.

Terima kasih buat semua, semoga cita-cita kita untuk melihat Islam bangkit akan dimakbulkan Allah s.w.t. Semoga Allah terus meletakkan kita menjadi pejuang-pejuang agamaNya yang tidak lelah, letih dan berasa payah walaupun berjuang itu menempah susah.

p/s: setelah tamat mesyuarat malam itu, saya mengucapkan syabas buat semua pelajar Malaysia yang hadir untuk mesyuarat dan meminta mereka istiqamah untuk hadir dan sokong. Kemudian muncul pelajar perempuan masuk ke dalam Mosalla. Rupa-rupanya pelajar Malaysia ramai malam itu kerana mahu menghadiri mesyuarat sambutan "belated hari raya" yang akan diadakan pada hari Ahadnya. Begitulah fenomena dan kesan yang berlaku kepada umat Islam di Malaysia, dapat dilihat pada anak-anak mudanya. Jika sambutan hari raya, ramailah sanggup berkorban dan berpenat lelah. Tapi jika perjuangan dakwah dan islam, mulalah semuanya menyepi. Aku mengambil peluang di sesi akhir mesyuarat raya itu untuk menasihati dan mengingatkan mereka akan fenomena salah faham umat Islam akan erti aidilfitri sebenarnya, dan aku meminta mereka berani "untuk berubah" menjadi "pejuang agama Allah".



Memang cekap pelajar Malaysia di sini memasak. malam itu mereka bekerjasama membanting tulang hingga pukul 1 pagi memasak rendang, ayam masak merah, nasi minyak, nasi himpit, sate, kuah kacang, gado-gado, kuih muih dan kek. Saya ucapkan terima kasih pada semua yang memasak. Alangkah indah semangat memasak ini boleh beralih juga dalam perjuangan islam. Saya yakin mereka boleh. Itu doa saya buat mereka sebelum saya meninggalkan bumi Toyama ini.

0 komentar: