|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Baca dulu: JALAN HIDUP AKU DI JEPUN 2008

Tahun 2009 tidak kurang cabarannya seperti tahun-tahun sebelumnya.Selepas setahun lebih tekad dan azam aku untuk mengorbankan diri dalam usaha agama di bumi Jepun dengan permulaan Gofuku Musolla tahun lepas, turun naik pahit maung menjadi seorang pejuang agama kerdil di bumi Jepun terus dirasai sehingga saat tulisan ini ditaip.

Gofuku Musolla cuba dibina berasaskan taqwa, dan dengan taqwa ini sajalah usaha membina rumah Allah di tanah kuffar ini dapat memenuhi kriteria pengimarah masjid yang Allah firmankan dalam surah at taubah ayat 18:



Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.


Dan kita risau dan takut untuk terjerumus di kalangan mereka yang tidak layak untuk mengimarahkan masjid Allah, seperti firmanNya dalam surah sama ayat sebelumnya:



Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam Neraka.


Kafir dan musyrik perlu difahami, kafir bererti ingkar sesudah menerima perkhabaran dan peringatan, sedang syirik adalah menyekutukan Allah dengan selainNya iaitu makhluk.

warga Toyama dan diriku sendiri,

Kita bimbang keingkaran kita sesudah menerima jemputan untuk memakmurkan masjid Allah di bumi Gofuku Toyama ini, yang sudah kita sama-sama tekadkan dalam mesyuarat setahun yang lalu akan menjerumuskan kita perlahan-lahan akan keingkaran menjadikan agama maksud hidup sehingga tidak ada lagi beza kita dengan kafirun.Semoga Allah lindungi kita dari hal itu.

Kita bimbang makhluk di dunia ini menjadi raja di hati kita, sehingga kita lebih banyak memuja makhluk dan berkejar-kejaran atas ganjaran dunia berbanding memuja Allah dan berkejar-kejaran atas ganjaranNya yang lebih hakiki. Sejauh mana keyakinan kita atas janji Allah, sejauh mana duduk letak iman dalam hati kita, perlu banyak kita risau bimbang, takut-takut kita sudah hilang sikit demi sikit kelazatan iman dan dunia yang kita letak hanya di tangan sudah masuk ke hati. Kita benci kesyirikan dan kita tahu syirik dosa yang Allah tidak ampunkan,justeru bezakan diri kita dengan musyrik.

Sifat kuffar dan musyrik, jika dibuang jauh-jauh, mudah untuk kita terpilih menjadi pengimarah-pengimarah masjid Allah yang punya iman pada Allah dan hari akhirat, punya kekuatan untuk solat dengan rukuk bersama orang-orang yang rukuk (berjemaah), tunaikan zakat membersihkan rezeki dan harta kita,dan tidak takut selain Allah buat kita berani jadi berbeza jadi ghuraba hanya untuk genggam iman dan taqwa.

Usaha awal Gofuku Musolla bukan diniatkan sekadar punya tempat untuk kita berkumpul dan beraktiviti, itu tak ada bezanya rumah Malaysia dengan Gofuku Musolla (masjid Allah). Kita tak mahu sekadar masak-memasak dan berkenduri, dan hanya solat jemaah kadang kala di sini, seperti yang kita lazim lakukan sebelum diasaskan Gofuku Musolla ini. Kita tak mahu tempat ini dijadikan tempat kita bergosip, bergelak ketawa beramai-ramai, atau bersenda gurau seperti yang kita lakukan di rumah ini sebelum ia menjadi musolla. Kita mahu asaskan dengan taqwa. Kita mahu sifat pengimarah masjid hadir dalam diri kita.

Ya, kita telah lakukan pelbagai usaha awal, semua usaha ini bukan usaha aku seorang, tapi kita bersama.Tanpa kerjasama dan sokongan kalian, niat dan cita-cita kita itu tak akan dimudahkan Allah sehingga hari ini.

Aku masih ingat betapa usaha dakwah untuk menziarahi dari rumah ke rumah untuk bercakap mengenai agama dirasakan janggal, walaupun kita sering ziarah menziarahi sebelumnya untuk main-main dan berlagho sakan.Ziarah bukan aktiviti asing bagi kita di Toyama, namun maksud pertemuan dan perpisahan kita kerana Allah itu dirasakan asing kerana kita jarang perbuat dahulu. Kita cekalkan hati, tabahkan diri, akhirnya perlahan-lahan usaha menziarahi sudah ringan dan mudah untuk disertai beberapa sahabat. Sudah bertambah sahabat-sahabat yang sudi belajar untuk berdakwah, mengajak diri sendiri dan kawan-kawan yang diziarahi kepada kebesaran Allah.

Firman Allah dalam surah Fussilat ayat 33,



Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!


Sahabat-sahabat, kita jangan malu untuk buat apa yang Allah suka, dan patutlah kita malu jika buat apa yang Allah murka.

Benar, pada peringkat awal usaha kita membina Gofuku Musolla dengan asas taqwa, semangat kita berkobar-kobar mahu buat semua perkara. Kita dakwah ketuk pintu ke pintu setiap hari,dalam masa yang sama kita bentuk halaqah ilmu berdiskusi mengenai pelbagai cabang ilmu tauhid, fiqh, sirah, dan sebagainya. Malah kita beli white board besar untuk bentuk pengajian Bahasa Arab yang sudi dikelolakan oleh saudara kita dari Mesir yang belajar di kampus perubatan. Usaha awal kita cantik, lengkap, padu dan murni.

Namun, banyak usaha itu terhenti kerana kita sebenarnya memberi alasan untuk syaitan melemahkan kita. Buat banyak sangat usaha tanpa kita pastikan adakah kita benar-benar cukup bersedia memberi komitmen penuh tak kita persiapkan. Benar, menuntut ilmu di Universiti Toyama bukan semudah yang disangka, masa kita terhad, kadang-kala masa kita penuh dengan kelas, dan badan mudah letih. Kita gagal untuk istiqamah kerana program kita mustahil untuk diistiqamahkan. Apatah lagi kita letakkan penggerak program pada bahu individu tertentu, maka jika individu itu sibuk dan tidak hadir, maka program terhenti. Sekali dua terhenti, syaitan mudah untuk lembikkan kita yang sudah sedia dilembikkan oleh pengajian di universiti yang memerah betul-betul keringat kita.

Alhamdulillah, setiap amir (ketua) syura yang kita lantik sepanjang penubuhan Gofuku Musolla iaitu Saudara Adnin, Saudara Hakim, dan amir kini Saudara Zamir adalah insan-insan istimewa yang Allah pilih untuk kita di dalam komuniti dan usaha ini dan telah banyak melakukan usaha demi usaha untuk melengkapkan sifat pengimarah masjid yang disebut Allah sehinggalah hari ini usaha dan amal Gofuku Musolla berjaya diistiqamahkan. Walaupun kita hanya buat amal yang kecil tetapi kita lakukan dalam segenap bentuk, amal harian, mingguan, bulanan, dan tahunan kita.

Hari ini, amal harian kita makin dimudahkan Allah. Saf solat jemaah 5 waktu sehari semalam kita di Gofuku Musolla makin bertambah, walaupun dalam tempoh-tempoh tertentu ia pernah merosot. Usaha dakwah harian menziarahi satu rumah setiap hari makin diterima dan disambutbaik.Majlis ta'lim juga istiqamah setakat ini,dengan dibantu oleh sistem penggiliran imam dan pembaca ta'lim. Mesyuarat juga sudah ramai yang sudi duduk dan berbincang.Da'wah umumi setiap minggu sudah berjalan dengan baik walau kadang kala hanya 2 orang saja yang sudi ikut.Majlis Tadarus yang menggantikan Majlis Yasin juga sudah bergerak dengan lancar dengan majlis Bayan sesudah itu.

Setiap bulan juga sudah cuba istiqamah membentuk jemaah dakwah untuk ke tempat-tempat saudara muslim di luar Toyama seperti Fukui, Kanazawa, Nagoya, Tokyo, dan Gunma. Jemaah dari luar Toyama juga diraikan datang ke musolla kita, jemaah Fukui, jemaah Tokyo, jemaah Toyohashi, begitu juga jemaah dari luar Jepun seperti jemaah masturat Malaysia, jemaah Bangladesh, jemaah masturat India, dan jemaah England.

Program-program ceramah dan pengisian juga telah cuba dibuat walaupun aku yang menjadi penceramah tak begitu baik persediaan.Khususnya ceramah Palestin dan ceramah Isra' Mi'raj yang dibuat pada tahun ini dengan slide show dan tayangan video yang tak menarik.Maafkan aku.

Ini semua merupakan pengisian-pengisian amal yang tidak akan berlaku tanpa taufik hidayah dari Allah yang menggerakkan hati-hati manusia di dalamnya.

Usaha menguruskan Kedai halal walaupun tidak untung seberapa kerana kita bukan kapitalis, tetap juga membantu musolla dan membantu komuniti kita jua dengan mudah membeli daging, ayam, dan lain-lain barangan halal dengan hanya ke musolla yang dibuka 24 jam.

Solat Jumaat setiap minggu juga menampakkan kekuatan jemaah kita dengan hampir kesemua muslimin berjumlah 50 orang hadir, malah sudah semakin ramai yang cuba menjadi khatib.

Perjalanan amal kita dalam mengimarah Masjid Allah ini tidak boleh berhenti. Kita perlu niatkan usaha ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi muslim yang datang ke Gofuku Toyama ini. Seperti kata Hera Bhai dari Masjid Toyama,

"Usaha kami di Masjid Toyama wujud kerana hadirnya ahli-ahli perniagaan yang membuka perniagaan di kawasan Jalan No 8. Namun, kami hadir atas asbab ekonomi, sedang ekonomi ada turun naik. Lihat sekarang, ekonomi turun, ramai pekerja sudah pulang kembali ke negara asal. Mungkin saja apabila tiada lagi peluang perniagaan di sini, kami semua akan pulang dan Masjid Toyama akan berhenti. Itu tidak mustahil. Akan tetapi Gofuku Musolla wujud atas asbab penuntut-penuntut universiti yang tidak akan ada turun naik ilmu. Pelajar muslim akan terus dihantar ke kampus Gofuku dan mereka perlukan musolla ini. Maka usaha Gofuku Musolla lebih penting untuk wujud berbanding Toyama Masjid."

Maka,jalan hidup aku bagi sisa 2009 dan awal 2010 nanti adalah membina tapak perjuangan mendirikan Masjid kekal di kawasan Gofuku yang dekat dengan kampus Universiti Toyama. Ini bukan perjuangan aku seorang, ini perjuangan kita semua, muslim di Gofuku Toyama.Ketahuilah pengasas dan pencetus kepada perjuangan usaha menegakkan agama Allah ini, akan diletakkan Allah kemuliaan yang tinggi berbanding generasi penerus nanti. Oleh itu, kita mesti cekalkan hati untuk mencetus dan mengasaskan misi penting ini dengan kukuh supaya senang generasi selepas kita meneruskannya.

Alhamdulillah, sejak 31 Julai 2009 lepas, setelah mesyuarat hampir 2 jam itu dengan situasi mesyuarat yang tidak teratur yang kesalahan itu pastilah pada bahu aku selepas amir melantik aku menguruskan mesyuarat, namun kita berjaya mulakan langkah-langkah padu yang sudah nampak cahaya-cahaya kejayaan yang Allah sinarkan. Kita berdoa semoga Allah letakkan usaha kita sebagai amal soleh yang diterima.

Namun, usaha perjuangan agama ini tak mungkin berjaya dengan seorang dua bergerak. Kita umat islam laksana bangunan yang kukuh mengukuhkan. Kami di Gofuku Musolla perlukan sokongan saudara-saudara di seluruh Toyama, di seluruh Jepun, di seluruh dunia memberikan sokongan pada projek pembinaan masjid di kawasan Gofuku Toyama ini. Hulurkanlah bantuan kewangan yang mampu kalian sumbangkan, semoga projek ini bukan saja saham akhirat buat kami pelajar-pelajar di sini, tetapi tuan-tuan yang membaca warkah ini juga mampu turut serta masuk dalam saham akhirat yang dijanjikan Allah buat para penderma budiman.

Sekurang-kurangnya doakan kami agar diberikan oleh Allah kekuatan iman dan curahan hidayah supaya kami menjadi pemuda-pemuda yang Allah sebut antara 7 golongan yang dinaungi arasy Allah itu. Kami serius untuk menjadi pejuang agama Allah dan kami telah lakukan yang terbaik. Ya kami sedar, usaha kami masih dipanggil sebagai "tak buat apa-apa hanya kritik saja kerjanya" atau "pandai cakap tapi tak buat",benar sungguh. Memang usaha kami masih di tahap tak buat apa-apa, doakan kami diberikan kekuatan supaya mencapai tahap "telah buat sesuatu untuk agama Allah".

LAWATI BLOG PROJEK MASJID KAMI: http://toyamamasjid.blogspot.com/


ATAU KLIK BUTANG "DONATE" DI BAWAH UNTUK DERMA MENERUSI PAYPAL:



BOLEH JUGA TOLONG PROMOSI BERKENAAN DERMA INI DI BLOG ATAU WEBSITE ANDA DENGAN CODE DI BAWAH:


Semoga Allah memberkati hidup kami dan hidup anda semua.

0 komentar: