|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

4 BULAN

Kawan baik saya bertanyakan ,"mengapa 4 bulan?" pada saya. Dia merujuk kursus membaiki diri dan belajar dakwah serta pengorbanan yang diusahakan oleh jemaah dakwah yang bermusafir untuk berdakwah itu. Orang ramai memanggil jemaah itu jemaah tabligh. Saya adalah manusia yang berniat untuk mengikuti kursus 4 bulan merantau ke 3 negara untuk bertemu manusia dan belajar erti susah payah berdakwah memanggil manusia kepada Allah dalam keadaan cukup terhad itu selepas tamat belajar nanti.

Saya bertanyakan pada dia, "mengapa 3 bulan?". Saya merujuk pada latihan khidmat negara atau PLKN yang mengkehendaki anak muda 18 tahun mengikutinya untuk membina jatidiri selama 3 bulan.Dia membalas, "itu budak-budak, bukan orang yang dah bernikah yang ada tanggungan anak bini. Berapa banyak diperlukan untuk menampung 4 bulan perbelanjaan rumah?" katanya.

Dia mungkin antara orang yang sungguh dan sangat risau akan keluarga orang-orang tabligh yang suatu masa pernah disindir sebagai orang "tak balik".

Sebenarnya usaha apapun ada kelemahan. PLKN contohnya tadi, ada beberapa kes, anak muda yang dipanggil untuk melapor diri itu bukan semuanya adalah pelajar lepasan SPM yang dara atau bujang-bujang ganteng. Ada di antara mereka juga yang sudah menikah malah sudah menjadi ibu yang masih menyusukan bayi mereka. Sesetengah kes ditimbang atau diberi kelonggaran, sesetengah kes lain diadili dengan tegas untuk tidak ada kompromi supaya pengajaran dapat diambil bagi rakyat memandang serius usaha kerajaan tersebut.

Mungkin sudah ramai yang tahu, atau masih ramai juga yang belum tahu. Usaha keluar membaiki diri dan melatih diri dalam pengalaman berdakwah 4 bulan itu, disaring dan ditemuduga dalam mesyuarat markaz bertempat di Masjid Sri Petaling sebagai pusat cawangan di Malaysia. Bapak bapak yang tidak mampu atau mengalami kesulitan keperluan untuk keluarga mereka sama ada akan dibantu dalam sesetengah kes, atau ditangguh keizinan untuk mereka bertolak bermusafir sebelum menyelesaikan keperluan keluarga terlebih dahulu. Ertinya hanya orang-orang yang layak dan mampu untuk bermusafir 4 bulan saja dilepaskan untuk bermusafir. Bukan semua orang senang-senang dilepaskan.

Memang ada kes yang diceritakan, ada beberapa orang tidak faham akan maksud bermusafir 4 bulan untuk belajar dakwah itu, telah cuba menipu keadaan atau situasi diri supaya dapat dibenarkan oleh syura yang bermesyuarat untuk bersama-sama bermusafir 4 bulan. Padahal mereka telah meninggalkan anak isteri tanpa keperluan cukup, terbiar dan terkontang kanting sendirian, akhirnya dipandang masyarakat bahawa usaha jemaah ini adalah usaha tak bertanggungjawab membiarkan anak bini.



NIAT

Sebelum saya mula aktif belajar berdakwah dengan jemaah ini, saya pernah menyebut pada seorang senior saya, "kau tak akan dapat belajar ilmu baru keluar dengan jemaah ini, mereka hanya "burung kakak tua" yang menghafal skrip yang dikutip bukan ditimba". Senior saya yang juga bukanlah aktivis aktif jemaah musafir ini menjawab kata-kata saya itu, "semua amalan bergantung pada niat. Jika niat kau untuk belajar, kau pasti dapat mempelajari sesuatu. Jika niat kau untuk berasa benci, kau pasti dapat benci yang kau idam-idamkan".

Saya terkesan dengan kata-katanya, lalu setiap kali jemaah musafir ini tiba di depan rumah saya, mengetuk tiga kali dan memberi salam, saya pun membuka pintu sambil membuka hati saya sama. Niat saya, jika Allah datangkan manusia untuk beri peringatan pada saya, maka berikanlah diri saya manfaat yang disebutkan Allah dalam alQuran itu. Saya tidak mahu menjadi orang kafir atau orang celaka yang menjauhi peringatan.

Kita akan dapat apa yang kita niatkan. Begitulah ragamnya orang-orang yang terjun dalam jemaah terbuka ini, dengan pelbagai macam niat yang membawa mereka bersama jemaah ini, maka dengan bermacam warna juga jemaah ini disimbah.

Orang bertanya pada saya, "saudara bukan karkun, tetapi kenapa saudara tahu banyak mengenai usaha ini?" Mereka tidak faham. Sikap stereotaip jemaah atau gerakan Islam lain yang segelintirnya meletakkan niat "mahu memperbanyakkan ahli", "mahu menguatkan jemaah", "mahu dapat sokongan undi", "mahu menang dalam pilihanraya", "mahu angkat tuan sheikh atau pemimpin jemaah" merupakan antara niat-niat yang melahirkan simbahan-simbahan warna buat jemaah.

Begitu juga dengan jemaah yang bermusafir ini, mereka dilabelkan dengan "jemaah tabligh" sehingga ahli mereka pun segelintirnya memasang niat "aku ingin buat usaha jemaah tabligh" atau "aku mahu menjadi karkun (gelaran ahli jemaah tabligh", maka apa yang mereka dapat adalah nama jemaah tabligh di dada mereka dan mereka dapat jenama karkun di atas dahi mereka. Padahal bukan itu matlamat usaha ini dimulakan.

Saya cuba aktif bersama jemaah musafir ini bukan atas niat mahu jadi karkun, atau mahu kuatkan pengaruh jemaah tabligh, atau mahu mempromosi jemaah tabligh supaya menjadi popular, atau mahu agung-agungkan Masjid Nizamuddin, atau mahu agung-agungkan kitab Fadail Amal, atau mahu agung-agungkan Maulana Ilyas, Maulana Zakaria, atau Maulana Yusuf mahupun Maulana-maulana yang menjadi amir sekarang, baik Maulana Saad atau Bhai Wahab. Semua itu bukan niat saya.

Niat saya mahu agung-agungkan Allah, mahu belajar bercakap mengenai agama, mahu masukkan kebesaran Allah dalam hati, mahu memperbaiki umat dan persekitarannya, mahu menjalankan tugas khalifah amanah dari Allah, mahu menjalankan kewajipan umat Nabi Muhammad yang merupakan sebaik-baik umat yang diutuskan, mahu menyebarkan Islam, mahu hidayah tercurah-curah melimpah ruah di alam jagat, mahu mempromosi Islam dan seluruh cara hidupnya, mahu melarang mungkar dari berleluasanya dosa dan sebagainya. Banyak lagi niat-niat saya baik mengislah diri, keluarga mahupun masyarakat, negara atau dunia seluruhnya.

JEMAAH

Begitu juga, ketika saya tanyakan seorang karkun veteran dalam Jemaah Masturat (jemaah musafir suami isteri) Malaysia yang datang ke Mosalla kami tahun lepas,akan pendapatnya tentang usaha saya bersama Ustaz Kamaruddin berdakwah bertemu muka dengan remaja belasan tahun yang meneguk arak dan mengamalkan seks bebas di Sungai Petani, beliau mengingatkan saya bahawa berhati-hati jangan ditarik untuk suka pada usaha lain. Usaha lain yang beliau maksudkan adalah usaha Ustaz Kamaruddin yang bukan mengikut tertib dari syura Nizamuddin itu. Ini yang saya maksudkan akan niat tadi. Saya sama sekali tidak akan beriman pada tertib sehingga menafikan usaha yang tak sama dengan tertib mereka adalah usaha yang tak menjemput hidayah Allah.

Beliau menasihati saya supaya tidak menukar kapal dalam berlayar. Kapal yang beliau maksudkan adalah tertib jemaah musafir itu , sedangkan menukar kapal ertinya menukar jalan atau manhaj dakwah atau mengikut proses mahupun tertib yang lain, syura yang lain, mesyuarat yang lain, pimpinan yang lain.

Mereka dalam jemaah dakwah bermusafir ini sebahagiannya bercerita pada saya akan analogi kisah manusia-manusia yang berbuat usaha untuk ke sebuah pulau. Sebahagian manusia itu berenang, sebahagian lagi menaiki perahu kecil yang muat dirinya sendiri sahaja, sebahagian lagi perahu sedikit besar menampung sekelompok kecil kumpulan atau kerabatnya, sebahagian pula membina bahtera yang boleh mengisi lebih ramai orang, dan sebahagian lagi bina terus jambatan siap highway untuk terus ke pulau itu. Beliau membayangkan jambatan atau highway itulah impian dan azam jemaah bermusafir ini, kita menyeberang laut untuk ke pulau atau destinasi tadi, sambil kita siapkan jalan untuk orang lain sama untuk menyeberang.

Saya adalah insan yang punya prinsip dan pegangan. Masuknya saya berusaha bersama jemaah dakwah bermusafir ini, bukan atas niat untuk menjadi ahli mereka, bukan berniat mahu mengikut telunjuk mereka, bukan berniat mahu duduk dikawal hidup oleh mereka, saya masuk dan berusaha atas niat untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan beramal soleh. Itu kriteria yang akan menyelamatkan saya dari menjadi manusia rugi seperti yang disumpah oleh Allah dengan "masa" dalam surah al 'asr yang kita baca dan hafal itu. Ditambah berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran.

MANFAAT

Saya mendapat banyak kesempatan akan amalan-amalan islami tertentu ketika bersama mereka yang saya tidak beroleh kekuatan semasa saya berjuang seorang diri.

Antara perkara yang saya dapat laksanakan adalah meluruskan niat dan mencerahkan matlamat hidup saya. Ketika saya tidak bersama dengan jemaah apa-apa, niat dan matlamat saya kejap lurus cerah, kejap gelap kelam, kejap samar-samar. Namun dalam jemaah bermusafir ini, bukan musafir saja jalan dakwahnya, lebih dari itu adalah memperkasakan istiqamah amalan harian, mingguan, bulanan dan tahunan.Apabila suatu amalan terus diistiqamahkan, maka datanglah ikhlas, datanglah lurus niat, datanglah cerah matlamat.

Hal ini nampak lebih jelas apabila misi mendapat bilik untuk solat yang diputuskan oleh mesyuarat telah buat saya belajar taat mesyuarat, belajar jadi perancang dan strategis, belajar untuk menarik orang dalam usaha dan misi agama, belajar bersabar dan tabah atas nafsu amarah dan rasa letih badan, belajar untuk mmenyampai dan menerima, belajar untuk rendah diri dan berdoa dengan penuh pengharapan dan munajat pada Allah. Pembelajaran dan pengalaman berguna itu tak mampu diraih jika saya berseorang diri hanya mengetik ngetik keybod atau melukis dengan mouse semata-mata.

Allah kurniakan tugas lebih berat, beban yang bertambah selepas selesai satu tugasan. Selesai satu tugasan akan datang tugasan yang lebih besar. Selepas misi mendapat bilik untuk solat di universiti, kemudiannya misi menyewa mosalla, kemudiannya misi mengimarah mosalla dan sekarang sudah peringkat misi membeli tanah dan membina masjid. Dalam 3 tahun mula aktif dengan jemaah ini, saya berkesempatan berjuang untuk islam, menyumbang untuk agama Allah di muka bumi penduduk kuffar Jepun ini.

Walaupun dalam usaha ini, jemaah bermusafir menekankan akan tertib yang diputuskan oleh syura, dalam sesetengah situasi saya melanggarnya, kerana bagi saya tertib itu tak terpakai dalam keadaan dan situasi di tempat saya. Tapi mereka seakan mengerasi saya untuk terus taat dengan tertib dan mereka memberikan amaran bahawa usaha dengan melanggar tertib tidak ada barakah.

Nanti dulu, tertib yang diletakkan itu adakah qatie , mutlak, tidak boleh berubah, atau ia hanya sekadar cadangan metod oleh para alim atau ahli-ahli tua yang bermesyuarat semata-mata. Sebahagian mereka beriman akan tertib itu, sebahagian lagi beranggapan seluruh umat islam tertakluk dengan keputusan mesyuarat di markaz besar mereka. Siapa yang melantik mereka untuk membuat keputusan untuk umat? Adakah syura yang terbina dalam markaz itu benar-benar syura kepimpinan untuk umat, atau syura yang hanya untuk melicinkan metod kursus dan usaha meningkatkan amal dan iman umat semata-mata?

Benar, saya ada mendengar dari beberapa karkun yang bercerita bahawa usaha agama yang dibuat jemaah tabligh adalah satu-satunya usaha yang serupa dengan usaha Nabi. Maka mereka menambah kejayaan hidup manusia di dunia dan akhirat tidak akan tercapai tanpa ikut perintah Allah dengan cara Nabi s.a.w. Maka inilah satu-satunya jalan untuk kita berjaya, kata mereka. Umat yang meninggalkan usaha ini, tidak akan berjaya. Malah mereka juga yakin khalifah akan diberi Allah pada manusia yang terlibat dalam usaha jemaah ini.

Itulah sebahagian warna yang ada dalam jemaah bermusafir ini. Asalnya mereka tidak ada nama atau jenama, kerana niatnya hanya mahu menjadi hamba Allah yang bersyukur, melaksanakan kewajipan dakwah, menyeru manusia kepada Allah, dan meningkatkan iman para mukmin dan amal-amal soleh mereka. Namun, niat itu terpesong dengan niat para manusia yang terjun ke dalamnya. Mereka pasti dapat apa yang mereka niatkan. Jika niat mereka mahu dikenali sebagai karkun, maka mereka dapat karkun. Jika mereka mahu mendapat kekhalifahan, maka mereka dapat kekhalifahan (yang sebenarnya dah diberi Allah pada semua umat beriman). Jika mereka mahu mengagungkan jemaah atau metod atau tertib yang diputus syura mereka ke atas segala jemaah atau metod atau tertib yang lain yang ada dalam umat, maka keagungan jemaah lah yang akan masuk dalam hati mereka.

SUNNAH

Sebab itu apabila mereka memandang jemaah dakwah lain salah atau tak tepat mengikut nabi, tak mampu jemput hidayah, yang terserlah dalam diri mereka adalah iman mereka pada jemaah, yang terserlah adalah kebesaran jemaah. Bukan iman dan kebesaran Allah. Jika mereka beralasan yang mereka agungkan adalah cara Nabi yang kita panggil sebagai sunnah, maka apakah jemaah lain tidak menepati sunnah Nabi? atau tidak langsung ada mengikut sunnah Nabi? Jika jemaah lain juga ada mengikut sunnah Nabi, dan kita agungkan sunnah Nabi, maka rasa suka kita pada jemaah kita, boleh juga kita tumpahkan pada jemaah lain. Dan itulah bermulanya bangunan umat yang kita sebut-sebutkan. Sebahagian umat menjadi dinding, sebahagian umat menjadi tiang, sebahagian umat menjadi atap, apa yang berlaku adalah bangunan umat kukuh mengukuhkan, bukan runtuh meruntuhkan. Nanti apa yang tinggal hanyalah bangunan yang tak siap , terbengkalai dan mulalah orang marah pada pemaju (kitab Allah dan sunnah Nabi).

Hidup ini untuk beribadah. Itu tak dapat disangkal oleh mana-mana mukmin kerana kenyataan itu dibuat sendiri oleh Allah s.w.t dalam alQuran.

Orang berbicara, bila beribadah mestilah mengikut sunnah. Jika tak mengikut sunnah, maka itu bidaah! Soalnya sunnah Nabi ini zahir dan batin. Ada orang persoalkan kayu sugi yang dikatakan sunnah Nabi. Nabi menggunakan kayu sugi, itu tak dapat disangkal. Maka menafikan sunnah Nabi menggunakan kayu sugi adalah dangkal.Orang menggunakan kayu sugi tidak boleh dikatakan bodoh atau tak faham sunnah, mereka lakukan serupa nabi lakukan. Namun, dalam menggunakan kayu sugi itu, kita memahami juga sunnah Nabi adalah membersihkan gigi, maka kita juga tak sangkalkan memberus gigi dengan berus gigi dan ubat gigi itu adalah mengikut sunnah Nabi. Maka, baik orang guna kayu sugi atau berus gigi, kedua-duanya mendapat pahala mengamalkan sunnah.

Begitu juga dengan dakwah. Jika Nabi berdakwah mengetuk rumah memang satu fakta yang tak boleh disangkalkan, maka kita juga tak boleh sangkalkan Nabi berdakwah dengan berhujah dan berdebat dengan kuffar, kita juga tak boleh sangkalkan Nabi berdakwah dengan berucap di padang kerumunan orang, kita juga tak boleh sangkalkan nabi berdakwah dengan berperang! Soalnya zahir perilaku nabi itu sunnah, maksud perilaku nabi juga sunnah. Apa tujuan semua perilaku dakwah Nabi, adalah mahu menyeru manusia untuk taat kepada Allah Yang Maha Esa. Maka kita tak boleh sangkalkan menulis juga menyeru maka ia juga dakwah, membaca sajak juga menyeru maka ia juga dakwah, melukis juga menyeru maka ia juga dakwah. Oleh itu para ulama kontemporari telah menggariskan asal saja seruan-seruan itu tak dibuat dengan cara haram, maka ia adalah dakwah yang pasti ada ganjaran.Kita tak boleh kata menulis blog untuk berdakwah adalah bidaah kerana dalamnya juga ada sunnah iaitu menyeru.

Cuma, bagi para daie yang mahu belajar sifat dakwah nabi, tidak boleh mengambil sebahagian maksud agama saja dalam hidup dan meninggalkan maksud yang lain. Orang-orang munafik mereka solat berjemaah belakang Nabi, tapi bila diseru untuk berjihad di jalan Allah merekalah pemberi-pemberi alasan paling cemerlang. Kita tak mahu bersifat seperti munafik yang memberi alasan-alasan untuk tidak mahu bersusah payah dalam berjuang, dan hanya buat yang kita selesa saja padahal kita mampu lebih dari itu. Jika boleh menjadi muslim baik hanya duduk dalam zon selesa, maka munafik juga patut diiktiraf muslim yang baik, banyak juga sunnah nabi yang mereka buat yang orang zaman sekarang pun tak mampu buat iaitu solat jemaah.Tapi mereka pilih mana yang mereka selesa saja, bila diajak berperang, mereka lari dengan pelbagai alasan.Sifat dakwah nabi kita kena kejar dan siap siaga untuk laksana.

Kita dalam suasana perang sekarang. Walaupun menulis boleh dikira dakwah kerana ada unsur sunnah nabi menyeru manusia kepada Allah, namun adakah wajar kita selesa dengan menulis saja tanpa mengejar sifat dakwah nabi sebenar dalam berkorban harta, masa, tenaga dan jiwa untuk agama Allah. Sifat pengorbanan ini bukan cerita waktu aidiladha saja. Pengorbanan juga jelas terlihat dalam perjuangan kita dalam dakwah dan seluruh hidup kita. Erti hidup pada berkorban.

RAMADHAN

Ramadhan sudah tiba. Setiap amalan kita dalam bulan ini akan digandakan berlipat ganda dari hari-hari biasa di bulan yang lain. Seluruh amalan seharian kita, baik keperluan diri mahupun tuntutan agama, semuanya boleh bertukar menjadi ibadah yang membawa kita pada ganjaran besar dari Allah. Sadaqah kita di bulan ini mulia, pemberian yang kecil atas keikhlasan dari hati adalah amalan besar di sisi Allah. Bukan bermakna kita hanya perlu buat yang kecil-kecil saja, tapi adalah kemampuan sehabis daya. Jika kita orang miskin maka pemberian kecil kita besar. Jika kita orang kaya, tapi hanya nak beri sedikit dan ada tertanam takut kehabisan harta atau bakhil, maka pemberian kecil mahupun besar sedikit dari orang miskin tak akan bermakna.

Bulan Ramadhan ini kita bekejar-kejar nak letakkan maksud agama dalam setiap usaha dalam hidup kita. Kita mahu belajar kerana Allah, bekerja kerana Allah, bernikah kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah, solat tarawih kerana Allah, berjemaah 'isha kerana Allah, mengimarah masjid kerana Allah. Jika maksud agama ini kita tanam dalam bulan ini, lalu buktikan di bulan lain juga kau mampu melakukannya. Jika tidak, bukan orang tabligh yang baca fadail amal itu saja yang kejar fadilat. kalian juga yang hanya pergi masjid di bulan ramadhan, imarah masjid di bulan ramadhan, jaga hati jaga mata jaga perut, juga hanya semata-mata fadilat ramadhan. Beza kalian dengan orang tabligh mungkin, orang tabligh setiap hari mengejar fadilat, kalian pula kejar fadilat hanya bulan ramadhan. Sebab apa? Sebab kalian tak tahu fadilat amalan di bulan lain. Padahal solat jemaah di masjid 27 kali ganda di bulan lain kalian tak kejar-kejar dan hanya selesa solat sendirian saja. Mengapa boleh kejar fadilat di bulan ramadhan tapi tak mahu kejar fadilat di bulan lain? sebab iman saya lemah.

Di bulan mulia ini, Allah telah membuka jalan saya dan kita semua untuk bersadaqah membina masjidNya di bumi non muslim Jepun ini. Kami pelajar-pelajar Toyama yang 80% nya pelajar Malaysia ingin berusaha membina Masjid di sini supaya dakwah terus subur di muka bumi Gofuku Toyama ini. Buat yang berharta yang membaca entri saya ini, tiada ruginya anda menyokong misi kami ini, bukan untuk saya tapi untuk agama Allah. Jika kamu bantu agama Allah, insha Allah, Allah akan membantu kamu.

LAWATI BLOG PROJEK MASJID KAMI: http://toyamamasjid.blogspot.com/


ATAU KLIK BUTANG "DONATE" DI BAWAH UNTUK DERMA MENERUSI PAYPAL:



BOLEH JUGA TOLONG PROMOSI BERKENAAN DERMA INI DI BLOG ATAU WEBSITE ANDA DENGAN CODE DI BAWAH:

8 komentar:

Abu Thurab said...

Assalamualaikum,

Saudara MFR. Saya lihat saudara suka melukis untuk berda'wah.

Saya cadangkan saudara mengkaji hukum lukisan itu sendiri mengikut Al Qur'an dan Al Sunnah, dan rujuk kembali aktiviti melukis anda.

Kalau nak bersama usaha Tabligh, silakan join untuk baiki mereka juga. Silakan kaji cerita-cerita yang mereka bawa. Kalau kita ikut mereka, nak taknak, akan dengar cerita-cerita dan hadis hadis lemah (paling kurang) dari Fadhilat Amal.

Tidak semua yang nampak baik itu baik.

Kaji dahulu.

Assalamualaikum.

Abu Thurab

mfrstudio said...

saya rasa anda adalah pengikut manhaj salaf berikutan anda begitu mengambil berat perihal lemah kuatnya hadis.

bab melukis dan bab fadilat amal telah lumat saya ikuti dan kaji perbincangannya bersama para pendokong tajdid dan salaf di forum al-fikrah.net.

saya persilakan anda berentap dan bertarung di sana dengan hujah anda yang sahih lagi hakiki, kuat, mapan,benar, tepat, baik, sunnah lagi warak, tsiqah jiddan2.

di persilakan masuk perbincangan di sini:
hukum melukis

jemaah tabligh

ni video mengenai maulana zakaria dan kitab fadilat amal oleh ustaz tajdid pendokong sunnah salafi dari al-ahkam.net:
fadilat amal

jadi abu thurab dipersilakan bertempur dengan dahsyatnya di al-fikrah.net dan al-ahkam.net, kedua-duanya adalah laman pro tajdid pro dr asri pro salafi. namun kedua-duanya tidak menafikan jemaah tabligh.

Anonymous said...

Aslm bro,

Ada account bank Malaysia (CIMB or Maybank)?

mfrstudio said...

maafkan saya. saya tidak punya satu pun akaun bank malaysia.

jika tuan berniat untuk menderma menerusi bank malaysia, tuan boleh menghubungi wakil projek masjid kami, Sdr Adnin di emel berikut:
adnin_addin@yahoo.com

Anonymous said...

Z,

brentap untuk sekadar menang di dunia, tidak ke mana, di tambah dengan debat maya, penuh kemushykilan, gharar, was was.

kembali pada fitrahmu wahai saudaraku.

mfrstudio said...

benar sekali anoni.

oleh itu rentapkan dirimu untuk mengkaji sepertimana kamu meminta orang mengkaji.

fitrah manusia itu mencari dan mengkaji, mengalami dan merasa.

sedangkan fitrah mesin itu disumbat dan proses, lalu keluarkan hampasan hingga berkarat segala skru adanya.

untuk makluman para pembaca , al-fikrah.net dan al-ahkam.net itu bukan tempat diskusi debat-debat maya penuh kemusykilan gharar was-was dan segala bagai yang dititip coret oleh anoni di atas.

walaupun ada pendusta-pendusta yang melata di sana, namun tak kurang juga yang boleh menunjukkan sikap dan akhlak ilmu yang fitrah lagi suci murni abadi.

contohnya di al-fikrah.net ada sheikh arradhi yang diakui keilmuan fiqh nya yang selari dengan manhaj salaf, malah beliau juga aktif berdakwah di dunia realiti menemui manusia dan menempah mehnah dan tribulasi dugaan.beliau mesra dengan jemaah tabligh malah pernah ke jepun berdakwah bersama karkun di sini.

rujuk

sheikh ar radhi menyebut:
"Maulana Zakariya ialah salah seorang ulamak hadis yang paling dihormati di benua Hind yang penuh dengan ulamak. Beliau menulis kitab hadis sejak umur 14 tahun lagi. Kitab yang paling hebat dikarang oleh beliau ialah syarah bagi Muwattak Imam Malik.

Yang menjadi masalah dalam kitab Fadail Amal hanyalah kisah2 wali yang dibawa dalam kitab tu bukan untuk dijadikan hujah tetapi hanya untuk contoh kisah yang pernah berlaku atau dikatakan pernah berlaku. Sesiapa yang sudah biasa dengan kitab2 ulamak muktabar sudah terbiasa dengan contoh2 dari cerita2 yang kekadang pelik... Syekh Uthaimin sendiri dalam syarah2nya (antaranya dalam kitab syarah hadis 40 nawawi) ada cerita tentang mimpi yang pada zahirnya pelik tapi hanya dijadikan cerita. Syekh al-albani sendiri selalu bercerita tentang Imam Ibn al-Qayyim dan diri beliau sendiri yang tidak makan apa2 selama berbulan2 tetapi hanya minum air zam2.... dan banyak lagi kisah yang disebut2 oleh ulamak kibar dan muktabar sebagai satu ransangan dan semangat... bukannya sebagai hujah dalam menetapkan hukum.

Harap faham masalah ini."



di sana juga ada tuan sheikh hafiz firdaus tuan pilot yang digelar protaz, dan tak perlu dikenalkan lagi di kalangan pendokong manhaj salaf malizi. beliau berkata dalam thread yang sama,

"Betul. Pendirian maulana terhadap kisah-kisah itu ada di akhir kitab Fadhail Sholat dalam kitab fadhail amal itu.

Dalam Siyar A'lam al-Nubala, az-Zahabi juga ada menukil cerita-cerita yang sukar dipercayai apabila membicara latarbelakang tokoh tertentu. Satu yang saya ingat, seorang tokoh itu dalam perjalanan, lalu keldai/untanya jatuh dan mati. Dia berdoa kepada Allah agar dihidupkan semula sebab dia dalam suasana musafir berseorangan. Maka keldai/unta itu pun tiba-tiba hidup kembali.

Jika kisah ini ada dalam FA (fadail amal), sure kena reject. Tetapi dalam Sirar A'lam, diterima saja."


jadi sebenarnya "berentap" yang saya persilakan ke forum itu bukannya bertumbuk berlawan, berdebat.. tapi rentapkan jiwa dan akalmu untuk mengisi kajian demi kajian yang kau belum sudahkan.

orang yang tak mahu rentapkan tali-tali kedunguan adalah orang yang tidak mahu kembali ke dalam fitrah.

semoga ramadhan ini bawa kita merentap kedunguan kita untuk lebih mengkaji, kaji dan kaji. bukannya suruh orang kaji, tapi kita sendiri dah tertinggal bas beberapa kilometer.

eidul fitr mubarak.

Abu Thurab said...

Tahniah kerana berapa beberapa kilometer dihadapan.

1. Apakah hukum melukis yang dilumatkan itu? Yang pasti, yang dibolehkan hanyalah gambar yang bukan bernyawa. Apakah jawapan anda?

2. Memang buku Sunnah lain pun ada menceritakan mengenai kisah-kisah yang ganjil, akan tetapi tidak diambil pusing.

Kisah dalam FA, diceritakan, diwar-warkan, dan dikagumkan bila diceritakan.

Bukan itu sahaja, kitabnya sarat dengan hadis daif dan ada hadis palsu. Melainkan anda membaca kitab FAyang telah di review.

Saya tidak pernah sebut nama Syaikh Zakaria. Saya lihat isinya. Kalau betul, betul. Kalau salah, apa sibuk nak pertahankan Syaikh Zakaria?

Assalamualaikum.

mfrstudio said...

Abu Thurab,

saya sudah berikan jalan untuk anda berhempas-hempasan dengan ilmu yang anda yakini.

saya bukan orang yang sama manhaj ilmu dengan anda. saya bukan salafi.

saya telah berikan anda 2 contoh individu pengkaji manhaj salaf yang memberikan pendapat mengenai fadail amal, maka dipersilakan anda ke sana. nak buat apa anda menyalak busut, sedangkan anda bukan penghuni busut. menyalaklah bukit, anda adalah pendaki bukit.

begitu juga dengan hal melukis. anda dipersilakan ke sana. nak buat tanya saya yang bukan ilmuwan, anda patut tanya ilmuwan. saya lihat anda tak buat kajian habis pun. lukisan bernyawa itupun menunjukkan anda belum habis kaji.pergilah habis kaji dulu, lepas tu anda boleh ajar saya.

setakat bercakap dengan fatwa bin baz di sini, saya sudah khatam fatwa bin baz mengenai lukisan 5 tahun lalu.pergi berhempas-hempasan di ruang maya salafi yang saya tunjukkan jalannya tadi. lepas tu anda datang sini mengajar saya sebagai ilmuwan.

saya sudi belajar.sekian.