|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH


Tanggal 13 Ogos Ustaz Asri Ibrahim vokalis Rabbani telah menghembuskan nafasnya yang terakhir, maka sibuklah orang bercerita tentang kisah hidupnya, sibuklah bercerita tentang betapa mereka suka dengan nyanyian beliau, sibuklah orang bercerita tentang pengalaman mereka dengan Ustaz Asri, dan naiklah semula nama Nadamurni melebihi nama Rabbani sendiri.

Rabbani juga baru sahaja mengeluarkan album nostalgia Nadamurni yang menghimpunkan lagu-lagu nasyid evergreen yang tak lekang dek zaman itu. Dalam masa yang sama, pihak Hijjaz juga mengeluarkan album yang berkonsep sama dengan nama Lagenda Nadamurni. Mengapa Nadamurni begitu hebat sehingga menjadi lagenda? Saya cuba untuk mencerna hal itu dalam tulisan ini.

Nadamurni adalah suara perjuangan Al Arqam.

Mahu atau tidak untuk mengakuinya, Nadamurni adalah wakil Al Arqam dalam industri muzik.

Perjuangan Asaari yang didokong oleh para pengikutnya cuba untuk menonjolkan Islam itu syumul dan mereka tak sekadar berslogan, dalam Darul Arqam mereka memegang kuat prinsip "kita bekerja untuk menunjuk contoh slogan".

Maka Al Arqam cuba memberikan alternatif dalam banyak lapangan yang mereka percaya boleh diislahkan. Al Arqam ada sekolah sendiri, ada perniagaan sendiri, ada hospital sendiri, ada kampung sendiri,ada pakaian sendiri dan semestinya ada kumpulan muzik sendiri. Apabila disoal, Al Arqam sudah punya sosial dan ekonomi sendiri, maka di mana politiknya?

Itulah politik Asaari. Memberikan jalan-jalan dan cara hidup pada pengikutnya, sehinggalah pengikutnya tidak ada berbelah bahagi lagi, Asaarilah pemimpin agung! Maka politik sebagai kepimpinan berjaya meletakkan kehambaan dan kepatuhan suatu golongan atau kaum pada seseorang selepas seseorang itu memberikan mereka jalan-jalan hidup.

Di mana Asaari belajar politik sebegini?

Rasulullah s.a.w. Ya, Asaari cuba menggunakan kisah perjuangan Rasulullah untuk menjadi gambaran perjuangan Darul Arqam. Bukankah sesudah penduduk Madinah bertemu Rasulullah s.a.w lalu mengakui akan Islam sebagai deen (cara hidup mereka) maka apa yang penduduk Madinah lakukan, mereka angkat Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin.

Benar, aneh tapi benar. Di Mekah, Rasulullah s.a.w telah pun ditawar untuk menjadi pemimpin oleh kafir quraisy sebagai ganjaran untuk Rasulullah s.a.w tinggalkan dakwah. Namun apabila Rasulullah s.a.w tolak permintaan mereka, lalu pengikut Rasulullah s.a.w di kalangan hamba diseksa dan dizalimi, Rasulullah s.a.w sendiri dikenakan tekanan demi tekanan termasuk usaha pemulauan, sekatan ekonomi, demonstrasi mengeji Rasulullah s.a.w, ancaman bunuh dan sebagainya, akhirnya Rasulullah s.a.w diangkat menjadi pemimpin tanpa diminta.

Hal ini menjadi kehairanan buat sekalian orang apabila mereka tidak membaca firman Allah s.w.t dalam surah an Nur ayat 55:



Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.


Asaari percaya akan janji Allah ini, dan minta semua pengikutnya percaya akan janji Allah ini. Asaari selalu menyebut "Daulah sudah hampir", supaya kerja-kerja amal setiap pengikutnya terus berterusan tanpa henti, supaya nanti syarat-syarat yang Allah letakkan dalam janji surah An Nur akan terlaksana.

Namun, Asaari atau mungkin orang belakangnya yang lupa atau terlepas pandang akan isi akhir ayat tersebut.
"Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka."

Usaha-usaha pentaksuban bergiat cergas di era Al Arqam semakin mendapat tempat di hati masyarakat di pertengahan 90-an, dalam kancah politik UMNO-PAS-SEMANGAT 46 yang banyak fokus kepada survival bangsa dan agama itu cuba diselit-selit oleh Jemaah Darul Arqam akan sosok Asaari sebagai alternatif terbaik. Keyakinan Asaari bahawa umat melayu-islam sudah tidak ada pilihan lain selain dirinya membawa kepada "ramalan penyerahan kuasa dari PM kepada Asaari" yang disebut sebagai "Jadual Allah" dalam jemaah Darul Arqam.

Malangnya, jadual Allah memang menetapkan, akhirnya sekiranya orang-orang beriman ingkar untuk terus membesarkan Allah tanpa menyekutukanNya akan menjadikan mereka derhaka, dan semestinya orang derhaka tidak akan mendapat janji Allah yang disebut dalam ayat tersebut. Maka kederhakaan berlaku di zaman akhir riwayat Arqam, seperti yang ditajukkan oleh Ustaz Zabidi pengarah drama Cinta Sempurna dalam buku bestseller nya, "Tersungkur di Pintu Syurga".

Asaari telah dibesar-besarkan, diagung-agungkan dan unsur-unsur kesyirikan sudah membarah dalam jemaah. Darul Arqam tidak berjaya menjadi pewaris bumi untuk orang-orang beriman dan beramal soleh.

Yahudi Zionisme dalam teori politik mereka.

Yahudi Zionisme juga merencanakan hal serupa dalam penguasaan dan penaklukan mereka ke atas dunia. Mereka tak mewujudkan parti-parti Yahudi di negara-negara maju sepertimana banyaknya parti-parti Islam wujud di negara umat Islam. Yahudi juga menawarkan cara hidup untuk berkuasa dalam politik.

Ya, Yahudi juga ada sistem sekolah yang mereka tanamkan untuk diperluas di seluruh dunia, sistem ekonomi untuk dianuti penduduk dunia, sistem politik, sistem pengurusan bandar, sistem hospital, termasuk juga sistem hiburan atau hedonisme dengan pelbagai filem dan lagu itu. Pendek kata , Yahudi menawarkan cara hidup atau 'deen' untuk menguasai politik.

Akhirnya, benar atau tidak, anda tak dapat menafikan , cara hidup yang dicanang oleh Yahudi dan Nasrani menarik umat Muhammad s.a.w ini lari dari cara hidup Islam akhirnya membuatkan politik dunia di tangan mereka yang mereka canangkan sebagai Orde Baru Dunia itu.

Jawapan kepada persoalan cara mendapatkan kuasa politik

Maka, tahulah kita akan jawapan kepada persoalan yang dikemukakan oleh Leokid dalam forum di Iluvislam itu:

"Setahu saya, terdapat satu kaedah fiqh yg menyatakan “Sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan kecuali dengan suatu perbuatan, maka perbuatan itu adalah wajib.”

Contohnya, menutup aurat. Menutup aurat itu wajib. Namun dalam proses menutup aurat tu, kita kena membeli kain. Justeru, hukum membeli kain itu menjadi wajib.

Jadi, adakah boleh jika kita mengatakan perlaksanaan hudud itu wajib, tetapi di Malaysia ia tak dapat disempurnakan kecuali sekiranya pihak perlaksana itu menjadi kerajaan iaitu melalui proses pengundian, maka mengundi juga adalah wajib?

Oleh itu, contohnya mengundi untuk solat. Jika dalam suatu situasi mengatakan tidak boleh solat kecuali setelah mengundi (harap2nya kita tidak berada dalam keadaan camtu lah suatu hari nanti, nauzubillah), maka mengundi pada ketika itu jatuh wajib lah kan? -_-"
" sumber

Maka, persoalan bahawa penguasaan politik hanya boleh didapati SEMATA-MATA dengan menyertai pilihanraya tertolak, apabila strategi penguasaan Yahudi dalam politik dunia bukan dengan mereka menubuhkan parti politik Yahudi, tetapi dengan penguasaan mereka ke atas cara hidup penduduk dunia.

Yahudi mencengkam kehidupan penduduk dunia dari barang makan, barang pakaian, barang rekreasi dan hiburan, barang berita dan informasi hingga kepada barang teknologi komputer dan internet yang sedang digunakan oleh saya dan anda dan anda yang sedang membaca warkah ini juga boleh jadi dikuasai Yahudi di sebaliknya.

Bukti lain untuk menunjukkan kehidupan penduduk dunia sedang dicengkam oleh Yahudi dan Nasrani yang memusuhi Islam adalah apabila diseru usaha boikot barangan Israel. Jika anda mengkaji barang-barang yang dibuat oleh 'negara' Israel memanglah anda hanya akan menemui beberapa barangan saja, dan anda katakan "saya masih boleh hidup dengan memboikot". Namun, jika dikaji segala sistem kehidupan anda , anda belum tentu boleh boikot semua yang ada kaitan dengan Yahudi Nasrani memusuhi Islam itu, ini termasuk sistem perbankan, dan sistem ekonomi dunia yang diketahui umum siapa di sebaliknya. Perniagaan dunia yang dikuasai dollar amerika dan siapakah di sebalik bank pusat yang mengurus wang dollar tersebut? Itu buktinya cara Yahudi berpolitik dengan menguasai dan mencengkam kehidupan anda.

Apa kunci mendapat kuasa dari Allah, apa kunci menjadi pemimpin?


Orang mempersoalkan Jemaah Tabligh tidak habis-habis mempropaganda supaya umat Islam kembali memikirkan akan iman dan amal tanpa memikirkan soal politik. Orang mempersoalkan mengapa India, Pakistan dan Bangladesh yang dikatakan markas-markas utama pergerakan jemaah ini sendiri punya sindrom politik yang tidak sihat.

Pada mulanya saya juga hairan, mengapa hampir majoriti penduduk islam India , Pakistan dan Bangladesh mengenali perjuangan dakwah Jemaah Tabligh masih tidak diberikan janji yang Allah sebut dalam surah An Nur ayat 55 itu? Bukankah propaganda "iman dan amal" jemaah tabligh boleh menjadi kunci dan syarat pemberian kuasa oleh Allah s..w.t untuk dijadikan khalifah-khalifah berkuasa di muka bumi ini?

Maka, hal itu saya tidak lagi hairan apabila khuruj dengan mereka, saya perhatikan ada di kalangan mereka yang tidak serius menggerakkan "cara hidup" Islam itu, atas sebab cengkaman "cara hidup" Yahudi tadi. Minum Coca Cola sebagai minum petang semasa Khuruj atau merokok selepas solat, bukanlah lambang-lambang keseriusan kita ke arah cara hidup Islam.

Mengikat umat pada "iman dan amal" yang hanya terhenti selepas sampai ke masjid juga bukan suatu keseriusan. Benar, iman dan amal adalah kunci untuk mendapat janji Allah dalam surah An Nur ayat 55 tersebut, namun tahukah anda apa yang dibuat oleh sahabat semasa mahu mencapai janji kemenangan Islam ke atas kota Konstantinopel yang disabda Rasulullah s.a.w dalam hadis sahih:

“Pasti benar akan dibuka Konstantinopel! Maka Sesungguhnya sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sesungguhnya sebaik-baik tentera ialah tenteranya. (Hadith Riwayat Imam Ahmad)

Maka jika "iman dan amal" yang menjadi kunci kepada janji Allah untuk memberikan kuasa kepada hamba-hambaNya dalam surah An Nur ayat 55, hadis riwayat Ahmad di atas pula menjadi kunci untuk mempersiapkan diri kita menjadi pemimpin yang terbaik untuk mewarisi kuasa khalifah tadi. Mahu atau tidak, Rasulullah s.a.w memberikan kita klu yang cukup baik kepada persoalan, "bagaimana kita mahu dapatkan kepimpinan dan kekuatan?"

Itu jawapannya, dalam hadis itu ada disebut siapa pemimpin yang sebaik-baik pemimpin dan siapa sebaik-baik tentera. Mengkaji Sultan Muhammad al Fatih tidak boleh dikesampingkan. Ia dipesan oleh Rasulullah s.a.w. Lihat, Sultan Muhammad al Fatih bukan ahlil bayt yang diwajibkan imam ke atas mereka oleh kelompok Syiah, tapi dia tak boleh dinafikan sebagai sebaik-baik pemimpin dan dia bukannya syiah mahupun anti sufi.

Mengapa umat terus tercengkam dengan idea "demokrasi satu-satunya jalan politik yang ada", "sertai pilihanraya satu-satunya jalan mendapat kuasa", "kita terpaksa bersekutu dengan musuh Islam untuk menerangkan Islam" dan pelbagai macam lagi cengkaman-cengkaman idealisme "satu-satunya" itu. Betulkah itu "satu-satunya" tidak ada yang lain? Atau kita yang tidak mengkaji dan malas untuk berfikir akan kunci-kunci kejayaan yang disebut Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w dalam Al Quran dan Hadis. Islam tidak serendah itu hingga terpaksa meminjam atau mengguna semata-mata hasil atau idea orang ,bukan mencetus dan memberikan idea.

2 komentar:

lad said...

Demokrasi adalah salah-satu cara untuk Islam kembali berkuasa pada hari ini. Itu adalah sistem yang diterima pada masa sekarang. Contoh mudah kalau di Palestin Hamas berkuasa di Turkey pulak ada AK-Party. Di Malaysia sudah tentunya PAS yang dibarisi ulama-ulama, profesional dan pelbagai latar belakang.Siapa kita nak menidakkan kredibiliti ulama2 ini?Mereka berjuang siang dan malam untuk Islam. Al-Arqam berjaya dari banyak segi tetapi ketaksuban pengikutnya merosakkan jemaah itu sendiri.Kesimpulannya, PAS adalah wadah yang paling ideal untuk orang2 Islam Malaysia kerana perjuangannya sangat menyeluruh. Mungkin masih ada kelemahan tapi boleh diperbaiki.

Anonymous said...

Satu pandangan yang kritis tentang masalah umat. Beberapa points dalam tulisan itu yang saya tidak pernah terfikir sebelum ini.

Tetapi, saya berharapkan saudara sekurang2nya akan mengakhiri dengan melontarkan idea tentang cara2 yang saudara rasakan akan menghasilkan janji kemenangan Allah itu. Ataupun adakah saudara sendiri masih mancari2 jawapan itu dengan mengajak kami melihat pada Sultan Muhamad Al-Fatih?

Harap dapat berkongsi lebih lanjut padangan saudara dalam hal ini kerana saya rasa ini sesuatu yang openting untuk difikir dan diusahakan.