|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Nasir Bilal Khan dan Danny X Factor dalam Drama Musafir

Bagi manusia yang tak biasa dengan drama Melayu , di kalangan mereka berpendapat drama Melayu tak pernah menyelitkan unsur agama yakni Islam sebagai tema utama cerita sehinggalah muncul dua drama Nur Kasih dan Cinta Sempurna.

Bagi yang sudah biasa dengan drama Melayu, pendapat kaum dan puak itu adalah pendapat kelakar yang kita boleh pijak saja, tak ada kerelevanan langsung. Yang lebih teruk di kalangan mereka menganggap Nur Kasih atau Cinta Sempurna itu adalah titik mula drama Melayu menyelit unsur Islam sebagai tema cerita, maka mereka tak kisah sangat andai aksi pelukan bergesel gomol dalam Nur Kasih , mahupun aksi seksi dengan intonasi suara "stim" macam pelacur dalam Cinta Sempurna, kerana dua drama itu adalah percubaan pertama menyelit unsur islamik dalam drama.

Malah mereka sanggup menontonnya sambil bersahur di bulan Ramadhan untuk mendapat ibrah dan nur suci islam. Saya tak pasti mereka menjemput redha Allah atau murka Allah nanti.

Bagi yang sudah mengikuti perkembangan drama Melayu dan tahu sangat usaha menyelit Islam sebagai tema UTAMA cerita sudah bermula sejak tahun-tahun 90-an lagi, pastilah berharap usaha yang sudah bertatih sekian lama ini, boleh pula berjalan malah berlari di dewasa ini. Boleh lihat beberapa koleksi drama dan teledrama yang menyelit Islam sebagai tema utama cerita yang boleh diakses di Youtube di sini:(http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=20&thread_id=13563&rowstart=0)

Memang sukar untuk ambil drama-drama dakwah itu sebagai drama-drama dakwah yang patut diteladani kerana kebanyakannya ada saja kelemahan di sana sini. Kita harus tidak lari dari apa yang ditekankan oleh Ustaz Zaharuddin berkenaan dengan dakwah tidak boleh dilakukan dan mustahil dibenarkan melalui jalan haram ketika beliau mengulas berkenaan dengan nasyid wanita:

" Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal) Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor" ( Riwyaat Ahmad, 1/387 : Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali sebahagiannya khilaf ; Majma' Az-Zawaid, 10/228 )

Justeru, tidak boleh menggantikan penyanyi wanita seksi itu dengan penyanyi nashid wanita. Kerana kedua-duanya haram buat si lelaki bukan mahramnya.

Jangan pula ada yang mendakwa kononnya ia adalah bentuk dakwah, TIDAK, Allah tidak akan menjadikan dakwah berkesan melalui perkara haram. Tiada siapa boleh mengatakan ia sengaja minum arak kerana ingin mendakwah rakanya bahawa arak itu buruk.

Nabi SAW bersabda :

إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم

Ertinya : "Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara yang diharamkanNya" ( Riwayat Al-Bukhari )

Hadith ini menjelaskan tidak boleh mengambil apa jua yang diharamkan oleh Allah SWT untuk dijadikan ubat, kerana Allah tidak akan menjadikan ubat dalam perkara yang diharamkanNya. ( Tuhfatul Ahwazi , 6/168 )

Namun, dengan terhadnya akses drama-drama Melayu di internet, saya memilih teledrama Musafir untuk direview sebagai contoh skrip terbaik di kalangan drama yang boleh diakses itu.

DRAMA MUSAFIR

Kisahnya berkenaan dengan seorang pemuda yang cuba lari dari masalah kehidupannya, terserempak dengan seorang pakcik yang sedang bermusafir. Dalam perjalanan bermusafir itu, pakcik tadi dengan pemuda itu banyak berdialog, dan kebanyakan dialognya ada fokus pada isi dakwah yang ingin disampaikan. Menariknya, dialog-dialog itu kadangkala mencuit hati malah boleh saja terkesan pada diri penonton yang ada terbuat salah silap dalam hidup seperti pemuda tersebut.

Melihatkan kejayaan penulis skrip menyusun skrip yang fokus kepada isi dakwah disamping bermain dengan kreativiti untuk menonjolkan unsur komedi, maka saya merasakan drama ini terbaik berbanding drama lain yang boleh diakses. Malah mungkin lebih baik dari drama Nur Kasih dan Cinta Sempurna dari segi skripnya, di mana Nur Kasih yang banyak fokus kepada jalan cerita, manakala Cinta Sempurna pula meleret dan tak terfokus malah lembab, lambat, teragak-agak begitu juga banyak sekali dialog tipikal yang dipersembahkan.

Saya persembahkan beberapa dialog terfokus yang dipersembahkan dalam drama Musafir ini.

DIALOG HUDUD

Pemuda: Tok guru tak marah ke saya ambil buah ni tadi?

Pakcik:Mengambil harta orang tanpa izin yang empunya itu adalah mencuri.Mencuri adalah satu kesalahan besar dalam Islam. Tangan kamu itu sepatutnya dipotong.

Pemuda: Tok.. sekarang ini zaman millenium.Kita bukan berada di Arab Saudi.Apa ni nak potong-potong tangan orang ni?

Pakcik: Hukum tetap hukum.Ianya tidak akan berubah sehingga hari kiamat.Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah menyebut Rasulullah s.a.w memotong tangan seseorang yang mencuri harta sebanyak satu per empat dinar ke atasnya.

Pemuda: Betullah hadis tu tok.Tapi saya terdesak.Kalau terdesak, darurat, khinzir pun boleh makan kan?

Pakcik: Ya, bijak.Kamu.. sanggup ke makan khinzir?

Pemuda: (terkedu. dan mula rasa geli terbayangkan khinzir yang kotor)

DIALOG "KENA BUAT KERJA"

Pakcik: Musafir macam pakcik ni tak berapa perlukan duit. Kalau tak ada makanan, pakcik boleh berpuasa.

Pemuda:Macam Tok bolehlah berpuasa, saya tak boleh.Saya ada gastrik.

Pakcik: Kalau kita nakkan makanan,tak susah sangat.Tapi kita kenalah buat kerja.

Pemuda: Kerja apa, tok guru?

Pakcik: Kita minta kebenaran dan persetujuan tuan kedai tu, untuk basuh pinggan sebagai ganti duit makanan.

Pemuda: La.. kita kan musafir.Kita minta halalkanlah makanan kita makan nanti.Lecehlah kalau basuh pinggan.

Pakcik: Kita ni tak bolehlah menipu untuk meraih simpati. Lagipun kita masih sihat untuk menerima sedekah.

Pemuda: Suka hati Toklah. Janji dapat makan.Jom, lapar ni.

Pakcik: Silakan.

(setelah habis makan, mereka pun mula basuh pinggan)

Pemuda: Tok, orang tu dah bagi makan free kenapa Tok tolak? Tok saje je nak dera saya macam ni. Saya bukan biasa buat kerja macam ni.

Pakcik: Yang tak biasa tu akan jadi biasa kalau kita selalu buat, malik.

Pemuda: Maksud Tok, kita kena selalu buat kerja macam ni?Leceh ah. Tok, tak ada upah ke?

Pakcik: Nak upah apa pulak lagi ni?

Pemuda: Ye la, kan kita cuci pinggan mangkuk dia ni?

Pakcik: Yang tu, yang kita makan dekat depan tu, yang itu upahnya.

Pemuda: Kedekut betullah tokey dia ni.At least kasi la dua tiga ringgit ke.

Pakcik: Sudahlah tu Malik.Janganlah nak merungut. Sepatutnya kita kene berterima kasih sebab dia nak juga kita makan sini.

Pemuda: Kalau macam tu Tok buat sendirilah. saya tunggu kat luar.

(selepas itu mereka sambung bermusafir dan tiba di sebuah masjid)

Pakcik: Ini ada rezeki, nanti makanlah ya. (sambil bagi nasi bungkus pada pemuda)

Pemuda: Terima kasih Tok. Mana Tok dapat duit beli makanan ni? Jangan-jangan Tok ambik upah cuci pinggan lagi ek?

Pakcik: Orang kata, kalau kat negara ni ada yang mati kebuluran, maknanya orang itu pemalas. Kita sampai import pekerja asing di negara kita ni. Maknanya banyaklah peluang pekerjaan di negara ni.

Pemuda: Tok ni macam perli saya je ni.. hehe

DIALOG JUDI HARAM

(sebuah motor hampir terlanggar mereka lalu terjatuh di perkarangan masjid. Malik melihat nombor plet motor dan ingat nombornya. Mereka sambung berjalan sehingga tiba di depan kedai tikam nombor)

Pemuda: Tok tok, Tok ada 20 sen tak?

Pakcik: Ada apa lagi kamu ni Malik?

Pemuda: Nak cukupkan seringgit, Malik nak melabur.

Pakcik: Melabur? dengan duit seringgit?

Pemuda: Ya, masa tadi Malik berdoa, Tuhan dah bagi petunjuk. Tok perasan tak tadi, masa motor terbabas tadi? Nombor dia tu! Malik ingat Malik nak beli seringgit kat sana (kedai sports toto) kalau menang, hadiah nombor satu dia RM7 ribu tau. Bolehlah kita pergi melancong.

Pakcik: Astaghfirullah al adzim. Ke situ pulak perginya kamu ni ya. Malik, berjudi ini adalah larangan utama dalam agama kita. Allah berfirman maksudnya jauhilah kamu tujuh perkara yang membahayakan, iaitu minum arak, berjudi, zina, memfitnah, makan harta anak yatim, lari dari medan perang, dan murtad.

Pemuda: Ye la Tok, judi tu haram.Tapi kan, judi ni halal. Dia ada lesen lagi.Jom!

Pakcik: Sudahlah tu Malik.Jangan kamu cuba nak memutarbelitkan fakta agama untuk kepentingan diri kamu tu sendiri. Kalau kamu pergi kat sana tu (kedai judi), ada ditulis: BERJUDI ADALAH HARAM DI SISI AGAMA ISLAM. Tadi kamu kata, kamu ni beragama Islam.

Pemuda:Ye la Tok. Malik minta maaf.Malik tak perasan tadi.

DIALOG SABAR

(Malik cuba menahan kereta di jalanraya untuk menumpangkan mereka)

Pemuda: Tok, Tok pergilah tahan pulak Tok. Panas lah, Tok. Kereta tu bukannya nak berhenti.Nanti dia ingat saya ni macam ape, penyangak pulak.

Pakcik: Buatlah sesuatu kerja tu dengan penuh kesabaran, Malik.InnAllaha ma'assobirin. Sabar tu sebahagian dari iman.Kejap lagi adalah kereta yang berhenti tu, Insha Allah.

Pemuda: Panas Tok, panas tok. Nak sabar macam mana Tok?

Pakcik: Api neraka lagi panas Malik.Ini baru sebahagian dari percikan api neraka.Kamu dah kata panas?

DIALOG MEMBAZIR KETIKA MAKAN

(Malik dan pakcik tu makan di restoran dan pakcik tu melihat banyak sangat makanan yang diorder oleh Malik)

Pakcik: Rasululllah s.a.w menegah kita membazir.Baginda berpesan supaya kita makan ketika lapar dan berhenti sebelum kita kekenyangan.

Pemuda: Habis, kalau tak ada makanan macam mana?

Pakcik: Kita berpuasa.

Pemuda: Tok macam ni, kalau makan kerana lapar saya setuju.Ye la kan, kita kene makan sampai kita kenyang baru kita berhenti. Tak perlu kita makan lagi.

Pakcik: Rasulullah berkata begitu, bertujuan supaya kita tak berasa mengantuk ketika kekenyangan.Nanti bolehlah kita beribadah dengan lebih selesa dan khusyuk.Tak la nanti sakit perut ke, termuntah-muntah ke, dan macam-macam lagi.

Pemuda: Baiklah Tok. Lepas ni saya akan makan sikit-sikit je.Saya akan ikut apa yang Tok cakap.Tok, macam mana kalau tak habis, membazir kan?

Pakcik: Kalau makanan ni tak habis kejap lagi, kita suruh pelayan tu bungkuskan untuk kita. Bolehlah kita makan untuk malam nanti.

Pemuda: Ye tak ye jugak.

DIALOG TAUBAT

(Orang upahan Datuk K baru menyedari Malik adalah anak Datuk itu selepas Malik diculik oleh kongsi gelap berdialog dengan pakcik dalam kereta semasa mengejar mereka)

Orang upahan: Haih! Bodoh betullah aku ni.Macam manalah aku tak boleh terpikir si Malik tu anak orang yang upah aku! Patutlah dia kata jangan cederakan dia.Memang anak dia!Haram!

Pakcik:(dengan suara tenang) Baguslah.. kalau kamu sedar diri kamu tu bodoh.Lain kali sedar kesalahan dan kelemahan diri ni, kemudian bertaubat adalah pahala di sisi Allah.Jangan bila kita dah sedar,masih nak buat salah lagi dan tak mahu bertaubat.

MARI KITA REVOLUSI DRAMA DAN FILEM KITA SEBAGAI CARA TAUBAT

Dialog yang terakhir yang saya letakkan di atas, dihadiahkan pada seluruh pengusaha industri drama dan filem muslim di Malaysia. Teledrama Musafir di atas paling minimum mempersembahkan watak perempuan buka aurat, cuma ada dua tiga babak kecil yang meletakkan pelakon tambahan perempuan tak tutup aurat yang jika ditiadakan pun tak menjejas 98% isi dramanya yang banyak fokus pada watak lelaki sahaja.

Kebodohan yang telah kita sedari bahawa mempersembahkan aksi perempuan buka aurat atau aksi-aksi haram lain yang dimasukkan dalam drama untuk tujuan dakwah, perlulah membawa kita kepada taubat. Ertinya, marilah kita berhenti menonjol-nonjolkan kebodohan diri dengan memasukkan segala aksi dan watak sebegitu. Allah s.w.t memberikan kita panduan dan batas hukum itu bukan digunakan di waktu-waktu yang kita rasa senang sahaja. Kita perlulah menggunakan segala kekuatan akal yang diberi Allah, untuk berkreativiti mempersembahkan karya yang menjaga syarak 100%.

Saya tak faham, apabila agama menegah kita dari menonjolkan wajah Nabi, boleh pula kita berjaga-jaga dalam drama atau filem untuk tidak menonjolkan wajah Nabi. Bijak pula kita menjaga batas syarak, walaupun jika difikirkan oleh pengusaha tipikal drama dan filem tentunya mereka pening kepala bagaimana nak tonjolkan watak yang tidak boleh ditunjukkan wajah, jasad, malah suaranya pun? Tapi jelas, sudah banyak drama dan filem mengisahkan sirah Rasulullah s.a.w tidak satu pun menjadi bodoh dengan menunjukkan wajah Nabi, tapi tetap berjaya menghidupkan watak Rasulullah dalam drama dan filem mereka. Nah, kata kuncinya gunalah kreativiti.

Adakah hari ini anda boleh menerima orang yang berkata,

" logiklah jika pelakon muslimat kita itu tunjuk auratnya, sebab dia berlakon watak muslimat sesat dan jahil"

atau

"logiklah pelakon lelaki dan perempuan muslim bukan mahram kita berpegangan, bersentuhan, dan berpeluk kerana watak mereka itu adalah pasangan bercinta, watak ibubapa dan anak, atau suami dan isteri"

Anda nak panggil apa pada orang yang sebut di atas? Mereka merelakan saudara seislam kita didosakan untuk menjayakan dakwah islam. Apa mereka tak anggap pelakon-pelakon muslim kita manusiakah? Mereka anggap patung permainankah, boleh dipakaikan baju dan ditelanjang sesuka hati? Apa mereka tak ada sekelumit rasa sayangkah pada pelakon kita dan rasa sedih melihat pelakon kita disuruh berlakon seksi dan buka aurat? Semasa lakonan yang menjemput murka Allah terjadi, mereka tak rasa takutkah para pelakon itu berbuat begitu atas idea asal kita, atas skrip kita, atas pengarahan kita, atas terbitan kita?

Mari kita selamatkan pelakon-pelakon kita dari terus diperbodoh dan diperkotak-katikkan oleh mereka yang jahat lagi gila ini. Saya sebut jahat dan gila, kerana mereka sebutkan, "kami perlukan pelakon kita buat aksi haram supaya ia nampak real dan dapat menarik perhatian penonton demi membuahkan rasa mahu pada agama". Apa buktinya mereka sengaja menggunakan tangan mereka untuk mempersembahkan dosa ialah, apabila ada pelakon seksi yang mereka pakaikan tudung dan tutup aurat,dalam drama yang sama juga, mereka membiarkan pelakon seksi lain "menjadi diri sendiri" malah mereka ucapkan terima kasih dan syabas kepada pelakon itu berjaya berbuat haram untuk memberikan santapan jiwa buat orang makan sahur dan berbuka di bulan Ramadhan yang mulia.

Saya mahu sangat nak tahu apa pandangan kalian apabila seorang pendakwah berasa bangga menggunakan seorang muslimat kita yang kurang pengetahuan agama untuk dipersembahkan kejahilannya dengan aksi haram demi menyeru dakwah Islam yang suci murni? Adakah pendakwah itu sayangkan umat ini, atau hanya sayangkan kehebatan dakwahnya saja? Mustahil seorang pendakwah yang sayangkan umat akan mempergunakan kejahilan muslimat kita untuk menjadi suatu karya dakwah.

1 komentar:

Tg Abd Ghafar B Tg Ahmad said...

assalamualaikum w.b.t,
saya amat bersetuju dengan saudara.

ramai yg kata filem cinta sempurna itu best, namun bg saya selepas menontonnya, hati saya kurang senang dengan perwatakan pelakon2nya, sama sahaja macam filem2 biasa diluar sana.

semoga Filem Malaysia dapat diislahkan lagi..