Kita berbicara soal kemerdekaan hari ini, kita mulakan dengan UMNO. Dan apabila kita berbicara soal UMNO, kita berbicara soal penentangan Malayan Union. Sekarang kita perhatikan apakah yang dihajati oleh Malayan Union dan apa pula yang dihajati oleh penentangannya.
Kita mesti faham, Malayan Union hanya usaha memperkemaskan usaha-usaha sebelumnya tahun 1946 itu, yang sudah pun dikenali Tanah Melayu ini sebagai British Malaya. Apa itu British Malaya? British Malaya adalah gabungan penjajahan penuh strategik British ke atas negeri-negeri melayu bersekutu, tidak bersekutu, mahupun negeri-negeri selat yang semuanya merangkumi semenanjung Malaysia.
PENJAJAHAN TANAH MELAYU
Penglibatan British ke arah penguasaan politik tanpa sedar adalah kebanyakannya kerana kelemahan pemikiran politik para sultan mahupun pemerintah melayu sebelum kedatangan British.
Pertamanya, prestij British sebagai negara yang punya kekuatan ketenteraan dalam masa yang sama dahagakan kekayaan ekonomi di bumi nusantara yang terkenal dengan stok-stok rempah ratus yang berkualiti tinggi yang punya pasaran besar di Eropah. Melihatkan prestij British ini, maka kesultanan yang ada percaya British boleh "dibudakkan" untuk menjadi "kuli-kuli" menjaga ketenteraman atau menakutkan musuh-musuh dengan ketenteraan mereka. Maka, peluang-peluang ekonomi ditawarkan buat British sebagai "upah" kepada "khidmat" mereka itu.
Hal ini dapat dilihat dari peritiwa tawaran Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa dengan Francis Light.Namun, pihak British menolak tawaran itu. Situasi menjadi terdesak apabila Sultan Muhammad Jiwa mangkat dan diwarisi oleh Sultan Abdullah Mahrum Shah. Tawaran Sultan Abdullah Mahrum Shah lebih mengiurkan, Pulau Pinang ditawarkan buat British dengan syarat British berikan bantuan ketenteraan. Namun, apa mungkin kita boleh berikan amanah buat kaum penjajah yang ketika itu lagi British sudah menjajah India diketahui umum. Ditawarkan pula tanah negeri kita?
Francis Light menipu dengan bersetuju untuk berikan bantuan ketenteraan lalu menduduki Pulau Pinang. Namun, setelah tahun 1788, tiada satu pun bantuan ketenteraan diterima Kedah, akhirnya barulah diketahui Sultan telah ditipu hidup-hidup. Penentangan yang cuba dilakukan oleh Kedah ke atas Francis Light di Pulau Pinang sia-sia. Ketumbukan tentera Kedah mana mampu melawan British, jika sebelum datangnya British lagi Kedah sudah tahu mereka tak sekuat mana hingga memerlukan bantuan British pula.British memaksa Kedah untuk menyewakan Pulau Pinang pada mereka, lalu menyewa pula Seberang Perai dengan masing-masing dengan harga murah 6000 peso dan 4000 peso.
Kedah hilang Pulau Pinang dan Seberang Perai. Berikutnya, 1821 hingga 1842 Kedah dijajah Siam pula.
Kesultanan Melayu Melaka begitu juga, kaum penjajah Portugis bertempur dengan tentera Melaka hingga tahun 1511 akhirnya Melaka dikuasai penjajah. Kemudiannya Kesultanan Melayu Johor yang mahu membebaskan semula Melaka telah bekerjasama dengan Belanda untuk menewaskan Portugis pada tahun 1641. Belanda menguasai Melaka selepas itu sehinggalah Perjanjian British-Belanda dimeterai, Melaka menjadi tanah jajahan British tahun 1824.
Di Singapura pula bagaimana permainan Stamford Raffles yang memahami konflik politik kesultanan lingga-riau ketika itu menyokong Tengku Hussein menjadi pemerintah tapi menerima gaji pula dari British. Akhirnya Singapura juga menjadi milik British melengkapkan tiga negeri selat mereka: Pulau Pinang-Melaka-Singapura.
Kemudiannya, British menawarkan pula residen-residen di negeri-negeri bersekutu dari terbitnya Perjanjian Pangkor 1874 dengan J.W.W Birch sebagai Residen perak, 1874 Residen di sungai Ujong Negeri Sembilan,1875 J.G Davidson Residen Selangor,dan 1887 Residen di Pahang. semuanya kerana jemputan pemerintah negeri untuk British campurtangan bagi menguatkan kuasa mereka seperti Raja Abdullah-Raja Ismail di Perak, Dato Kelana Sendeng-Dato Bandar Kulop Tunggal di Negeri Sembilan,Raja Mahdi-Tengku Kudin di Selangor, dan Wan Ahmad-Wan Mutahir di Pahang. Seterusnya menjadikan 4 negeri itu Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1895 secara rasmi yang dikuasai British jua adanya dengan sultan melayu menjadi boneka cuma.
POLITIK MELAYU AWAL
Walaupun Jepun datang mengganggu pendudukan British di Tanah Melayu pada era Perang Dunia kedua pada tahun 1941, namun British kembali menapak di tanah melayu selepas itu 1945 walaupun ketika itu British juga berkerjasama dengan ketumbukan tentera melayu dan cina dalam Parti Komunis Malaya untuk mengalahkan Jepun.
Parti Komunis Malaya telah wujud sejak 1930-an, yang dibawa oleh pendatang-pendatang Cina berideologi komunis. Hal ini tak menghairankan, apabila suatu kaum itu percaya kepada satu jalan hidup, pastilah ketika mereka berkelana ke mana jua pun, mereka membawa bersama cara hidup mereka untuk diserapnilai di bumi yang mereka datangi. Parti Komunis Malaya cuma menjadi popular apabila ketumbukan tentera mereka ditawarkan kerjasama oleh British untuk menentang pendudukan Jepun.
Semasa pendudukan Jepun inilah beberapa pejuang idealis melayu muncul.Kita boleh faham bagaimana Mokhtaruddin Lasso lebih memilih jalan gerila komunis MPAJA berbanding menjadi tentera melayu bawah British. Walaupun kedua-dua Komunis dan British cuba untuk membebaskan Tanah Melayu yang diserang Jepun, namun dosa-dosa British ke atas Tanah Melayu tak dapat dilupakan dari liciknya penipuan dan pemaksaan mereka ke atas pemerintah melayu di tanah Melayu hingga buat mereka menjadikan tanah melayu tanah jajahan mereka berabad lamanya dalam lipatan sejarah.
Mokhtaruddin Lasso antara yang mengasaskan parti melayu pertama lebih awal dari penubuhan UMNO, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1945 di Perak sesudah kekalahan Jepun. Beliau menjadi Presiden pertamanya, dan beberapa lagi tokoh melayu yang menganggotai majlis tertingginya adalah Dr Burhanuddin al hilmi,Dahari Ali, Arshad Ashaari, Ahmad Boestamam,Shamsiah Fakeh dan lain-lain.
Ahmad Boestamam dan Dr Burhanuddin al hilmi tak boleh dikatakan punya ideologi yang sama 100% dengan Mokhtaruddin Lasso walaupun mereka berada dalam pimpinan PKMM itu.
Ahmad Boestamam lebih jelas ideologi nasionalisme melayu dalam dirinya. Penglibatannya dalam dunia penulisan dan sastera, malah bergaul pula dengan beberapa tokoh wartawan dan penulis nasionalis seperti Abdul Rahim Kajai, Ibrahim Haji Yaakob, dan Ishak Hj Muhammad.
Siapa pula Abdul Rahim Kajai? Beliau adalah pengarang dan wartawan beberapa majalah dan akhbar penting di Tanah Melayu yang banyak pengaruhnya seperti akhbar al-Ikhwan yang dipimpin oleh Syed Sheikh al Hadi, dan Warta Malaya yang dipimpin oleh Syed Husin al Sagaf. Syed Sheikh al Hadi , kita tahu adalah pejuang melayu yang terinspirasi dengan perjuangan Muhammad Abduh dan Rasyid Redha yang juga dikenali sebagai revolusioner agama (tajdid).
Siapa Ibrahim haji Yaakob? Beliaulah penggerak belia melayu dari bidang perguruan dan menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada tahun 1939 yang menjadi nadi kepada gerakan pemuda yang berteraskan kepada nasionalis melayu.Beliau menjadi Yang dipertua KMM dan bersama beliau juga adalah Onan Hj Siraj, Abdul Karim Rasyid,Othman Abdullah, Hassan Manan, Isa Muhamad, Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Sultan Djenain.
Nama Kesatuan Melayu Muda (KMM) itu diberi oleh Sultan Djenain yang merupakan bekas pemimpin Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menjadi pelarian ke Tanah melayu. Sultan Djenain menjadi penaung kepada KMM setelah ia ditubuhkan. Walaupun KMM yang diasaskan oleh Ibrahim Haji Yaakob ini lebih bersifat nasionalis melayu, namun ideologi komunisme-sosialisme banyak pengaruh dalam idealismenya sendiri. Dengan kata lain, Ibrahim Haji Yaakob adalah peminat , pengkagum dan penyokong idealisme Sukarno di Indonesia yang mengasaskan orde berfalsafah campuran ideologi marxisme,demokrasi dan Islam.Sukarno sendiri didokong kuat oleh PKI di Indonesia.
Walaubagaimanapun warna-warna ideologi dalam KMM tidak menjadi hal berikutan fokus utama mereka adalah kebajikan orang melayu dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Maka tidak hairan Dr Burhanuddin al hilmi yang berlatar belakang agama dan Dato Onn Jaafar yang nasionalis liberalis juga menyertai KMM.
Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako yang rapat dengan Jepun ketika pendudukan mereka (dipanggil Isako San oleh Jepun) bersama-sama dengan Abdul Rahim Kajai bekerja di bawah akhbar tajaan tentera Jepun, Berita Malai. Beliau lebih dilihat pro-Jepun berbanding pro-komunis. Namun idea yang diperjuangkannya sangat menarik, Melayu-Raya gabungan Indonesia-Malaysia-Brunei. Tapi kita boleh fahami, seperti juga Ibrahim Hj Yaakob, idea Melayu-Raya banyak terinspirasi dengan idea Sukarno sendiri, menggabungkan Tanah melayu dan Indonesia menjadi Indonesia Raya.
Dr Burhanuddin al hilmi juga tidak boleh dikesampingkan dari perbicaraan politik melayu awal. Antara beza jelas Dr Burhanuddin dengan Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestamam , Ibrahim Haji Yaakob atau Ishak Muhammad, adalah latar belakang pendidikan awalnya sebelum melibatkan diri dengan politik. Dari Madrasah al Masyor hingga ke Universiti Aligrah India menuntut falsafah dan sastera, juga pengetahuannya mengenai kesufian sejak kecil, kemudian semasa pendudukan Jepun dilantik pula menjadi pegawai hal ehwal Islam,pernah menjadi doktor homeopathy pula, beliau boleh dikatakan seorang ikon melayu-ustaz-profesional-politikus yang awal.
Dato Onn Jaafar antara ahli KMM juga punya peranan besar dalam menyatukan seluruh kekuatan orang melayu ketika pengumuman Malayan Union akan dilangsungkan 1946, seterusnya menubuhkan parti yang kita kenali hari ini sebagai UMNO.
KEMERDEKAAN TANAH MELAYU
Idealisme Dato Onn Jaafar boleh dianggap berbeza dengan ahli KMM lain malah perjuangan PKMM sendiri. Dato Onn Jaafar sememangnya tak dapat dikaitkan dengan idealisme komunis mahupun idealisme nasionalis ala Sukarno, namun pada awal pembabitan beliau dalam menentang Malayan Union beliau masih dianggap wira Melayu.
Filem 1957: Hati Malaya arahan Shuhaimi Baba cuba menonjolkan ada dua idea berbeza antara Dato Onn Jaafar dengan Perdana Menteri Malaysia pertama yang mengumumkan kemerdekaan Tanah melayu, Tunku Abdul Rahman. Kedua-dua mereka, ya, cuba berusaha untuk memerdekakan Tanah Melayu.
Setelah Malayan Union dimansuhkan dan ditukar menjadi Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Dato Onn Jaafar dilantik Menteri Besar Johor oleh British, beliau telah mencadangkan suatu yang tak disangka-sangka oleh orang Melayu dalam UMNO iaitu mencadangkan UMNO dibuka kepada yang bukan melayu. Orang Melayu yang ketika itu tidak rela berasimilasi dengan kaum bukan melayu yang berbeza bahasa, adat resam mahupun agama telah menolak cadangan beliau.
Orang memperkatakan bahawa politik Dato Onn adalah liberal-integrasi-asimilasi-pluralisme. Namun kita harus mengenal apa yang dihajati oleh Dato Onn. Semasa menentang Malayan Union, apa yang dituntut oleh Dato Onn bukannya sebuah kemerdekaan lagi. Beliau anak angkat kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim. Belajar bersama putera raja hingga ke London. Salah satu hasrat Malayan Union adalah mengurangkan kuasa raja seterusnya kedudukan orang melayu. Namun, adakah yang dikisahkan oleh Dato Onn semata-mata kaum melayu? Menjadi anak angkat sultan, tentunya Dato Onn berasa bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan Sultan dan Raja Melayu.
Namun sesudah beberapa tahun Malayan Union dimansuhkan, 1951 Dato Onn mencadangkan UMNo yang berteraskan kepada Melayu diubah menjadi Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu, yang mengasimilasikan bangsa dan kaum di Tanah Melayu ini menjadi satu warga, satu rakyat dan mengurangkan jurang perbezaan. Sedangkan apakah pertentangan yang ada dalam UMNO ketika itu terutama barisan pemudanya, ialah keperluan tuntutan kemerdekaan dengan bangsa Melayu menjadi utama dan tuan di tanah sendiri.
Dalam Filem 1957: Hati Malaya, ditunjukkan betapa Dato Onn dan Sultan Ibrahim tidak bersetuju tuntutan kemerdekaan dibuat lagi, berikutan dua masalah, pertama, rakyat pelbagai bangsa yang masih belum ada titiktemu, kedua, belum yakin pemerintahan yang baik boleh menggantikan British yang lebih stabil. Ketika, seruan "Hidup Melayu" ditukar kepada "Merdeka" dan UMNO dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman, satu resepi berbeza ditawarkan, iaitu kongsi kuasa (UMNO-MCA-MIC).
Untuk berkata bahawa Dato Onn tidak mahukan kemerdekaan, itu tidak betul. Setelah berundur dari jawatan Presiden UMNO, nama parti baru beliau adalah Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Cuma kita tertanya apakah corak bangsa hasil asimilasi bangsa Tanah Melayu yang berbeza itu, kita perlu melihat perjuangan Dato Onn sama. Dato Onn menentang Malayan Union kerana itu menyentuh soal kedaulatan raja melayu dan kedudukan orang melayu, maka Dato Onn pro-raja. Sebelum berundur dari UMNO, apa yang beliau asaskan adalah RIDA yang menjaga kebajikan pembangunan ekonomi orang Melayu yang hari ini dikenali sebagai MARA, menunjukkan beliau peduli nasib orang Melayu. Namun jangan kita lupa, pada 1955 setelah IMP tak mendapat sambutan, parti ketiga beliau tubuhkan adalah Parti Negara. Parti Negara telah cuba menyekat keahlian bukan melayu, untuk dilihat sebagai pro-melayu.
Maka, tidak mustahil apa yang beliau hajatkan ke atas asimilasi kaum di Tanah melayu adalah penerimaan semua kaum untuk berasimilasi dengan budaya dan cara hidup orang melayu serta taat dengan raja Melayu. Hal inilah yang diperjuangkan oleh Sukarno di Indonesia dan memperlihatkan kejayaannya dengan meletakkan kepentingan kebangsaan Indonesia itu melebihi daripada kepentingan untuk wujud tanpa asimilasi dengan identiti etnik dan kaum masing-masing.Sedangkan apakah formula Tunku Abdul Rahman dalam memerdekakan negara? Beliau memberikan pengekalan identiti bangsa masing-masing tanpa ada suruhan berasimilasi, ditawarkan perkongsian kuasa dalam membangun negara ini dengan setiap bangsa menjaga bangsa masing-masing. Maka kewujudan politik perkauman telah memakan diri dengan terjadinya tragedi berdarah 13 Mei 1969 sehingga mendesak Tunku Abdul Rahman berundur seterusnya diganti dengan Tun Abdul Razak.
POLITIK PERKAUMAN ATAU KEBANGSAAN?
Sehingga hari ini, selepas Parti Perikatan (UMNO-MCA-MIC) diubah menjadi Barisan Nasional 1974, apa yang menggerakkan negara kita hari ini adalah politik berteraskan kepada perkauman (gabungan parti-parti kaum) dengan setiap kaum punya wakil dalam pentadbiran, dalam masa yang sama kepimpinan politik terus dikuasai parti melayu-UMNO. Formula Tunku Abdul Rahman nampaknya masih berjaya mengekalkan dua hasrat Dato Onn juga, menyatupadukan kaum dan kaum melayu masih memimpin. Cuma pastilah jika formula Dato Onn dijayakan, krisis percanggahan sensitiviti kaum tidak berulang-ulang. Apa yang Dato Onn cuba jayakan adalah semua kaum menerima untuk mengangkat Raja, bahasa dan budaya melayu menjadi tema kebangsaan, sebelum diberikan kemerdekaan.
Hal yang sama diperjuangkan oleh tokoh PKMM dahulu iaitu menjadikan semua bangsa dipanggil sebagai melayu.
Pecahan dari UMNO seperti parti IMP pimpinan Dato Onn mahupun parti Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh tidak bawa nada lain melainkan masih membawa tema yang sama dengan UMNO, iaitu Melayu menjadi benar-benar tuan dalam politik. Cuma bezanya Dato Onn mahu membangsamelayukan semua penduduk Tanah Melayu, sedangkan Tengku Razaleigh hanya mahu kepimpinan Melayu lebih bersemangat menjaga kepentingan orang melayu yang beliau tak menemuinya dalam diri Tun Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri.
Pecahan seterusnya dari UMNO adalah Parti Keadilan Nasional pimpinan Datuk seri Anwar Ibrahim, isterinya Wan Azizah dan sahabat-sahabatnya yang lain. Menurut Ezam Mohamad Nor yang antara mengasaskan parti itu, walaupun ia dibuka buat semua kaum, terasnya masih Melayu. Oleh itu formula awal Parti Keadilan adalah meletakkan semua kaum dalam satu parti tetapi memperakui kepimpinan teras mestilah orang Melayu. Hal ini didakwa telah berubah selepas Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara dan Parti Keadilan bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia pimpinan Syed Hussin menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada hari ini.
Apakah perjuangan PKR? Formula PKR sedikit lain daripada formula Perikatan pimpinan Tunku yang masih diamalkan oleh Barisan Nasional, mahupun formula IMP pimpinan Dato Onn atau formula AMCJA /PKMM pimpinan Dr Burhanuddin. PKR masih berhajat memperjuangkan hak-hak dalam perlembagaan bagi orang melayu dan orang Islam, dalam masa yang sama cuba untuk mengasimilasi setiap bangsa dan kaum untuk duduk di bawah satu perjuangan rakyat yang dipanggil "Ketuanan Rakyat".
Apa yang membezakannya adalah PKR cuba untuk meletakkan asas demokrasi terbuka yang lebih terang, iaitu tiada lagi mana-mana kaum menjadi dominan, tetapi semua rakyat adalah dominan. Pemberian hak samarata inilah yang menakutkan perjuangan UMNO kerana keyakinan mereka bahawa jika politik terbuka diamalkan tanpa Melayu menjadi teras atau dominan, kebimbangan kepada apa yang mereka pertahankan sejak penentangan Malayan Union akan terjadi, Raja melayu tidak lagi berdaulat, bahasa melayu dipinggirkan, agama islam disamatarafkan dengan agama lain.
Dari suara pemimpin tertinggi PKR, Datuk seri Anwar Ibrahim , hal yang dibimbangi UMNO itu tidak wujud, kerana bagi dirinya secara peribadi, beliau mempertahankan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama islam sebagai agama rasmi persekutuan, komited menjaga anak-anak melayu yang miskin di samping anak-anak kaum lain jua, malah beliau secara terang menyokong hudud untuk menjadi undang-undang syariah Malaysia. Namun, beliau sering menegaskan itu adalah hak peribadinya untuk ada pendirian, namun beliau masih menegaskan perlaksanaan pemerintahannya nanti mengambilkira bukan saja pendirian dirinya tetapi juga ahli pakatan mereka. Soalnya tidak ada satu jaminan jelas pemimpin PKR yang bukan islam atau bukan melayu punya pendirian yang sama dengan Anwar Ibrahim, dan Anwar tidak memaksa itu menjadi pendirian parti.
POLITIK IDEOLOGI DAN FAHAMAN
Bolehlah difahami bahawa selain politik berasaskan perjuangan bangsa sebagai suatu fahaman nasionalisme, terdapat beberapa jenis lagi nasionalisme yang wujud.
Fahaman komunisme dan sosialisme juga antara yang diterima oleh beberapa kelompok politikus melayu sebagai suatu nasionalisme. Mokhtaruddin Lasso cenderung kepada komunisme seperti yang kita bicarakan sebelum ini. Ahmad Boestamam, Ibrahim Hj Yaakob, Ishak Muhammad dan Dr Burhanuddin al hilmi mendokong idea Melayu Raya, juga ditakrif sebagai sosialis nasionalisme atau sosialisme-marhaenisme dengan adanya kemahuan satu bangsa menjadi dominan iaitu Melayu. Apa yang dihajati Dato Onn mungkin sedikit berbeza kerana masih bukan "ketuanan rakyat" ala sosialisme yang diperjuangkan PKMM walaupun beliau masih mahu asimilasi kaum dan dominan melayu. Saya takrifkan politiknya adalah bercorak monarki nasionalisme. Yang masih mahu mendaulat raja tanpa kemahuan republik seperti Sukarno atau PKMM.
Ahmad Boestamam juga menubuhkan parti sendiri setelah dibebaskan pada 1955 yang lebih terang sosialismenya dengan Parti Rakyat Malaya. Bergabung dengan Parti Buruh Malaya , beliau membentuk Socialist-Front yang jelas memperjuangkan ideologi sosialisme. Teman seperjuangannya dalam PKMM, Dr Burhanuddin pula sudah menganggotai PAS dan menjadi Yang di Pertuanya, manakala Dato Onn yang menubuhkan Parti Negara itu juga berjaya ke Parlimen atas kompromi Pas di Terengganu yang memenangkannya.Malah, ideologi berbeza antara mereka tak menghalang mereka menjadi pakatan pembangkang berpengaruh di Parlimen dengan Dr Burhanuddin Helmy (PAS), Dr Zulkifli Ahmad (PAS), Khadijah Sidek (PAS), Ahmad Boestamam (PRM), dan DR Seenivasagam (PPP).
Syed Hussein al Attas antara ikon sosialis melayu penting dalam lipatan sejarah. Berbeza dengan Ahmad Boestamam, Syed Hussein al Attas benar-benar menjulang konsep sosialisme tanpa ada pandang pada melayu atau tidak melayu.Boleh juga diangkat beliau sebagai ilmuwan melayu dalam sosiologi juga sosialisme. Beliau antara pengasas penting Parti Gerakan Rakyat Malaysia di Pulau Pinang pada tahun 1968. Selepas Parti Gerakan menyertai Perikatan pada tahun 1972, beliau mengorak langkah mewujudkan Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas). Walaubagaimanapun Pekemas akhirnya bubar apabila berlaku pembelotan besar-besaran pada tahun 1978.
Kini, Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditubuhkan kembali tahun 1998 masih menunggu kelulusan pendaftarannya menjadi sebuah parti politik yang sah. Walaubagaimanapun kerjasama erat antara Parti Keadilan Nasional , Parti Rakyat Malaysia dengan PSM, banyak memberi ruang untuk calon-calon PSM bertanding dalam pilihanraya. Tidak tertolak lagi unsur sosialisme-marhaenisme yang dulunya ada dalam tokoh-tokoh KMM , PKMM, PRM, Gerakan, Pekemas beralih pula pada PKR. Dasar-dasar yang hampir sama dengan DAP buat kita terfikir gerakan sosialisme melayu masih segar atau subur kembali.
Fahaman racist nasionalisme yang dilihat jelas dalam Barisan nasional, dalam masa yang sama kita juga wajar mengakui ada kemahuan asimilasi kenegaraan seperti dilaung Perdana menteri Najib Tun Abd Razak dengan slogannya "1Malaysia". Namun, suara akar umbi yang masih racist-centric dengan umno-menjaga melayu, mca-menjaga cina, mic-menjaga india, masih dilihat sebagai penghalang kepada teori kenegaraan yang dicitakan.Atau teori kenegaraan sebenar ada pada PKR yang cuba memelihara perlembagaan di samping turut membawa "Ketuanan Rakyat" yang lebih dekat dengan unsur marhaenisme Sukarno dokongan PKMM.
Namun, kita juga tak wajar mendampingkan satu sisi fahaman penting dalam perebutan politik ini iaitu kepentingan fahaman Islam dalam menjadi dasar Parti Islam Se-Malaya (PAS).
ISLAM SEBAGAI PERJUANGAN POLITIK
PAS sering mendakwa parti itu berasal dari parti Hizbul Muslimin ditubuh pada 1947 dan yang diharamkan British dan UMNO pada tahun 1948. Walaubagaimanapun dari segi sejarah, PAS tidak dapat menolak mereka adalah pecahan UMNO pada tahun 1951 iaitu tarikh yang sama krisis idea Dato Onn vs Pemuda UMNO.
Dari tahun 1948 hingga tarikh 1951 iaitu 3 tahun, ke manakah ahli Hizbul Muslimin pergi?
Hizbul Muslimin diasaskan oleh Sheikh Abu Bakar alBaqir, yang sebenarnya sealiran dengan tokoh-tokoh islah lain seperti Sheikh Tahir Jalaluddin dan Sheikh Juned Tola. Namun Sheikh Abu Bakar alBaqir tidak terlalu berkonfrantasi dengan para Syafiiyah yang merupakan majoriti pengelola madrasah dan sekolah pondok di Tanah Melayu ketika itu. Sheikh Abu Bakar alBaqir cuba untuk membawa idea pembaharuan Islam ke dalam setiap cabang politik, ekonomi dan sosial masyarakat. Kelantangannya menuntut kemerdekaan di samping hubungan baik dengan tokoh KMM seperti Ibrahim Hj Yaakob dan Dr Burhanuddin. Hizbul Muslimin atau HAMIM itu akhirnya dikaitkan dengan gerakan lain yang cenderung kepada sosialisme-komunisme, dan Sheikh Abu Bakar alBaqir ditangkap pada Julai 1948 bersama dengan dua lagi pemimpin, Ustaz Abd Rabb at Tamimi dan Ustaz Abdul Rauf Nur. Beliau hanya dibebaskan pada 1952 iaitu setelah PAS ditubuhkan.
Mengapa PAS dikatakan pecahan dari UMNO adalah kerana tokoh-tokoh awal pengasas PAS bukannya di kalangan ahli HAMIM pengikut Sheikh Abu Bakar alBaqir. Walaupun Ustaz Ahmad Badawi antara tokoh agama UMNO adalah anak kepada guru yang pernah mendidik Sheikh Abu Bakar alBaqir iaitu Sheikh Abdullah Fahim, namun Sheikh Abdullah Fahim bersikap berkecuali dalam politik lunak dengan UMNO parti anaknya, walaupun beliau bersama sewaktu HAMIM ditubuhkan. Manakala HAMIM lebih cenderung kepada penubuhan Melayu Raya perjuangan PKMM.
Setelah berlaku krisis halatuju perjuangan UMNO, Ustaz Ahmad Fuad bersama dengan Ustaz Ahmad Maliki, Ustaz Ahmad Badawi, Ustaz Ahmad Ghazali dan lain-lain telah berbincang untuk menyatukan segala tenaga ulama dan guru pondok membentuk suatu persatuan yang akhirnya terhasil PAS. Walaubagaimana pun dipercayai Ustaz Ahmad Badawi tak keluar dari UMNO.Kita tidak menolak kemungkinan muktamar pertama yang diadakan juga telah menarik ramai tokoh HAMIM untuk bergabung sama, namun dilihat kepada ahli pimpinan tertinggi awal yang dikepalai oleh Ustaz Ahmad Fuad sendiri sebagai Yang diPertua membuktikan PAS adalah pecahan golongan agama dalam UMNO.
Ketika krisis idea Dato Onn dengan formula kemerdekaan Tunku Abdul Rahman bertembung, Ustaz Ahmad Fuad memilih untuk bersama Kongres Nasional yang dipimpin oleh parti Dato Onn , IMP. Namun anggota PAS tidak bersetuju untuk bawa PAS bersama dengan IMP, lalu Ustaz Ahmad Fuad keluar parti dan menyertai IMP. Persoalan di sini, apakah yang diharapkan oleh anggota PAS dalam politik Tanah Melayu? Mereka tidak cenderung kepada Tunku Abdul Rahman mahupun IMP, maka di sini ada dua kemungkinan, pertama mungkin mereka sudah ada cita-cita negara Islam yang tersendiri, keduanya mereka cenderung kepada perjuangan HAMIM iaitu menyokong Melayu Raya.
Setelah Ustaz Ahmad Fuad meninggalkan jawatan Yang diPertua,pemangkunya Dr Hj Abbas Hj Ilyas memangku selama 3 tahun sebelum diserahkan kepada Dr Burhanuddin yang sudah meninggalkan PKMM. Walaupun pada awalnya ramai anggota PAS tidak selesa dengan dasar-dasar sosialisme PKMM, namun gandingan Dr Burhanuddin dengan Dr Zulkifli yang juga tokoh islami yang berkarisme sebagai timbalannya telah menghasilkan suara padu PAS dalam parlimen. Namun tahun 1969, Dr Burhanuddin ditahan di bawah ISA bersama dengan ramai lagi tokoh-tokoh yang lantang menentang pembentukan Malaysia 1963.
Ketiadaan Dr Burhanuddin akhirnya diserahkan kepada Datuk Asri Muda untuk mengepalai PAS sehingga tahun 1982. PAS menyertai Barisan Nasional tahun 1973 di bawah pimpinannya.Namun di bawah pimpinannya juga PAS dipecat dari Barisan Nasional.Pada tahun 1982, satu gelombang "kepimpinan ulama" yang dibawa oleh Ketua Dewan Ulama ,TG Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat berkrisis dengan Datuk Asri. Atas sebab itu Datuk Asri yang merupakan Yang dipertua PAS bersama isterinya, Datin Sakinah Joned Ketua Dewan Muslimat meletak jawatan dan keluar PAS.
Pada tahun 1983, Datuk Asri menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia juga dikenali sebagai HAMIM sama seperti parti Sheikh Abu Bakar alBaqir. Percubaan beliau ini dilihat mahu menarik anggota PAS untuk kembali kepada perjuangan asal HAMIM. Namun parti itu tak menggugat PAS sama sekali. Pada 1988, beliau meletak jawatan sebagai Presiden HAMIM dan menyertai UMNO.HAMIM pernah menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada pilihanraya 1990 yang dianggotai juga oleh Semangat 46, PAS, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA).
Namun PAS sejak awal banyak membantu individu pemimpin atau parti yang menentang kerajaan walaupun mereka belum menjamin cita-cita negara islam Pas terhasil, termasuk membantu memenangkan Dato Onn dengan Parti Negaranya di Terengganu, membantu Dr Burhanuddin bekas PKMM mengepalai PAS, membantu Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim menggunakan pentas mereka untuk mengecam kerajaan pada tahun 1969 walaupun kedua-duanya tidak pernah menyertai PAS, menyertai Barisan Nasional 1973, bergabung dengan Semangat 46 dalam APU 1990, bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Nasional dalam Barisan Alternatif 1999, dan terbaru bergabung dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.
Atas sebab itu, beberapa pejuang Islam tidak meyakini kebolehan PAS dalam memperjuangkan negara Islam walaupun semasa bergabung dan berpakat dengan individu popular dan beberapa jenis parti melayu dan islam lain yang membenci kerajaan UMNO-BN, nama PAS menjadi masyhur dan mereka berjaya menambah pengikut. Malah beberapa tokoh NGO dakwah juga cuba untuk menembusi PAS dan menyebarkan ideologi jemaah dakwah masing-masing ke dalam PAS menyebabkan PAS punya warna pengikut yang pelbagai, dari berbeza idealisme, kepada berbeza mazhab dan manhaj,berbeza tarbiyah kepada berbeza usrah, juga berbeza wala' dan bara'.
Pada era kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, ada percubaan memasukkan dasar Islam menjadi dasar utama pentadbiran kerajaan dan UMNO dengan pelancaran "Islam Hadhari" sebagai suatu manhaj politik baru UMNO. Walaupun ramai pihak tidak menjiwai konsep manhaj yang dibawa Abdullah namun, kerana ketaatan mereka pada Presiden parti, konsep tersebut telah bawa beberapa tokoh agama untuk terjun menyokong UMNO untuk bawa wadah Islam.
Mereka termasuk Dato Mashitah Ibrahim, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bekas Imam Masjid Negara Ustaz Firdaus dan beberapa orang lagi. Islam Hadhari itu sendiri menjemput beberapa tokoh dakwah non partisan seperti Ustaz uthman el Muhammady, Dr Sidek Baba, Dr Zulkifli Mohamad alBakri, Dr Syed Ali Tawfik alattas untuk sama-sama merangka manhaj Islam hadhari bagi membentuk modal insan. Sejak peralihan kuasa kepada Najib Tun Abd Razak, UMNO lebih menumpukan pada usaha 1Malaysia walaupun bahagian agama di jabatan perdana menteri masih meneruskan manhaj Islam Hadhari. Menantu kepada Abdullah, Khairy Jamaluddin juga tidak menampakkan ada jiwa untuk mengangkat manhaj bapa mertuanya itu dalam perjuangan politik beliau.
Walaubagaimanapun, Islam Hadhari masih dianggap tiada beza dengan konsep penerapan nilai-nilai Islam dalam usaha islamisasi era Tun Mahathir-Anwar Ibrahim dahulu. Ertinya penerapannya itu hanya sekadar penerapan nilai murni kemanusiaan dan taat setia pada kerajaan dan negara semata-mata, bukanlah konsep kuat dalam penerapan tauhid dan penegakan syariat Allah dalam pemerintahan UMNO, namun, Tun Mahathir telah melakukan satu tindakan asas yang besar dengan mengumumkan Malaysia adalah negara Islam, suatu konsep yang belum pernah dicanang secara rasmi, walaupun Tunku Abd Rahman sudah meletakkan asas Malaysia adalah negeri melayu semasa zamannya, namun kefahaman sekalian komponen BN, Malaysia adalah negara sekular yang punya Islam sebagai agama rasmi.
POLITIK BARU ISLAM?
Pendominasian PAS dalam perjuangan politik Islam di Malaysia masih signifikan walaupun beberapa golongan pejuang Islam memilih untuk memperjuangkan politik Islam dengan pelbagai cara dan jenis yang lain, baik yang ingin mengubah politik dengan berusaha mengubah hati dan cara hidup umat dahulu, diperjuangkan banyak tokoh sufi dan tariqat, tokoh islah dan tajdid, tokoh dakwah dan tarbiyah.Contohnya, ABIM pimpinan Anwar Ibrahim yang pernah popular sebagai peneraju suara lantang Islam dan pemuda belia Islam selepas PAS menyertai BN. Jemaah Darul Arqam juga pernah popular mempelbagaikan aktiviti baik pendidikan, ekonomi,kesihatan mahupun hiburan pernah cuba untuk mengambilalih kerajaan dengan doktrin kesufian tariqat aurad muhammadiah pimpinan Asaari Muhammad.Mahupun Al Maunah dan beberapa lagi kelompok jemaah islamiah yang cuba mengambilalih kerajaan secara bersenjata dan militan.
Kemunculan Hizbut Tahrir dari luar membawa slogan "kembalikan khilafah Islam" adalah salah satu aliran politik islam yang wajar diberi perhatian. Mungkinkah perjuangan Islam secara lokal tidak lagi berbaloi berikutan dunia bergerak ke arah globalisme, dan penembusan perang saraf Illuminati, Freemason dan Zionis dalam Orde Baru Dunia di bawah Amerika dan Israel. Mungkinkah orang Melayu masih mahu berpolitiking berpuluh tahun lagi, walaupun desakan penyatuan umat Islam di kalangan pelbagai bangsa begitu mendesak.
Kajian menunjukkan setiap bangsa di dunia punya kelebihan-kelebihan tersendiri yang dikurniakan Allah, walaupun Islam mampu untuk menyatukan umat Islam yang punya kelebihan pelbagai ini, untuk disatukan kekuatan mereka menjadi satu ketumbukan yang mengerikan musuh-musuh Allah, namun umat Islam memilih untuk menumpukan kepada pertikaian kerusi-kerusi dan jawatan-jawatan dalam negara bangsa. Satu persatu negara umat yang lemah tetapi punya kekayaan tertentu mula ditindas. Atas faktor negara bangsa yang membentuk sempadan politik, umat Islam hari ini hanya boleh menonton satu demi satu saudara mereka disembelih.
Mungkinkah sebenarnya sedang membesar beberapa pejuang muda yang akan mengubah semua ini? Bukan saja politik lokal malah global mereka kuasai, dengan idea baru dan kekuatan yang meyakinkan. Bukan dengan slogan, tetapi dengan iman dan taqwa tertinggi taqarrub mereka pada Allah s.w.t. Allah s.w.t lah pembantu mukmin. Doa mukmin senjata utama. Namun nak jemput bantuan Allah s.w.t dengan apa? Semua orang tertanya-tanya sedangkan segala rahsia sudah maklum di depan mata semua. Wallahua'lam.
0 komentar:
Post a Comment