|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

(saya akan update entri ini jika ada permintaan untuk mendapatkan idea lakonan islami)

semoga dengan sedikit perkongsian ini, tidaklah sakit lagi kepala tuan-tuan pembikin filem atau drama memikirkan idea untuk menjaga syariat Allah dalam filem atau drama tuan. Dan semoga tuan tidak lagi memberi alasan, "tidak ada cara lain lagi, selain melanggar syariat Allah untuk menonjolkan realiti".

SOALAN 1: BAGAIMANA MAHU MENONJOLKAN REALITI SEORANG GADIS YANG SKEPTIK AGAMA PERLAHAN-LAHAN MENDAPAT JAWAPAN AKAN KEBENARAN ISLAM LALU INSAF DAN BERUBAH DARI SEORANG SEKSI MENJADI MUSLIMAH MUKMINAH YANG SOLEHAH?

KEBUNTUAN:
Masalah tuan adalah mewujudkan watak gadis skeptik agama yang seksi dengan kata lain melanggar syariat Allah. Maka jika pelakon muslimah tuan tidak berpakaian sekerat, tidak pakai skirt sambil silang kaki,tidak pakai baju berkemban, maka tuan menghadapi kesukaran menyampaikan imej watak yang tuan idamkan iaitu seorang skeptik agama.

IDEA:
Pertamanya, tuan perlu faham orang yang skeptik agama tidak semestinya seksi. Saya ambil contoh Pengerusi Sister In Islam, Zainah Anwar itu tidak pun berpakaian berkemban, memakai skirt pendek bersilang kaki dan sebagainya, maka kesalahan tuan adalah tuan mengidamkan maksiat untuk dilakukan oleh pelakon tuan, sedangkan realitinya tidak pun begitu.

Namun, rata-rata perempuan-perempuan yang liberal kebaratan memang tidak memakai tudung atau hijab.Mahu atau tidak, jika perempuan jenis ini yang tuan ingin tonjolkan, maka terpaksalah pelakon tuan juga tidak berhijab dan itu pastilah melanggar prinsip lakonan islami yang menjaga syariat 100%.

Sekarang, tuan tanyakan diri tuan, apakah yang utama yang tuan ingin sampaikan, adakah watak itu yang penting atau jawapan-jawapan untuk watak itu yang penting?

Dalam lakonan islami jawapan-jawapan yang tuan ingin angkat itulah yang penting, maka kewujudan watak seksi tidak memberi apa-apa kesan besar pada dakwah, malah merosakkan lagi dakwah. Ini bertepatan dengan fatwa-fatwa para ulama kontemporari yang membenarkan tayangan filem atau drama jika imej-imej yang ditonjolkan bukanlah imej-imej yang haram ditonton. Tidak ada satu ulama yang muktabar pun yang menghalalkan menonton imej haram, apatah lagi di bulan ramadhan yang mulia wajiblah menjaga mata.

Menonton imej haram untuk mendapatkan ibrah atau pengajaran di waktu berbuka puasa, menjelang berpuasa, atau ketika sahur adalah aktiviti sang gila yang telah tersangkut imannya di pintu jamban adanya.

Bagaimana mahu memberikan jawapan-jawapan kepada persoalan "mengapa perlu pakai tudung", "mengapa perlu solat", "mengapa perlu beragama" yang kadang kala diutarakan oleh individu skeptik agama di dunia realiti boleh diterjemahkan secara sinis dengan mewujudkan watak kanak-kanak perempuan.

Mengapa watak kanak-kanak perempuan? Kerana kanak-kanak di dalam dunia realiti juga banyak mengemukakan persoalan demi persoalan. Jika semua soalan-soalan skeptik agama dapat dihamburkan oleh kanak-kanak perempuan yang masih belum wajib berhijab,bertanyakan soalan akan hijab, dapatlah mesej atau jawapan perlu berhijab diangkat oleh watak sang ayah misalnya.Bukan saja, persoalan itu, semua persoalan skeptik agama lain boleh disoal oleh watak kanak-kanak perempuan tadi, seperti isu bela anjing, isu bersentuhan lelaki dan perempuan bukan mahram, malah isu-isu politik juga boleh diselit seperti mengapa umat islam lemah, mengapa umat islam tidak bersatu, mengapa Palestin dibiarkan dan sebagainya.

Dengan watak kanak-kanak perempuan tadi, tuan tidak perlu lagi bersusah payah menelanjangkan pelakon wanita islam dewasa kita kononnya nak beri ibrah dan pengajaran kepada pelakon sendiri atau pada penonton yang kedua-duanya akan terjadi gila, keji, buruk laku, kebodohan dan segala yang teruk bala celaka jua adanya.

SOALAN 2: BAGAIMANA MAHU MELAKONKAN KISAH SILAM SEORANG MUALLAF, SEDANGKAN MUSTAHIL SEBELUM BELIAU MEMELUK ISLAM, BOLEH KITA HIJABKANNYA PADAHAL KITA TAHU NON MUSLIM TIDAK BERHIJAB?

KEBUNTUAN:
Masalah tuan adalah tuan mahu menggambarkan situasi seorang bukan islam dalam filem. Dan pastinya hal tersebut sukar untuk menampilkan pelakon mengikut syariat kerana realiti individu bukan islam memang tak ikut syariat.

IDEA:
Formula bagaimana mahu menampilkan orang bukan islam dalam filem memang sukar walaupun mengambil pelakon bukan islam berlakon, inikan pula mahu menyuruh pelakon muslimah berlakon sebagai muallaf sebelum islam, lebih teruklah kejinya.

Walaubagaimanapun, orang bukan islam boleh ditampil dengan meminimum sehabis baik aurat mereka dari terbuka dengan aksesori-aksesori seperti selendang atau skaf yang biasa dipakai bukan islam di samping kita juga maklum banyak saja fesyen baju, seluar atau kain yang digunakan bukan islam yang boleh menutup aurat mereka. Peranan pergerakan kamera yang bermain dengan sudut juga boleh meminimumkan aurat yang terserlah.

Namun, masalah timbul apabila pelakon itu seorang muallaf, tak akanlah kita mahu menyuruhnya membuka auratnya supaya beliau boleh melakonkan watak sebelum memeluk islam.

Maka berbalik kita pada situasi kes yang kita mahu sampaikan dalam soalan. Kes kita adalah situasi "mengenang kembali kisah silam" atau "flashback", maka watak itu sudahpun islam, lalu bagaimana mahu menampilkan kisah sebelum islam beliau?

Jawapannya menjadi tidak rumit apabila situasi di atas menjadi tujuan. "Flashback" tidak semestinya perlu dilakonkan semula aksi, "flashback" juga boleh dilakukan dengan dialog atau penceritaan semata-mata.

Sebagai contoh, seorang muallaf ingin mengenang atau mengimbau kembali gaya hidupnya yang lepas, beliau boleh diletakkan dalam situasi bercerita. Dengan penggunaan gaya penceritaan yang mengusik jiwa, dialog yang dilontarkan oleh pelakon tersebut boleh buat para penonton berimaginasi sendiri, bagaimana gaya hidupnya sebelum memeluk islam. Tambahan kepada emosi seperti tangis, wajah menyesal, sayu, sedih, marah dan sebagainya ketika bercerita banyak membantu "flashback" gaya dialog ini. Begitu juga sudut pandang kamera yang bermain dengan suasana tempat seperti imej awan bergerak, daun yang jatuh perlahan, rumput yang ditiup angin sambil pelakon sendiri bermain dengan bahasa tubuh seperti menggeletar semasa menyebut perkataan, tangan menggenggam objek, seperti kerusi atau jendela, mahupun kerut-kerut wajah berserta takungan air mata.

Maka tak menjadi persoalan bagaimana mahu melakonkan watak sebelum menjadi islam, kerana lakonan itu dilakonkan sesudah islam dengan dialog penceritaan berserta emosi dan perasaan yang mengusik jiwa.

SOALAN 3: BAGAIMANA MAHU MEMASUKKAN DIALOG YANG MELAWAN TAUHID SEPERTI BERKATA, "GOD DOESN'T EXIST" OLEH SEORANG PELAKON MUSLIM, SEDANGKAN ITU AKAN BUAT BELIAU MURTAD ATAU FASIK KERANA SENGAJA MENIRU KATA-KATA ORANG MURTAD ATAU KUFFAR UNTUK KELIHATAN MURTAD.

KEBUNTUAN:
Masalah tuan adalah tuan terpaksa untuk menonjolkan dialog yang melawan tauhid islam, sedangkan Islam melarang kita bermain-main dengan suatu ungkapan yang boleh menjurus kepada murtad atau kafir.

IDEA:
Jika dialog tersebut setakat mahu ditonjolkan sebagai provokatif pada para penonton tanpa ada jawapan dari dalam lakonan itu sendiri, maka tuan bukanlah penggiat lakonan islami.Hanyasanya tuan mahu memberikan jawapan pada ungkapan provokatif itu maka adegan sebegini boleh diadakan, jika tidak saya tak nampak apa rasional semua ini.

Kemudiannya, jika tuan sudah sediakan watak atau dialog untuk membalas ungkapan tersebut dengan tujuan menjadi jawapan buat para kuffar dan atheist yang tidak beriman pada tauhid kita, maka masalah tuan adalah bagaimana ungkapan itu dapat dihamburkan.

Adalah bersalahan dari syariat apabila tuan meminta pelakon tuan yang beriman, dengan sengaja mahu mengungkapkan ungkapan kafir tersebut. Ini akan merosakkan diri sang pelakon dan usaha ini juga tak akan mendapat redha Allah. Sedangkan matlamat kita mengusahakan lakonan islami ini bagi menjemput keredhaan Allah dalam usaha kita.

Tuan perlulah faham, ungkapan atau dialog tak semestinya perlu atau mesti dihamburkan oleh watak yang hidup. Ungkapan itu boleh diletakkan dalam situasi bertulis, seperti tercetak dalam tulisan akhbar, dalam web, dalam surat, dalam buku yang kemudiannya dibaca oleh watak yang disediakan untuk membalas ungkapan tersebut.

Samada watak yang ingin membalas itu membaca dengan kuat tulisan tersebut, sambil menunjukkan reaksi dirinya tidak redha akan ungkapan tersebut, atau tuan boleh gunakan teknik kamera yang membaca tulisan tersebut dengan perlahan-lahan kamera bergerak menerusi tulisan itu sambil muzik latar menonjolkan betapa kritikal dan dahsyatnya tulisan itu.

Ataupun tuan boleh gunakan kaedah tulisan itu tersembul seperti subtitle di sudut bawah gambar, mahupun boleh juga gandingkan idea di atas kesemuanya dengan menjadi satu dengan kaedah menindih imej tulisan dan imej watak pembaca tulisan tersebut. Maka, tiada keperluan lagi untuk pelakon muslim tuan mengungkapkan dialog yang kafir akan tauhid islam.

bersambung dengan soalan lain..

2 komentar:

Syabab Musafir Kasih said...

aku rasa idea tentang muallaf tu tak perlu lagi pengarah/penulis skrip masukkan. sebab skrip tu agak ketinggalan zaman dan stereotaip dgn drama-drama praIslamik yg pernah ditonjolkan sebelum ni.

kalau nak ditonjolkan dlm bentuk flashback, aku rasa boleh ditonjolkan dalam bentuk seni fotografi yg mana jika nak tunjuk dia seorang muallaf, boleh sahaja shoot bhgn muka dia tengah senyum gembira ( cuma bhgn wajah - bibir ke pipi atau seluruh wajah tanpa menampakkan rambut ), kemudian shoot pula gambar gereja atau kuil sbg menunjukkan sebelum ini beliau bukan Islam..atau lensa bermain dgn tangan yg memegang botol arak tp tidak menunjukkan siapa yg memegang..cuma pose wajah yg menyeringai kegembiraan..mabuk dan sebagainya..ekspresi muka adalah penting dalam kebanyakan kes. atau juga boleh bermain dgn seni fotog lagi dgn menampilkan susuk tubuh org bersembahyang di gereja tetapi secara susuk hitam sbgmana kita dapat lihat seni fotog yg dimainkan pada footage pembukaan cerita nur kasih menunjukkan watak Adam tengah bersolat dlm shoot susuk tubuh hitam tanpa menampakkan wajah..

ok..tu jelah komen aku.

mfrstudio said...

aku tak faham kenapa hal-hal kekreatifan dalam filem yang terbentang luas, aksi perempuan buka aurat juga jadi penyelesaian. adakah silap sekolah filem atau fakulti seni yang tak reti mengajar dan mengasah kekreatifan.

apa-apa pun, idea bermain dengan sudut kamera, pencahayaan, dan idea-idea encik hero di atas memang sering diamalkan dan boleh menjadi idea yang lebih baik dari yang saya utarakan.

apa yang penting, aurat memang boleh dipelihara sepanjang lakonan jika ada kemahuan.bukan suatu perkara mustahil. disebabkan tiada kemahuan dan hati memang redha dan yakin halal tunjuk aurat pelakon dalam filem atau drama dakwah, maka jadilah kelam kabut macam sekarang.

aku tak nampak lain dari masalah iman yang tak yakin islam adalah solusi segala masalah. kes lakonan tak islami ini sama saja kesnya dengan kes tak mahu undang-undang islami, tak mahu sistem politik islami, tak mahu ekonomi islami, dan macam-macam lagi.