|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
sambungan lagi temubual itu..

Alhamdulillah. saya harap apa yang saudara belajar dari pengalaman itu dapat membimbing saudara dari terus berjalan lurus.Saya teruskan soalan saya,ya saudara?

MFR:silakan.

Saudara ada menyebutkan bahawa golongan pertama yang berkonfrantasi dengan idea saudara ialah golongan UMNO.Dan saudara berbicara soal isu songkok-kopiah putih dan isu islam sederhana-islam pelampau.Soalan saya, adakah konfrantasi ahli UMNO berkenaan idea saudara hanya melibatkan dua isu ini sahaja?

MFR:itu hanya isu-isu awal di zaman sekolah.Sebenarnya lebih banyak lagi isu yang membuatkan idea saya tidak selari dengan pandangan ahli UMNO.

Sebagai contoh adalah peristiwa kursus BTN (biro tatanegara) pada tahun 2003,memperlihatkan idea saya ditentang oleh pembentang modul politik di dalam kursus tersebut.

Saya rasa dalam berbicara soal saya dan UMNO,peristiwa pada tahun 2003 itu tidak wajar dilupakan.

saya telah mengemukakan idea kesatuan umat islam,dan pembentang modul itu bersetuju dengan idea itu. Dia tidak menolak bahawa umat islam wajib bersatu.

Kemudiannya saya bertanyakan bagaimana al quran dan sunnah mampu ditegakkan dalam perlembagaan negara. Beliau menjawab,bahawa agak sukar untuk mengubah perlembagaan kerana untuk tujuan meminda perlembagaan,sokongan 2/3 dalam parlimen mestilah diraih dan mendapat kelulusan Yang Dipertuan Agung.Beliau berkata,bahawa untuk menjadikan al quran dan as sunnah sebagai perlembagaan negara adalah hampir mustahil kerana beliau berkata,statistik menunjukkan bangsa melayu-islam hanya kira-kira 50% sahaja dan mungkin kurang.beliau berkata,jika melayu-islam bergabung dengan bumiputera di sabah dan sarawak,hanya 60% atau lebih sedikit sahaja dapat dicapai,namun bumiputera sabah sarawak,majoriti bukan beragama islam.Oleh itu jika umat islam bergabung pun belum tentu boleh mengubah perlembagaan tanpa sokongan orang bukan islam.

Saya yang tidak meneliti kesahihan statistik itu akur dengan jawapan beliau.

Dan kemudian saya mula mengemukakan idea saya.

Jika benar orang melayu-islam adalah lebih kurang 50% sahaja dari bilangan penduduk malaysia seperti yang beliau maklumkan, saya mencadangkan kepada beliau dan kerajaan malaysia untuk mengangkat india-muslim,cina-muslim sebagai sebahagian dari bangsa melayu-islam.Kemudiannya saya mencadangkan menyebarkan dakwah islamiyah wajar menjadi agenda penting UMNO untuk meramaikan lagi penganut islam di bumi malaysia.Dan saya juga mencadangkan supaya badan-badan dakwah diperkasakan oleh UMNO dan kerajaan demi mengembalikan melayu-islam yang telah terpengaruh dengan budaya barat dan jahil agama agar kembali menjadi penganut islam yang teguh akidah dan bersemangat jihad.

Pembentang modul itu berasa tidak selesa dengan cadangan-cadangan saya.Oleh sebab,sesi yang saya gunakan untuk membentangkan cadangan itu merupakan sesi soalan yang singkat sahaja masanya,maka beliau menyindir saya mengatakan bahawa saya cuba untuk memberikan ceramah kepada beliau sesudah beliau berceramah.

Di saat itulah rakan-rakan yang turut berkursus yang rata-rata adalah batch saya dalam rancangan persediaan khas jepun atau RPKJ batch 22, telah menyindir saya dari arah belakang dan mula membuat bising kerana tidak selesa saya mengambil masa untuk mengemukakan cadangan-cadangan tersebut berikutan sesi makan tengahari telah tiba dan semua orang sudah lapar.

Itulah saat saya menyedari betapa generasi muda yang sebaya dengan saya langsung tidak mengendahkan betapa pentingnya perjuangan agama,bangsa dan negara untuk difikir dan dibincangkan secara mendalam. Saya juga lapar ketika itu,tapi adakah perut kita lebih penting dari agama,bangsa dan negara kita.

Tak apalah,kita lupakan soal sikap rakan-rakan saya itu dulu,mari kita dengar apa respon pembentang modul itu ke atas cadangan saya.

Dia berkata soal india muslim dan cina muslim dianggap melayu-islam adalah tak wajar.Beliau berkata,melayu-islam telah ditakrifkan oleh perlembagaan bahawa yang beragama islam,yang berbudaya melayu,dan yang bercakap bahasa melayu. Beliau kemudian membuat kenyataan yang cukup melukakan hati saya,apabila beliau berkata,india-muslim mempunyai perjuangan berbeza dan tak sekepala dengan orang melayu.Tidakkah itu prejudis ke atas saudara seagama kita? saya akur jika perlembagaan tidak mengiktiraf india muslim sebagai melayu-islam,namun al quran telah menggariskan setiap orang beriman itu adalah bersaudara. Inilah beza saya dengan UMNO. Saya tetap berjuang menegakkan kesatuan umat islam yang mengangkat setiap bangsa yang berbeza tetapi mengaku beriman kepada Allah dan Rasulullah sebagai pesuruh Allah adalah sebahagian daripada saya.

Beliau menjawab lagi berkenaan usaha dakwah UMNO dan kerajaan,beliau berkata dakwah tidak pernah diremehkan oleh kerajaan dan kemudian beliau menyebut bagaimana Dr Mahathir sendiri telah menubuhkan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang berperanan menjalankan dakwah supaya umat islam lebih faham islam dan rakyat bukan islam tertarik dengan islam.

Jawapan beliau itu sememangnya tidak dinafikan oleh saya. Saya bersetuju bahawa memang ada jabatan atau badan yang ditubuhkan kerajaan dan UMNO untuk tujuan dakwah,dan betapa ada banyaknya NGO lain sebagai jamaah dakwah.Namun,apa yang saya cadangkan ialah MEMPERKASAKAN INSTITUSI DAKWAH.

saya sedih apabila beliau pembentang modul politik itu tidak memberikan perhatian sangat dengan seriusnya saya membawakan cadangan itu. Saya berharap beliau panjangkan cadangan saya kepada pimpinan UMNO dan kerajaan,tapi apa yang beliau simpulkan ialah,saya beraspirasikan parti pembangkang!

Inilah fikiran dan perangai yang sungguh tidak sihat yang saya dapat lihat ada pada diri pembentang modul ataupun fasilitator BTN.Mereka begitu centric kepada parti politik sehingga nampak dunia perjuangan di malaysia hanya ada dua cabang iaitu perjuangan parti kerajaan dan perjuangan parti pembangkang.Jika pro mereka maka itulah pejuang kerajaan,jika kontra mereka maka itulah pejuang pembangkang. Mereka tidak sedar bahawa di nusantara ini,lebih awal dari perjuangan UMNO dan PAS itu ialah perjuangan para ulama islam iaitu ulama ahlus sunnah wal jamaah di nusantara.Sehingga perjuangan para ulama inilah yang telah menyumbang kepada islamnya parameswara dan gemilangnya kesultanan melayu melaka. Dan perjuangan ulama islam jugalah yang meningkatkan semangat jihad orang melayu menentang penjajah portugis,belanda,inggeris dan jepun.

Jika kalian mahu terus berpolitik,itu hak kalian,tetapi ketahuilah bahawa perjuangan para ulama akan terus menjadi jalan saya berjuang.Saya akui saya bukan ulama,tapi perjuangan ulama adalah perjuangan yang mewarisi perjuangan rasulullah,maka saya tidak akan segan silu untuk mengorbankan diri saya menjadi mujahid yang berjuang bersama-sama ulama bagi menegakkan islam di alam raya ini!

huhu..bermakna,perjuangan saudara boleh dikategorikan sebagai perjuangan ulama ahlus sunnah wal jamaah?

MFR: saya sangat sedih jika disebut begitu. Ini bukan perjuangan saya seorang,tetapi ini ialah jalan perjuangan kita semua! Kita yang mengaku umat islam yang berpegang kepada ahlus sunnah wal jamaah.Saya tengok orang UMNO tak mengaku pula la mazhabi atau syiah,tapi mengaku ahlus sunnah wal jamaah. saya tengok PAS juga tak mengaku juga la mazhabi atau syiah, tapi mengaku ahlus sunnah wal jamaah. UMNO dan PAS boleh disatukan jika kedua-duanya menyedari kembali bahawa jalan mereka adalah ahlus sunnah wal jamaah.Dan inilah perjuangan kita bersama. Saya,orang UMNO,dan orang PAS atau orang-orang yang lain yang sama-sama mengaku ahlus sunnah wal jamaah.

Baiklah baiklah. Boleh saya tahu apa yang berlaku pada saudara selepas saudara mengemukakan cadangan itu? adakah saudara dikecam hebat?

MFR:Pembentang modul itu tidak segan silu dengan cuba mengugut saya bahawa beliau akan maklumkan sikap saya dalam BTN kepada JPA yang menaja pengajian saya untuk ke Jepun.Saya tidak gentar,malah saya terus menyuarakan cadangan untuk mendengar respon beliau.

Di akhir sesi itu,beliau berjumpa dengan saya dan bertanya dari mana saya berasal. Apabila saya mengatakan saya ialah orang Sauk,Kuala Kangsar Perak maka beliau terus berkata,"patutlah keras".

Saya tidak faham,keras saya ini suatu yang burukkah. Padahal saya bukan menentang kerajaan tapi mengemukakan cadangan untuk kerajaan dibangun dan dimantapkan. Cadangan saya sebenarnya mampu bukan sahaja memperkasakan pihak kerajaan malah memperkasakan orang melayu-islam di bumi malaysia. Menjadi hasrat kerajaan juga yang mahu generasi muda mempunyai rasa cinta kepada agama,bangsa dan negara.Malah,kerajaan juga mahu umat islam kembali kepada ajaran islam sebenar seperti banyak disebut dalam ucapan-ucapan Dr Mahathir dan pemimpin UMNO lain. Saya begitu sedih apabila pembentang modul yang mengaku dia adalah penyokong kerajaan langsung tidak meneliti setiap isi ucapan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri,maka sewajarnya beliau patut mengakui beliau telah menjadi pembangkang dalam UMNO. Kembali pada ajaran Islam sebenar tidak lain dan tidak bukan ialah kembali pada jalan al quran dan sunnah dan untuk menuju ke jalan itu dengan selamat maka pegangan ahlus sunnah wal jamaah perlu bersemadi dalam diri setiap insan yang mengaku beriman.

Begitu juga dengan rakan-rakan saya yang lain. Mereka menyertai kursus BTN sekadar mahu melanjutkan pelajaran ke Jepun dan sudah menjadi syarat JPA.Namun,mereka lupa bahawa JPA ditubuhkan dan dibentuk biasiswa JPA itu sendiri untuk anak-anak Melayu kampung seperti saya ini,adalah supaya pengajian kita itu dapat menyumbang kepada agama,bangsa dan negara.Jika isu-isu agama,bangsa dan negara pun tidak diendahkan dan hanya nak fikir perut,maka tidak mustahil generasi muda akan cenderung untuk menjadi golongan materialistik dan kapitalis.Saya sedih betapa tujuan kita belajar inipun sebenarnya sebahagian dari perjuangan islam,tapi sejauh mana generasi muda menyedari jalan perjuangan sebenar? iaitu jalan perjuangan ulama ahlus sunnah wal jamaah?

Mereka ada yang menyindir saya sebagai pejuang parti pembangkang dan penentang kerajaan juga seorang ekstrimis islam.

Jadi,apa bukti saudara bukan pejuang parti pembangkang,penentang kerajaan dan juga bukan ekstrimis islam?

MFR: sebelum ini saya ada menyebut bahawa di zaman sekolah dulu,saya memang tiada masalah dengan ustaz-ustaz saya yang menyokong PAS,juga senior-senior Badar saya yang cenderung kepada PAS.Namun ketika saya memimpin Badar,salah seorang ejen PAS yang menyusup masuk ke sekolah telah mengadakan pertemuan dengan saya dan beberapa sahabat saya dalam Badar.

Ejen itu berpangkat abang lah kiranya,dan saya tak pasti sama ada dia belajar atau sedang bekerja di Telekom di Taiping.Dia menawarkan khidmat bantuan pada saya dalam mengendalikan usrah,dan saya sambut baik tawaran beliau dan saya memang bersangka baik dengan semua parti politik tidak kira UMNO atau PAS.

Kemudiannya saya menyemak sillabus usrah yang beliau serahkan pada saya itu dan meneliti setiap butir bicara beliau tentang kaedah usrah dan matlamat akhir pembentukan pelajar-pelajar di seratas itu.Sillabus usrah itu ialah sillabus usrah PMIUM(persatuan mahasiswa islam universiti malaya) dan saya terus menyatakan sillabus usrah itu tidak praktikal di jalankan di sekolah saya.

Kemudian,saya mengajak beliau bersama-sama dengan seorang lagi teman beliau yang menyusup masuk ke sekolah tanpa pengetahuan pihak sekolah itu (atau boleh dikategorikan menceroboh sekolah) untuk bermuzakarah dengan saya secara tertutup di pusat sumber surau.

Dalam muzakarah itulah saya dapat mengorek kesemua strategi dan plan mereka dan akhirnya saya menasihatkan beliau supaya tidak lagi datang ke sekolah,dan saya secara terang-terangan tidak bersetuju dengan kaedah perjuangan beliau yang menjadi ejen sukarela PAS itu.

Err..boleh cerita sedikit apakah isi muzakarah itu?

MFR:Pada awalnya saya hanya ingin bermuzakarah tentang kaedah usrah yang terbaik yang wajar dijalankan di sekolah.Namun akhirnya saya mendapati matlamat kami berbeza dalam menjalankan usrah.

Saya sememangnya cenderung kepada usrah imam hassan al banna. Dan saya bersetuju bahawa gerakan islam wajar menjalankan usrah agar ahli gerakan dapat bersatu hati dan berjuang dengan semangat ukhuwah dan bergerak secara berjemaah dengan tersusun.

Namun, golongan pelajar yang menjadi kelompok sasaran adalah pelajar-pelajar tingkatan satu yang ada di kalangan mereka yang tidak tahu membaca al quran pun,dan ada yang bersolat pun tunggang langgang. Sebagai senior badan dakwah,saya menganggap tugas Badar adalah membimbing pelajar junior untuk mengenal islam dengan lebih dekat.Supaya ajaran islam menjadi cara hidup pelajar seratas.Itu yang menjadi objektif usrah dalam kepala saya.

Namun,ejen PAS itu lain pula tujuannya. Pelajar-pelajar di sekolah berasrama penuh (SBP)perlu ditanamkan akan pentingnya berjuang dalam islam.Dia percaya bahawa pelajar-pelajar SBP dan maktab rendah sains mara (MRSM) adalah kelompok pelajar-pelajar elit yang bakal menjadi profesional islam. Lalu dia mengatakan pentingnya pelajar-pelajar ini diberikan pendedahan awal tentang menggabungkan diri dalam jemaah islam dengan kemuncak usrah adalah upacara bai'ah.Beliau meneruskan bicaranya bahawa pelajar-pelajar yang telah berbai'ah akan secara otomatik kekal dalam perjuangan islam dengan berjuang dalam kelompok persatuan mahasiswa islam di universiti dan kemudian apabila keluar dari universiti akan menggabungkan diri dengan jemaah islam yang sebenar.

Saya bertanya kepada abang ejen itu, jemaah manakah yang dikatakan jemaah islam sebenar itu? Maka dia yang pada awalnya menganggap saya satu fikrah dengannya terus saja menyebut,jemaah islam sebenar ialah Parti Islam Semalaysia.

saya terus menolak segala bentuk kaedahnya dan tujuannya.Beliau yang terpinga-pinga agak terkejut dengan reaksi saya.Saya berkata kepada beliau,jemaah islam sebenar ialah ahlus sunnah wal jamaah.Lalu barulah beliau tidak dapat menjawab lagi,apabila segala macam plan beliau untuk merekrut pelajar sekolah untuk menjadi ahli PAS secara bai'ah dalam keadaan mereka tidak tahu langsung sejarah politik negara adalah sesuatu yang kejam.

Beliau tidak mengetahui,bahawa sebelum saya masuk ke seratas pada tahun 2001,saya telah mengkaji politik dan memang tahu tikam menikam pakat berpakat dalam politik,dan saya memang menyedari ada kelompok yang berjuang dalam politik bukan dengan pemikiran mendalam ke atas perjuangan ulama ahlus sunnah wal jamaah,tetapi politik mereka adalah politik untuk menang pilihanraya dan menjadi kerajaan.Saya tidak berkata,bahawa mereka adalah semuanya begitu. Saya memang tahu dalam UMNO,ada pejuang yang memperjuangkan jalan ahlus sunnah wal jamaah,dalam PAS juga ada yang berjuang dengan jalan ahlus sunnah wal jamaah.Dan saya fikir kelompok UMNO dan PAS bukan berbeza agama atau mazhab tetapi hanya berbeza pendekatan politik.

Saya juga tidak menafikan ada kelompok sekular dalam UMNO dan kelompok ala-ala khawarij dalam PAS.Menganggap PAS sebagai jemaah islam sebenar seakan-akan menafikan orang islam lain yang tidak menjadi ahli PAS sebagai tidak masuk dalam jemaah islam sebenar walaupun orang itu berpegang kepada pegangan ahlus sunnah wal jamaah.Dan fahaman inilah yang membuatkan pakcik-pakcik kedai kopi begitu mudah membutirkan kalimah kafir pada kelompok yang bukan dari kalangan mereka.Bukan menjadi jalan ahlus sunnah wal jamaah untuk mudah membutirkan orang lain sebagai kafir.

(bersambung lagi)


---------------------

tempat saya selalu menyampaikan tazkirah semasa zaman seratasian.


mentera semerah padi-spider dan m.nasir

0 komentar: