3) POLITIK DAKWAH
Bagaimana Islam didakwahkan, begitulah bagaimana politik dakwah dijalankan.Kata-kata itu telah cukup untuk merungkai pertanyaan penyokong-penyokong politik kepartian kepada saya, tentang apakah itu politik dakwah. Dan betapa dalam dakwah tidak boleh dipisahkan dengan bilhikmah. Maka persoalan hikmah tak hikmah tindakan 'politik' seseorang pemimpin politik itu pula akan muncul untuk didiskusikan.
"Hikmah itu bukan lembut saja," itulah kata-kata pemain-pemain politik membalas apabila saya menegur kaedah mereka berpolitik yang tidak hikmah (mengandungi carut dan marut). Saya pernah bergelumang dengan kajian memikirkan apakah benar hikmah mengasari boleh membangkitkan dakwah islam. Saya telah cuba menerangkan islam dengan cara yang keras, tidak ada satupun yang berjaya. Lalu barulah saya faham, "benar, hikmah itu bukan lembut saja, dan lembut itu bukan lembik saja".
Ramai orang tidak memahami erti berlembut. Tidak hairan jika orang yang sama tidak kenal erti lemah lembut. Adakah lemah lembut bererti berperawakan pondan? betapa sempitnya pemikiran mereka tentang lembut.Benarlah kata-kata guru saya, seseorang yang tidak memahami bahasa tidak dapat merungkapkan jiwa.
Benar, kita mesti tegas dalam setengah hal, dan ini dijelaskan di dalam al quran sendiri bagaimana orang beriman itu berkasih sayang dengan saudaranya dan keras dengan orang kafir. Keras di sini bukannya merusuh. Keras di sini bukannya membakar bendera. Keras di sini bukannya membanjiri jalan-jalan raya hingga situasi menjadi tegang dan rakyat jelata menjadi takut. Islam tidak menakutkan sesiapa. Islam lah mengeluarkan manusia dari ketakutan atas kezaliman. Benar, Islam promosikan takutkan Tuhan, dan itulah kunci bagi melahirkan manusia yang berani di dunia ini. Hanya kerana dirinya cuma takutkan Tuhan, dia tidak akan takutkan manusia lain, tidak takut kegagalan, musibah atau ujian yang menimpa kerana dia tahu Tuhan mahukan dia tabah, kerana dia tahu Tuhan mahu dia sangka baik, kerana dia tahu selagi dia beriman dan mengharap pada kekuatan Tuhan yakni Allah, Allah akan menjaganya.Kerana dia takut Allah murka jika dia alpa,jika dia lemah,jika dia takut selain Allah.
Hikmah tidak membuahkan takut selain kepada Allah. Dan suatu kezaliman jika kita menunjukkan kekerasan dalam menyebarkan agama Allah sehingga orang menyangka agama Allah itu adalah kekerasan dan keganasan. Inilah zalim namanya. Zalim kepada perjuangan Islam.Maka terorisme tertolak dalam melahirkan politik islam. Politik islam tidak memerlukan seorang hitler.
Lalu keras kita kepada orang kafir itu bagaimana? Keras kepada orang kafir ertinya tidak tunduk kepada tekanan orang kafir. Apabila orang kafir meminta kita membuka tudung, maka kita berkeras mahu memakainya.Apabila orang kafir menyuruh menyembah berhala atau dunia, maka kita berkeras hanya tunduk kepada Allah. Apabila orang kafir menawarkan kita pelbagai habuan dan maksiat untuk berlazat-lazat , maka kita berkeras menolaknya kerana mahu menjauhi maksiat dan berlazat-lazat dengan ibadah.Inilah keras kita kepada orang kafir.
Sewaktu perang sekalipun, walaupun kita sedang diperangi dan kita bersiap untuk memerangi semula orang kafir, kita tak boleh membunuh semua orang kafir. Hanya yang menjadi tentera kafir dalam peperangan sahaja boleh dibunuh, sedangkan perempuan, anak-anak kecil, orang tua tidak boleh dibunuh, malah rumah ibadat kafir tidak boleh dimusnahkan atau dirosakkan. Begitu konsep keras kita. Kerana islam yang dibawa rasulullah itu ingin membawa rahmah ke seluruh alam, bukan ingin bawa keganasan yang menakutkan. Islam yang ingin didakwah dan disebarkan ini membaiki kerosakan bukan melakukan kerosakan atas muka bumi. islam masuk ke negara-negara kafir untuk membaiki kerosakan yang dibuat oleh orang kafir, hasilnya keamanan, kebebasan jiwa, dan ketenangan suasana dicapai.
Begitulah bentuk hikmah dakwah islam. Keras itu dipergunakan untuk melembutkan. Keras bukan digunakan untuk menghancur,membenci, bersengketa, atau merosak memusnahkan.
Analogi marah,keras dan tegas yang berhikmah adalah bagaimana seorang ayah mendidik anak-anaknya. Marahnya terkandung sayang. Kerasnya terkandung suatu yang mengharu dan menginsafkan.Tegasnya terkandung disiplin untuk membentuk jiwa anak-anak menjadi lembut dan terbuka menerima hidayah Allah, bukan menutupnya.
Akhirnya hikmah itu menuju kelembutan. Tidak hairan jika orang melayu akhirnya menakrifkan hikmah sebagai berlembut atau berlemah lembut atau akhirnya disebut berhemah. Lemah lembut bukan semestinya perlu ceria ketawa kepondan-pondanan, sememangnya tidak logik dalam usaha tarbiyah bersifat begitu. Apakah logik jika anak kita enggan bersolat lalu si ayah dengan melenggok-lenggokkan bontot,dan berlembik-lembikkan tangan menasihatkan si anak dengan suara yang aww aww ketawa barang sedikit-dikit, tentunya si anak akan termuntah!
Lembut bukan lembik. Lemah lembut bukan bererti lemah tak bermaya. Lemah lembut atau berlembut ertinya usaha tarbiyah yang menyentuh jiwa, terkesan di hati, membuka ruang hati untuk terbuka menerima hidayah, suara yang tinggi jika digunakan di tempat yang sesuai masih boleh diertikan sebagai berlemah lembut. Hikmah adalah usaha yang tegas atas pendirian, keras menolak sebarang kemungkaran, marah yang sayang, lembut yang menyentuh jiwa, yang menggunakan kebijaksanaan menghadapi psikologi golongan yang ditarbiyah. Kerana itu sering diingatkan betapa Rasulullah tidak berdakwah pada golongan berlainan psikologinya dengan cara yang sama. Itulah hikmah Rasulullah. Hikmah paling tepat menerangkan dakwah islam adalah sunnah Rasulullah. Kerana itu majoriti ahli tafsir menafsirkan al hikmah di dalam al quran sebagai pemahaman mendalam akan sunnah Rasulullah, atau diertikan terus sebagai as sunnah.
begitulah bagaimana untuk berkepemimpinan dakwah (politik dakwah) dalam medan politik islam.Usaha menerangkan dakwah yakni ideologi politik islam iaitu ajaran islam itu sendiri perlulah dalam keadaan yang hikmah, perlu dalam keadaan mendidik dan bukan menghukum. Jika dijalankan hukuman, umpamanya hukuman mahkamah dikuasa pemerintah, perlulah juga hukuman yang mendidik,dan bukannya hukuman yang menyeksakan. Ya, hudud potong tangan mahupun rejam sekalipun, konsepnya ketat, kerana bagi memastikan akhirnya tarbiyah akan berjalan sesudah hukuman. Bukan sekadar sebatang tangan semata-mata dipotong tanpa ada apa-apa kesudahan baik sesudahnya itu. begitulah konsep ibadah atas perintah Allah, ia dijalankan dengan syarat-syarat tertentu dan bukan pakaimuat. Sebagaimana solat itu mencegah kemungkaran, bukan sekadar melaksanakan solat tanpa jiwa, tapi solat dimulakan dengan niat. Niat lari maka solat menjadi tidak sah. Ramai orang bersolat tetapi tetap melakukan kemungkaran. Kerana solat dijalankan pakaimuat.Lemah dalam menjalankan ibadah boleh dimaafkan, namun yang tak boleh dimaafkan apabila tiada usaha membaiki dalam setiap ibadah yang dijalankan kelemahan sama berulangkali.
Bolehkah islam tersebar dengan mengutuk dan mengeji ajaran agama lain? Islam melarang kita mengeji ajaran agama lain. Kita boleh menerangkan kelemahan dalam iktikad suatu ajaran dengan syarat kita berhujah secara berlapang dada dan atas persetujuan bersama dialog di antara agamawan berbeza agama. Jika agamawan itu tak bersetuju untuk membangkitkan kelemahan iktikad agamanya, maka kita tak perlu takut islam tak boleh disampaikan. Kerana pakej ajaran islam itu sempurna seperti telah disebut dalam al quran sendiri bahawa islam itu telah disempurnakan Allah dan diredhai menjadi satu-satunya agama buat umat manusia akhir zaman.Islam tetap boleh bermegah dengan kesyumulan dan ketepatan kebenarannya atas ajaran islam itu sendiri.
Jika begitu bentuk dakwah islam, maka apakah pula penyakit politik islam perlu berbentuk berbeza dari teknik dakwah islam? Adakah kita ingin memisahkan antara dakwah islam (ajaran islam) dengan politik islam (perjuangan kepartian)? Pastinya itu sudah termasuk elemen sekularisme dalam perjuangan.
Adakah politik islam wajar dimenangkan dengan mengeji individu-individu yang dianggap musuh politik? Dengan mengatakan si anu itu rasuah, si anu itu pencuri, si anu itu pembunuh, si anu itu penidur, pemaksiat, peminum, dan sebagainya yang semuanya dakwaan yang patut dihantar ke pihak penguasa atau kehakiman, namun dijadikan hujah utama untuk dimenangkan politik islam (walaupun dakwaan kita belum terbukti benar)? Kerana jahil akan perjuangan politik islam, kerana sempitnya politik islam yang dianuti, kerana politik islam telah bercampur unsur sekularisme yang membahagi-bahagikan amalan ajaran agama dengan perjuangan politik, maka hari ini politik islam dihalalkan akhlak buruk, dihalalkan pelbagai kejian untuk mempromosikan politik islam.Pentas politik islam telah dibezakan dengan pentas tarbiyah dakwah islam . Politik islam yang ditakrif sebagai kepemimpinan islam tidak boleh berpisah dari elemen politik dakwah. Kerana kesyumulan islam itu bukan tersekat atau terhad kepada isu rasuah, isu altantuya, isu pengundi hantu, isu baling botol, isu entah apa lagi. Tapi lebih dari itu politik islam yang punya elemen politik dakwah lebih banyak mempromosikan islam itu sendiri. Mempromosi pakejnya yang syumul,indah,maju,dan betapa islam boleh memerintah, islam boleh menjadi cara hidup, islam boleh membahagi ekonomi secara adil, islam boleh memberi tempat kemuliaan buat siapa saja tidak kira apa keturunan, kerana mulia di sisi Allah hanya taqwa. Keimanan dan ketaqwaan merupakan dasar pertama yang patut dipromosikan oleh politik islam yang punya elemen politik dakwah.
Dakwah islam membawa pada awalnya adalah keimanan, dan puncak cita-citanya adalah ketaqwaan. Begitulah politik islam harus bawa. Betapa manifesto politik islam, projek-projek politik islam yang ditawarkan, betapa idea-idea mahupun dasar-dasar negara yang ingin dibentangkan oleh politik islam adalah akhirnya memperkenalkan keimanan kepada Allah, dan membawa ketaqwaan menjadi cita-cita yang dikejar.
itulah yang wajar kedengaran dari mulut politik islam untuk dipromosikan jika diberikan pentas buat mereka untuk berkempen. Politik islam bukan meminta-minta diangkat mana-mana pihak menjadi pemimpin, akan tetapi mendidik rakyat yang dikempen supaya menjadi pemimpin-pemimpin yang ditanam idea keimanan dan cita-cita ketaqwaan. Bukannya mendidik pendengar-pendengar ceramah politik islam, menjadi pengumpat,pencela, pengejek, mempersenda-senda atau merendah-rendahkan golongan sauadara islam lain.Dahulu, Rasulullah dicaci ketika berkempen islam di tengah-tengah masyarakat mekah, hari ini pemain-pemain politik islam mencaci untuk meminta masyarakat mengangkat islam menjadi pemimpin.
Ramainya umat islam hari ini, bukan kerana telah didakwah oleh pendakwah islam dengan cara mengeji individu agama lain supaya manusia bersimpati dengan Rasulullah lalu mereka menjadi penganut islam. Akan tetapi pendakwah menerangkan kebenaran islam hingga setiap hati-hati manusia terbuka melihat betapa syumul dan tepatnya kebenaran yang dibawa oleh islam. Dakwah islam tak bergantung pada buruknya perangai paderi kristian, atau keganasan rabai yahudi, akan tetapi betapa indahnya tauhid,kepimpinan,akhlak dan cara hidup yang diperkenalkan Rasulullah s.a.w.
baca juga:
Pedagang Dari Venice (1) oleh Tawel sensei
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 komentar:
akhirnya ke kuburan juga kita ni..wallahua'lam
cis.. siri artikel tak abes lagi ko dh bgtau kesudahannya..tak saspen la haha.. ya.. innalillah wa inna ilaihi rojiun...
itulah jawapan bagi soklan "ke manakah akhirnya politik kita?"
Post a Comment