Politik Penyatuan digagalkan
Ketika saya berada dihujung tahun di sekolah menengah di Taiping iaitu sebuah sekolah berasrama penuh, saya sekali lagi menerima jawatan pemimpin. Kali ini ia dalam bentuk pakej yang berbeza. Menjadi ketua badan dakwah sebuah sekolah berasrama penuh tanggungjawabnya lebih berat dari menjadi ketua murid kanak-kanak 5 tahun sebelum itu. Namun syukur, jawatan itu saya terima bukan dalam keadaan tanpa apa-apa asas,kerana ketika itu saya sudah punya cita-cita, jalan berfikir, dan prinsip diri yang dijana oleh Tengku Asmadi dalam 3 tahun sebelum itu.
Saya cuba memimpin dalam keadaan penuh perjuangan. Tahu matlamat, tahu objektif, namun sudah fitrah orang muda, kurang pengalaman, ada saja cacat cela di mana-mana. Tidak hairan orang tidak suka akan saya. Benci akan cara saya. Mungkin niat dan matlamatnya baik, namun caranya salah. Begitulah banyak respon yang saya terima. Hikmah.. itulah jalan yang diimpikan saya untuk membaiki keseluruhan perjuangan. Hikmah adalah jalan memahami, jalan yang adil, yang kena pada tempatnya, bila dibuat orang menjadi selesa, orang menyokong dan matlamat tercapai. Itulah jalan hikmah dalam perjuangan yang saya fahami. Benar, hikmah bukan diberi Allah buat semua orang. Sebagaimana hidayah, hikmah juga terpilih. Terpilih pada yang hanya sabar, istiqamah dan berdoa penuh pengharapan sahaja.
Apa yang ada dalam kotak fikiran saya pada awal menerima jawatan ketua dalam badan dakwah itu, adalah perlunya saya bertindak laksana seorang ulama. Perlu yakin dalam menghukum. Maka saya pilih untuk khatam kitab fiqh sayid sabiq. Di situ, saya berkeyakinan untuk menyatakan yang mana satu jalan yang tepat menurut sunnah, kerana saya yakin segalanya ada dalil, ada hadis menyokong. Dalam tidak sedar saya telah bertindak, menjadikan diri mujtahid dalam keadaan diri penuh jahil dengan disiplin ilmu dan selok belok hukum.
Dalam suatu keadaan saya shadid menyatakan haram dan bidaah. Pernah suatu ketika, saya beranggapan sesiapa yang tidak bersama-sama dengan jemaah pertama di surau dalam solat, maka mereka umpama musuh dan munafik yang sengaja ingkar pada kesatuan. Saya berpesan dengan keras, mengenakan pelbagai gelaran buat sesiapa yang tidak berusaha bersama-sama solat berjemaah dalam jemaah yang pertama. Apabila saya lihat ada junior-junior yang bertindak menubuhkan jemaah solat yang kedua maka saya merasakan mereka sengaja untuk tidak bersama kesatuan yang telah disepakati.
Bacaan alma'thurat yang dibaca secara berkumpulan telah saya bidaahkan. Saya sebut, perbuatan ini tidak ada dalam sunnah rasulullah. Membentuk halaqah dan membaca beramai-ramai al ma'thurat. Begitu juga dengan yasin setiap malam jumaat, saya telah memandang usaha bacaan yasin cuma iktikad yang salah, sehingga buat orang lain merasakan wajib membaca yasin. Ada juga saya ingin cadangkan malam jumaat itu dibaca surah yang lain, ustaz yang di sekolah juga tak melarang jika saya nak laksanakan. Namun, saya terfikir kembali, jika saya laksanakan satu majlis bacaan surah lain, pun tidak punya dalil dan mengikut sunnah Rasulullah. Bukankah saya akan mencipta bidaah baru selepas yasin.
Saya menjadi keliru. Walaupun hakikatnya saya telah bergelumang dengan jalan fikir 'salafi' sebelum saya kenal ada gerakan 'salafi' yang telah lama bergerak dan menjadi popular sewaktu ini. saya mula membongkar kitab-kitab karangan imam al ghazali. Cuma layak membaca terjemahan atas sebab saya langsung tiada asas bahasa arab. Saya mula tersentuh dan mula terfikir tentang jiwa dan erti hidup. Imam al ghazali merupakan ulama merupakan tokoh yang begitu mendalam pemahamannya mengenai hidup dan perjuangannya yang sebenar. Manusia sering membuang masa sibuk dalam matlamat yang tidak kekal. Untuk menang dalam debat, untuk menang dalam kemegahan. Beberapa tempoh akhir saya di sekolah itu, saya mula ingin menjadi zuhud sezuhud imam al ghazali. Saya mula tersentuh ketabahan imam hassan al banna dalam melaksanakan dakwah dan tarbiyah jiwa. Islah hati dan iman itu yang menjadi teras. Saya juga mahu uzlah, mahu berkelana seperti imam al ghazali. Itu hasrat saya apabila tamat SPM nanti.
Seperti sewaktu UPSR, keputusan SPM juga saya gagal mendapat straight A's dan cuma sipi-sipi sahaja. Namun, keputusan itu tak lagi dipandang gagal olah ayah saya. Mungkin situasinya sudah berbeza. Sewaktu menjelang UPSR ayah saya bercanang-canang dengan yakin bahawa saya akan berjaya mendapat straight A's, namun akhirnya hampa kerana saya gagal. Akan tetapi, menjelang SPM pula ayah saya sudah bercanang-canang, keputusan SPM saya akan teruk kecundang,maka keputusan sipi-sipi itu sudah cukup baik membuktikan saya tidak kecundang.
Zaman menunggu keputusan SPM merupakan zaman yang amat mencabar. Zaman itu saya mula memahami bukan sahaja politik samseng yang disertai oleh kaki carut dan marut sahaja pencetus sengketa dan pengotor medan politik, namun politik akhlak juga perlu menuju politik penyatuan, dan elemen menggagalkan politik penyatuan adalah apabila tafsiran agama disertai oleh nafsu kemegahan.
Di pihak UMNO, ada segelintir yakni pemain politik utama UMNO, cuba bertindak menafsirkan perjuangan agama mereka sebagai yang terbaik dan megah. Ini mendorong mereka memandang para mufti, ahli agama, dan ulama-ulama pondok sebagai individu-individu kolot agama. Mereka merasakan tafsiran agama mereka adalah tafsiran agama yang maju, moden, sesuai dengan zaman, hingga mengakibatkan mereka tidak malu untuk menghina orang-orang yang berilmu agama yang bercakap dalam keadaan penuh dalil dan jalan yang tepat atas ahlus sunnah wal jamaah. Walaupun kesepakatan para ulama malaysia mengeluarkan fatwa, tidak langsung diambil endah. Mereka cuma mengambil bahagian yang mereka senang, atau yang boleh dieksploitasi untuk menjatuhkan musuh politik mereka semata-mata.
Di pihak PAS, juga tafsiran agama diperkotak-katikkan. Mereka berpegang shadid untuk tidak beri muka kepada sebarang elemen yang bukan datang dari ajaran islam termasuklah unsur nasionalisme yang ada dalam UMNO. Lalu mereka mengharamkan UMNO. Mengkafirkan pertubuhan itu. Bergabung, bersatu mahupun bekerjasama adalah haram bagi mereka jika dengan UMNO. Namun lain pula apabila mereka terbuka dan longgar, tidak lagi shadid apabila berhadapan dengan PKR dan DAP yang terang-terang adalah pertubuhan dan parti yang mengangkat idealisme barat sosialis demokrasi, dan liberalis demokrasi.
Idea pendek beberapa pejuang politik kepartian mengenai istilah demokrasi, membuatkan mereka kurang berhati-hati apabila memperjuangkannya. Jika nasionalisme diharamkan, maka demokrasi merupakan teras lahirnya nasionalisme juga patut mendapat nasib yang sama. Apatah lagi jika idea sosialis dan liberalis mula menjadi pegangan. Maka tafsiran demokrasi sudah diperincikan, maka bahayanya lebih besar jika bersekongkol dengan agenda mereka.
Saya bukan penentang demokrasi. Namun istilah demokrasi itu langsung tiada piawai yang baik untuk dirujuk. Adakah perjuangan demokrasi awal menjadi rujukan? Bukankah di situ dapat dilihat pertumpahan darah dan keganasan mengambil tempat dalam memperjuangkan demokrasi yang membawa kepada revolusi perancis atau amerika. Atau perjuangan demokrasi yang kini dipimpin oleh Amerika perlu dirujuk sebagai perjuangan demokrasi? Demokrasi merupakan prinsip caca merba yang langsung tidak membawa kepada keadilan sejagat. oleh sebab itu, maka demokrasi akhirnya ditafsir pelbagai dari ideologi politik yang pelbagai. Kini kita boleh dengar Demokrasi sosialis, Demokrasi liberalis, Demokrasi anarkis, atau Demokrasi islamik? Mungkin tidak hairan jika komunis juga sudah ada demokrasi komunis.
Saya mengkaji dua forum politik UMNO dan PAS iaitu KMU dan TKO untuk mendapatkan kepastian mentaliti penyokong medan politik kepartian hari ini yang muncul sebagai watak-watak maya internet. Jika 5 tahun dulu, segala tinjauan saya melihat kepincangan dalam membawa politik akhlak dan politik penyatuan ke dalam politik malaysia, hari ini kepincangan itu masih belum berubah.
Di KMU mahupun di TKO, saya berjumpa dengan watak-watak hipokrit yang meraikan kemungkaran ahli-ahli sekepala atau se parti dengan mereka, dalam masa yang sama mereka memusnahkan apa saja teguran dan perjuangan pihak lain menjelaskan kepada saya politik kepartian masih belum lari dari niat kemegahan. maka benarlah, hanya yang faham tujuan dan matlamat hidup ini semata-mata mahu meraih redha Allah sahaja yang akan terbuka menerima dan memperjuangkan politik akhlak dan politik penyatuan.
Di KMU ada forumer yang begitu benci akan nik aziz kerana nik aziz menyebut Tuhan mencarut. Dalam masa yang sama, forumer itu menggunakan carutan sebagai zikir perjuangannya, malah sanggup memperkecil-kecilkan para ulama yang non partisan seperti mufti perak ustaz harussani dalam kancah kegelenyaran dan kebusukan najis perjuangan politik kepartian mereka.
Di TKo pula, muncul forumer yang terang-terang menyebut undi BN adalah haram atas dasar perlembagaan parti umno yang sekular yakni kafir. Namun boleh menghukumkan halal undi DAP dan PKR malah tidak segan menyebut undi DAP dan PKR menjadi halal kerana mereka menyokong perjuangan islam dan negara islam, padahal terang-terang dasar perjuangan DAP dan PKR adalah demokrasi sama rata yang tidak memberikan mana-mana agama mahupun kaum untuk menjadi istimewa atau memilik negara, dalam erti kata lain, perjuangan DAP dan PKR menuju sebuah sekular yang lebih nyata.
dari laman DAP:
Malaysia as a democratic, secular and multi-religious nation with Islam as the official religion but not an Islamic State
.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment