Politik Samseng-Politik akhlak
Memang setiap suatu itu ada hikmahnya. Kegagalan saya untuk berjaya dalam UPSR akhirnya membawa saya ke sekolah menengah biasa iaitu SMK Rantau Panjang Klang. Hikmahnya saya di situ, adalah apabila saya mula merenung akan situasi perkauman di Malaysia.
Pergaduhan antara 3 samseng perkauman iaitu samseng melayu, samseng cina, dan samseng india bukan suatu rahsia di bumi SMK RP pada zaman itu. Tidak cukup dengan pakcik makcik bergaduh dan bersengketa dalam isu politik (zaman reformasi yang begitu terasa di bumi klang), anak-anak mereka terbiar terjebak dalam budaya samseng perkauman yang saya fikirkan amat dahsyat.
Entah dunia apa yang pelajar-pelajar itu sertai di luar sekolah, fikir saya ketika itu. Demi menabur sedikit jasa di sekolah itu, saya mula berhasrat untuk menjadi seorang pengawas sekolah. Saya fikir, jika dapat menjadi pengawas, maka kata-kata saya akan lebih praktikal. Saya tidak sahaja mengeluh akan situasi sekolah yang tidak aman, namun saya perlu bergerak dengan kuasa untuk mengamankan sekolah.
Pengawas adalah jawatan pemimpin. Memang saya bukan gila pangkat atau jawatan. Tetapi dalam keadaan situasi sekolah sebegiturupa perlunya saya menggunakan daya dan upaya saya untuk menaburkan sedikit jasa dalam membawa keamanan di sekolah itu. Memang cita-cita saya jika didengar oleh rakan-rakan akan diketawa dan dipalitkan dengan gelaran 'poyo'. Tetapi itu lebih bererti dari saya hanya menjadi seorang pelajar yang pasif yang menyaksikan pergaduhan perkauman hampir tiap hari.
Apabila telah menjadi pengawas, saya dipandang sebagai anjing sekolah. Menjadi tukang turut cikgu dan pengetua.Samseng adalah musuh pada samseng lain. Dan pengawas adalah musuh bagi semua samseng. Atas persepsi itu, maka apabila terjadi sahaja pergaduhan samseng, maka pengawas lesap. Ya, memang betul juga tindakan pengawas melesapkan diri, kerana cikgu sendiri telah memperingatkan supaya, pengawas tidak sertai pergaduhan kerana mungkin akan menjadi mangsa,dan tanggungjawab guru untuk meleraikan semua pergaduhan pelajar.
Cuma suatu hari, saya tak dapat menahan lagi untuk masuk meleraikan pergaduhan, atas kerana saya merasakan tanggungjawab yang telah diberi perlu dilaksanakan. Pengawas adalah pemimpin pelajar, itu yang saya faham. meleraikan pergaduhan merupakan akhlak pemimpin. Pemimpin perlu perjuangkan akhlak. Perlu perjuangkan keamanan emosi. Perlu galakkan kasih sayang sesama insan. Perlu satukan hati-hati yang berselisih. Bukan menjadi teraju untuk menghentam kumpulan yang lain.
Mempertahankan diri atau membenteng diri dari serangan tidak salah. Namun menjadi salah jika kita sendiri mahu menggalakkan lebih banyak lagi kebencian. Jika seorang samseng mengejek samseng yang satu lagi, maka menjadi tanggungjawab pemimpin samseng yang diejek untuk mempertahankan maruah, namun bukan mengejek kembali samseng yang mengejek.
Pemimpin bukan sebagai pencetus atau penambah huru hara. Pemimpin bukan sebagai pencetus atau penambah sengketa. Pemimpin adalah yang menyatukan. Pemimpin adalah mendamaikan. Pemimpin bawa keamanan. Menjadi tanggungjawab mana-mana pemimpin memastikan wilayah kepimpinan mereka aman dan bukan huru hara.
Saya masuk dalam sebuah pergaduhan, dengan berbadan kecil dan kurus, saya cuba menghalang pelajar-pelajar melayu dari memukul. Ya, pelajar-pelajar melayu itu adalah tingkatan 5 lebih tua dari saya. Tetapi untuk meleraikan pergaduhan, satu pihak perlu berhenti menyerang. Dan saya fikir, sebagai orang melayu beragama islam, adalah patut saya menghalang pelajar melayu dari menjadi golongan menyerang.Akan tetapi, saya telah dihina sebagai 'penyibuk'.
Atas kerana saya dipanggil sebegitu rupa saya mula memikirkan kembali apakah praktikal usaha meleraikan situasi ini, atau saya perlu belajar lebih mendalam untuk memahami aspirasi mereka yang menjadi samseng.
Lalu,saya mula mengkaji setiap punca pergaduhan perkauman di sekolah itu. Namun, bukan menjadi cara saya untuk menyertai kumpulan samseng pula semata-mata untuk kenal mereka dan masalah mereka.Oleh itu, saya mula berkawan dengan beberapa ahli kumpulan mereka yang saya anggap tidak begitu taksub dengan sikap berkumpulan itu. Ya, sekurang-kurangnya mereka pasti memahami sikap kawan-kawan mereka sendiri.
Akhirnya, saya dapati selalunya punca pergaduhan adalah dari perasaan tidak puas hati. Di satu pihak mereka menyalahkan pihak yang satu itu memulakannya, dan pihak yang dituduh pula menuduh kembali pihak yang satu lagi yang mencetuskannya. Akan tetapi, yang dapat saya salahkan adalah mereka yang menjadi pembangkit amarah dari kedua-dua kumpulan. Saya panggil kelompok pembangkit amarah ini sebagai 'kaki carut dan marut'. Disebabkan amarah mereka selalunya akan hasilkan carut dan marut.
Perasaaan tidak puas hati manusia boleh terlerai jika usaha perbincangan, perbicaraan dan hukuman ke atas pesalah dijalankan. Namun perasaan tidak puas hati itu akan bertukar benci dan permusuhan apabila kaki carut dan marut mengambil bahagian.
Jika dilihat kepada politik kepartian yang berjalan di malaysia saling tak tumpah bagaimana dunia samseng ber'politik'.Kelibat-kelibat kaki carut dan marut akan menambah kebencian antara satu kumpulan dan satu kumpulan yang lain. Siapakah yang akan menang jika diukur dari kepimpinan suci? Tentunya sesiapa yang membawa ideologi menyatukan, menghubungkan, meleraikan amarah, menenangkan jiwa yang memberontak, menyalurkan kerjasama, dan mendidik untuk bersifat memimpin. Jika istilah 'politik' itu dapat diertikan kepada 'kepimpinan' dan bukannya 'kekuasaan', maka tentunya politik akhlak adalah juara bagi segala juara politik.
Kita boleh terus bertegas dengan prinsip dan manhaj politik kita, tetapi amat malang jika prinsip dan manhaj kita itu menganjur kepada menyerang untuk membenci, bangkit untuk bermusuh, melaungkan sengketa dan bertindak untuk huru hara dan kehancuran keamanan. Kita boleh mempertahankan diri dan membenteng dari serangan musuh yang menyerang kita, namun usaha mempertahankan diri adalah untuk mengekalkan keamanan. Ini bermakna musuh yang bawa peperangan dan kehancuran,dan kita adalah penyelamat untuk keamanan. Jika kita yang mengajak kepada peperangan dan kehancuran, apakah 'politik' kita boleh dikatakan politik akhlak lagi?
Dan lebih malang jika, usaha politik itu sekadar untuk melantik kepimpinan negara dalam satu proses yang telah dipersetujui bersama. Namun atas sebab satu fitrah apabila manusia sudah berkelompok, sudah berpuak, sudah berkumpulan dan berparti, dengan jiwa yang keliru akan erti 'politik',dalam mengejar kemegahan maka proses persaingan akan melibatkan kaki carut dan marut untuk menonjolkan kumpulan kita yang paling megah, manakala kumpulan yang satu lagi hina. Itu bukan memimpin. Itu bukan kepimpinan.Apabila telah terjadi persengketaan dan bukannya persaingan sihat,maka terjadilah politik samseng.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment