|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Menjatuh untuk dinaik, menghina untuk dimulia





Kalau di sekolah rendah,saya tidak pernah dilantik oleh rakan-rakan sebagai ketua kelas. Sehinggalah saya berada di darjah enam, saya diangkat menjadi ketua pengawas merangkap ketua murid di SK Rantau Panjang Klang Selangor.Ya, jawatan ketua murid itu adalah jawatan paling tinggi bagi seorang pelajar di sekolah rendah. Jawatan yang glamor. Walaupun hakikatnya saya baru sahaja berpindah ke sekolah itu selepas berhijrah dari negeri Perak ke Selangor kerana bapa saya seorang guru bertukar sekolah.

Hari ini, saya masih merenung kembali sejarah itu. Sejarah itu makin menghilang jauh sejauh saya berada dari bumi malaysia hidup di negara orang ini agaknya. Kisah lebih kurang 10 tahun lalu.

Seingat saya, jawatan ketua pengawas atau ketua murid itu dipilih sepenuhnya oleh barisan guru-guru. Mungkin nama saya dicadangkan oleh Guru Disiplin ketika itu Sir Rahman. Apakah kriteria menjadi seorang ketua murid? Saya tak pasti. Mungkinkah atas kerana saya adalah pelajar popular ketika itu? Popular dari sudut apa? Mengampu guru? tak pernah saya mengampu Sir Rahman. Berlagak baik? saya bukan pelajar yang baik manapun. Masih ingat ketika saya darjah 4 iaitu sewaktu baru lagi di sekolah itu, saya telah dikejar oleh seorang pelajar perempuan berbadan besar. saya tak ingat apa sebab perempuan itu mengejar saya, mungkin saya ada membuatkan dia marah sehingga dia mengejar saya. Itu buktinya saya bukan pelajar lelaki yang baik. ya, nakal.

Mungkin kerana prestasi akademik. Walaupun hakikatnya,saya bukan yang terbijak di sekolah itu. Dua orang perempuan punya prestasi akademik yang lebih baik. Dan sewaktu saya baru masuk ke SKRP itu, saya telah dipindahkan dari kelas yang atas ke kelas yang lebih bawah. saya sendiri keliru kenapa saya dipindahkan. Namun, setahun selepas itu, saya naik ke kelas nombor 2, iaitu 5 Anggerik. Dan kekal kelas itu ketika darjah 6, iaitu 6 Anggerik.

Di bidang kokurikulum, saya tidak aktif mana-mana sukan mahupun persatuan. Seingat saya, saya sertai PBSM untuk unit beruniform kerana PBSM adalah antara unit beruniform yang tidak aktif,jadi saya tak perlu hadir apa-apa aktiviti hari sabtu. Dalam permainan, saya sertai catur. Saya datang beberapa kali dan kemudian tak hadir hingga hujung tahun. Dalam persatuan, saya lupa saya sertai persatuan apa. Akan tetapi, saya sering dipanggil oleh guru-guru persatuan lain untuk mewakili dalam beberapa pertandingan,seperti bahas dan kuiz.
Saya pernah sertai nasyid sekali. Pertandingan dalam sekolah sahaja. Saya menyanyi di barisan belakang kononnya buat suara base.Lagu peristiwa subuh oleh raihan.

Saya beberapa kali masuk pertandingan melukis. Tapi hanya beberapa kali menang saguhati sahaja.Selebihnya, saya lebih berjaya dalam pertandingan yang menggunakan kemahiran bercakap seperti, perbahasan, syarahan dan bercerita. Sewaktu darjah 5, banyak juga gelaran pembahas terbaik saya perolehi dalam beberapa pusingan walaupun akhirnya gagal untuk melepasi saringan. Sewaktu darjah 6, saya melakukan hal yang amat memalukan,apabila beremosi ketika berbahas sehingga menjerit-jerit tanpa isi dan cakap yang berulang-ulang. Pasukan kami kalah dalam pusingan pertama lagi.

Mungkin pada mata guru-guru,saya adalah pelajar yang aktif. Walaupun pada hakikatnya, saya cuma aktif pada suatu sudut yang kecil semata-mata. Mungkin, kemahiran saya hanya pada bercakap, menjawab kuiz, menulis atau melukis semata-mata. Atas sebab kemahiran itu selalu dipandang oleh ramai guru sebagai kemahiran seorang pelajar yang bijak,berkaliber dan berkepemimpinan, maka mungkin kerana itu saya dilantik sebagai ketua murid akhirnya.

Namun, apakah kriteria aktif pemimpin yang sebenarnya? Adakah seorang pemimpin atau ketua itu dilantik atas faktor glamor, orang pandang ada karisma dan berkaliber,tapi bukankah itu persepsi semata-mata?



Mungkin sebab itu ramai pemimpin di dunia sering muncul dalam keadaan bercakap,menulis mahupun menjawab soalan-soalan media dan wartawan semata-mata. Ya, bukan tak ada pemimpin yang dulunya mereka bekerja sebagai doktor,meredah sungai merawat orang sakit,atau yang pernah menjadi pekebun,menanam sayur memerah keringat dan peluh,ataupun dulunya hanya seorang buruh kasar yang bergelumang dengan besi dan tukul.

Tetapi pada dunia hari ini, jarang sekali kita berjumpa pemimpin sebegitu. Adakah silap dasar demokrasi dunia yang semakin popular berkembang di dunia hari ini,sehingga pemimpin diangkat dari kalangan yang popular oleh rakyat jelata.

Bukti bahawa rakyat sukakan popular adalah apabila kita uji dengan dunia hiburan. Kita ambil akademi fantasia di malaysia sebagai bahan eksperimen. Baru-baru ini saya ada menjalankan kajian akademi fantasia 5. Pada hakikatnya,saya ingin mengkaji kaitan tentera hedonis dengan perancangan kapitalis, tapi akhirnya banyak juga yang saya pelajari terutama psikologi manusia atau masyarakat melayu dalam membuat pilihan.

Dalam akademi fantasia, ada satu minggu, seorang pelajar bernama aswad yang telah banyak dikritik oleh pengkritik dan dimalukan dengan lagu-lagu yang bukan jiwanya (jiwanya adalah genre rock) tetapi disuruh menyanyi lagu dangdut,lagu inggeris (tidak fasih berbahasa inggeris sehingga 'watching' didengari sebagai 'washing'),namun minggu itu aswad telah mendapat undi paling tinggi, rata-rata di akhir-akhir konsert itu pihak astro yang diproksikan ke atas pengacara aznil telah membuatkan ramai hadirin mengalirkan air mata dengan lagu 'ayah dan ibu' apabila seorang demi seorang ibu bapa pelajar naik ke pentas kecuali si aswad,kerana dia ialah anak yatim piatu.Undi aswad yang sebelum itu berada di hujung-hujung carta naik mencanak hingga ke tangga nombor satu,menjadikan aswad juara bagi konsert minggu itu.



Hal ini dapat saya lihat,apabila anwar ibrahim dipecat dan dituduh meliwat pada tahun 1998. Walaupun pada awalnya ramai pemimpin PAS terutama Mat Sabu merasakan Anwar Ibrahim memang patut turun takhta sebagai pemimpin berdasarkan siri-siri ceramah PAS sejak 20 tahun sebelum itu, yang selalu mengkumandangkan Anwar bersekongkol dengan parti sekular kerana kelabu mata akan kuasa ,pangkat dan harta.Namun, setelah Anwar membongkar satu persatu konspirasi pemecatannya itu, PAS berubah pendirian dengan mengambil sikap simpati atas nasib Anwar lalu bersama-sama sejak awal menyokong penubuhan parti keadilan,dan gerakan reformasi. Dan di hujungnya, PAS mengangkat Anwar sebagai hero yang mulia yang masuk UMNO kerana ingin berjuang namun disingkirkan atas kerana UMNO tidak mahu berubah dan sengaja mahu menjatuhkan perjuangan Anwar sejak awal lagi.

Ia berkenaan dengan persepsi, sehingga rakyat melihat anwar benar-benar teraniaya,apabila bukti-bukti tuduhan rasuah dan salahguna kuasa hanya dikaitkan selepas isu liwat berbangkit, yang dikatakan Anwar menyalahguna kuasa mengganggu tugas polis. Kemudiannya rakyat yang berjuang berdemonstrasi membantah kes Anwar itu pula telah ditahan di bawah ISA atas hujah bahawa demonstrasi mereka bercampur hasutan untuk menimbulkan huru hara dalam negara. Kemudiannya pula rakyat membantah sekali lagi akan undang-undang ISA pula hingga semuanya berkait-kait hinggalah PAS berjaya menambah kerusi bersama-sama DAP,dan sedikit kerusi keadilan di parlimen. Tahun 1999, atas sebab persepsi isu Anwar,maka rakyat berpaling dari BN kepada pembangkang.

Kisah anwar dan isu persepsi memilih pemimpin tidak berhenti begitu sahaja. Apabila anwar dilepaskan dari penjara dan kes liwat anwar dijatuhkan tidak bersalah,maka individu seperti Dr Badrul Amin pastilah difahami jika begitu beremosi menerangkan betapa perjuangan mereka menentang kezaliman kerajaan atas isu liwat itu, rupa-rupanya berjuang pada kes yang direka-reka semata-mata. "kes tak ada!" begitulah nada Dr Badrul Amin menerangkan betapa anwar ditumbuk ,dibogel,dan dipenjara atas satu kes yang tak wujud. Tidak hairan, persepsi inilah yang boleh meraih undi rakyat sekali lagi, dan kerana itu Anwar memanggil rakyat untuk mengulang perjuangan mengubah kerajaan (reformasi) untuk gelombang kali ke dua. Kali ini, Anwar mahu dilihat benar-benar hero dan betapa Anwar yakin persepsi rakyat memandang dirinya sebagai hero atau pemimpin nombor satu paling layak atas jawatan PM, apabila PM yang ada sekarang Pak Lah jenis yang bukan 'menyerang' , ditambah pelbagai kecaman pada Pak Lah yang baru satu penggal menjadi PM dengan gelaran 'lemah','lembik' dan sebagainya.

Tidak hairan jika PAS tidak segan untuk mengangkat Anwar menjadi teraju BA,walaupun hakikatnya penyokong Pas tentulah majoriti dalam BA. Ini suatu yang tidak logik oleh parti keadilan. De facto mereka diangkat sebagai teraju, namun parti mereka tidak banyak kerusi, maka PKR akhirnya memohon kerusi lebih banyak di Kelantan (satu-satunya negeri yang masih dipimpin oleh pembangkang), dalam masa yang sama, satu persatu bahagian keadilan di Kedah dibubarkan.

Politik itu akhirnya ke mana? Pemimpin yang sebenar itu bagaimana?

Itulah demokrasi seperti yang selalu ditakrifkan, "dari rakyat,oleh rakyat,untuk rakyat". Rakyat cermin kepimpinan. Lalu rakyatnya bagaimana? Ke situlah politiknya.

0 komentar: