Harapan yang keliru
Saya mengakhiri zaman sebagai pemimpin kanak-kanak (ketua murid sekolah rendah) dengan suatu kegagalan. Saya dilihat gagal kerana anugerah 'Pelajar Harapan Sekolah' yang saya terima sebelum peperiksaan UPSR bermula,akhirnya disudahi dengan keputusan UPSR yang menghampakan guru-guru. Buat pertama kali,bak kata seorang guru saya, ketua murid tidak mendapat 'straight A's'.
Saya masih ingat lagi,ketika hari penyampaian sijil anugerah cemerlang yang diadakan bagi meraikan kejayaan pelajar-pelajar straight A's dan yang sipi-sipi straight A's (iaitu saya salah seorang darinya) itu. Saya berbasikal ke sekolah untuk menghadiri majlis itu, kerana bapa saya menyuruh saya berdikari. Ya, sebelum majlis itu lagi, ayah saya sedikit kecewa kerana saya gagal mendapat straight A's. Mungkin bagi sesetengah ibubapa straight A's adalah penting. Jika gagal mendapat straight A's maka pelajar itu dilihat seorang yang gagal.
Saya mengayuh basikal dalam imej yang gagal.Setibanya saya ke sekolah, guru-guru cuba melarikan pandangan dari kelibat saya. Tinggallah saya tersengih-sengih keseorangan. Saya duduk di dalam dewan kecil (kelas yang diubah menjadi dewan) menunggu majlis bermula. Ya, dari tingkap-tingkap di sisi dewan itu, saya dapat lihat semua pelajar straight A's (seramai 2 orang) dihantar oleh ibubapa masing-masing. Begitu juga dengan pelajar lain yang diraikan. Ya, terkilan juga dengan ayah saya. Namun, saya faham mengapa ayah saya mendidik saya sebegitu rupa. Supaya saya menjadi orang yang berfikir dan merendah diri serta tidak sombong sampai bila-bila.
Semua pelajar yang diraikan akan ditepuk apabila nama mereka disebut, sekurang-kurangnya tepukan itu dari ibubapa mereka yang hadir. Namun nama saya disebut tanpa tepukan. Kerana saya datang ke majlis itu berseorang diri dengan basikal saya. Saya turun dan senyum pada guru. Tapi guru-guru yang ada buat-buat lihat tempat lain dan ada yang berbual. Itulah zaman kejatuhan seorang pemimpin kanak-kanak kerana tidak mencapai harapan dan impian pihak-pihak yang mengangkat saya dulu.
Saya dilantik oleh guru,lalu saya menghampakan guru-guru. Hampa untuk apa? Hampa kerana tidak dapat berbangga dengan bilangan murid yang dapat straight A's. Hampa kerana tidak dapat bermegah-mega dengan nama sekolah. Guru mendidik pelajar demi kemegahan sekolah. Itulah zaman pendidikan yang jelas di mata saya.
Hal itu mengingatkan saya bagaimana imperialisme dijalankan suatu masa dulu oleh bangsa eropah. Demi mengejar kemegahan di muka bumi, orang eropah mula menjalankan dasar menjajah. Kelompok peribumi hanya bahan untuk mereka eksploitasi, yang penting perlu akur kepada kemegahan mereka.
Ada segelintir penyakit ke'bangsa'an dan perkauman yang tersisa dalam diri manusia. Mereka mengatakan diri mereka bangsa yang gagah dan kaum yang mulia. Lihat sahaja penyakit ini pada bangsa israel. Atas kerana dendam mereka terhadap manusia lain yang menghina dan menindas mereka suatu masa dahulu, mereka mula merencanakan agenda zionisme.
Penyakit untuk menjayakan kemegahan bangsa dan kaum tidak pernah menemui keadilan yang dicari. Walaubagaimanapun politik bangsa atau nasionalisme akhirnya menemui puncak pada hari ini selepas dunia melalui imperialisme dan perang dunia.Namun puncak nasionalisme yang menghasilkan negara-negara bangsa tidak boleh menyekat kerakusan manusia untuk berkuasa atas manusia lain. Imperialisme kedua akan berlaku atau telah dan sedang berlaku pada zaman milennium zaman abad baru.
Globalisme suatu fahaman untuk menjadikan dunia satu wilayah tanpa sempadan. Globalisme adalah hasil cetusan puak kapitalis yang datang dari bangsa-bangsa besar yang disebut 'superpower' dunia. Demi kemegahan, mereka melantik diri mereka sendiri menjadi pemimpin dunia.Walaupun gerakan mereka memimpin menggunakan slogan 'demokrasi',namun hakikatnya, mereka memimpin dunia dengan cara yang bercanggah dari prinsip demokrasi sendiri iaitu 'dari rakyat,oleh rakyat dan untuk rakyat'. Mereka cuba memimpin dunia dengan dasar unilateral. Dengan dasar satu jalan dan satu kuasa.
Soalnya, manusia berpolitik (mengurus kuasa dan berjuang demi kekuasaan) untuk apa? Untuk apa manusia ingin menguasai manusia lain? Untuk apa manusia ingin diri sendiri dilantik menjadi pemimpin? Kerana mereka megah merasakan mereka layak.
Kemegahan yang melanda manusia itu akhirnya dapat dijelaskan dengan sikap mereka merendah-rendahkan orang lain. Atas kerana agenda mereka ingin megah, maka semestinya lawan mereka perlu hina dan menjadi hina. Inilah politik yang diajar oleh gerakan demokrasi kepartian yang bergerak di seluruh dunia.
Dengan adanya kumpulan yang bersaing dalam kondisi dan sifat mengejar kemegahan ini, maka perselisihan, hasad dengki, tuduhan,khianat, penyelewengan akan terus berlaku. Bukti jelas lagi terang adalah apabila kejayaan demokrasi kepartian berjaya memecahbelahkan perjuangan rakyat palestin dalam bentuk parti hamas dan parti fatah. Usaha kerajaan perpaduan diadakan tidak boleh melenyapkan agenda demokrasi kepartian ini.
Mengapa hal ini tidak berlaku di barat? Tidak, hal ini juga berlaku di barat. Konspirasi politik di barat lebih hina dan jijik. Mereka lakukan kerja beragenda kemegahan ini hingga sanggup menjalankan pembunuhan terancang. Ahli-ahli politik dibunuh bukan hal asing di dunia barat. Di asia barat, pembunuhan-pembunuhan mula tercetus. Pemain-pemain politik untuk mengejar kemegahan di pihak israel mahupun di pihak negara-negara umat islam seperti di mesir, syria dan lain-lain, pembunuhan terancang juga terjadi.
Mungkin di malaysia berlaku juga pembunuhan terancang. Dan penyuburan fenomena ini akan lebih teruk jika rakyat digesa untuk bersikap merusuh, mengganas dan sebagainya. Memainkan emosi sekumpulan manusia untuk meletakkan emosi,sentimen dan persepsi mengganas merupakan satu penjajahan psikologi yang dahsyat dalam peradaban manusia.
Manusia diseru bangkit. 'Bangkit' di situ bukan sebarang bangkit. Tetapi bangkit untuk tonjolkan emosi, tonjolkan rasa amarah. Apakah seruan yang lebih hina dari itu dalam mengejar kekuasaan dan kemegahan. Untuk melayakkan diri sendiri diangkat untuk memimpin, menyeru supaya orang lain dijajah pemikiran,emosi,tindakan, hingga lahir manusia-manusia yang terasuk.
Itulah yang dilakukan oleh Amerika dalam meraih sokongan untuk masuk ke negara-negara tertentu, untuk kuasai politik negara-negara itu, menggodam sekian banyak ketamadunan. Amerika menyeru untuk menentang keganasan. Menaikkan elemen islamphobia. Akhirnya menjurus keganasan ke atas kelompok islam pula.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment