Dulu semasa saya cuba untuk melawan ideologi sekular yang melanda pembikinan karya dakwah dalam filem atau drama, orang menganggap saya cuma keyboard warrior. Jikapun betul saya adalah keyboard warrior, orang-orang yang melawan perjuangan menegakkan syariat dalam karya dakwah yang menghujani ruang komen blog saya itu, keyboard anti warrior kah?
Asas kepada pertentangan idea dalam isu ini adalah sebenarnya seruan agar pengkarya dakwah lari dari tipikal dan bergerak kepada kreativiti, yang anti-anti warrior di seberang sana merasakan kita yang menyeru ini adalah tipikal dakwah dan mereka yang menggunakan tipikal gaya perfileman dalam menyampaikan mesej pula, yang sebenarnya kreatif.
Contohnya bagi mereka, jika mahu menyampaikan mesej keinsafan dalam berubah perlulah menunjukkan babak-babak jahil seperti zina, disko, minum arak, buka aurat, seksi dan lain-lain sebelum berlaku transformasi ke arah hijrah islami. Saya anggap itu tipikal. Kerana syariat melarang kita menunjukkan babak-babak jahil sebegitu, maka kita perlu memikirkan penyampaian kreatif dalam menyampaikan mesej berimpak yang lebih berkesan tanpa sedikit pun memaafkan mana-mana babak jahil sebegitu ditonjolkan.
Hari ini saya membaca kenyataan Erma Fatima berkenaan karya Takhta 3 Ratu itu, saya sudah mula bimbang kebangkitan semula ideologi seperti Erma Fatima ini yang saya rasa jujur untuk menyampaikan mesej-mesej baik kepada masyarakat, tapi masih terkongkong dalam tipikal persembahan filem atau teater yang mahu melanggar batas-batas syariat atas nama SENI.
Ya, saya malas mengulas lagi maksud SENI Islami yang bagaimana kita patut gerakkan, kerana sewaktu umur saya masih muda 20-an dulu, jenuh sudah saya menulis panjang lebar mengenainya: http://alhikmah-diari.blogspot.com/…/blok-industri-hiburan-…
Saya merasakan jika saya mahu melawan ideologi menentang syariat yang tanpa malu mengenakan nama syariat compliant pada karya mereka ini, saya patut mulakan dengan komik sebelum ke filem, drama atau teater. Komik hari ini adalah pencetus idea perfileman di masa hadapan.
Apa yang melanda anak-anak muda kita dalam berkarya komik hari ini sama saja dengan apa yang sudah melanda pada pembikin-pembikin filem, drama, teater dakwah yang saya bahaskan dulu. Mereka anggap menyelitkan ayat Quran dan hadis dalam komik, adalah tipikal dakwah, apa yang bukan tipikal bagi mereka adalah dengan MENIRU SEBAHAGIAN TIPIKAL MANGA JEPUN YANG MENYELIT BINATANG-BINATANG GANJIL DAN KUASA-KUASA AJAIB YANG KHURAFAT untuk menyampaikan mesej dalam komik. Hatta di antara mereka mengatakan, mesej komik sepatutnya general tanpa merujuk pada mana-mana agama supaya boleh diterima oleh semua pembaca. Makanya, apakah bezanya lagi KARYA MUSLIM dan BUKAN MUSLIM? Tuntas.
Islam ini berdiri unik dan kreatif. Lihat bagaimana Nabi s.a.w menetapkan azan sebagai panggilan solat untuk umat Islam yang unik tatkala beberapa sahabat mencadangkan meniup trompet seperti Yahudi dan membunyikan loceng seperti Nasrani. Dalam azan ini banyak falsafah dakwah yang kita boleh kaji dan analisis untuk mengambil sikap dan pendekatan dalam penyampaian dakwah termasuklah dalam isu menyampaikan mesej dakwah melalui komik.
Salah satu prinsip asas dakwah adalah menyampaikan suatu yang kita sendiri akan bersungguh-sungguh amal dan lakukan. Seorang muazin tidak akan melaungkan azan ajak orang ke masjid dan solat, dengan dirinya selepas azan, terus balik solat di rumah atau pergi supermarket tanpa bersolat. Muazin akan solat bersama-sama orang yang dia ajak solat selepas melaungkan azan. Begitu juga jika kita mahu menyampaikan dakwah dalam komik, pekomik itu sendiri akan berusaha untuk amal sungguh-sungguh sepertimana mesej yang dia serukan dalam komiknya yang dibaca oleh orang lain. Tuntas.
Maka berkreatif dalam menyampaikan mesej dakwah dalam komik perlu mengambilkira hal-hal amal seorang muslim yang kita sendiri akan buat dan laksana untuk jadi hamba Allah terbaik, yang Allah redha dan Allah kasih.
Kalau kita lukis Superman Sufi yang kononnya islamik kerana berserban dan berjubah, ada kuasa khurafat boleh terbang, belah gunung, sembuh luka sendiri, adalah lagi kuasa-kuasa ajaib tahyul, namun kononnya menyelitkan ayat-ayat Quran setiap kali melawan raksasa dapat dianggap komik dakwah kreatif, itu amatlah meleset!
Isunya bukan selit atau tidak ayat Quran, isunya apakah cerita itu sesuai dengan sunnatullah, dalil aqli dan naqli untuk diamalkan oleh pelukis muslim itu sendiri? Apakah dia boleh terbang dan belah gunung lepas baca komik itu? Apakah Allah perintahkan kita jadi seperti Superman Sufi untuk dapatkan kuasa ajaib supaya jadi pejuang islam? Inilah yang dikatakan mesej yang lalai. Kita tahu apa yang dipersembahkan dalam komik sebegini tak mungkin dapat direalitikan sebagai muslim.
Seperti falsafah azan tadi, mampukah komik sebegini merealisasikan falsafah dakwah sebenar? Allah pun tak suka hal-hal lagha ini. Bacalah surah Al-Mukminun, berjaya orang beriman ini selain khusyuk solatnya, dia juga menjauhkan diri dari perbuatan sia-sia.
Mereka anggap komik-komik sebegini hanyalah simbolik. Kuasa ajaib itu simbol kuasa iman dan taqwa, raksasa ganjil itu simbol manusia pemeras dan penzalim di dunia ini. Tapi tahukah kalian, simbol-simbol superman, batman, spiderman hatta naruto itu walau macam mana kalian bayangkan mereka adalah simbolik tapi anak-anak muda yang JATUH CINTA pada simbol itu, HINGGA SUDAH DEWASA TETAP MERASAKAN RASA KAGUM PADA KEHEBATAN SUPERHERO ITU. Orang nampak hal jatuh cinta ini hal remeh. Tapi cuba tanya mereka yang sudah bergelumang dengan cinta pada superhero ini, adakah mereka merasakan ALLAH LEBIH SUPERIOR tatkala bersemai rasa cinta mereka pada superhero?
Sedih atau tidak melihat anak-anak Muslim sibuk nak pakai baju batman, spiderman atau ironman kerana RASA KAGUM DAN MEGAH PADA SUPERHERO dah ditanam dalam hati. Ada mereka rasa kagum pada Rasulullah hingga mahu berpakaian sunnah Rasulullah? Tidak. Apabila tidak, maka apa sebenarnya yang kita terap pada anak-anak kita ini? IMAN PADA ALLAH ATAU PADA SUPERHERO? Tuntas.
Maka apakah misi KOMIK DAKWAH? Kita tak perlu selit ayat Quran dan hadis jika kita rasa cerita komik kita boleh terjemahkan mesej Quran dan hadis. Tapi jangan sampai hati kita rasa AYAT-AYAT DIALOG KITA LEBIH TEPAT MEMBERI INSPIRASI BERBANDING AYAT QURAN ATAU HADIS. Jangan. Ayat Quran itu kalam Allah. Terjemahannya adalah terjemahan kalam Allah. Allah turunkan ayat itu SANGAT TEPAT, TERANG, JELAS DAN NYATA PADA SEMUA MANUSIA. Ini silap sebahagian anak-anak muda hari ini. Mereka ingat Al Quran diturunkan pada orang Islam saja. Sampai ada yang anggap, kalau kita selit ayat Quran, hanya dituju pada orang Islam. AYAT AL QURAN DI TURUNKAN PADA SEMUA MANUSIA UMAT NABI MUHAMMAD S.A.W! Panggilan tepat kepada seluruh manusia bukannya ayat-ayat general kita, tapi ayat al Quran!
Ada anak muda ini anggap, itu macam memaksa semua manusia ikut Islam. Mereka ini baca sirah atau tidak, Nabi s.a.w dan para sahabat itu berdakwah dari satu kabilah ke satu kabilah, dari satu empayar ke satu empayar itu, ingat dakwah itu suruh buat apa? Dakwah Nabi ajak manusia BERIMAN PADA ALLAH DENGAN SELAYAK-LAYAK SEMBAH. Kabilah-kabilah, empayar-empayar itu semua adalah NON MUSLIM! Maka apa yang takut sangat menyeru pada Islam melalui komik, jika dibaca oleh non muslim?
Baiklah, jika ada yang takut menyalah tafsirkan ayat Quran dan hadis yang diselit dalam komik, dan mahu play safe guna dialog sendiri, itu tidak mengapa. Tidak ada masalah asal cerita kita asasnya ajaran Islam, tujuannya ajaran Islam, ceritanya tak bercanggah dengan sunnatullah, dalil aqli dan naqli, tak ada masalah. Watak-wataknya tak tonjol aksi-aksi jahil yang malaikat malu nak tengok, apalagi kalau Allah dan Rasul dah tegah kita dari menonjolkannya. Kita lemah, kita belajar dari kesilapan, tapi jangan prinsip melukis kita dah terpesong dari landasan sebenar!
Saya juga cuba berusaha tak jadi tipikal dengan istilah tipikal merujuk kepada makna komik yang biasa. Saya kaji makna dan definisi komik, sangat jelas dalam medan kreatif tiada had makna dan definisi. Saya boleh lukis komik dengan dialog panjang, dengan dialog pendek kerana komik tiada letak had minimum dan maksimum dialog standard sebuah komik. Saya boleh lukis komik yang ada 8 panel, 4 panel, tak ada panel langsung pun tak ada masalah, komik tak hadkan berapa bilangan panel atau wajib ada panel dalam standard komik.
Saya boleh sampaikan mesej tutup aurat tanpa tonjol aurat. Saya boleh lukis perempuan tudung labuh tanpa watak lelaki dari awal hingga akhir komik dalam berbicara isu media sosial. Saya boleh lukis macam-macam cara dan kaedah yang tak tipikal, untuk usaha kreatif dalam menyampaikan tanpa langgar syariat.
Secara ringkasnya menjadi kreatif dalam berkomik itu sangat luas. Komik adalah medan kreatif. Tiada satu manusia boleh tetapkan peraturan teknik melukis atau menulis komik. Lukis buruk pun komik, lukis cantik pun komik, lukis garis putus dan menggeletar pun komik, lukis garis sambung kemas pun komik. Semua ini ada contoh dalam komik-komik yang diiktiraf dalam negara mahupun dunia. Siapa yang ada dalam kepala otaknya peraturan-peraturan teknik tertentu, dan menyangka jika orang tak ikut peraturannya itu maka komik orang itu tidak lagi boleh dianggap komik, itulah sebenarnya maksud TIPIKAL. Orang tipikal ini langsung TAK KREATIF!
Jadi Muslim ini memang hebat. Kita dilarang ikut-ikut orang tanpa hujah syariat. Sebab ikut-ikut orang itulah maksud tipikal, jangan ikut-ikut orang tapi ikutlah hujah-hujah syariat dari wahyu Allah dan Rasul yang digariskan oleh para alim muktabar.
Maka, jika batas-batas syariat menetapkan batas-batas dalam melukis, itu tak jadi masalah bagi pengkarya komik. Kita ada macam-macam teknik yang tak langgar batas boleh kita lukis dalam menyampaikan!
Tuntas.
mfr
0 komentar:
Post a Comment