Saya sarankan kita semua baca semula dari awal hingga akhir surah Hud. Ada banyak peringatan berguna yang boleh kita gunakan dalam perjuangan dakwah yang sedang dihadapi di Malaysia ini : http://www.surah.my/11
Pada peribadi saya sendiri, saya mengambil iktibar hal berikut:
1. Ada orang di Malaysia yang bersungguh-sungguh meminta agar usaha dakwah tak dijalankan ke atas Non Muslim dengan mendakwa tiada paksaan untuk masuk islam. Mereka memandang suatu yang tak bermoral jika kita sampaikan pesanan-pesanan Allah dalam alQuran kepada Non Muslim, dalam masa yang sama kita sekat ajaran-ajaran agama Non Muslim dari disebarkan. Mereka malah cuba popularkan amalan beragama bersama dengan minta Muslim sama-sama bergembira pada hari perayaan agama-agama Non Muslim, mengucapkan ungkapan-ungkapan syiar agama Non Muslim atas alasan itulah kasih sayang sesama manusia dan perpaduan masyarakat majmuk.
Padahal, tiada paksaan untuk masuk islam bererti kita tak boleh melakukan kekerasan ke atas non muslim, tapi tetap wajib menyampaikan kalam Allah dalam alQuran kepada mereka, seperti mana kisah-kisah Rasul dalam surah Hud ini. Jika kita sudah bacakan amaran-amaran Allah ke atas semua amalan syirik dan kufur manusia kepada Allah, sanggupkah lagi kita berasa gembira melihat rakan-rakan Non Muslim kita bergembira dalam perayaan syirik mereka, malah boleh mengungkap ucapan-ucapan syiar agama mereka untuk berikan mereka rasa lega atas kekufuran pada Allah?
2. Ada orang di Malaysia ini, malu kalau Non Muslim marahkan mereka tatkala kita Muslim bacakan ayat-ayat Allah kepada Non Muslim. Mereka takut diejek, dicela, dilabel, dihina, dituduh, difitnah, padahal lihat bagaimana kaum-kaum yang diutuskan para Rasul buat pada Rasul mereka, penghinaan tak mematahkan semangat para Rasul. Tugas dakwah hanyalah menyampaikan dengan penuh akhlak. Pandailah Allah s.w.t membalas segala keingkaran, kejahatan, dosa-dosa Non Muslim ke atas para pendakwah. Lebih keras azab buat Muslim munafik yang menghalang jalan dakwah dan lebih sudu dari kuah dari Non Muslim dalam mengejek, menghina, melabel para pendakwah. Biar musuh Allah ini panggil kita butthurt ke, dangkal ke, literal ke, ekstremis ke, asal kita jalankan tanggungjawab dakwah yang tiada khilaf di kalangan semua ulama tafsir, fiqh, usul fiqh, ulumul quran, ulumul hadis muktabar di kalangan ahlus sunnah wal jamaah.
3. Dalam surah Hud ini juga, banyak disebut tentang orang yang selamat dari azab Allah dan mendapat rahmat itu adalah yang beriman, sabar dalam mengerjakan amal soleh dan tunduk taat menunaikan ibadat dengan khusyuk. Malah itulah yang disebut sebagai ahli syurga dalam ayat ke 23.
Dalam kita berdakwah memberikan peringatan dan pengajaran kepada Muslim dan Non Muslim di Malaysia, kita kena ingat pendakwah yang mengimpikan syurga itu bukanlah semata-mata sibuk berhujah sana dan sini hingga lupa untuk usahakan iman sendiri, lupa untuk latih diri dengan sabar, lupa untuk perbanyakkan lagi amal soleh lain, dan lupa untuk usaha khusyuk dalam ibadat sendiri. Hujah semata-mata tanpa diperbanyakkan amal hanyalah air liur basi yang tiada kemuliaan di sisi Allah.
4. Dalam dakwah para Rasul yang diceritakan dalam surah Hud, terdapat bermacam jenis golongan yang masih dilihat pada akhir zaman ini. Mereka seperti golongan elit/bangsawan yang memandang hina golongan marhaen miskin pada zaman Nabi Nuh, golongan marhaen yang syirik dan jadi pak turut kepada ketua-ketua seperti kisah kaum Aad pada zaman Nabi Hud,golongan syirik dan percaya kuasa khurafat seperti kisah kaum Tsamud pada zaman Nabi Soleh, golongan LGBT seperti kisah kaum Lut pada Nabi Ibrahim, golongan kapitalis yang tamak harta seperti penduduk Madyan pada zaman Nabi Syuaib, atau golongan pemerintah dan ahli politik bongkak dan angkuh seperti Firaun di zaman Nabi Musa. Semua para Rasul itu dalam menghadapi apa saja golongan, seruan mereka tetap BERIMANLAH KEPADA ALLAH.
Pada pandangan saya, eloklah para pendakwah mengulang-ulang baca surah Hud dari semasa ke semasa. InshaAllah makin banyak kali kita baca, makin banyak lagi kita akan faham erti DAKWAH sebenar. Termasuklah adik-adik yang mahu menjadi pelukis komik dakwah. Janganlah tertipu dengan golongan yang melukis komik fantasi yang bertentangan dengan nilai akidah, kemudian mendabik dada, "Aku juga berDAKWAH". Dakwah tak semurah itu. Bacalah surah Hud dari awal hingga akhir, baru tahu apa mesej agung DAKWAH sebenar. IMAN KEPADA ALLAH. Dan ia tak murah.
Tuntas.
mfr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment