1. Di akhir zaman ini akan berlaku bertubi-tubi krisis di kalangan umat baik politik, ekonomi, sosial mahupun akidah.
2. Semua orang Islam beriman akan bersedih dengan krisis yang berlaku pada diri mereka dan saudara mereka ini. Ia melibatkan penindasan, kesengsaraan hidup, kemiskinan dan pembunuhan.
3. Orang beriman juga meyakini semua krisis yang terjadi adalah ujian dari Allah buat mereka, dan Allah memerhatikan siapakah yang akan terus berpegang teguh pada jalan Allah (yang datang dari Allah) dan meletakkan matlamat akhirat (untuk kembali pada Allah) semasa krisis terjadi.
4. Allah s.w.t berfirman, ""Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan,"Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un." Mereka itulah yang mendapatkan keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabbnya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk" (al baqarah 155-157)
5. Imam Ibnu Katsir rahimahullah berkata,"Mereka (orang beriman) menghibur diri dengan mengucapkan perkataan ini saat dilanda (bencana) dan meyakini, bahwa mereka milik Allah s.w.t. Dia (Allah s.w.t) berhak melakukan apa saja terhadap ciptaan-Nya. Mereka juga mengetahui, tidak ada sesuatu (amalan baik) yang hilang di hadapan-Nya pada hari Kiamat. Musibah-musibah itu mendorong mereka mengakui keberadaanya sebagai ciptaan milik Allah, akan kembali kepada-Nya di akhirat kelak.” (Tafsirul-Qur`anil-‘Azhim)
6. Syaikh Abdur-Rahman as-Sa’di rahimahullah dalam tafsirnya berkata, “Allah s.w.t memberitahukan, bahwa Dia pasti akan menguji para hambaNya dengan bencana-bencana. Agar menjadi jelas siapa (di antara) hamba itu yang sejati dan pendusta, yang sabar dan yang berkeluh-kesah. Ini adalah ketetapan Allah s.w.t atas para hamba-Nya. Seandainya kebahagiaan selalu menyertai kaum Mukminin, tidak ada bencana (yang menimpa mereka), niscaya terjadi percampuran, tidak ada pemisah (dengan orang-orang tidak baik). Kejadian ini merupakan kerosakan tersendiri. Sifat hikmah Allah s.w.t (ini) menggariskan adanya pemisah antara orang-orang baik dengan orang-orang yang jelek. Inilah fungsi musibah” (Taisirul-Karimir-Rahman)
7. Syaikh Nu’man berkata, “Begitu pula orang yang berdakwah mengajak kepada agama Allah harus bersabar menghadapi gangguan yang timbul karena sebab dakwahnya, karena di saat itu dia tengah menempati posisi sebagaimana para Rasul. Waraqah bin Naufal mengatakan kepada Nabi s.a.w, "Tidaklah ada seorang pun yang datang dengan membawa ajaran sebagaimana yang kamu bawa melainkan pasti akan disakiti orang." (Taisirul wushul)
8. Sabar bukan saja menahan diri dari melakukan maksiat, tapi termasuk sabar adalah menahan diri dari mengalah untuk terus teguh menyelamatkan umat dengan solusi dan dakwah.
9. Dalam kebanyakan krisis umat, krisis politik umat memainkan peranan besar dalam menentukan halatuju umat. Ini kerana kehidupan umat ini akan mengikut sifat kepimpinannya.Maka solusi bagi krisis politik hari ini adalah mempunyai umat yang kuat dengan kepimpinan yang kuat.
10. Umat yang kuat, sifatnya mampu bersatu dan mampu meletakkan kepercayaan kepada wakil kepimpinan secara bersama, iaitu Khalifah. Selagi umat hari ini tak mampu mengangkat secara bersama seorang khalifah untuk memimpin mereka, selamanya kita menjadi umat yang lemah dan mudah dipermainkan oleh musuh.
11. Jalan menuju kesepaduan umat secara menyeluruh memang susah sehingga ada yang mentertawakan idea Khalifah dengan menyatakan ia adalah idea lapuk, fatamorgana, utopia, ilusi, fantasi, tak berpijak di dunia nyata, kartun, dan sebagainya. Memperlihatkan usaha ke arahnya hampir menjadi mustahil.
12. Usaha ke arahnya tak mustahil jika kita semua bergerak ke arahnya, ia hanya jadi mustahil apabila semua kita merasakan usaha ke arahnya tidak diperlukan oleh umat ini.
13. Usaha ke arah khalifah akan mendekati umat ini jika kita melakukan sesuatu untuk meruntuhkan penghalang utama mengapa usaha ke arah khalifah kelihatan mustahil, iaitu kerjasama ketenteraan (Pakatan Tentera Islam) di kalangan umat.
14. Apabila Pakatan Tentera Islam berjaya diwujudkan, umat telah berjaya meruntuhkan dan melondehkan kepercayaan bahawa umat Islam hanya patut menjaga tanah air sendiri (runtuhkan ideologi nasionalis), umat Islam boleh menjadi satu pasukan walau berlainan bangsa (runtuhkan ideologi rasisme), umat Islam boleh mengangkat seorang ketua untuk berpasukan (mendekatkan idea khalifah).
15. Namun, idea Pakatan Tentera Islam juga dilihatkan hampir mustahil walau sudah berkurun para aktivis dan cendikiawan melontarkan hujah-hujah rasional ke arahnya kerana idea ini mustahil dilaksanakan oleh pemimpin Muslim Tak Berwibawa yang memimpin umat.
16. Memilih Muslim Berwibawa yang pro ke arah Pakatan Tentera Islam dan Khalifah hampir menjadi pra syarat wajib untuk menjayakan solusi bagi krisis politik umat hari ini.
17. Orang Islam yang merasakan tak penting untuk ada seorang Muslim Berwibawa yang pro Pakatan Tentera Islam dan Khalifah sebagai pemimpin adalah penghalang seterusnya kepada langkah menuju solusi tadi. Malah lebih mengharukan apabila orang Islam ini bersungguh mahu melantik golongan Muslim atau Non Muslim yang memperjuangkan sekular dan bersungguh-sungguh menentang segala usaha menuju Pakatan Tentera Islam dan Khalifah.
18. Bagi mencegah lahirnya orang Islam yang disebutkan di atas, solusinya adalah Musyawarah Umat, iaitu menghimpunkan kesemua umat Islam dalam satu kesepakatan suara yang mahu Islam diangkat tinggi setingginya, Muslim Berwibawa memimpin umat, Pakatan Tentera Islam dijayakan, dan Khalifah kembali diangkat di kalangan umat.
19. Musyawarah Umat boleh dijayakan sekecil-kecil musyawarah dalam keluarga, seterusnya kejiranan, seterusnya kampung atau bandar, seterusnya daerah, negeri dan negara dan dunia. Mengamalkan musyawarah dalam meletakkan kesepakatan dalam suara, pendirian, prinsip dan solusi amat terbuka luas.
20. Jika idea musyawarah umat juga dianggap lapuk, fatamorgana, utopia, ilusi, fantasi, tak berpijak di dunia nyata, kartun, dan sebagainya, fikirkan semula. Ini kerana idea musyawarah datang dari Allah s.w.t yang mencipta sekalian makhluk di dunia ini sendiri, "Dan urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah dan mereka menafkahkan sebahagian yang kami rezekikan kepada mereka. " (Asy-Syura: 38)
21. Musyawarah Umat merupakan indikator tahap pencapaian utama kepada banyak usaha lain yang telah dan pernah digerakkan oleh semua pendakwah, gerakan dakwah atau jemaah dakwah. Apabila umat mampu mewujudkan musyawarah, bermakna umat telah berjaya tawadhuk sebagai hamba berTuhan membuang nilai kesombongan elemen penting dalam usaha pembersihan hati dalam jihad melawan nafsu. Begitu juga umat telah berjaya meraikan ukhuwwah islamiyah ke tahap tertinggi dengan sifat peduli umat, sifat al-itsar, mementingkan persaudaraan, rasa berkeluarga dengan umat elemen terpenting dalam usrah. Begitu juga musyawarah itu adalah sifat profesionalisme dalam menghadapi masalah dengan elemen brainstorming, SWOT analysis, fokus solusi, kreativiti dalam kritis dan tentu sekali sebuah pengamalan sunnah dalam adab mencari solusi. Musyawarah umat hasil musyawarah akar umbi adalah bukti biah solehah, halaqah ilmu, majlis iman dan amal yang berjaya meresap dan dihayati umat.
22. Revolusi aman yang cuba digerakkan oleh NGO dan institusi barat ke arah demokrasi dunia adalah tidak bermakna malah berbahaya kepada umat jika umat tidak menuju ke arah Musyawarah Umat. Jika demonstrasi aman yang dilancarkan tak menuju ke arah umat yang bermusyawarah mencari solusi secara tawadhuk penuh ukhuwwah maka demonstrasi itu besar kemungkinan buah bidak musuh yang sama ada membawa kepada pembunuhan atau kucar kacir umat dengan penuh kekeliruan masing-masing menuding jari menyalahkan dan menafikan dalam masa yang sama.
23. Demokrasi tidak bermakna jika tak mampu digunakan untuk membawa kepada Musyawarah Umat seterusnya melantik Pemimpin Muslim Berwibawa, Pakatan Tentera Islam dan Khalifah. Sekiranya masih ada ruang ke arah itu, gunakan demokrasi sebaik-baiknya. Namun jika dipesong ke arah tujuan lain, awasilah seteru dan kawanmu, kemungkinan kamu menjadi sasaran untuk dipergunakan ke arah demokrasi yang bermatlamat menggagalkan usaha mendaulatkan syariat sepenuhnya.
24. Demokrasi dipergunakan bukan diperjuangkan. Maka prinsip demokrasi tidak akan dijunjung jika bertentangan dengan aspirasi agama dan syariat. Demokrasi dipergunakan sebagai medan dan ruang untuk umat menjulang misi menyatukan umat di bawah Musyawarah Umat bukan sebagai matlamat hingga menjadi penghalang pula untuk umat bebas memperjuangkan syariat.
25. Semua solusi Musyawarah Umat, Kepimpinan Muslim Berwibawa, Pakatan Tentera Islam dan Khalifah ini memerlukan kerjasama semua pihak orang Islam beriman di kalangan umat. Jika semua orang Islam beriman tidak berusaha ke arahnya, maka kita sendiri memilih untuk terus menghadapi ujian dari Allah s.w.t tanpa menyelesaikannya, dan terus bersedih dan berdoa saja buat umat ini. Moga Allah tidak murka kepada kita yang tak mahu menyelesaikan krisis dan hanya mahu bersedih dan berdoa sahaja.
26. Adapun sebilangan orang yang mendakwa, tidak ada solusi lebih tepat di zaman ini yang praktikal melainkan dengan demonstrasi, marah, kecam, kutuk, desak, protes dan sebagainya. Mereka mendakwa itu adalah solusi terakhir sesudah kesepakatan umat tak dapat dijayakan (Musyawarah Umat gagal). Tidak, solusi terakhir bagi umat yang sudah tidak tahan dizalimi dan gagal mendepani kezaliman itu kerana lemah adalah HIJRAH ke wilayah yang lebih aman untuk mengumpul kekuatan.
27. Dan jika ada wilayah AMAN hanya mendakwa "syukurlah kita aman tak perlu hadapi kezaliman yang dialami saudara kita yang lain di sana" juga sudah silap besar. BERSYUKUR dengan keAMANan yang dikecapi adalah dengan MENGUMPULKAN KEKUATAN untuk dihantar menhadapi kezaliman yang berlaku kepada saudara kita! Dan MENGUMPULKAN KEKUATAN itu bergerak ke arah Musyawarah Umat, kemudian Kepimpinan Muslim Berwibawa, Pakatan Tentera Islam seterusnya KHILAFAH.
28. Ya, tanggungjawab untuk menjayakan idea KEKUATAN UMAT dengan SOLUSI Musyawarah Umat, Kepimpinan Muslim Berwibawa, Pakatan Tentera Islam, dan Khilafah ini adalah di bahu umat di WILAYAH AMAN!
29. Jika semua orang Islam di wilayah aman mentertawakan solusi ini dan hanya gembira untuk berkumpul di padang berdemonstrasi saja, dan langsung tak ada keinginan untuk menyokong idea ini, maka tak apa. Allah s.w.t akan menggantikan umat yang tak mahu berusaha dengan umat yang mahu berusaha ke arahnya. Maka semua umat yang telah dizalimi berhijrahlah berkumpul dengan umat yang tak mentertawakan solusi ini dan kita sama-sama bergerak ke arah menjayakannya demi umat.
30. Benar, Allah s.w.t jua yang akan berikan hasil usaha itu. Tapi kita mahu mempersembahkan usaha paling terbaik ke arah solusi krisis umat. Kita sabar berusaha walaupun seluruh hidup membina kekuatan. Asal saja kekuatan itu akan kita wariskan buat generasi seterusnya meneruskannya. Kita yakin ini ujian ke atas kita. Ujian berpegang teguh pada jalan Allah (yang datang dari Allah) dan meletakkan matlamat akhirat (untuk kembali pada Allah) dalam krisis umat.
Tuntas.
Sekian, terima kasih.
mfr
0 komentar:
Post a Comment