|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Tidur di Masjid Sultan Muzaffar yang dikunci tengah malam

Kes cerai yang meragukan

Pasangan itu sudah bercerai. Ini diketahui penduduk kawasan perumahan tersebut arakian si isteri dan si suami sudah tidak bersama bertahun lamanya, juga diketahui mereka sudah ke mahkamah dan pejabat agama untuk proses penceraian.

Namun malam itu,penduduk terlihat kelibat suami muncul kembali di rumah si isteri. Si suami juga dikenali sebagai bekas penagih terus tinggal di rumah tersebut hingga lewat malam, maka penduduk kawasan tersebut mensyaki pasangan yang sudah bercerai itu kembali bersekedudukan. Mungkin mereka melaporkan pada pihak polis terlebih dahulu, kemudiannya pihak polis merujuk Ustaz Kamaruddin sebagai pegawai agama yang bertanggungjawab mengendalikan kes penceraian di pejabat agama Sungai Petani dan juga merangkap pencegah maksiat yang bertauliah.

Kami sampai ke kawasan perumahan tersebut, dan kelihatan beberapa orang penduduk yang bermotosikal sudah berkumpul menunggu Ustaz Kamaruddin. Mereka memandu Ustaz ke rumah yang disyaki pasangan sudah bercerai bersekedudukan itu. Rumah itu gelap seakan tiada yang tinggal. Kami bertiga masuk ke pekarangan rumah, sambil penduduk kampung berkumpul di luar rumah dengan bunyi penuh sunyi.

Ustaz memberi salam, dan kedengaran bunyi melangkah dari bilik mengendap dari tingkap, dan tidak lama selepas itu si isteri muncul membuka pintu tanpa bertudung. Kelihatan kurus kering badannya dengan muka penuh cengkung. Ustaz memperkenalkan diri dan meminta izin memeriksa rumah kerana dilaporkan ada bekas suaminya bertandang di rumah itu. Si isteri mengiyakan dan kami masuk ke rumah dan kembali menutup pintu.

Si suami keluar tanpa berbaju, rambut kerinting sedikit kusut, berbadan tegap dan berkulit gelap, sambil tersenyum bersalam dengan kami bertiga, Ustaz, saya dan Dee.

Perbualan bersama si suami

Si suami membenarkan segala maklumat yang dibacakan Ustaz kamaruddin berkenaan dengan situasi mereka sebagai pasangan suami-isteri. Memang mereka pernah memohon perceraian namun, proses perceraian itu masih belum selesai dan ditangguh dengan sesi-sesi kaunseling oleh pejabat agama. Kemudiannya si suami menghilangkan diri dan proses perceraian itu tak dapat dimuktamadkan. Si suami kembali semula selepas 3 tahun, menjenguk si isteri dan anak kecilnya dan mendapati mereka hidup serba kekurangan hanya punya selapis tilam toto untuk tidur anak beranak dengan bekalan dapur yang sudah habis licin. Si suami membeli barangan dapur dan kembali tinggal di rumah itu bersama si isteri.

Ustaz kehairanan, apakah masih belum jatuh talak. Si suami menegaskan dia tak pernah ceraikan isterinya dengan melafazkan talak. Si isteri mengangguk setuju. Namun tempoh 3 tahun tidak bersama, itu boleh jatuh talak jika si isteri memohon fasakh. Si suami tersenyum, dan berkata isterinya tidak memohon fasakh. Ustaz kehairanan sekali lagi, apakah maksud permohonan perceraian sebelum ini, adakah mereka memohon bukan atas kerelaan sendiri. Bukankah memohon perceraian bermaksud, kedua-dua mereka sudah buat keputusan untuk tidak bersama lagi. Si suami mula buka cerita di sebalik permohonan itu.

Dia seorang nelayan, dan selalu mengambil ganja dan menjadi penagih. Pernah dia masuk ke pusat serenti dan bila ditanya ke mana dia 3 tahun sebelum ini, dia mengaku dia di pusat serenti. Keluarga si perempuan juga tidak suka akan si suami ini. Maka si suami mendakwa, keluarga si perempuanlah yang menghasut isterinya untuk tinggalkan dia dan memohon perceraian. Dia bercerita tentang betapa isteri perlu taatkan suami, bukan taatkan ibu ayah lagi. Dia tak pernah benarkan isterinya keluar rumah dan lari ke rumah keluarga isterinya, namun dia kata dia terima dengan sabar ketika isterinya lari kerana sedar dirinya yang kadangkala kasar pada si isteri.

Saya mula cuba membaca wajah si isteri, apakah dia takut pada suaminya hingga benarkan si suami tinggal di situ walaupun sedang dalam proses perceraian, atau dia memang tidak mahu bercerai dan masih sayangkan suaminya. Saya bertanya pada si suami, "jadi saudara mahu terus bersama dengan isteri atau mahu menceraikannya". Suami itu pun menjawab," saya sayangkan isteri dan anak saya. Itu anak saya masih kecil 4 tahun sedang tidur dalam bilik. Saya tak pernah lafaz cerai.saya tengok depa hidup miskin tanpa saya, siapa yang sampai hati. Saya datang sini pun nak bincang dengan isteri untuk timbang pasal perceraian itu semula" . Ustaz terus bertanya pada si isteri,"jadi hang nak terima dia balik atau nak teruskan proses perceraian". Si isteri pun jawab sambil menunduk, "saya nak terima dia kalau dia berubah".

Nah, saya nampak sebenarnya ada sifat suami yang isteri masih khuatir. Ustaz kembali menjelaskan pada si suami situasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat setempat dan fitnah," masalahnya hangpa 3 tahun dulu dah mohon perceraian, sekarang hang muncul dan tinggal bersama dengan isteri, tapi orang ramai nampak hang dengan isteri sudah bercerai, sebab hangpa pernah mohon perceraian, dan hang tak bagi nafkah 3 tahun lamanya". Si suami pun menegaskan,"masalahnya ustaz, saya tak pernah lafaz cerai, dan proses perceraian itu pun belum selesai. jadi dia ni masih isteri saya. saya tak bayar nafkah itu memang salah saya. Tapi duduk dengan isteri yang masih sah isteri tak salahkan ustaz? Kalau betul dia bukan isteri saya lagi, di mana surat perceraian kami?" saya mula faham mengapa si suami tak takut ketika kami muncul.

Ustaz pun berkata," ya lah, tapi orang ramai tak faham. sebab itu depa hubungi kami untuk menyiasat. memang surat permohonan perceraian ada di pejabat saya. La ni, hangpa nak bercerai atau tak?" . Si suami ketawa kecil mendengar soalan itu, "Saya memang tak lafaz cerai lagi, tanya dia lah nak teruskan atau tak". Ustaz sekali lagi bertanya pada si isteri,"hang nak teruskan atau tak?" Si Isteri menggeleng. Ertinya dia perlukan suaminya. Saya pun lihat dia kurus kering tentunya tak cukup makan. Nak besarkan anak lagi, memang dia masih perlukan suaminya. Melihat si isteri sudah menggeleng, si suami pun lega dan tersenyum, kami semua mengucapkan alhamdulillah.

Suami dia ada kesedaran agama

Si suami pun mula menegaskan kembali dan nak menunjukkan sikap penduduk situ menghubungi ustaz satu sangka buruk yang melukakan dirinya, "saya walaupun macam ni (seorang penagih) tapi saya bukan tak faham hukum. Selagi saya tak lafaz cerai, selagi itu isteri saya sah untuk saya. Orang ramai bukan penentu status perkahwinan saya, saya yang pegang kuasa nak cerai atau tidak." Ustaz mula kelihatan bimbang akan ayat si suami. Dia seakan-akan lupa bahawa dia tak bayar nafkah, menghilangkan diri 3 tahun boleh jatuh talak oleh mahkamah. Namun betul juga hujah dia, kerana isterinya tak pernah mohon fasakh.

"Masalahnya, hang kena berubah macam isteri hang nak. jangan ambil lagi (ganja)." Ustaz memberikan peringatan. "Ganja pun satu isu juga. Kalau betul ganja haram, mana ayat Quran sebut ganja haram. Ayat quran ada sebut arak, khinzir haram tapi ganja tak ada. Ganja ini pun tengok macam mana orang itu ambil, kalau macam saya ini ambil hanya untuk kuat tangkap ikan saja. Haramkah?" si suami berhujah. Saya mula berkerut dahi untuk berfikir rasional pemikiran si suami itu.

Saya yang duduk paling hampir dengan si suami memegang lututnya, lalu berkata, "haram dan halal bukan semata-mata perlu diumum dalam Quran secara spesifik. Jika sesuatu yang banyak mudarat dari baik, maka haramlah ia. Walaupun diambil sedikit". Ustaz pula mencelah," ayat Quran itu bukan sebut arak, tapi sebut khamar. khamar ini suatu yang memabukkan, dadah juga suatu yang memabukkan. Arak yang memabukkan itu walaupun diambil dengan kuantiti kecil dan tak memabukkan si peminum juga jatuh haram. Ambil sikit ka, banyak ka, suatu yang memabukkan yang haram itu kekal haram jika diambil."

Si suami masih tak puas hati," saya hairan kenapa orang hisap ganja kena tangkap, tapi orang minum arak tak kena tangkap. Tangkap sama lah orang minum arak" Ustaz pun menjawab,"itu masalah manusia yang menjalankan kuatkuasa hukum di dunia, tapi sebagai seorang islam, kita kena yakin Allah sudah letak hukum begitu dan kena menjauhinya. Mungkin yang buat benda haram di dunia terlepas hukuman dunia, tapi hukuman akhirat itu lebih pedih".

Dia masih tak puas hati bila dirinya sebagai penagih dilihat hina. "saya walaupun tak belajar agama tinggi, tapi bila orang ajar agama, saya ingat. Saya pernah sertai tabligh. saya ingat dan belajar apa yang dapat dari tabligh. Allah bukan menilai dari luaran, tapi dari hati kita. Hati saya ni masih ingat kat Allah," si suami menjelaskan. Saya pun menambah,"tapi saudara, hati saja tak cukup saudara. Saya pun sertai tabligh, walaupun Allah tak menilai luaran, tapi iman yang Allah nak lihat adalah iman yang menghasilkan amal. Saudara yang sedar agama ini, perlu tunjukkan amalan baik pada Allah, termasuk meninggalkan ganja itu dan berbuat baik pada isteri".

"Tapi ganja tak disebut haram dalam Quran" dia pusing kembali hujahnya.

Kami mengakhiri pertemuan itu

Maka, melihatkan si suami masih tak mahu menerima bahawa ganja itu haram untuk diambil, maka Ustaz kembali merumuskan situasi semasa mengenai isu perceraian mereka. Mereka akhirnya muktamad tidak bercerai dan masih mahu bersama pada malam itu. Seorang wakil penduduk masuk ke rumah dan difahamkan ustaz akan situasi mereka. Saya menyentuh si suami yang tak berbaju itu lalu berkata, " saya lihat saudara ada kemahuan agama, belajarlah agama lagi dan tingkatkan amalan. jagalah isteri saudara baik-baik, kelak Allah akan tanya saudara di akhirat, apakah hak seorang isteri telah saudara tunaikan". Dia menjawab sambil tersenyum berkaca-kaca mata,"saya masih sedar tentang itu, dan akan perbaiki semula hidup kami anak beranak".

Dia mengiringi kami keluar rumah dan mula bertemu penduduk yang berkumpul di luar pagar sambil berkata, "saya harap saudara-saudara semua faham saya masih suami pada isteri saya. Saya harap tak ada salah faham lagi. Dan jangan cepat menilai kami. ". Saya pun menambah sedikit, "harap kalian selalu-selalulah amalkan ziarah menziarahi supaya tiada syak wasangka dan salah faham." Kemudian ustaz menerangkan kembali pada beberapa orang penduduk yang masih samar-samar situasi sebenar. Si suami juga mula bersalam-salam dengan beberapa pemuda dan menerangkan keadaan dirinya.

Saya dan Dee menuju ke kereta sambil menunggu Ustaz menghabiskan urusan tadi. Dee pun berkata," isteri dia tu tak tahan dah tu. Dapat pula suami hisap ganja, makin kuatlah suami dia boleh 'main'. Tu sebab dia sayang lagi suami dia. Aku dengar dari orang kat luar tadi". Ah, ke situ pula hipotesisnya!

Ustaz pula dalam kereta sambil bawa kami pulang berkata, " memang begitulah orang yang ambil ganja ini, cakap berpusing-pusing. Dia baru lepas 'kena' agaknya".

Kami pun pulang ke rumah ustaz dan tidur dengan lena. Saya cukup bersyukur hari itu bukan saja saya mendapat gambaran masalah remaja, malah saya juga diberi gambaran mengenai masalah dewasa yang sudah bernikah. Saya berdoa, moga Allah terus mendidik saya dalam pengembaraan yang masih panjang untuk ditempuh itu.

----------------------------------------------
bahagian 7 nanti saya kisahkan pengalaman saya dan Dee berdua di sungai petani pada hari esoknya.


.



0 komentar: