|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
perang poster di menara jam pekan Parit Perak

1 Mac dari Kansai ke KLIA

Ini kali ketiga saya pulang ke Malaysia sejak melanjutkan pelajaran ke Jepun. Kali pertama pada Ogos 2005, kali kedua pada Februari 2006 dan ini kali ketiga Mac 2008. 2 Kali saya pulang melalui Nagoya Airport. Namun tahun ini, dikhabarkan tiada lagi penerbangan MAS dari Nagoya. Maka saya pulang melalui Kansai Airport.

Atas sebab perbelanjaan kali ini melibatkan juga pengembaraan Misi Jelajah, saya telah cuba berjimat cermat wang biasiswa sejak beberapa bulan demi menampung tiket pulang Malaysia (pergi balik) , hadiah-hadiah untuk keluarga (sebab 2 tahun tak balik),dan perbelanjaan sepanjang misi. Disebabkan kesudian teman saya dari Pasir Mas untuk menemani saya sepanjang misi, maka saya telah berjanji untuk menampung segala perbelanjaan kami membelah 6 negeri itu (Kelantan,Kedah,Pulau Pinang,Perak,Selangor,Johor).

Sebagai manusia yang sudah bertekad untuk mengorbankan keseluruhan hidup pada dakwah, maka sejak 2007 lagi saya sudah mengurangkan aktiviti lagha bersama teman-teman. Memang ada yang kata saya kera sumbang, anti sosial dan sebagainya, namun ini semua tak dapat dielakkan kerana usaha dakwah memerlukan juga pengorbanan harta. Maka berkurangnya aktiviti lagha, dapatlah saya mengurangkan perbelanjaan wang di jalan lagha, dan dapatlah wang itu semua dilaburkan di jalan dakwah dan beberapa misi yang saya rancangkan.

Apa saya buat sebelum misi?

Saya mahu menghubungi beberapa orang tokoh yang belum memberikan kata putus berkenaan dengan permohonan temujanji saya. Namun memandangkan suasana Malaysia sejak 1 Mac itu dalam suasana pilihanraya, saya fikirkan tentu saja tokoh-tokoh yang saya ingin ketemu jua berada dalam keadaan sibuk.

Oleh itu, saya meninggalkan semua nota-nota perancangan, peta-peta lokasi, dan segala kelengkapan rakaman dalam beg tersusun rapi dari 1 Mac hingga 17 Mac. Saya peruntukkan keseluruhan tempoh 2 minggu lebih itu untuk bersama keluarga semata-mata. Saya fikirkan 17 Mac mungkin tarikh sesuai memulakan misi, kerana beranggapan suasana pilihanraya mungkin sudah reda pada waktu itu, iaitu 9 hari selepas hari pengundian.

Saya membelah 4 negeri sebelum misi

Hasrat saya untuk menjelajah bertemu tokoh telah saya khabarkan pada umi (ibu saya) sejak sebulan sebelum pulang. Pada abi (ayah saya), baru saya khabarkan beberapa hari selepas pulang. Abi saya agak berlapang dada selepas pencen. Dia merestui misi saya walaupun dia tidak memahami apa misi itu, tujuannya, faedahnya dan sebagainya. Kalau dulu semasa zaman persekolahan, abi saya sering syak wasangka pada saya jika melibatkan diri dengan aktiviti persatuan atau gerak kerja luar. Dia tidak mahu anak-anaknya terlibat dengan gejala tak bermoral atau terpesong. Malah dulu, semasa sekolah di Taiping saya pulang balik bermalam dengan imej yang sedikit aneh, menyimpan janggut, membaca quran lama-lama, solat sunat banyak-banyak, semua itu disyaki abi saya dengan anggapan saya telah menyertai al-Qaeda.

Sejak kecil, memang beberapa pendirian saya agak berbeza dengan abi. Lagi-lagi ketika tamat motivasi dengan Motivasi Alihan Pelajar yang dikendalikan oleh Tengku Asmadi yang mengutamakan "matlamat hidup" telah buatkan saya bernekad untuk berhempas pulas menuju "matlamat" saya yang saya fikirkan patut menjadi "matlamat" setiap pejuang islam, dakwah-daulah-rahmah-redha Allah. Benar, Tengku Asmadi mengajar matlamat seorang pelajar biasa seperti menjadi pelajar terbaik dalam peperiksaan, mencapai cita-cita kerjaya yang diidamkan, menjadi anak soleh dan sebagainya. Namun hasil didikan Tengku Asmadi itu, saya merasakan "matlamat" yang lebih baik dari itu semua adalah "matlamat kembali pada Allah sebagai pejuang agamaNya".

Abi saya yang hantarkan saya bersama adik ke MAP pada tahun 1999. Terima kasih pada abi dan Tengku Asmadi kerana berkat didikan mereka, saya berjaya dalam PMR. Namun, mata saya telah terbuka waktu itu bahawa pendidikan berorientasikan peperiksaan adalah pendidikan tipu-tipuan semata-mata. Maka motivasi saya bukan lagi ke arah berjaya dalam peperiksaan, namun berjaya mencapai syahid iaitu mati yang diiktiraf sebagai mati di jalan Allah. Bagaimana menuntut ilmu boleh membawa syahid? ya, menuntut ilmu untuk diperalatkan ilmu itu nanti demi misi memperjuangkan agama Allah bila segala kekuatan telah siap dibina pada usia pelajar lagi.

Abi saya membawa saya bertemu ahli keluarga termasuk nenek di Perak, kakak dan adik di Johor, kakak di Selangor, dan abi sendiri sudah menetap di Nilai negeri Sembilan. Maka banyak juga tempat saya kunjungi sepanjang menantikan 17 Mac untuk memulakan misi. Bolehlah disebut sebagai membelah 4 negeri (Negeri Sembilan, Perak, Selangor,Johor).

PRU 12

Seminggu selepas 1 mac, maka tibalah hari pengundian pilihanraya umum ke 12 iaitu pada 8 Mac. Abi mengundi di Klang, Selangor. Umi pula mengundi di Parit, Perak. Umi mendaftar buat pertama kalinya ketika kami menetap di Parit sekitar tahun 1993-1995. Namun, inilah kali pertama Umi membuang undi iaitu pada tahun 2008. Nama umi masih belum dipindahkan ke Klang ketika kami sekeluarga berhijrah ke Selangor pada tahun 1995.

Saya sempat merakam suasana pengundian di Parit dan Klang. Di Parit, walaupun ada pasukan FRU di depan pagar, namun suasana tenang. Begitu juga di Klang. Namun di Klang, kami tiba lewat hampir 15 minit sebelum waktu mengundi ditutup.

Saya tidak mengundi. Dengan alasan saya tidak daftar mengundi. Memang saya sengaja tidak mendaftar, supaya orang tak boleh paksa saya mengundi apa-apa parti. Saya menjadi non partisan yang neutral. Yang ada pendirian tersendiri dalam banyak hal politik. Benar, buruk pendirian saya, hanya buruk saya seorang. Tiada parti akan merasa malu dengan saya. Tapi buruk pendirian, tingkah laku, dan perangai ahli-ahli mana-mana parti, ketahuilah bahawa saya memandang anda dan parti anda buruk.

Pendirian asas politik saya

Benar, banyak hujah ahli parti mana-mana suruh rujuk dasar parti jangan rujuk ahli parti. Menyokong parti kerana kita menyokong dasar parti, walaupun kita tak setuju dengan pendirian dan perangai sesetengah ahli, kata mereka. Pandai mereka cakap. Tapi tahukah anda, banyak gosip politik untuk meraih undi dan menyemai sengketa dan kebencian pada pihak lawan adalah berteraskan hujah "lihat si anu" merujuk pendirian dan perangai ahli parti, bukan dasarnya! Inilah budaya berpolitik yang entah apa-apa, murahan, dan tak membawa rahmah ke seluruh alam.

Jangan sebut nak mencontohi Rasulullah s.a.w dalam berpolitik, jika perkara asas dalam menguruskan hati dan gerak kerja pun tak sama dengan apa yang patut diteladani dari Rasulullah s.a.w. Kisah percubaan Rasulullah s.a.w berdakwah di Taif sangat signifikan pada konteks perjuangan dakwah yang tidak diterima orang, dicemuh dan dikerasi. Lihat apa yang Rasululullah doa. Rasulullah s.a.w walaupun ditawar oleh Jibril a.s untuk memohon bala pada penduduk Taif telah menolaknya. Dan kepada Allah s.w.t tidak pula diadukan perbuatan buruk penduduk Taif , tapi baginda memohon agar diampunkan Allah akan kelemahan diri baginda dalam menyampaikan dakwah dan memohon Allah memberikan kekuatan kepada baginda lagi. Apa iktibarnya? Iktibarnya adalah mengoreksi diri dan memperbaiki kualiti diri lebih banyak untuk diterima orang, dari kita berhempas pulas bersengketa dan memburuk-buruk pihak lawan supaya sebab pihak lawan buruk, maka orang perlu pilih kita.

Ini asas yang sangat asas. Kalau ada pertandingan memilih ketua kelas, calon-calon akan dipilih kerana apa yang baik yang ada pada calon. Calon ketua kelas tak perlu nak buruk-burukkan antara satu sama lain, supaya orang memilih siapa yang kurang buruk antara calon itu. Celaka sungguh. Kalau ada calon-calon isteri atau suami pun, kita pilih mana yang baik, bukannya mana yang kurang buruk. Celaka sungguh jika antara calon-calon isteri yang datang pada kita memburuk-burukkan calon lain, supaya kita pilih dia. Itu perangai yang buruk dan terdesak!

Sebab itu dalam perjuangan islam, kita pegang pada asas "buat saja kerja, umat akan melihat, Allah akan menilai". Sebab itu dalam dakwah islam, kita promosi apa yang baik dalam islam, kita tak perlu nak promosi apa yang buruk dalam Hindu, Buddha, Kristian dan sebagainya. Kita tak perlu nak dedahkan sami itu ini, atau paderi itu ini buruk perlakuannya demi untuk menaikkan saham para ulama kita. Kita juga tak perlu nak hina-hinakan tuhan agama lain untuk menaikkan saham Allah sebagai Tuhan kita semua Yang Esa. Sebab nanti terpalitlah pada muka kita bila ada ustaz-ustaz kita berzina atau berperilaku buruk. Dan marahlah kita jika atas sebab perbuatan kita menghina tuhan agama lain, Allah pula dihina atas sebab kebangangan tindakan kita. Hal itu dah pun berlaku dalam sengketa parti-parti politik. Hari ini kamu hina parti A, esok terpalit hal sama pada parti kamu, parti A pula menghina balik. ini kebudak-budakan. Politik tadika kemas.

Keputusan PRU yang mengkadukkan

Bila Pakatan Rakyat (dulunya Barisan Alternatif+DAP) memenangi 5 negeri, saya sangat teruja untuk mendapatkan maklum balas dari penyokong-penyokong mereka. Sudah saya jangkakan. Memang ada kaduk-kaduk yang meloncat gembira ketika ayam mereka yang menang itu dah bukan milik mereka. Benar, saya tak suka DAP. Dan saya memang hairan ada pejuang Islam ucapkan syukur kerana DAP berjaya mengalahkan UMNO. Tak, DAP juga berjaya kalahkan PAS.

Saya malas nak ulas situasi negeri lain, sudah saya katakan pada rakan-rakan saya yang bersembang politik dengan saya, setiap pertembungan politik tidak sama neracanya di semua negeri. Jangan bawakan semangat pertembungan PAS-UMNO di Kelantan ke Perak. Situasinya berbeza sungguh. Kalau di Kelantan itu ekonominya alhamdulillah muslim masih pegang. Tapi di Perak, adakah begitu? Jangan nak buat-buat bodoh dengan kata sejarah Cina Perak sama dengan sejarah Cina Kelantan. Lain. Kemajuan perlombongan bijih timah di Perak pada era 20-an telah membawa pada penghijrahan Kaum Cina ke Perak. Termasuk yang masuk adalah ahli-ahli kongsi gelap Cina hingga mereka berperang sesama sendiri. Semangat perjuangan kepuakan, chauvinis, komunis dan sosialis banyak tersebar di kalangan orang Cina Perak langsung memberi efek pada kaum Melayu sama. Tahukah anda, hero-hero nasionalis Melayu kebanyakannya mendapat dan membina pengaruh di Perak.

Sebagaimana Melayu Perak berbeza dengan Melayu negeri lain dalam catatan sejarah pun,

"di zaman dulu dato maharajalela pandak lam dan dato sagor juga antara yang terkenal kerana yang pertama melawan british secara nekad dengan membunuh residen british pertama di tanah melayu, walaupun raja peraklah sendiri yang pertama menjemput british sebagai orang tengah dalam konflik politik perak sewaktu itu sehingga british mendapat tempat istimewa hingga boleh menasihat sultan.

kalau ikut sejarah umno perak, nama datuk panglima bukit gantang tak boleh dilupakan.beli aulah anak pembesar melayu pertama yang melanjut pelajaran ke england. beliau juga walaupun pengerusi umno negeri, adalah yang pertama berani menubuhkan parti berstatus negeri dengan nama parti kebangsaan perak walaupun beliau adalah menteri besar perak. akhirnya parti itu pro IMP di bawah pimpinan dato onn.

parti-parti lain di dalam sejarah perjuangan bangsa melayu seperti PKMM pun ditubuhkan di Ipoh, dan nama seperti Ahmad Boestamam sebagai tokoh pemimpin PKMM juga tak boleh dipisahkan, dan beliau berasal dari Perak.

begitu juga dengan sejarah PAS yang dikaitkan dengan parti Hizbul Muslimin yang diasas oleh Ustaz Abu Bakar al baqir yang juga memimpin institusi pondok cemerlang di negeri Perak sewaktu itu di Gunung Semanggol adalah dilahirkan di Gunung Semanggol di negeri Perak juga."

Itu tulisan saya dalam forum komuniti anak Perak : Silverian.Org
http://silverian.org/forum2/index.php?topic=2638.0

Saya bukan nasionalis Melayu. Jangan bimbang. Jika saya anti-bukan melayu, maka orang Jepun lah manusia yang akan saya sembelih dulu, atas kerana pendudukan Jepun di tanah Melayu, apatah lagi saya sudah menduduki Jepun pada hari ini.

Namun, penyatuan muslim adalah agenda saya.Begitu juga pengislaman kaum bukan Melayu menjadi harapan saya. Aneh, bukan? Kaum bukan Melayu di Malaysia paling perlahan memeluk Islam, sebab mengapa? Dan ada kaum Melayu yang berusaha keluar dari Islam, sebab mengapa? Begitu juga mualaf bukan Melayu ramai bermohon keluar islam, sebab mengapa? Islam asas matlamat, pendirian dan cita-cita saya.

Matlamat untuk mengislamkan seluruh Melayu belum tercapai lagi atas kerana ada titik pemisah zaman antara usaha penyebaran Islam dalam komuniti Melayu dulu dengan usaha dakwah pada hari ini. Namun, kesudian majoriti Melayu untuk mengaku muslim adalah sangat baik. Tapi majoriti yang berpecah kepada minoriti kepuakan membuatkan bukan saja usaha memelihara keislaman Melayu tercabar, malah imej Islam pada kaca mata bukan islam juga terjejas. Kepuakan melayu dalam unit minoriti membuatkan generasi muda mudah dibaham oleh kumpulan-kumpulan ideologi bebas merujuk pada geng-geng underground muzik dan pelbagai sub budaya yang menjadi trend dan cara hidup. Anda tak percaya ramai anak melayu terlibat dalam aktiviti sebegini? Pergi turun ke lapangan. Silakan. Terutama anak-anak Perak, sangat membimbangkan saya.

Oleh itu jangan nak disamakan anak-anak melayu Kelantan yang belajar pondok dengan anak-anak Perak yang ramai tersasar oleh tokeh-tokeh arak di Perak.

-------------------------------------------------------------------

bahagian 3 nanti akan saya ceritakan jelajah pertama saya ke Pasir Mas.



0 komentar: