Bertolak dari Stesen Putra
Saya membeli tiket bas ekspres ke Paisr Mas pada 16 Mac, dan pada 17 Mac saya , abi dan adik perempuan saya bertolak pada pukul 7.30 pagi ke Kuala Lumpur. Dari Nilai jalan agak tenang, sehinggalah apabila memasuki lebuhraya. Kesesakan lalu lintas menuju ke KL suatu yang lumrah pada pagi Isnin. Abi sempat berbicara dengan saya mengenai misi jelajah itu. Saya tak cerita banyak, kerana beberapa orang tokoh belum beri kata putus tarikh yang sesuai untuk bertemu. Saya bimbang jika tarikh cadangan saya ditolak mahupun bertimpa temujanji itu dengan tokoh lain. Jika itu berlaku maka misi saya adalah gagal.
17 Mac hingga 20 Mac adalah hari persiapan saya. Misi hanya bermula 21 mac iaitu bersama tokoh pertama dalam senarai iaitu Ustaz Kamaruddin di Sungai Petani. Ustaz Kamaruddin sudah memberikan kesudian untuk bertemu dengan saya sejak saya di Jepun lagi. Oleh itu misi di Kedah tidak membimbangkan saya. Cuma misi yang lain saja, saya khuatir gagal.
Saya bertolak dari Stesen Putra pada jam 9.45 pagi,sambil abi dan adik perempuan saya melambai-lambai saya ketika saya memasuki bas. Hati saya sebak, kerana kepulangan saya ke Malaysia hanya memperuntukkan 2 minggu saja bersama keluarga. 2 minggu lagi untuk misi yang dirancang saya. Tapi ini baru misi kecil yang tidak sehebat mana. Berpuluh misi lagi tersimpan kemas dalam diari peribadi saya sejak lepas PMR.
Ini jalan perjuangan yang telah saya ikrar pada Allah bersungguh hati selepas setiap kali solat hajat memohon kejayaan PMR dahulu. Ia seakan nazar. Allah telah makbul doa saya ketika umur 15tahun dulu, saya merasai pertolongan Allah itu. Memang susah untuk kita bicara soal ini. Tapi ia seakan lampu suluh buat iman saya, bahawa janji Allah itu pasti, maka kita saja perlu menuju ke arahNya semampu daya. Ini suatu yang serius. Orang lain boleh main-main, kerana mereka tak dapat apa yang kita dapat. Kita sudah dapat signal, kita main-main juga, memang celaka sungguh. Kadang saya jatuh terjelupuk, tapi Allah tetap selamatkan saya selepas tersasar, kembali ke trek yang betul.
Ketika berada dalam bas, saya memohon sungguh-sungguh, biarlah misi yang diidamkan dan dipendam selama 8 tahun ini berjaya untuk iman saya meningkat, agar misi lain juga terlaksana. Misi-misi inilah harapan saya untuk duduk menumpang meraih rahmat bersekali dengan barisan pejuang agamaNya yang diredhaiNya. Ini bukan halatuju hidupku, tapi lebih penting ia hala tuju kematianku.
Sampai Pasir Mas
Setelah hampir 8 jam berada dalam bas ekspres, saya sampai ke Pasir Mas.Jam pukul 5.30 petang. Teman saya yang bernama Dee sudah pun menunggu di luar stesen dengan wajah selamba senyum bermalas-malas.
Setelah bersalam ringkas, dan senyum malu-maluan, saya pun menaiki Kancil Dee menuju ke bangunan 3 tingkat yang saya ceritakan dulu. Memang bangunan itu kelihatan bagai tak siap.
Dari maya ke realiti
Izinkan saya menceritakan sedikit kisah persahabatan kami ini. Perkenalan kami sebenarnya secara tak sengaja bermula di forum alwancomics. Dia juga pencinta komik islami, tapi dengan gaya yang lebih lembut sentuhan lukisannya. Jika lukisan perempuan saya itu, nampak kasar saja, tidak bagi Dee, lukisannya penuh jiwa yang berbunga-bunga. Bagai rama-rama terbang keluar dari lubang hidung melihatnya. Tidak hairan Dee ramai peminat anak-anak gadis maya yang berebut-rebut lukisannya. Apatah lagi Dee itu handsome lagi kacak. Bakal al-hafiz pula.
lukisan Dee cuplik dari novelnya
"skooterku?..nurkasihmu?"
Kami bersahabat hampir 2 tahun lebih. Sudah banyak pengalaman yang kami kongsi bersama walaupun masing-masing berada depan kaca monitor komputer saja. Pengalaman yang tak dapat dilupakan tentu saja semasa menyiapkan video pembukaan dan penutup sebuah acara di sebuah universiti terkemuka di Malaysia. Hebat mahasiswa sekarang, mengupah orang luar universiti buat kerja mereka. Import dari Pasir Mas dan Jepun pula tu.
Dekat 3 malam kami tidur tak menentu, menghadap flash untuk berikan yang terbaik. Itulah, demi untuk merealisasikan "di sini semuanya percuma" dan "semangat berkorban", akhirnya video yang dibuat free of charge itu mendapat pujian hadirin termasuk menteri yang dijemput merasmikan itu. Kami berdua pula masing-masing menyesal kerana menyatakan kesudian membantu untuk menghasilkan video. Acara itu langsung tak islami, walaupun ada sub acara melibatkan kursus kahwin dan pertandingan nasyid. Pada satu malam, sebuah dewan kolej universiti itu terbakar. Banyak lagi pengalaman kami, termasuk menyiapkan komik bersama, berperang dalam
forum dengan serangan gerila, dan menghack website orang biadap. Sepanjang pengalaman kami, saya banyak menimba ilmu beberapa software dan programming dari Dee.
Petang itu, Dee belanja saya makan nasi bungkus. Saya belanja minum air soya strawberi. Kami makan dan minum di bangunan 3 tingkat tadi sambil bercerita serba sikit khabar masing-masing. Kami agak kekok berbual walaupun sudah bersahabat selama 2 tahun lebih, tapi inilah kali pertama kami bertemu face to face.
Menghubungi tokoh
Saya mengambil masa beberapa hari itu untuk menghubungi tokoh-tokoh setelah 2 minggu nota-nota misi tersimpan dalam beg sejak pulang ke Malaysia. Mufti Perak bersetuju bertemu dengan kesudian itu diberi melalui wakilnya. Selesai sudah kebimbangan misi di Perak. Cikgu Sidek Baba lebih lagi mengejutkan saya. Tarikh yang dicadangkan oleh saya walaupun jatuh pada hari sabtu, hari cuti beliau, namun beliau nampak mesra dan sangat menyokong apa yang saya ingin lakukan. Cuma ketika dihubungi, beliau sedang bersiap untuk ke Jakarta. Dan hanya pulang ke Malaysia sehari sebelum bertemu saya.
Mufti perlis pula ketika dihubungi telah menolak jemputan saya. Hal itu telah saya kisahkan pada bahagian yang lalu. Manakala Ustaz Rasul Dahri belum boleh beri kata putus. Ustaz Zamihan tiada masalah kerana sudah awal-awal lagi masukkan pertemuan dengan saya dalam diarinya sejak saya di Jepun lagi.
Selesai mengemaskini pelan, saya bersiap mencari serban dan baju melayu di pekan Pasir Mas. Itu adalah impian saya sejak lepas PMR dulu. Misi pertama saya mestilah berserban dan berbaju melayu. Ia seakan-akan program merealisasikan impian anda, nah, betapa gembira jika begitu.
Menziarahi Allahyarham Tuan Guru Haji Lah Lubuk Tapah
Berita pemergian Tuan Guru Haji Lah sempat saya baca di ruangan cbox blog Ustaz Zamihan pada pagi itu. Dan ketika menghubungi Ustaz Fadzli KIAS atas cadangan Dee, berita itu sekali lagi dimaklumkan. Saya dengan itu menyatakan hasrat pada Dee untuk bersama beliau menziarahi Allahyarham Tuan Guru.
Walaupun diri saya adalah orang luar, bukan saja bukan orang Kelantan, malah bukan juga orang pondok, namun kelibat saya disambut seperti sebahagian dari Pondok Lubuk Tapah. Kami masing-masing bersedih dengan pemergian seorang ulama besar di Kelantan. Sultan Kelantan dikhabarkan menziarahi dua kali hari itu.
Sempat saya mencium dahi dan pipi Tuan Guru, sambil berdoa moga roh beliau diletakkan sebaris hamba-hambaNya yang dikasihi Allah. Saya juga berdoa jikapun saya tak mampu jadi sebaris ulama sepertinya, biarlah saya menjadi sebaris syuhada.
Bertolak pada malam 20 Mac
Dee sebenarnya boleh menemani saya seminggu saja kerana cuti semesternya hanya berbaki seminggu. Lalu dia menulis surat untuk memohon cuti seminggu lagi dengan alasan mahu menyiapkan kajian individu. Dee yakin permohonannya akan diluluskan, kerana jika ada permohonan untuk bercuti kerana menyertai ceramah PAS, pasti kolej meluluskan. Ditambah, Dee sendiri sudah banyak menabur khidmat pada jemaah termasuk menjadi driver mengangkut pengundi-pengundi untuk mengundi PAS di Pasir Mas (walaupun Ibrahim Ali bukan calon parti PAS).
Hari terakhir saya di Pasir Mas, saya berhajat untuk mengadakan jamuan buat ahli keluarga Dee. Ya lah, saya meminjam anak mereka untuk tujuan misi saya, jika tak digembirakan hati kedua ibubapanya beserta 10 adik beradiknya yang majoriti perempuan itu, saya akan rasa bersalah. Ketika saya bertanyakan pada adik lelaki Dee yang kecil, "apa yang paling sedap untuk dijadikan jamuan?", dia menjawab,"Sate!"
Oh, suka benar sate. Ibu Dee menyambut saya dengan mesra. Melihatkan diri saya yang tak cekap kecek kelate, ibu Dee berusaha bercakap luar namun tidak susah kerana dia seorang guru. Ayah Dee juga mesra dengan saya. Selesai berjemaah maghrib berimamkan ayahnya, kami semua menyantap sate-sate yang telah dibeli saya dan Dee. Oh, sate itu berskala kecil. Adik-adik perempuan Dee juga menyantap dengan lazatnya, walaupun tersipu-sipu malu melihat saya sebagai orang luar bersantap bersama keluarga mereka. Tapi mereka semua tetap manis-manis.
Selesai solat Isyak berimamkan ayah Dee sekali lagi, kami pun bersiap untuk bertolak. Ketika Dee bersalam dan berpeluk cium dengan ibu dan adik-adiknya yang ramai itu, ibu Dee terperasankan saya tersenyum-senyum kambing memandang mereka. "marilah bersalam dengan makcik, kesian pula" kata ibu Dee sambil melapik tangannya dengan tudung. Saya pun dengan penuh terharu bersalam dengan ibu Dee. Ayah Dee menghantar kami ke perhentian bas. Dee berkata, "jarang-jarang family aku mesra dengan orang luar". Saya memanjatkan syukur.
Kami bertolak ke Sungai Petani pada jam hampir 10 malam.
---------------------------------------------------------------
bahagian 4 nanti, saya ceritakan misi di Sungai Petani bersama Ustaz Kamaruddin Kassim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment