Adegan yang tidak dirakam
Memang banyak adegan yang tidak dirakam, tapi amat menarik untuk dikongsikan sepanjang dokumentasi Dakwah Lapangan Ustaz Kamaruddin.
Salah satunya adalah perbualan saya dan Dee bersama dengan 'amy' si gadis malang yang mendatangi Ustaz Kamaruddin yang boleh dilihat dalam bahagian 2 rakaman yang saya upload ke Youtube tersebut.
Dalam rakaman yang diupload tersebut, selepas babak Ustaz Kamaruddin bergambar dengan anak-anak muda yang tersasar itu, Ustaz Kamaruddin telah mengajak si 'amy' untuk makan tengahhari bersama dan si 'amy' bersetuju kerana dia pun belum makan, hanya minum saja iaitu meneguk arak di belakang bangunan.
Kami berjalan bersama Ustaz dan amy ke salah sebuah gerai makanan di Stesen Bas Sungai Petani. Sambil kami masing-masing memesan minuman jus, amy memesan nasi goreng sambil malu-malu melihat saya dan Dee yang merenung dirinya.
Dia gadis yang comel, senyumannya manis, cuma air mukanya kelam dan tidak bercahaya. Benarlah, dia sedang terjerumus dalam dunia gelap, tanpa ada sesiapa yang memimpinnya untuk keluar dari dunia itu. Saya hampir menitiskan air mata sambil merenung wajahnya. Jika saya yang konon bertekad mahu menjadi pembela agama dan penyelamat umat, namun tidak berdaya menawarkan apa-apa buat amy.
Mahu saja saya melamar dia, berkahwin dan membawa dia tinggal di Jepun menemani saya. Apatah lagi saya merancang untuk tinggal di Musolla yang akan diwujudkan selepas saya pulang ke Jepun pada April. Tentu dia akan tiada kesempatan untuk kembali ke dunia gelap itu, apatah lagi untuk kembali dipengaruhi rakan-rakan lamanya yang menjeratnya ke dunia itu.
Dia pasti akan berubah sedikit demi sedikit, tinggal di Musolla di Jepun, ada sawah padi di tepi Musolla, muhasabah diri selalu sambil menikmati keindahan alam di Gofuku Toyama ini, solat di awal waktu, mendengar azan, bertahajjjud bersama saya, oh alangkah besar kecintaan Allah pada saya jika saya berbudi dan berjaya memimpin seorang hambaNya yang sesat kembali ke pangkal jalan. Tapi, saya tak sampai hati melamarnya, kerana hidup saya tiada masa untuk membelai seorang isteri malah bermasalah pula menanggung nafkah zahir batinnya.
Perbualan bersama Amy
Saya bertanya berapa umurnya, amy menjawab 17 tahun sambil tersenyum. Dia sebaya dengan adik lelaki kedua saya yang baru tamat SPM. Ustaz Kamaruddin duduk sebelah amy sambil bertanya hal keluarganya.
Benar, keluarganya bukan keluarga orang senang. Dari tutur ceritanya, amy membayangkan rumahnya tidak aman buatnya. Dia sering dimarahi mak dan ayah. Namun ketika bercerita mengenai adik-beradiknya, amy bercerita kakaknya sedang menuntut di Mesir. Saya tak nampak bagaimana perasaan kakaknya jika tahu mengenai nasib adiknya sudah begini hanyut.
Ketika saya bertanya apakah yang amy minat untuk lakukan jika diberi peluang oleh Jabatan Agama untuk dipulihkan, amy menjawab dia minat berkebun dan menjahit. Alangkah pedih dan pilu hati saya mendengar jawapan itu. Amy rupa-rupanya masih mampu dipulihkan kerana dia masih ada minat dan tidak keliru akan hidup. Saya segera tanyakan Ustaz, apakah ada program menjahit dan berkebun yang boleh diusahakan kerajaan Kedah? Ustaz menggeleng, tiada peruntukan yang cukup kata ustaz.
Masa itu saya berasa ingin saja menjerit, "Hei politikus! Keparat kalian bising nak membela rakyat! Rupa-rupanya peruntukan untuk program menjahit dan berkebun tidak mencukupi untuk anak-anak muda yang hanyut begini", tapi suara itu menjerit di dalam saja. Saya bertanya kepada ustaz, apakah langkah susulan selepas kita dakwah mereka? Ustaz pilu untuk menjawab, kita berdoa saja, kita hanya mampu menasihati dan memberi sokongan mana yang perlu saja, kata ustaz. Ertinya selepas sesi dakwah itu, amy akan dibiar semula memilih jalannya sendiri. Ustaz mencadangkan amy untuk kembali bekerja di tempat lama amy bekerja. Juga Ustaz mencadangkan amy kembali ke Perlis kampungnya, kembali bersama keluarga.
Harapan yang samar
Mungkin amy seorang mampu ustaz cadang dan beri saranan, namun anak muda yang hanyut seperti amy bukan seorang dua. Mereka hampir berpuluh, malah mungkin beratus di Sungai Petani saja. Peruntukan besar memang diperlukan untuk memprogram kembali hidup mereka menjadi insan berguna. Kerana kebanyakan mereka dari keluarga miskin.Hidup yang sempit, buat hati tak pernah tenang. Namun, Dakwah Lapangan Ustaz Kamaruddin berseorang diri menjenguk mereka tak mampu nak berikan harapan sebegitu. Ustaz Kamaruddin bukan saja perlu dibantu oleh unit bergerak seakan team dakwah yang ramai anggota, malah perlu disokong dengan program susulan, yang pastinya semua itu memerlukan peruntukan besar.
Namun semua itu dipandang enteng oleh ramai pihak, termasuklah para ustaz dan pejuang parti dan jamaah islami. Mereka hanya memerlukan Ustaz Kamaruddin untuk dapatkan info berapa ramai remaja rosak, kemudian info dijaja dalam ceramah dan pentas politik, namun sedikit sekali mereka yang mahu bersama Ustaz menjenguk anak muda yang hanyut dan rosak itu, sama-sama memimpin dan membawa kesemua generasi muda untuk ke jalan benar dan jalan bahagia. Ustaz Kamaruddin kekal bergerak atas inisiatif sendiri, yang kadangkala dilawati juga anak-anak muda pejuang yang simpati dan mahu mempelajari dakwah dengannya. Namun bilangan tidak ramai. Sudah belajar, tidak juga menghulur sebarang bantuan dan sokongan. Sudah ada ilmu dakwah, dakwah masih tak jalan, anak muda semakin hari semakin ramai yang hanyut dan disesatkan.
Namun saya benar-benar terharu, selepas beberapa ketika saya,Ustaz dan Dee menasihati dan mengingatkan agar amy kuat untuk kembali ke jalan Allah redha, amy akhirnya seakan bercahaya dan menyebut pada saya,"Jika abang balik dari Jepun dan datang ke Sungai Petani semula, abang akan lihat amy sudah bertudung dan berbaju kurung". Kalaulah dia adik perempuan saya, mahu saja saya memeluknya ketika itu jua. Saya pun menjawab,"amy kena ingat apa yang amy janjikan ini. InsyaAllah abang akan datang semula ke Sungai Petani untuk lihat amy sudah bertudung dan berbaju kurung". Amy tersenyum sambil sambung makan nasi goreng.
Namun selepas kami beredar, dan menyambung rakaman Dakwah lapangan di sekitar stesen, saya nampak amy berpimpin tangan dengan rakan perempuannya entah ke mana. Ada saya zoomkan adegan itu dalam bahagian akhir rakaman di Youtube.
Panggilan kecemasan selepas Isyak
Kami menamatkan program petang itu sekitar jam 6 petang. Ustaz menjemput kami bermalam saja di rumahnya pada hari itu. Kami pun bersetuju. Ustaz, isteri dan anak-anaknya melayan kami seperti saudara mereka sendiri. Kenyang kami dijamu nasi dan kuih muih oleh isteri ustaz. Mereka keluarga sederhana, setiap kali menjamah makanan mereka, saya berdoa semoga ustaz diberikan rezeki yang banyak agar usaha dakwahnya terus kuat.
Sekitar selepas solat isyak bersama Ustaz, Ustaz keluar rumah entah ke mana. Namun kembali saja ke rumah, Ustaz tergesa-gesa mencari-cari sesuatu di rak buku. Kemudian Ustaz mengajak saya dan Dee menemaninya segera ke satu lokasi.
Saya hanya dapat menangkap perkataan "polis" dan "khalwat" sahaja. Dee termangu-mangu tidak tahu apa yang terjadi. Seketika selepas itu kami terus menaiki kereta ustaz, sambil ustaz menceritakan beliau baru sahaja menerima panggilan kecemasan dari polis untuk beliau periksa sebuah rumah yang disyaki pasangan yang sudah bercerai kembali duduk bersama.
Malam itu, saya merasai pengalaman menjadi pembantu pegawai agama mencegah maksiat.
------------------------------------------------------------------
bahagian 6 nanti saya ceritakan pengalaman menarik itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 komentar:
Perjalanan hidup amy boleh dikatakan masih jauh (dgn andaian umurnya panjang... InsyaAllah) kerana dia masih muda, baru berusia 17 tahun.
Sasaran dakwah kepada anak muda memang baik, tapi seperti yang empunya blog kata, program susulan amat diperlukan untuk memastikan laluan yang dipilih amy selepas 'dibasuh' oleh kalian akan sentiasa lurus.
Alangkah baiknya jika selepas menemui amy, kalian dapat 'membasuh' fikiran ahli keluarga yang lain terutama ibubapanya yang mungkin punya masalah tersendiri sehingga membuatkan amy terbiar sesat tanpa cahaya.
Semoga Allah membenamkan kesedaran, keinsafan dan keazaman yang berkekalan kepada amy untuk berubah.
Salam
Semoga Allah memberkati usaha kalian..
Ana ada cadangan, bagaimana kalau disalurkan Amy ke Raudhahtus Sakinah atau Kewaja di Gombak. InshAllah..
Atau cuba menghubungi kakaknya yang berada di Mesir. Rasanya amat sangat perlu tahu akan keadaan dan merapati adiknya kembali.
Allahua'lam.
Post a Comment