|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
rumah saya dilahirkan


Siapa saya?

Saya orang biasa. Umur sudah lanjut usia 23 tahun, bila-bila saja ajal bakal menjelma.Lahir di Kampung Bendang Selinsing, Sauk Kuala Kangsar Perak. Kampung itu rata-rata melayu-nya penoreh getah, pekebun atau nelayan kecil-kecilan di Sungai Perak. Ayah saya guru. Sekarang sudah pencen, tidak bekerja. Saya anak keempat dari lapan adik beradik. Kini saya sedang berusaha menghabiskan 2 tahun lagi pengajian di Universiti Toyama selepas mengulang tahun pada tahun lepas. Universiti Toyama ini ranking B, kedudukannya di kaki gunung Tateyama di Daerah Toyama sebuah daerah perkampungan di Jepun.

Siapalah saya ini yang mengada-ngada untuk merancang sebuah misi, lalu mengarang karangan picisan menceritakan kisah pengalaman misi itu, pastinya tak perlu saya jawab. Anda tahu jawapannya. Inilah hidup manusia biasa. Saya tak punya idea bernas, malah gerak kerja juga hampas-hampasan jua. Maka karangan ini, hanyalah buat manusia-manusia biasa terutama kanak-kanak berumur bawah 8 tahun saja, yang reti mengeja, untuk tatapan kalau-kalau boleh dijadikan panduan menulis karangan UPSR nanti. Begitu juga ia hanyalah diari saya menjelang kematian nanti, biasalah orang lanjut usia seperti saya, kadangkala nyanyuk dan pelupa, ada baik juga menulis dan boleh dibaca nanti untuk muhasabah di hari muka.

Misi itu awalnya bukan begini

Saya sudah 2 tahun tak balik Malaysia selepas Mac 2006. Maka Mac 2008 lah cuti musim bunga yang dapat saya gunakan untuk berkunjung ke Malaysia, bertemu ibu ayah dan mencari ruang untuk merenung diri yang sudah hanyut berdosa dan sesat melarat ini. Rancangnya ruang merenung diri itu patutlah bercorak pengembaraan kerana dalam berjalan kita mampu bertemu ragam dan resam nilai ujian yang berbeza dari biasa. Tapi berjalan itu tidak baik berseorangan. Patutlah paling kurang seorang teman menemani. Tapi siapa yang sudi?

Ya, orang itu manusia yang saya tak pernah jumpa. Dia belajar di sebuah kolej swasta di Pasir Mas. Pergi ke kolej dengan skuter racingnya, sambil memecut laju dikibas-kibas angin memotong kereta dan lori. Kadang kala dia lepak-lepak di rumah sewa teman-teman kolejnya yang terletak berhempiran jalan menuju kolej. Tapi waktunya banyak dihabiskan di bangunan pusaka keluarganya. Bangunan itu 3 tingkat. Tingkat bawahnya tempat ayahnya berniaga perabot rotan dan pusat ayahnya mengubat manusia-manusia yang diganggu jin, syaitan dan hantu. Ayahnya kata, bukan mengubat tapi memotivasikan diri pesakit saja.

Tingkat 1 pula ruang dia menghabiskan waktu di depan komputer, sambil menghafal-hafal quran atas kerana dia mengambil jurusan quran. Tingkat 2 pula tempat sarang burung, baru berjinak-jinak nak berniaga sarang burung nanti katanya.

Dialah orangnya yang sudi menemani misi merenung diri, misi pengembaraan yang saya rancang untuk dihabiskan Mac itu. Kami berbincang dari tahun 2007 lagi melalui yahoo messenger. Merancang untuk menaiki Kancil ayahnya yang usang di bawah bangunan, untuk memulakan pengembaraan dari Pasir Mas hingga ke Sauk Kuala Kangsar, kampung saya.

Sepanjang perjalanan itu nanti, bolehlah kami melihat-lihat manusia-manusia di sekeliling. Sambil menikmati keindahan alam sepanjang Kelantan dan Perak. Itu rancangan pada awalnya.

Saya mengubah pada Misi lain

Sebulan sebelum Mac bererti Februari, saya menukar rancangan. Pengembaraan itu patutnya diisi dengan pencarian ilmu. Dan siapakah yang memegang keilmuan di kalangan manusia, pastinya para ulama. Pengembaraan itu patutnya Jelajah Bertemu Ulama. Ini sesuai dengan apa yang saya belajar dari usaha ziarah jamaat tabligh, iaitu antara Gash yang disusun oleh orang-orang tua jamaat adalah jenis Gash Khususi. Bertemu dan berziarah dengan individu samaada para karkun mahupun alim , tapi bukan untuk memberi dakwah cuma bertanya khabar dan meminta dakwah dari mereka.

Saya mencari-cari ulama manakah boleh dihubungi dan apakah bicara dakwah yang ingin saya dapatkan. Ya lah, cuti saya tak panjang ertinya masanya terhad. Tidak mampulah saya menjelajah untuk bertemu semua ulama. Maka saya berhasrat untuk bertemu dengan 4 orang tokoh agama yang saya ikuti perkembangan mereka sejak 2006. Mereka ialah Mufti Perak Dato Seri Harussani, Mufti Perlis Dr Asri, Ustaz Zamihan alghari, dan Ustaz Rasul Dahri.

Senarai tokoh itu berubah

Oleh kerana kehangatan politik negara menjelang PRU12 pada bulan Mac jua, maka saya mula mencari-cari ruang yang lebih luas dalam jelajah itu nanti. Patutnya ia perlu merangkumi 3 isu iaitu usaha memartabatkan institusi ulama, isu remaja sebagai pelapis negara, dan isu dakwah serta ilmu. Oleh kerana ideologi politik yang saya bina sejak lepas PMR dulu banyak berkait dengan 3 isu ini, maka keilmuan dan pengalaman yang saya patut cari sepanjang jelajah bertemu ulama dan tokoh itu patutlah merangkumi 3 isu tadi.

Ustaz Kamaruddin Kassim, pegawai agama Sungai Petani yang juga aktivis TERAS merupakan perintis usaha "dakwah lapangan" dengan peribadi dan juga gerak kerjanya yang unik menarik perhatian saya untuk bertemu beliau. Apa lagi ketika membaca tulisan pengalaman Rausyanfikir bersama Ustaz Kamaruddin di blognya "Sosialis Kanan", saya tak mahu kalah pada pemuda berjiwa pejuang itu. Beberapa aspek dalam ideologi beliau dalam menentang kapitalis, globalisasi dan menegakkan sosialis islami ada persamaan dengan pendirian politik saya. Namun itu tak menjadi keutamaan untuk dibincang di sini. "Dakwah Lapangan" Ustaz Kamaruddin yang ingin saya pelajari.

Tidak lama dalam usaha saya menghubungi tokoh-tokoh tersebut untuk menetapkan temujanji yang saya lakukan dengan menelefon terus dari Jepun, telah muncul anak Prof Dr Sidek Baba yang menyedari akan blog "Warkah Dr Sidek Baba" yang saya usahakan tidak lama dulu ke ruang cbox blog itu. Saya menggunakan kesempatan itu untuk disampaikan pada Dr Sidek Baba akan hasrat saya untuk bertemu dan berwawancara dengannya Mac nanti. E-mel yang saya kirimkan berbalas dari Saudara Lukman. Dr Sidek Baba bersetuju bertemu dengan saya.

Bukan kepalang saya gembira. Dr Sidek antara senarai tokoh yang tulisan mereka saya kumpul selama ini iaitu Allahyarham Ustaz Wan Shaghir, Dr Uthman el Muhammady, Dr Zulkifli Mohamad albakri, Dr Syed Tawfik al attas, Dr Ismail Ibrahim dan Dr Sidek Baba. Saya teramat bersyukur pada Allah s.w.t, yang memberikan peluang pada saya dalam merancang misi itu dimasukkan juga tokoh yang tulisannya saya amati selama ini. Maka senarai tokoh itu berjumlah 6 orang semuanya.

Ustaz Abd Ghani Samsudin menggantikan Dr Asri

Senarai tokoh itu berubah sekali lagi, apabila Dr Asri menolak untuk bertemu saya kerana tarikh yang saya cadangkan tidak sesuai , mungkin tarikh itu jatuh pada hari Sabtu hari beliau tak bekerja dan kebetulan beliau ada program lain di Kuala Lumpur. Namun ketika baru nak bertanyakan tarikh yang sesuai darinya, beliau terus mengucapkan terima kasih dan meletak telefon. Saya terkilan kerana sebelum itu beliau ada tanyakan berapa umur saya, ketika saya jawab 23, saya merasakan nada suaranya sudah berubah. Adakah 23 tahun belum cukup lanjut usia lagi? Atau adakah 23 tahun tidak sesuai berwawancara dengan beliau? Saya husnuzon selepas itu, mungkin atas kerana semata-mata tarikh yang tak sesuai yang beliau sifatkan pada saya "tak boleh tebuk-tebuk".

Senarai saya menjadi 5 tokoh, sehingga Ustaz Kamaruddin mencadangkan nama Ustaz Abd Ghani untuk saya bertemu. Maka ia kembali menjadi 6 tokoh. Misi Jelajah Wawancara Tokoh 2008 (MJWT08).

Demi menjejak 6 tokoh itu saya membelah dari Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor. Oh, sebenarnya di Pulau Pinang itu saya nak bertemujanji dengan kak Ma @ albazrah.blogspot.com. Temujanji ertinya temujanji bukan dating, itu tunangan orang ya!

-------------------
bahagian 2 nanti saya akan karangkan pengalaman sesudah pulang ke Malaysia pada 1 Mac dan sebelum memulakan misi pada 17 Mac.

1 komentar:

~CahaYa KeMuLiaaNKu~ said...

dr asri tak begitu..mungkin saudara salah faham atau beliau sedang sibuk pd waktu itu..beliau sendiri pernah mesej saya and request utk jumpa ketika beliau turun ke KL..sedangkan umur saya baru 20 tahun..dan pada waktu itu beliau tidak mengenali saya pun lagi..

beliau juga akan membalas sms yg dihantar kepadanya walaupun ianya dari seorang yg tidak beliau kenali..

Dan benar, jadual dr asri setiap sabtu dan ahad biasanya di KL dan lembah klang..biasanya beliau akan berkuliah di surau almuhajirin taman sri ukay pada sabtu dan KGPA pada ahad..wallahu a'lam