|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

(khas buat seluruh teman)

Jika hari ini saya mengaku saya cenderung menyokong ustaz uthman el muhammady dan ustaz nuruddin marbu al banjari apabila dikritik sama ada oleh dr asri zainul abidin mufti perlis mahupun dr syed ali tawfik alattas pengarah IKIM, pastinya ada suara-suara mentertawa kerana mendakwa saya ini taksub tok guru dan institusi pondok. Saya terima jika mereka memahami mengapa saya menyokong dua ulama ini yang dikritik dalam media kononnya dikritik pemikiran bukan peribadi, padahal maklum mengetahui dua ulama ini sudah diperendahkan peribadi mereka malah boleh mendekati fitnah yang amat jijik.

saya bukan pelajar pondok, malah keluarga terdekat saya majoriti bukan pelajar pondok, hatta yang tercicir pendidikan pun ramai di kampung. Saya tak pernah bertemu dua ulama yang saya sokong ini melainkan mengenali ustaz uthman selepas beliau diwawancara di tv3 setelah menerima tokoh maal hijrah 1426 hijrah. Sejak itu saya seperti biasa akan ikuti dengan penuh minat segala apa yang diperkatakannya samada dalam rancangan-rancangan al kuliyyah mahupun tulisan-tulisan beliau yang ada di akhbar-akhbar. Ustaz Nuruddin saya baru berkenalan saja keilmuannya menerusi internet selepas saya ada di jepun pada tahun lepas. Selepas berkenalan dari audio-audio kuliahnya dan tulisan-tulisan para murid yang menadah ilmu darinya, saya menaruh minat atas keilmuan dan sangat kagum seperti saya kagum dengan ustaz uthman el muhammady.

Benar, walau kagum bagaimanapun saya, tidak mengakibatkan taksub sepertimana saya juga kagum akan anak syed naquib alattas lagenda cendikiawan negara iaitu syed ali tawfik , juga saya kagum dengan dr asri zainul abidin yang punya ramai peminat hingga beberapa laman menyokong kuat personalitinya contohnya alahkam.net, walaupun dr asri diterjah oleh warga salafi yang lain. Saya bersetuju dengan tema kedua-dua tokoh ini iaitu mufti perlis dan pengarah ikim akan perihal "tegur pemikiran dan bukan peribadi", namun disebabkan sokongan atas tema itulah saya ingin tegur pemikiran dua tokoh ini dalam menulis dan bercakap sesuatu kerana mereka telah pun menyerang peribadi ustaz uthman el muhammady dan ustaz nuruddin marbu al banjari serendahnya.

Mungkin tulisan dr syed ali akan ustaz uthman tidak dikesani orang atas sebab walaupun dapat ditangkap maksudnya, namun masih belum sampai memfitnah ustaz uthman serendah seperti dr asri telah lakukan ke atas ustaz nuruddin. Dengan tajuk "Jangan Lelong Agama Untuk Keuntungan Perniagaan" jelas meletakkan ustaz nuruddin yang dibicarakan dr asri setaraf dengan peniaga-peniaga kapitalis yang mementingkan keuntungan perniagaan ataupun paderi-paderi zaman gelap eropah yang mahu mencari keuntungan wang dari iktikad agama.

Dr Asri bukan pertama kali berbicara soal ustaz nuruddin dengan tuduhan begitu kerana pernah menyampaikan ceramah di Ipoh lebih awal dari tulisannya di utusan itu akan perihal hadis yang sama. Ustaz Nuruddin juga tak perlu membalas tulisan dr asri kerana sudah ramai mendengar penjelasan yang baik dan kemas yang disampaikan beliau sebelum ini yang dirakam oleh sahabat-sahabat kita di perak,alhamdulillah. [part 1][part 2]

Hadis akan berjabat tangan yang disebut sebagai hadis maudhu yang batil oleh dr asri itu dipersetujui oleh ustaz nuruddin akan maudhunya hadis itu disebabkan salasilah perawinya. Namun ada sebuah hadis yang sahih yang matannya lebih kurang sama perihal siapa yang memandang rasulullah dan orang yang memandang manusia yang memandang rasulullah bersambung-sambung hingga qiamat akan masuk syurga tidak diperkatakan oleh dr asri memperlihatkan ada benarnya kebimbangan ustaz nuruddin bahawa seakan ada konspirasi mahu memukul peribadi dirinya atau dengan kata lain "konspirasi serangan peribadi".

Memperlihatkan hakikat ini, tulisan Dr Syed Ali Tawfik alattas lebih wajar digunakan kepada Dr Asri kerana Dr Asri dan beberapa pengikutnya lah yang lebih tentu menonjol dalam menyerang peribadi berbanding ulama lain yang banyak dilihat mengajak pada musyawarah, adabul khilaf, dan perdamaian serta penyatuan ke arah memperkuatkan institusi ulama di nusantara amnya, dan malaysia khususnya.

Wawancara Ustaz Uthman jelas mengajak perdamaian, begitu juga Ustaz Nuruddin mengajak perdamaian dengan mengingatkan ulama-ulama di zaman salaf lagi seperti mujtahidin imam malik, imam abu hanifah, imam syafie dan imam ahmad telah tunjukkan tauladan itu. Sebenarnya jika direnung dari falsafah hidup manusia sendiri, menyeragamkan manusia hingga kepada perincian detail hidup atau memprodukkan manusia sebagai robot dengan cip program yang sama adalah suatu kebodohan. Mana mungkin manusia yang Allah jadikan untuk lengkap melengkapi boleh seragam? Kepelbagaian ragam manusia dengan tafsiran tersendiri dalam hal-hal detail adalah lumrah yang mengikat manusia supaya hidup berkomuniti dan lengkap melengkapi. Semua orang tahu tentang itu.

Oleh itu, kita tidak menyalahkan jika orang-orang perlis tidak mahu membaca qunut atau membaca tahlil dan yasin, namun yang kita salahkan orang yang anggap perkara yang ada ruang untuk diterima ditolak mentah-mentah hingga mudah prejudis sampai boleh bersangka buruk dan memfitnah. Ini yang telah melanda Dr Asri yang ghairah untuk bangun dan bangkit gelombang tajdid seperti yang didakwanya dibangun dan dibangkitkan lebih awal oleh sheikh al hadi, dr burhanuddin helmy dan lain-lain sebelum merdeka. Saya secara peribadi suka semangat Dr Asri yang saya percaya mahu meletakkan dirinya sebaris pejuang-pejuang islam yang mengorbankan hayat mereka untuk perjuangan islam, namun beliau silap dalam keghairahan membangkitkan gelombang dan tegur pemikiran, kerana beliau sudahpun terjebak dalam keruntuhan akhlak dengan mengabaikan adab ilmu, adab khilaf, dan muafakat untuk menguatkan institusi ulama.

Dengan itu saya menyeru warga salafi muda mudi di luar sana, begitu juga anak-anak muda penyokong institusi ulama tradisi , jangan kita abaikan AKHLAK seperti yang diseru oleh dua ulama ustaz uthman dan ustaz nuruddin yang walaupun sudah diburuk-burukkan,diperendah, dibantai malah difitnah masih tetap lembut mengajak pada adab dan perdamaian yang hakiki.

Saya sentiasa berdoa, satu perjumpaan mesra akan diadakan diantara kelompok salafi mahupun modenis yang mencanang-canang gelombang tajdid mereka, dengan institusi ulama pondok dan tradisi yang rendah diri untuk sama-sama kenal mengenali dan faham memahami antara satu sama lain. Saya tak suka ada di antara penyokong-penyokong salafi mahupun tradisi sama ada tua atau muda, berkeras-keras antara satu sama lain, hingga tuduh kafir mengkafir. Saya begitu berharap dan berdoa para ulama tidak pula mengikut rentak penyorak-penyorak mereka untuk saling berkeras dan hentam menghentam, seperti yang disebut ustaz nuruddin membuang masa, padahal jalan bersatu mampu mengukuhkan.

Saya gembira dan lega, ustaz uthman el muhammady dan ustaz nuruddin marbu al banjari benar-benar beramal dengan perjuangan ilmu yang mereka sebarkan iaitu mengajak pada sabar dan mereka sendiri sabar. Orang-orang beriman yang memikul amanah dakwah sememangnya golongan yang berjuang atas prinsip solat dan sabar. Sedang orang-orang yang gagal mengendong amanah, mereka amarah,rakus, kasar, gelojoh dan membuta tuli.

Sedih apabila ada ulama mengabaikan akhlak satu unsur yang begitu teras dalam islam selepas akidah dan ibadah untuk capai taqwa hingga berperilaku tidak adil malah zalim dengan fitnah ulama lain atas dasar prejudis dan api-api semburan para munafik yang berada sekitar mereka. Namun lebih sedih dan perit, apabila anak-anak muda penyambung legasi ulama berperilaku laksana si munafik itu dengan meniup-niup api sengketa supaya ulama-ulama terus berlaga dan mereka sorak menyorak dengan carut dan marut selepas jatuh menjatuh peribadi dan aib ulama masing-masing.

Saya menasihatkan anak-anak muda yang sedih dan perit hati melihat suasana tak sihat di kalangan ulama mutakhir ini supaya kuat dan sabar dan terus berpegang kepada akhlak dan menyebarkan akhlak itu seperti kuat dan sabarnya ulama yang menanggung fitnah dan serangan itu sendiri seperti ustaz uthman dan ustaz nuruddin. Kadang kala apabila para ulama melihat anak-anak didik mereka yang muda-muda begitu teguh sabar dan menyokong, mereka juga akan diperkuatkan Allah akan sabar dan semangat. Mereka akan jadi ulama yang tak mudah melatah dan bertenang sentiasa dalam menghadapi kezaliman fitnah, dan bukankah itu harapan kita sebagai orang yang mendoakan mereka?

Adapun anak-anak muda yang berperangai tak matang, mendakwa penyokong ulama kita, padahal berperilaku seperti musuh dengan tidak mengamalkan akhlak yang diseru dan diajak oleh ulama kita merupakan virus yang jahat lagi mungkar. Mereka mendakwa benci wahabi benci Dr Asri lalu mereka membuka-buka aib dan fitnah masa silam Dr Asri malah mengkafir Dr Asri, dan ketawa macam syaitan, teriak macam apa entah, mereka bangga dengan akhlak buruk, padahal mereka telah melanggar seruan ulama kita, mereka telah mencabuli aspirasi kita untuk menyebarkan akhlak, mereka buat ulama kita diftnah kali kedua atas perbuatan-perbuatan mereka. Kita boleh mengingatkan sabar pada mereka andai mereka terlalu ikut emosi, namun kita hanya perlu tinggalkan mereka andai mereka menengking kita malah menuduh kita tak sayang ulama kerana tidak beraksi kera seperti mereka.

Ketika seorang kafir memanggil celaka ke atas Rasulullah yang sedang berjalan dengan Aishah, Aishah berasa marah dan pedih hati, bukan saja suaminya dicerca depan-depan, malah suaminya itu Rasul utusan Allah buat seluruh manusia akhir zaman membuatkan Aishah terus mencerca kembali si kafir. Namun, Rasulullah mengajak Aishah pada sabar, tidak pula Aishah menengking Rasulullah kembali, "apehal nak sabar, ni orang ni cerca rasululllah, mana boleh tak marah, gila ka apa.. mesti kena godam!" astaghfirullah al adzim. Aishah tidak terus mencerca malah mendengar nasihat Rasulullah lalu bersabar.

Bagitulah ada pada Rasulullah itu suri tauladan yang baik. Apabila kita bertindak sepertimana Rasulullah bertindak menasihati Aishah, dengan kita bertindak menasihati sahabat-sahabat kita untuk kita pertahankan akhlak islam walaupun kita diserang dengan cercaan dan ejekan, kita sebenarnya lah digolongkan sebagai umat Rasulullah yang mencintai Rasulullah dan mengikuti sunnah baginda. Sedang musuh yang mencerca atau sahabat kita yang menengking kita kerana kita ajak pada sabar merupakan kelompok yang tewas pada hasutan syaitan yang mahu manusia hidup atas emosi dan perasaan yang dikuasai oleh nafsu amarah.

Oleh itu, dengan ini saya mengajak sahabat-sahabat bersabar dan teruslah berdakwah serta sebarkan akhlak kerana masih ramai yang belum sempat merasakan nikmat beradab dan berakhlak baik. Marilah kita mencontohi bagaimana sabar dan tenangnya dua ulama kita yang sedang dizalimi dengan kutukan dan cercaan iaitu ustaz Uthman el muhammady dan Ustaz Nuruddin. Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang bersabar dan mereka yang bersabar itulah yang menang.



0 komentar: