|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Antara harapan saya ketika berdiskusi mengenai isu politik dengan siapapun, akhirnya orang akan nampak bergesel dan bersengketa itu melemahkan, orang akan nampak penyatuan itu satu kekuatan, orang akan nampak masalah yang menghujani umat sudah capai kesuntukan masa untuk duduk bekerja bersama-sama dalam kesepakatan. Sudah sampai masa untuk umat islam yang menyatakan keimanan secara sedar, tegas dan berani menjadi mampu hargai ukhuwwah islamiyah, akan sedar tentang persaudaraan islam, ikhwanul muslimun.

Orang-orang yang kononnya amat matang dalam politik menerjah, "apa kau ingat senang untuk bersatu? apa kau ingat senang untuk islam bersatu dengan sekular? iman bersatu dengan syirik, kafir?". Atau orang-orang yang kononnya mahir dan sarjana serta intelektual dalam hal ilmiah islami menyergah,"apa kau ingat boleh bersatu antara ahli sunnah dan ahli bidaah? antara salafiyyah dan syiah, sufi-syiah?". Ya, benar. Saya juga melihatkan akan prinsip kalian yang tegas untuk kukuh berdiri di tembok masing-masing tatkala perbalahan kalian, tapi malang perjuangan mengukuhkan benteng sebenar tak begitu zahir dalam realiti apabila mahukah kalian menerima, bahawa majoriti orang-orang muda jauh dari perjuangan kalian?

sebab apa saya berani sebut majoriti, kerana lihatlah masjid kalian ketika hari jumaat, cuba bilang berapa ramai anak-anak muda yang bersolat. Tentunya kalian dakwa ramai, bukan? Dan cuba kira berapa ramai anak muda di waktu solat yang lain? Tentunya minoriti bukan? Dan lihatlah setiap kali jomheboh atau apa-apa konsert diadakan di negeri atau bandar kalian, berapa ramai anak muda berpusu-pusu? Ramai,bukan? Bagaimana dengan kadar jenayah, dadah, kes-kes rosak akhlak di kalangan anak-anak muda, meningkat, bukan?

Memang mudah jika kita mahu letakkan salah semua ini terjadi pada pihak lain, terutama pihak kerajaan. Tapi saya nak beritahu di sini, dalam catatan sejarah jelas menunjukkan unsur kerajaan atau penguasa untuk menyekat kemaraan kebenaran dan kekuatan benteng islam adalah begitu lemah sama sekali. Di zaman Rasulullah sendiri menunjukkan betapa di saat penguasa Mekah mengganasi umat Islam, adakah bilangan umat Islam berkurang? Tidak, jawapannya bertambah. Di zaman kini juga punya bukti yang sama. Lihat di dunia Eropah seperti di UK, sebuah tanah pemerintahan kafirun, tetapi umat islam bertambah saban tahun. Di Amerika juga menunjukkan peningkatan penganut islam semakin meningkat.

Bila dihujahkan begitu, orang politik mendakwa, negara eropah mahupun amerika melaksanakan demokrasi yang lebih tinggi berbanding malaysia, sebab itu islam mampu berkembang. Jangan buat lawak wahai saudara, demokrasi itu apa hujahnya? Bukankah islamphobia fenomena yang meningkat di eropah dan amerika hingga umat islam telah didiskriminasi bukan suatu yang tersembunyi lagi. Orang politik membalas pula, bukti demokrasi di eropah dan amerika lebih tinggi daripada di malaysia adalah kerana mereka membenarkan semua parti politik berkempen dalam media arus perdana. Itu juga tidak pernah membuktikan bahawa suara islam diberikan keadilan, tatkala kita sendiri tahu bahawa media barat sering cenderung untuk memaparkan islam adalah agama pengganas dalam setiap berita mereka.Nah, bukankah itu jika ikut logiknya tidak membantu kemaraan islam, namun mengapa penganutnya kian bertambah di bumi sebelah sana?

Jawapannya adalah keperkasaan dakwah.

As Syahid Imam Hassan al Banna adalah tokoh dakwah yang sangat disegani oleh umat islam majoritinya di kurun ini. Hassan alBanna ketika mahu membentuk jemaah tidak pula menamakan jemaahnya jemaah islam seMesir atau kesatuan bangsa arab bersatu. Akan tetapi Hassan al Banna memilih nama jemaah ikhwanul muslimin yang bererti kelompok orang-orang islam yang bersaudara. Tahukah kalian, bahawa umat islam tak perlu lagi menubuh apa-apa bentuk jemaah atau organisasi untuk menyatukan pergerakan umat islam, kerana Allah sudah menyebut orang-orang beriman itu bersaudara dan Rasulullah menyebut orang-orang islam itu umpama satu tubuh. Kesatuan umat islam telah wujud dengan persaudaraan islam yang Rasululllah juga membentuknya dari awal sebelum mentadbir bumi madinah dengan mempersaudarakan aus dan khazraj, muhajirin dan ansar.

Umat islam adalah umat yang bersatu dan sangat mengelak untuk bercerai berai. Bagaimana mungkin seorang islam yang sudah diiktiraf sebagai satu tubuh, boleh mencedera atau menyakiti saudaranya yakni umpama tubuhnya sendiri? Sebab itu para ulama bersepakat bahawa membunuh atau mencederakan umat islam itu satu jenayah bagi mana-mana orang islam, dan akan dijatuhkan hukuman hudud.

Keperkasaan gerakan ikhwanul muslimun diasaskan serupa dengan makna nama jemaah itu sendiri iaitu dengan memperkasakan rasa bersaudara di kalangan ahli jemaah hingga tarbiyah jemaahnya berasaskan sistem usrah atau makna keluarga.Dengan memperkasakan rasa ukhuwwah, kemudiannya disusuli bentuk-bentuk akhlak, apa yang dilaksanakan Imam hassan alBanna adalah mencontohi tradisi dakwah rasulullah yang menekankan rasa ukhuwwah dan akhlak untuk melancarkan kefahaman umat islam tentang ilmu akidah, hukum hakam dan beribadah hingga iman dan taqwa serta rasa berjihad umat berada di paras tertinggi.

Di Malaysia juga gerakan-gerakan dakwah banyak meneladani apa yang diusahakan oleh ikhwanul muslimin di era Imam Hassan al Banna seperti gerakan ABIM mahupun JIM masih mengekalkan program berbentuk usrah walaupun diperbaharui beberapa metod mahupun sillabus. Dan kefahaman gerakan dakwah akan hakikat dakwah itu amat berteraskan dakwah yang meraikan suasana setempat dan memimpin suasana itu ke arah islam dengan penuh lembut dan hikmah, dan menawarkan jalan-jalan ukhuwwah untuk menjadi titik temu dan titik mula penyatuan keperkasaan dakwah antara semua golongan islam.

Sebenarnya sejak dulu lagi di bumi nusantara, aspek-aspek dakwah yang serupa telah digerakkan oleh para ulama kita. Banyak tradisi dan budaya suatu tempat tak dibanteras terus tetapi ada yang masih diraikan sementara memimpin tradisi dan budaya setempat sebelum kedatangan islam ke arah islamisasikannya dengan membuang unsur syirik dan masukkan nilai-nilai islam dari segi tauhid mahupun tasawwuf. Berdakwah dengan solat dan sabar, akhirnya umat melayu yang kuat tradisi hindu, buddha mahupun animisme, akhirnya menjadi kelompok umat islam terbesar di rantau ini.

Begitu juga ketika era PakLah muncul selepas Tun Mahathir, ketika semua memahami islam hadhari diumumkan sebagai landasan manhaj politik, gerakan-gerakan dakwah meraikannya dengan terus membuka tangan untuk bersama-sama perkasakan dalam perlaksanaannya. Begitu juga seluruh mufti dan para ulama non partisan tidak ada masalah dalam menyokong dan turut berbesar hati menawar diri untuk memperkemaskan landasan fikrah dan halatujunya.

Dan saya amat sedih apabila gerakan islam yang mendakwa parti islam seMalaysia tidak memahami uslub dakwah sebagaimana majoriti ulama dan gerakan dakwah faham dengan wujudnya ahli-ahli mereka mencerca siapa saja yang menyokong mahupun menyebut islam hadhari itu suatu yang baik, malah ada cubaan mendakwa akan tercabut akidah, memiliki ciri-ciri kekufuran atau terus wajib untuk dipanggil kafir bagi sesiapa yang berlembut dengan islam hadhari.Seperti kata MSO, barangkali ada orang Pas berasa jijik dengan UMNO (manhaj islam hadhari) seperti najis, tetapi terbuka untuk bersama PKR yang tidak tentu terjamin bersih dari najis "mughalazah" dan "mukhafafah" menurut kamus politik pas.

Saya tidak kisah mereka mahu mengejek-ejek istilah islam hadhari itu, kerana itu bukanlah istilah cadangan majoriti ulama malaysia, sebagaimana mereka gemar dan lazat mengejek-ejek paklah dalam masa yang sama mereka sedar paklah tak pun membalas ejekan mereka dengan mengejek diri mereka semula, namun para ulama tidak terus membantai istilah itu dengan memfatwa haram istilah islam hadhari atau menghukumkan berdosa serta menghina islam bagi sesiapa yang menyebut kalimah islam hadhari tersebut. Benar, dalam satu konteks istilah al islam al hadhari itu seolah-olah punya lawannya iaitu al islam al badawi seperti yang disebut TG Haji Hadi dalam kitabnya "Hadharah Islamiyah bukan Islam Hadhari" itu.Namun konteks yang berbeza juga mengharuskannya apabila Islamphobia melanda dunia dengan mempropagandakan islam adalah agama yang melemahkan manusia, buat manusia jadi jumud dan terkebelakang, dan menukar manusia menjadi pengganas seperti dicanang dengan hebat oleh Barat, yang digambarkan sendiri dalam isu karikatur menghina Rasulullah suatu masa dahulu. Seperti Allah itu Tuhan yang Satu tiada lagi Tuhan yang lain masih kita sebut Allah Ar Rahman Ar Rahim ketika baca basmalah. Adakah Allah Ar Rahman Ar Rahim itu berbeza dengan Allah Al Malik Al Kuddus? Tentunya tidak! al Islam al Hadhari juga pastinya tidak berbeza dengan al islam al muslimun atau al Islam al mukminun.

Aku menarik nafas lega PakLah tidak pula memanggil jemaah menterinya untuk merangka prinsip manhaj politiknya itu tetapi menyerahkan kepada pegawai agama di Jakim yang tentunya mengambil kira pandangan para ulama yang diiktiraf keilmuan mereka seperti ustaz Uthman el Muhammady sendiri turut terlibat dalam jawatankuasa itu, dan membuktikan penyenaraian prinsip Islam Hadhari itu memaparkan keutamaan-keutamaan yang perlu ditimbang oleh kerajaan dalam melaksanakan pembangunan dengan meletakkan prinsip pertama islam hadhari itu adalah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah!

Kisah apabila orang mempersoalkan islam hadhari yang menjadi manifesto tahun 2004 itu tidak memaparkan perlaksanaan yang benar-benar merujuk prinsipnya adalah juga sama dengan kisah para intelektual yang mengaku sarjana cuba membalas teguran ustaz Uthman dalam satu wawancara dengan berita harian perihal institusi mufti. Mungkin medannya berbeza dengan wataknya berbeza, namun sifat dan nilai dakwahnya menuntut hal yang sama seperti yang ditekankan oleh ustaz Uthman, "addinul nasihah", adab, tatatertib dan disiplin!

Md Asham dalam responnya kepada wawancara Ustaz Uthman jelas hanya merujuk pada konflik yang bukan lagi rahsia sejak Ustaz Uthman mendedahkan wahhabi mula menular di kalangan intelektual. Ustaz Uthman sudah memberikan jalan penyelesaian yang cukup lembut dan menafikan dakwaan Md Asham yang dalam artikelnya yang memperlihatkan seolah-olah Md Asham tak menyoroti wawancara itu secara keseluruhan.

Ustaz Uthman ditanya adakah boleh mufti ditegur atau dikritik, Ustaz Uthman tidak menafikan perihal itu tetapi menawarkan jalan yang lebih beradab dari fenomena kenyataan di akhbar mahupun media termasuk laman maya dengan mencadangkan agar pertemuan musyawarah secara tertutup diadakan atau seminar dengan pembentangan kertas kerja lebih menampakkan adab dan disiplin ilmu. Ustaz Uthman tidak menafikan institusi mufti boleh mengalami kelemahan, dan Ustaz Uthman menyeru jalan penyelesaian kepada keperkasaan institusi mufti (barisan depan dakwah islamiyah di Malaysia) untuk diperkuatkan dan diperkasakan dengan menyalurkan ilmu para intelektual dalam bidang mereka kepada para mufti dalam menimbang hukum hakam untuk pengeluaran fatwa.

Hakikatnya apabila Ustaz Uthman menyebut beberapa nama individu yang dirujuk sebagai intelektual itu seperti Prof Nasr Hamid Abu Zayd ,Farid Esack,Amina Wadud,Ignac Goldziher,Joseph Schacht atau Mohammed Arkoun adalah merujuk kepada gerakan Liberal Islam dan antihadis bukannya Salafiyyah Wahhabiyyah. Ini jelas dibuktikan apabila Ustaz Uthman juga menyelar tindakan NGO yang cuba melemahkan institusi mufti boleh kita fahami secara jelas realitinya NGO seperti Sister In Islam yang banyak mempertikaikan keputusan para mufti dan majlis fatwa kebangsaan.

Kes respon Md Asham dalam berita harian disiarkan oleh al ahkam.net atau blog pemuda-pemuda salafi jelas menunjukkan kelompok penyokong Dr Asri secara maya itu ada tidak senang pada Ustaz Uthman mahupun Mufti Perak Ustaz Harussani yang mereka gelar sebagai kelompok Asyairah maturidiyah yang bidaah akidah tidak salafiyyah tidak lama dulu ketika saya berforum di sana.Saya percaya Ustaz harussani memandang tinggi Ustaz Uthman sehingga pernah menyebut Ustaz Uthman sebagai pendakwah ulung, dan kenyataan Ustaz Uthman untuk menjadi pembela institusi mufti memberikan mesej jelas sokongan Ustaz Uthman kepada Ustaz Harussani. Dan kita semua tahu, Ustaz Uthman tegas dalam ratusan kertas kerja akan peri penting maqasid syariah berteraskan epistemologi ahlus sunnah wal jamaah, juga Ustaz harussani yang sering memanggil umat islam bersatu melampaui batasan politik kepartian dan tak pernah gentar dalam mempertahankan ummah dan islam. Saranan lembut Ustaz Uthman tidak disambut tetapi dibalas pula dengan mempertikaikan diri ustaz Uthman sendiri pula yang mahu membela institusi mufti. Sepatutnya pihak salafi juga menyahut lembut sebagaimana mereka dakwa Imam Hassan alBanna adalah bermanhaj salafi patut renung ke arah mana dakwah Imam Hassan alBanna itu. Adakah Imam Hassan alBanna mengambil jalan bersengketa dan berkrisis berlama-lama dengan kelompok ilmuan berlainan manhaj atau mazhab? Tentunya tidak! Kerana Imam Hassan alBanna cukup faham dakwah adalah menyatukan manusia, mendamaikan sengketa, bukan menambah lagi polemik, menghangat lagi krisis!

Dalam konteks pertembungan UMNO-PAS dalam krisis Islam Hadhari VS Hadharah Islamiyah, ABIM sekalilagi menawarkan hujah untuk kedua-dua pihak menyedari kedua-dua pihak punya kelemahan dan kekuatan tersendiri (dahulunya pernah mempertemukan Tun Mahathir dengan Allahyarham Fadzil Noor sendiri) seperti yang disebut oleh Timbalan Presiden ABIM Rumaizuddin dalam tulisannya, mengapa tidak ambil jalan bersatu dan bekerjasama dalam bentuk perlaksanaanya lebih banyak dari masing-masing mahu kredit diberikan pada diri masing-masing dan kutukan serta cercaan diberikan pada pihak yang bertentangan.

Saya masih lihat bahaya politik kepartian yang meneruskan tradisi politik budak-budak mahupun samseng plus kaki carut marut telah diturunkan pula kepada generasi muda yang sedar dan prihatin pada isu semasa. Sudah lah generasi muda majoriti ambil sikap tidakpedulisme itu masih ramai, yang minoriti sikit yang sedar dan prihatin pula lebih cenderung meraikan tradisi politik cercaan dan jahil uslub-uslub dakwah sepertimana para penggerak dakwah yang hebat samada di zaman Rasulullah, di zaman kegemilangan ulama nusantara mahupun di era hassan al banna.

Sebab itu saya tak lihat ada kemustahilan dalam usaha tajdid yang benar-benar mendesak untuk digerakkan iaitu memulihkan ukhuwwah islamiyah di kalangan penggerak dakwah, di kalangan ulama-umara, malah di kalangan sengketa orang-orang muda yang ego tak ubah seperti fenomena di zaman sekolah rendah saya dulu di mana rumah sukan merah takkan beri sikit muka pada rumah sukan hijau. Jangan bermain-main dalam sektor ukhuwwah, dengan gurauan-gurauan provokasi, dengan nama parti-parti, dengan nama mazhab atau manhaj, sebab sekali umat bercerai berai, musuhlah paling untung dan sudah bertahun-tahun musuh untung menjamah anak-anak muda kita dalam sektor hiburan, hedonisme atau kapitalisme.

Oleh itu saya seru pada anak-anak muda yang pro tajdid dengan link ke alahkam.net mahupun pro tajdid segar yang link ke protajdid.blogspot, kita sama-sama berdiri berpeluk merapatkan saff tajdid segar bugar iaitu menciptakan ukhuwwah islamiyah yang paling terhebat pernah muncul di kurun ini, demi harapan untuk orang-orang tua kita juga sama-sama renung untuk bersatu dan muafakat, kerjasama dan sepakat demi perlaksanaan dakwah islam yang lebih teguh dan kukuh dari serangan-serangan musuh samada timur atau barat.

0 komentar: