Aku mengakui kecenderungan aku kepada dunia fantasi begitu kuat sejak kecil. Bukan saja aku mengkagumi watak-watak adiwira dari Barat terutama Batman dan Spiderman, malah lebih terutama aku sukakan semangat watak-watak hero alien dan mutant dari Jepun seperti Kamen Rider Black, Flashman, mahupun Ultraman. Bila mana aku berkenalan dengan watak-watak Street Fighter yang mewakili pelbagai bangsa dan negara itu, buat aku benar-benar terpesona. Dalam versi Jepun, hero Street Fighter adalah Ryu dari Jepun yang bersahabat dengan rakannya dari Amerika bernama Ken.
Kalau semasa kecil aku mungkin tidak berapa peduli dengan propaganda di sebalik Street Fighter, namun semakin aku membesar dan mengenali lebih banyak manga-manga Jepun yang dibahasa melayukan terutama DragonBall, ditambah dengan pembelajaran sejarah di sekolah, akhirnya aku dapat menangkap agenda 'pembaratan bertatasusila budaya' yang ingin disampaikan oleh kebanyakan produk-produk manga mahupun anime jepun.
Seperti juga komik, mahupun animasi dari Barat yang mencanangkan akan kehebatan wira-wira tunggal yang mampu menyelamatkan dunia secara perseorangan yang sebenarnya ingin menterjemahkan impian diktator dan unilateral barat, di dunia fantasi jepun berlainan pula bentuknya.
Jepun yang kalah perang pada perang dunia kedua, ingin mencanangkan hasrat 'glokal' mereka, yang memandang untuk hidup dalam dunia global mereka perlu menganjakkan diri kepada dunia asing dan menerima dunia asing terutama barat sebagai sahabat, dalam masa yang sama mereka perlu megah dengan budaya dan kejepunan mereka. Seperti watak Ultraman yang datang dari dunia dan planet asing yang memberikan kuasa kepada individu terpilih di Jepun untuk bertukar menjadi atau memanggil kuasa Ultraman bila-bila masa diperlukan, dan setelah selesai masalah mengalahkan raksasa, boleh kembali menjadi manusia normal semula, begitulah hakikat hidup masyarakat jepun secara realiti.
Orang Jepun sanggup merujuk ilmu dan kepandaian asing untuk diserapkan dalam bidang keilmuan mereka, hingga ada segolongan orang jepun yang begitu berminat mengkaji seni zaman Rom dan Parsi mahupun karya-karya dari tokoh-tokoh barat di zaman Renaissance untuk diterap dalam pengetahuan am orang-orang Jepun. Ilmuwan jepun banyak mengkagumi ilmu-ilmu barat tidak terhad kepada sains dan teknologi malah seni dan budaya juga menjadi sanjungan. Sikap ini juga terdapat hingga ke generasi muda Jepun yang telah diterap untuk memandang tinggi dunia barat, sanggup untuk menerima sub-sub budaya muzik barat hingga akhirnya ada di kalangan mereka dirujuk balik oleh orang barat seakan-akan Jepun pusat inovasi sub-sub budaya tersebut. Budaya Gothic yang berrantaian dari unsur-unsur punk dan deathmetal merujuk kepada zaman gelap eropah, akhirnya diungguli oleh remaja jepun lebih hebat dari remaja barat setelah diadun dengan unsur anime jepun dan budaya meragam fesyen yang memang terkenal di Jepun. Unsur-unsur sukakan kematian dalam budaya jepun samada etika berteras kepada etika kamikaze di zaman perang dahulukala, mahupun fenomena bunuh diri yang tinggi di Jepun menjadikan Gothic budaya agung yang kian berkembang dalam fenomena sub budaya di jepun mahupun dunia.
Begitu juga jika dilihat dalam banyak watak anime jepun yang lebih mengagungkan watak berambut perang atau merah seperti mana hebatnya watak goku dalam dragonball,sakuragi dalam slamdunk, ichigo dalam bleach, mahupun uzumaki naruto dalam naruto. Ichigo sendiri berjuang untuk menguasai tenaga dalam dirinya sebagai shinigami atau dewa kematian untuk bersebati dengan kuasa pedangnya yang berasal dari dunia kematian atau roh. Watak ichigo memperlihatkan bahawa untuk menjadi kuat, orang jepun perlu menggunakan 'senjata' yang bukan berasal dari dunia mereka untuk bersebati dalam perjuangan hidup mereka. Sebab itu sejak jatuhnya jepun setelah kalah perang, jurutera jepun tidak berganjak atau menoleh ke belakang dan sanggup menggunakan senjata 'ilmu teknologi' yang bukan datang dari dunia mereka tetapi dunia barat untuk bersebati dengan perjuangan hidup mereka. Hari ini, bidang kejuruteraan jepun bukan calang-calang walaupun mereka tak keluarkan senjata perang atau nuklear, namun industri pembuatan terutama kenderaan dan jentera merupakan antara yang hebat menyaingi dunia barat. Pernah aku terbaca Toyota di Jepun semakin menguasai pasaran kereta di Amerika.
Begitu juga industri robotik di Jepun, saban tahun perlumbaan saintis jepun untuk mendahului bidang robotik sangat kencang dan sengit, berlumba-lumba mereka untuk meningkatkan prestasi robot hingga pihak Honda sanggup membelanjakan bertrilion yen untuk pembangunan robot di jepun. Walaupun di Amerika juga pembangunan industri robot rancak, namun semangat mencipta robot di Amerika lebih menjurus kepada usaha atau medan peperangan, sementara Jepun ingin membina robot-robot pemudah kehidupan seperti pembantu doktor di hospital, pembantu di dalam rumah, mahupun menjadi bahan mainan dan teman anak-anak kecil. Seperti dalam kisah uzumaki naruto, begitulah impian yang memendam dalam jiwa orang jepun, dalam hati mereka ada semangat membara-bara untuk muncul kembali menjadi bangsa yang ditakuti dan dihormati oleh warga manusia di dunia seperti raksasa yang wujud dalam diri naruto. Namun kalahnya mereka dalam perang dunia kedua mesti mengajar mereka untuk tidak bertindak sia-sia atau lalai supaya tragedi hiroshima dan nagasaki tidak berulang. Raksasa yang ada dalam diri naruto adalah raksasa yang kalah setelah mengganas, dan keganasan raksasa musang itu telah mengorbankan orang-orang kampung konoha dan seorang pemimpin hokage yang mereka sayang. Naruto diasuh untuk hidup berdikari meningkatkan keupayaan diri walaupun sering dipandang hina dan jijik oleh orang kampung atas dosa raksasa yang wujud dalam diri naruto itu seperti juga bangsa jepun merasakan dunia asia terutama negara yang pernah mengalami keganasan tentera jepun memandang keji orang-orang jepun atas dosa tentera-tentera mereka dulu.
Rencana fantasi dalam komik sebenarnya tidak pernah terpisah dari realiti, terutama pengkarya-pengkarya dari Amerika mahupun Jepun, mereka bukan sekadar mencipta dunia fantasi adiwira, akan tetapi mereka mencanangkan propaganda dan mimpi sebuah impian politik tersendiri.
Begitu juga diri aku yang mengkagumi karya-karya komik dan fantasi semasa kecil akhirnya membuatkan diri aku memahami yang aku kejar dan kagum bukan kisah fantasi yang dibawa, tetapi semangat yang ada yang diimpikan dalam komik itu tidak berlaku di dunia realiti. Sepertimana wujudnya adiwira atau hero-hero dalam komik boleh menyelesaikan segala permasalahan atau kezaliman dan kekejaman makhluk raksasa yang mendatangi mereka, begitu juga manusia di alam realiti mahukan hero-hero tertentu untuk datang menyelamatkan mereka samada dari kancah manusia penjenayah, kegilaan godaan hedonis mahupun kezaliman tindakan politikus yang menyalahguna kuasa dan tamak serta rakusnya kapitalis.
Label:
mfr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment