Revolusi Iran yang tercetus hingga membentuk Republik Islam Iran pada tahun 1979 pernah memberikan inspirasi buat seluruh gerakan Islam sedunia. Sejak kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924 yang sebelumnya menaungi negara-negara Islam kecil lain selepas sistem khalifah dihapuskan oleh Kamal Attartuk, umat Islam mula bertatih semula membentuk gerakan-gerakan dakwah untuk persiapkan generasi baru Islam yang lebih kuat menghadapi musuh yang sudah mula menoda negara-negara Islam yang berpecah membentuk negara bangsa.
Gerakan dakwah ini termasuklah Jemaah Ikhwanul Muslimin pimpinan Hassan al Banna di Mesir,dan Jamaat e Islami pimpinan Abul Ala Maududi di Pakistan pada era 1940-an yang telah menarik ramai pengikut dan memberi inspirasi buat seluruh pemuda pemudi Islam di seluruh dunia untuk mengaktifkan dakwah sebagai asas kepada pembentukan generasi Islam baru. Hinggalah kemenangan puak revolusi Iran yang membentuk Republik Islam pada tahun 1979 itu membuktikan Islam tetap masih kuat dan menggerunkan musuh-musuh yang berniat jahat ke atas tanah, maruah dan diri umat Islam.
Hakikatnya Revolusi Iran yang berlaku selepas lebih kurang 30 tahun pada era kemaraan dakwah gelombang Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Jamaat Islami di Pakistan , tentunya dilihat tiada kaitan dengan ahlus sunnah atas sebab gelombang itu digerakkan oleh pendokong-pendokong Syiah. Namun di era muslim sedang dihimpit, kebanyakan pejuang-pejuang Islam tidak mempedulikan jenama-jenama firqah lalu masing-masing di antara mereka meniupkan sokongan dan semangat di antara satu sama lain. Walaupun diketahui umum akan perselisihan pendekatan antara Ikhwanul Muslimin, Jamaat islami, mahupun Revolusioner Syiah, namun perselisihan itu tak membuahkan permusuhan hingga meragut nyawa dan menumpah darah seperti senario pada zaman millenia ini. Mereka malah menjadikan pembentukan Republik Islam Iran sebagai inspirasi.
Hakikatnya perjuangan Revolusi Iran bukan sekadar digerakkan oleh pejuang-pejuang Syiah, malah turut sepakat menumbangkan Shah Iran ketika itu adalah seluruh jentera pembangkang Iran di kalangan Liberalis,Marxist,mahupun Komunis. Malah Amerika yang dirayu-rayu pertolongan oleh Shah Iran juga mencadangkan Shah Iran turun takhta dan menukarkan muka baru sebagai shah untuk meredakan gelombang revolusi( strategi biasa Amerika dalam agenda melahirkan bonekanya di negara islam).Cuma setelah Shah Iran diguling,pengaruh Khomeini tidak mudah digoyah apatah lagi apabila Khomeini membentuk majlis ulama syiah di kalangan mullah yang menyokongnya, menaikkan dirinya sendiri sebagai pemimpin agung Iran yang melampaui kuasa seorang presiden Iran sendiri. Akhirnya puak-puak ideologi lain yang bersekutu dengannya ketika revolusi tenggelam hingga perlembagaan republik islam iran mengukuhkan kedudukan para mullah dalam pentadbiran kerajaan.
Angin gelombang kemenangan syiah membentuk republik di Iran turut bertiup hingga ke Nusantara khususnya di Malaysia. Jika sewaktu kemaraan pengaruh Ikhwanul Muslimin dan Jamaat Islami melebar ke Malaysia, gerakan-gerakan dakwah cuba perkasakan dakwah dan sebarannya secara ilmu, namun apabila Revolusi Iran membuahkan inspirasi, kelompok mahasiswa Islam mula menerimapakai unsur-unsur revolusi sebagai ikhtiar suara dakwah hingga membuatkan mereka mula membanjiri jalan-jalan raya serta naiknya pemimpin dakwah muda seperti Anwar Ibrahim yang lantang bersuara dan berpidato menyemarakkan gelombang islamisasi ke seluruh negara. Zaman itu orang menganggapnya sebagai 'student power' dan Anwar berjaya mengukuh pembentukan idealismenya hingga ada yang memanggilnya sebagai fenomena Anwarisme.
PAS sebagai satu-satunya jemaah islam haraki yang bertanding dalam pilihanraya memperjuangkan negara Islam turut sama menerima tempias inspirasi Revolusi Iran. Para penceramah Pas begitu bersemarak mengagungkan kejayaan Khomeini dalam mengangkat para ulama dalam pentadbiran republik itu. Walaupun Pas ketika itu dipenuhi para pejuang kelahiran tarbiyah dari jaringan ikhwanul muslimin mahupun jamaat islami, namun inspirasi Revolusi Iran lebih memainkan peranan pada era 80-an Pas hingga PAS mengangkat "Kepimpinan Ulama" dalam jemaahnya dengan perlantikan mursyidul am nya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Inspirasi Revolusi Iran tidak pernah malap dalam PAS, kerana itu beberapa unsur tindak-tanduk revolusi masih kekal sebagai metod perjuangan Pas, contohnya demonstrasi membanjiri jalan-jalanraya, dan pembentukan persepakatan seluruh isi pembangkang seperti yang pernah diraih ketika PRU tahun 1999 sehingga DAP,parti sosialis liberal yang bertentangan dengan cita-cita daulah Islam PAS turut sama dijemput dalam Barisan Alternatif mengingatkan kita bagaimana Khomeini mampu menyatukan seluruh pembangkang di era revolusi hingga komunis dan liberalis mampu bersekutu,kemudiannya ditenggelamkan selepas kejayaan revolusi. Perjuangan PAS juga punya idea yang lebih kurang sama, kerana pakatan dengan parti ideologi seperti DAP akan ditenggelamkan untuk menjayakan pembentukan perlembagaan baru mengikut daulah Islam.
Kemenangan AKP Turki dan kejayaan Abdullah Gul yang punya sejarah sebagai Islamis di Turki punya kisah inspirasi berbeza dewasa ini. Abdullah Gul naik dan menang secara demokrasi, tiada pergulingan kuasa seperti yang dicetuskan oleh Revolusi Iran 3 dekad lalu namun imejnya mula diperkatakan orang termasuk parti-parti Islam di Nusantara khususnya PAS di Malaysia.
Suara-suara puji-pujian mula diukir oleh para penyokong-penyokong PAS terhadap Abdullah Gul terutama apabila isterinya berhijab dan dibandingkanlah dengan isteri para menteri di Malaysia termasuk Perdana Menteri Malaysia Paklah hari ini yang beristeri tidak berhijab. Lalu semangat untuk meraih kejayaan dengan proses demokrasi yang terbuka seperti di Turki begitu didahagakan para penyokong-penyokong PAS ini, malah sebelum ini juga atas teraju Anwar Ibrahim kembali ke gelanggang politik tanahair ,suara-suara menuntut demokrasi begitu menjulang hingga ucapan Presiden Hadi awang sendiri dalam muktamar Pas bertemakan demokrasi.
Anwar Ibrahim dengan nada dan suara yang hampir tidak lagi dikenali jika diingatkan kembali kisah tahun 70-80 an dulu ketika semaraknya inspirasi revolusi, kini menjadi presiden Yayasan Masa Depan sebuah badan untuk promosikan demokrasi ke seluruh dunia disokong oleh Amerika, walaupun dinafikan Anwar mendapat bantuan kewangan dari negara besar dunia itu. Boleh dikatakan perkembangan Anwar sebagai suara demokrasi liberal di pihak pembangkang, dan inspirasi kemenangan Abdullah Gul di Turki yang meresahkan penerus legasi sekularis Kamal Attarturk, seakan-akan mengubah dunia gerakan islam dalam arena politik melihat demokrasi dan inspirasinya suatu yang indah dan bersemangat untuk menjayakan politik islam. Mula suara-suara keagungan revolusi Iran dahulu sedikit tenggelam, walaupun kelibat presiden Iran Ahmednejad pernah mencuri tumpuan suatu ketika dahulu. Namun naiknya Ahmednejad juga dari arena demokrasi malah dilihat suara reformis pasca revolusi yang mula timbul keresahan di kalangan majlis ulama iran yang berkrisis dengan para reformis.
Namun tanpa sedar, sokongan kepada gerakan demokrasi adalah tuntutan dan impian para zionis dan freemason dunia, kerana demokrasi bukan sekadar kisah kuasa rakyat suara majoriti, juga perlu diingat pengaruh iklim ekonomi medan kapitalis sentiasa mencari peluang di celah kalut haru biru iklim politik sesebuah negara. Indonesia sebagai contoh terbaik kes pemurnian demokrasi yang menggulingkan era suharto memperlihatkan pasca era itu membuakpula suatu pelebaran fenomena rasuah di peringkat pegawai bawahan yang lebih ramai jumlahnya.Situasi sama dilihat di Thailand yang baru saja menggulingkan thaksin tetap sukar untuk kecapi nilai kestabilan dan memerlukan kesepakatan politik yang ketara. Pakistan yang pernah menggulingkan nawar sharif dan naiknya kuasa tentera era Musharraf juga menjerut arena politiknya hingga kini Musharraf sudah tidak popular dan berada di hujung tanduk.
Era Turki hari ini nampak lebih sihat berbanding pemurnian demokrasi di Indonesia, thailand dan pakistan, namun sokongan penyokong-penyokong PAS kepada ikon Abdullah Gul membawa padah tersendiri terhadap semangat 'kepimpinan ulama' hasil inspirasi revolusi dulu yang selalu menekankan agungnya alquran dan sunnah dijadikan perlembagaan, dan kafirnya sistem selain itu hingga terhukumnya kafir seluruh jentera kerajaan Malaysia hari ini yang disepakati ulama PAs sepertimana yang sering disuarakan oleh mursyidul amnya, apabila Abdullah Gul sendiri membuat kenyataan beliau akan terus mempertahankan sekularisme sebagai dasar pentadbirannya. Ikon Anwar Ibrahim sendiri kini jelas menyuarakan akan terus mempertahankan kedaulatan perlembagaan Malaysia yang tidak pernah disetujui oleh para pejuang pas terutama di kalangan ulamanya. Kini PAS tersepit antara meneruskan perjuangan hasil inspirasi revolusi untuk menubuhkan daulah islam (tapi amat hairan bertanding kurang 2/3), atau terus bersekutu dengan sebuah parti yang ingin mempertahankan perlembagaan kafir takrifannya iaitu PKR, dengan semaraknya pujian penyokong PAS memandang hebat parti AKP walaupun jelas AKP menyuarakan akan mempertahankan sekularisme.
Label:
politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment