Chauvinisme adalah gelaran yang diberikan kepada fahaman taksub kumpulan dan bersifat bermusuh dengan kumpulan atau fahaman yang bertentangannya secara radikal dan membuta tuli. Walaupun seangkatan dengan chauvinisme ini ada ungkapan biasa yang didengari kaum melayu seperti 'taksub jemaah','taqlid buta','jemaah centric' yang dikumandangkan sepanjang pertembungan khilaf dalam tafsiran islam , hukum hakam, dan perjuangan.
Dr Mahathir pernah dianggap sebagai 'ultra melayu' yang digelar buat menggambarkan betapa Dr Mahathir begitu taksub dengan bangsanya, hingga seolah-olah perjuangan mempertahankan bangsa adalah segala-galanya hingga menafikan hak-hak bangsa lain untuk hidup di bumi Malaya. Dr Mahathir pernah kalah pilihanraya yang diakui sendiri oleh Dr Mahathir kerana orang-orang Cina beralih undi untuk tonjolkan protes. Jika benarlah dakwaan ini, maka difahami orang bukan melayu tidak senang dengan unsur-unsur 'Ultra Melayu', oleh itu jika ada orang melayu tidak senang dengan 'Chauvinis Cina', ia adalah fitrah.
Fitrah manusia tidak sukakan ketaksuban dan permusuhan. Hanya manusia yang tidak kembali kepada fitrah sahaja yang menengking-nengking kita tatkala kita mengajak kepada perdamaian dan kasih mengasihi secara harmoni. Mereka yang anti-fitrah sukakan ketaksuban, sukakan permusuhan, suka melihat ada yang menang, dan ada yang jatuh kalah terhina (tentunya musuh mereka).
Baru-baru ini Osama Bin Laden muncul dengan video memberi kata dua untuk rakyat Amerika, mereka tidak akan diserang dan dibunuh jika mereka menganut Islam. Soalnya, Osama bukan menujukan kata-kata kepada pemerintah Amerika semata-mata, akan tetapi kepada rakyat Amerika! Ini berbeza dengan tawaran dakwah pejuang-pejuang Islam dahulu. Rakyat sesebuah negara kafir tak pernah diancam bunuh samada sebelum mahupun sesudah Islam berjaya menakluk negara tersebut. Pejuang Islam menawarkan dua kaedah kepada pemerintah di zaman itu samada berdiplomasi dengan membenarkan pejuang-pejuang Islam menyebarkan dakwah di negara mereka, ataupun beradu tenaga di medan peperangan yang difahami akan diakhiri dengan si pemenang perang akan menjadi pemerintah.
Soalnya pejuang Islam bukan mengutamakan kekuasaan politik, bukan ingin jadi pemerintah yang jadi matlamat. Pejuang Islam mengutamakan DAKWAH. Dakwah Islam adalah matlamat pejuang-pejuang Islam dulu, kini dan selamanya. Cuma untuk menyebarkan dakwah itu ada dua cara ditawarkan. Satu, orang kafir terbuka untuk membenarkan orang Islam menyebarkan dakwah dengan aman di negeri mereka. Dua, jika orang kafir tidak bersetuju, maka bolehlah beradu tenaga di medan perang untuk memperlihatkan kekuatan pemerintah kafir itu sehingga angkuh tidak mahu mendengar dakwah kebenaran.
Soalnya, kini umat Islam di Amerika dan di eropah semakin bertambah saban tahun. Dakwah tersebar dengan baik, walaupun sedikit payah. Dan ketahuilah kepayahan itu salah satu sebabnya adalah atas kerana fahaman taksub jihad membuta tuli yang beriktikad membunuh orang-orang kafir tanpa mengira adab dan etika, yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Jikalaupun Osama Bin Laden mahu menyebarkan dakwah dengan peraduan tenaga militan, maka ancaman ke atas rakyat Amerika adalah suatu yang melampau dan memberikan kesan buruk ke atas ajaran Islam. Osama jika benar-benar ingin mencabar kerajaan Amerika, sepatutnya menawarkan medan peperangan untuk beradu tenaga. Namun, melihatkan sifat Amerika berperang adalah memusnahkan alam, maka adalah suatu yang keji jika alQaeda juga bersiap berperang dengan senjata memusnahkan alam.
Peperangan pada zaman kini, adalah jenayah. Berbeza dengan senjata pedang, tombak mahupun panah di zaman dahulu yang hanya beradu sesama manusia tidak melibatkan alam dan bumi. Pada zaman kini, perang adalah dengan senjata letupan dan bakar, yang bukan setakat memberi kesan pada struktur bumi dengan gegaran dan letupan bom melampau, malah bahan-bahan kimia yang tersebar membawa kesan ke atas kualiti udara dan suhu bumi. Malah medan perang juga melibatkan bandar-bandar awam tatkala orang awam terbunuh hanya akan diberi alasan tersilap tembak dan permohonan maaf. Berbeza dengan pejuang-pejuang Islam dahulu, berperang tidak melibatkan orang awam, malah tempat-tempat beribadat juga tak dihapuskan walaupun agama selain islam. Perang selalunya diadakan di tanah lapang atau kawasan-kawasan yang tidak berpenduduk. Ini makna perang yang patut difahami.
Begitulah ketaksuban tidak pernah selari dengan fitrah manusia. Jika direnung kes babi di Melaka, jika ada pejuang-pejuang hak asasi manusia dan haiwan dari kalangan DAP dan PKR yang mendakwa penternak-penternak babi yang menjalankan operasi secara haram dan melanggar peruntukan undang-undang patut dilindung hak perniagaan mereka, perlulah fikir tentang keharmonian antara manusia dan alam itu terlebih dahulu. Orang-orang Melayu yang tertindas dengan lambakan menggila babi di Melaka bukan cakap kosong, memang tusukan bau dan najis babi merata ke muara sungai merebak ke kampung-kampung, parit-parit yang berlingkar, hingga tembus ke pusat pengajian tinggi mahupun sekolah rendah dan terus ke laut dan terlingkupnya perniagaan perlancongan tepi pantai adalah suatu kezaliman tahap tertinggi.
Orang Melayu tak bencikan babi. Orang Melayu Islam kasihkan haiwan dan memang tidak dibenar untuk menganiaya haiwan. Namun jika ada anjing gila menggigit orang, patutlah ditangkap anjing itu, jika ada burung dan ayam yang terjangkit selsema burung perlulah dihapus semua ayam dan burung itu, jika ada kupu-kupu yang bulunya mengakibatkan penyakit kulit perlulah dimusnahkan kupu-kupu itu, begitu jugalah jika banyaknya babi di melaka mengakibatkan najis-najis berulat dan berbakteria tahap tertinggi tersebar mengalir ke sungai dan laut, menyebabkan manusia-manusia lain terganggu adalah logik untuk dimusnahkan semua babi itu atau dipindahkan.
Cuma pendirian orang melayu Islam dalam kes babi di Melaka dengan pendirian orang Islam di Amerika yang sedang melawan islamphobia barat dengan dakwah islam dalam kes ancaman Osama ke atas semua rakyat Amerika, selalu terganggu apabila muncul kelompok-kelompok chauvinis merosakkan segala-galanya. Di Amerika puak-puak chauvinis menggerakkan islamphobia dan anti-islam sedaya upaya, dan direspon pula oleh puak chauvinis pro alqaeda, pro taliban dan seangkatan dengannya yang mahu membalas dendam dengan letupan-letupan underground ala-ala JI di indonesia. Begitu juga apabila puak chauvinis cina yang mendakwa orang melayu cuba menindas cina dengan tidak benarkan cina makan babi, atau belajar di universiti awam, atau dipaksa belajar Bahasa Malaysia yang tak ada nilai komersial, samada dari saluran suara politik mahupun protes menerusi negarakuku, atau negarakuku versi baru tentulah semakin kalut apabila puak chauvinis melayu membalas nak membunuh cina dengan bertopengkan jihad.
Samalah juga jika kita lihat chauvinis salafi (dasar pandang ke saudi atau pakistan) yang muncul di kalangan orang muda yang baru nak faham agama ditentang dengan chauvinis sufi (dasar pandang ke turki atau india) dengan antara satu sama lain melampau dengan masing-masing menyebut terkeluarnya masing-masing dari Islam dan ahlus sunnah wal jamaah merupakan tindakan melampau yang tidak meraikan fitrah tetapi nafsu serakah semata-mata.
Pendek kata puak-puak pelampau yang menjual idea taksub dan bermusuh, tatkala ada ruang untuk harmoni dan berdamai adalah suatu yang menjelikkan semua manusia yang benar-benar manusia.
Kita pejuang Islam ahlus sunnah meraikan kaedah mengikut situasi, memang benar kita disarankan berkasih sayang sesama Islam dan tegas keras terhadap orang kafir, dan janganlah dilupai pesanan Rasulullah untuk kita melindungi manusia dan kafir dzimmi yakni yang tidak memusuhi kita. Adakah rakyat Amerika semuanya memusuhi kita atau mereka menjadi keliru atas perbuatan kita sendiri yang tidak berdakwah tetapi hanya mengancam dan taksub chauvinis? Adakah kita memusuhi orang Cina kerana ternak babi dan makan babi, padahal restoran cina terus berkembang dan maju di malaysia menjual babi panggang, atau orang cina bertindak defensif atas kerana ada di anatara kita orang melayu yang sungguh-sungguh membenci babi dan orang cina? Kita tak tahu pendirian fitrah sebaliknya berpegang untuk turut serta dalam kempen-kempen permainan politikus semata-mata.
Sebab itu e-ma berjasa dalam membuktikan kepada chauvinis cina bahawa babi bukan binatang yang dibenci dan diwajibkan untuk dibunuh dalam Islam. Ia cuma binatang yang diharamkan dimakan berserta dengan bangkai, darah, harimau, kera, gajah, katak, ular, platipus, penyu, kura-kura dan buaya. Di samping itu, sifat babi yang pengotor perlulah diambil kira dalam pengurusannya di alam raya ini sebagaimana kita mengawal populasi tikus, lipas, cicak, lalat, nyamuk dan sebagainya. Hanya pejuang Islam yang faham pendirian fitrah dan berusaha kembali kepada fitrah manusia yang sukakan harmoni, kasih sayang, damai dan tenteram dari ketaksuban, permusuhan, pencemaran, peperangan jenayah, kerosakan atas muka bumi dan sebagainya, akan punya pendirian yang jelas dan bernas. Oleh itu, bulan ramadhan yang bakal tiba satu-satunya tarbiyah terunggul dalam Islam membuktikan Islam mengajar penganutnya berusaha membaiki diri dan sentiasa kembali berada dalam fitrah manusia setiap tahun. Selepas ramadhan kita target kembali kepada fitrah (aidil fitri), namun ada sekelompok kita dah mula bersiap menyambut aidil fitri sebelum ramadhan dengan kembali jahiliyyah.
Label:
politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment