Pada asalnya saya juga tak berkeinginan untuk menyentuh isu-isu 'hot' hingga menaikkan kelibat anak-anak muda menambahkan lagi kes-kes kontroversi melibatkan warga muda melayu sama ada lelaki atau perempuan. Jika diberikan pilihan untuk membicarakan akan tingkah laku remaja, saya lebih berminat untuk membincangkan hingga ke peringkat tertinggi membuah penyelesaian akan isu-isu gangsterisme dan hedonisme di kalangan remaja, yang lebih majoriti dalam menyumbang kes-kes jenayah dan keruntuhan akhlak. Namun masyarakat tak suka menyelamatkan anak muda, mereka suka ludah anak muda sahaja.
Akan tetapi setelah membaca dua artikel di laman blog tawel dan di forum TKO, memperlihatkan untuk saya berbicara membebel berseorang diri (blog saya hanya dikunjungi purata 5 unique visitor sahaja, alhamdulillah berjaya menjadi low profile) bukan mengulas akan hukum si 'e-ma' memegang babi-anjing, tapi untuk berbicara soal kasih sayang haiwan yang membawa ke syurga.
Saya letakkan gambar Husam Musa memeluk kambing jamnapari dan si e-ma memegang anak babi untuk memperlihatkan akan manusia yang mengasihi haiwan. Babi memang tidak setaraf dengan kambing dalam kehidupan muslim, kerana kambing bukan saja halal dimakan dan banyak khasiat berbanding daging ayam atau lembu, malah kambing juga punya kaitan rapat dengan kisah para rasul dan nabi. Contohnya Nabi Ismail pernah ditukar dengan kibas (sejenis kambing) ketika Nabi Ibrahim diperintahkan menyembelih anaknya itu, dan Nabi Muhammad pula pernah mengembala kambing. Kambing juga antara haiwan yang sering dijadikan korban dalam banyak acara seperti ketika aidil adha atau kenduri kahwin.
Di samping e-ma memegang babi, e-ma juga dikhabarkan memegang anjing. Anjing juga istimewa seperti kambing tadi kerana punya kisah silam yang sering dikhabarkan buat tauladan yang begitu masyhur. Iaitu kisah anjing ashabul kahfi yang setia menjaga pintu gua yang disebut dikurniakan syurga, dan juga kisah anjing yang diberi minum oleh seorang pelacur hingga pelacur itu dikurniakan syurga oleh Allah s.w.t. Anjing juga dihalalkan untuk dijadikan pemburu sebagaimana orang-orang di zaman silam memburu rusa banyak memanfaatkan keistimewaan anjing yang dikurniakan Allah keupayaan menghidu yang tinggi. Sehingga di zaman moden anjing masih punya manfaat sebagai penolong pasukan polis untuk mengesan penjenayah dan tugas anjing ini diiktiraf oleh para ulama dan para ulama sepakat menghalalkan penggunaan anjing dalam pasukan polis.
Adapun kisah babi jarang orang kisahkan. Memang benar babi sering digambarkan sebagai haiwan yang jijik atas sebab gaya hidupnya yang kotor, dan logiklah jika Allah s.w.t mengharamkan babi untuk dimakan. Adapun menyentuhnya dikategorikan sebagai najis, dan tidak pula para ulama mengharam menyentuhnya jika ada keperluan untuk berbuat demikian. Tawel menjelaskan dalam entri blognya perihal adab dengan anjing dan babi yang beliau sifatkan perlu mengambil kira juga faktor budaya setempat supaya tidak menghadirkan rasa tidak puas hati dan kebimbangan di kalangan umat Islam khususnya di malaysia.
Apa yang tawel sebutkan itu aku setuju. Seperti juga filem Gubra yang mempamerkan seorang bilal mengusap-usap anjing ketika sudah berwuduk untuk ke surau bersolat subuh telah dikritik hebat oleh Faisal Tehrani sebagai satu perbuatan yang tidak bertujuan dan hanya bermatlamat untuk tonjolkan kontroversi. Faisal Tehrani menyebut bahawa apakah tidak dibimbangi bulu anjing itu basah dengan embun pagi, dan apakah wujud keperluan untuk mengusap anjing ketika si bilal berniat untuk ke surau untuk solat, dan apa yang diperkatakan oleh faisal itu ada betulnya dalam konteks filem Gubra kerana si bilal selepas mengusap anjing, telah bertegur sapa mesra dengan pelacur yang baru balik kerja. Itu membuktikan Yasmin Ahmad sedang menjual fahaman liberalisme dalam beragama.
Berbalik soal babi tadi, sebenarnya kisah babi juga wujud dalam siri kisah tauladan yang sering saya dengar dari tazkirah para ustaz yang mengajar saya. Mungkin akan timbul puak salafi yang mempertikaikan kisah israiliyat, namun tidak mengapalah untuk perkatakan sahih atau tidak kisah yang saya dengar, asal saja kisah itu berikan saya suatu fikir yang berguna.
Ada suatu kisah menceritakan bahawa babi telah keluar dari gajah di atas kapal Nabi Nuh lalu ditugaskan memakan najis-najis haiwan di atas kapal hingga akhirnya kapal itu bersihlah hendaknya. Adapun satu lagi kisah menceritakan sepasang suami isteri telah bertukar menjadi babi atas akibat perbuatan dosa mungkar mereka. Walaubagaimanapun si anak tetap menjaga ibubapanya yang bertukar menjadi babi itu dengan memandi dan memberi ibubapanya makan hingga bertahun-tahun lamanya.
Dua kisah itu sebenarnya agak popular di kalangan orang melayu kita, namun biasalah jika ada orang melayu suka bercerita tapi tak suka berfikir.
Bila membaca komen-komen pelawat TKO akan isu si e-ma ini jelas mereka bukan sekadar jijik bahkan mereka bencikan babi. Babi mungkin haiwan yang banyak mendatangkan masalah terutama ke atas alam sekitar yang bersih untuk dihuni manusia, seperti masalah babi di melaka yang kecoh kebelakangan ini, namun babi tak diperintah untuk dibenci oleh Allah s.w.t.
Setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya, namun sedikit saja yang dapat berfikir.
Benar, memang babi dipandang keji dan diiktiraf haiwan keji oleh semua kaum di dunia seperti yang ditulis oleh kawan kita alexandewathern. Namun kisah ibubapa yang bertukar menjadi babi itu tak seteruk kisah sekumpulan yahudi yang Allah tukarkan menjadi monyet kerana melanggar hukum hari sabtu. Allah s.w.t murka akan kumpulan yahudi itu lalu Allah tukarkan mereka menjadi monyet dan bukannya babi. Maka adakah monyet sebenarnya lebih hina dari babi? Wallahua'lam.
Adapun monyet atau kera memang bersebati dalam kehidupan orang melayu. Di Malaysia, pohon-pohon kelapa sehingga kini masih lagi menggunakan khidmat monyet untuk memanjat dan memetik kelapa. seperti juga babi, monyet juga haram dimakan. Dan seperti juga babi, monyet juga sinonim untuk dipanggil bagi kata-kata untuk mengeji seseorang. Biasalah orang nak mengeji manusia lain, bukan saja kita pernah dengar "hei, babi", tapi kita juga pasti biasa mendengar, "hei, monyet!" , "hei, lembu!" , "hei, keldai!", "hei, beruk!" , "hei, tenuk!" dan lain-lain.
Akan tetapi apa yang diasuh oleh ibubapa saya, jika kita menjadi marah kepada manusia seelok-eloknya sebutlah, "astaghfirullah al adzim", atau kalau nak menyeru nama sesuatu pun tidaklah wajar menyeru nama haiwan, tapi patutnya menyeru nama Allah dengan menyebut,"Ya Allah..." dan bukannya menengking bengang tak tentu pasal,"hei, babi".
Haiwan sering dianggap satu makhluk hina sebab itu manusia bila nak menghina manusia lain akan menyeru nama haiwan. Dalam masa yang sama, seperti yang saya tulis di atas, setiap haiwan yang manusia sebut hina itu termasuklah babi, anjing, kambing, lembu, beruk, tenuk dan sebagainya sebenarnya banyak guna pada manusia sendiri. Dan itulahpun sebab Allah menyediakan haiwan di dunia ini untuk dimanfaatkan oleh manusia dan untuk menguji manusia. Bagi siapa yang belajar sains, sudah tentu bukan sewenang-wenang kita nak menghapuskan satu kumpulan haiwan yang wujud dalam satu rantaian ekologi. Seperti yang pelajar sains maklum, jika terputus rantai makanan maka akan terhasillah ketidakseimbangan ekologi.
Untuk memahami manfaaat yang boleh didapati dari haiwan, maka haiwan itu perlulah dikaji. Dan jika haiwan itu dibenci maka tentunya sukar untuk dibuat kajian, maka logiklah jika e-ma mempunyai nilai kasih sayang terhadap haiwan yang tinggi. Hari ini, orang mengeji e-ma kerana sayang pada babi dan anjing, tapi di hari esok, merekalah yang gunakan pengetahuan e-ma terhadap dua haiwan yang mereka tak pernah dekati itu. Seperti satu komen di TKO, seorang pelawat beriya-iya mengejek e-ma bekerja dengan babi, lalu tidak semena-mena telah mengukirkan satu teori saintis bahawa babi punya banyak kuman. Adapun saintis yang mengeluarkan teori itu pastinya telah bergelumang dengan babi, atau setidak-tidaknya pekerja mereka. Lalu, akhirnya kita sendiri yang bodoh tak suka akan ilmu kebinatangan mahu menghina diri pekerja yang bekerja dengan binatang, akhirnya memanfaatkan sendiri ilmu kebinatangan itu. Tidakkah malu manusia sebegini?
Kes menghina-hina ini memang aku tentang tak kira yang mereka hina itu suatu yang teruk, tidak bererti patut menghina hingga melampaui batas. Tak perlu aku nak panjangkan akan perangai segelintir manusia sebegini yang merosakkan manhaj dakwah yang diperjuangkan para ulama dengan diri mereka yang tak berakhlak. Kes-kes kaki carut marut ini memang sering merosakkan mana-mana kumpulan manusia, seperti yang wujud di kalangan warga salafi-wahabi yang mengejek-ejek orang, atau warga sufi yang sudah terjangkit perangai takfir, mahupun warga politik samseng yang kutuk-gelak-kutuk-gelak tak berkesudahan. Semua mereka ini perosak di pihak mana pun mereka berada, merekalah pengganggu kedamaian, merekalah pengganggu keilmuan, merekalah pengganggu dakwah hikmah.
Berbalik kisah manusia yang suka menyeru-nyeru nama haiwan untuk menghina tidak berfikir bagaimana Rasulullah sendiri memandang mulia haiwan sehingga memanggil sahabat dengan nama haiwan iaitu Abu Hurairah (bapa kucing). Dikhabarkan juga ikatan serban umat islam yang terjuntai ke belakang itu, adalah diambil dari gaya kucing yang terjuntai ekornya. Jika benar dakwaan ini, maka ekspresi haiwan juga diterjemah dalam syiar islam seperti pakaian berserban itu. (walaupun sekelompok manusia tidak bersetuju serban suatu sunnah yang dituntut, akan tetapi bilangan ulama berserban tidak kurang jumlahnya.). Kucing juga tidak terlepas menjadi bahan untuk mengeji manusia, seperti orang melayu sering sebut,"taik kucing", walaupun "taik lalat" itu bukan suatu kejian bagi orang melayu malah pujian,contohnya "manisnya taik lalat awak".
Ringkasnya umat Islam yang faham Islam dan faham dakwah Islamiyah tak ada masalah dalam isu haiwan ini, dan jika ada khabar mengatakan si e-ma itu mahu menjual faham agama yang rosak dengan cuba mempopularkan babi dan anjing untuk dijadikan haiwan kesayangan (pet) adalah berunsurkan fitnah selagi tiada pertemuan empat mata dibuat dengan e-ma. Adapun dakwah islam memang lazim untuk berjumpa bertentang mata dalam bertanyakan hal sebenar, dan jika benar si pelaku itu telah keliru adalah lebih mudah untuk diajak dirinya kepada kebenaran ilmu yang sebenar. Sepertimana yang sering dilakukan Rasulullah apabila dikhabarkan orang akan perilaku seseorang, Rasulullah pernah berjalan sendiri menemui orang itu dan bertanyakan hal sebenar lalu didakwah Rasulullah selepas itu.
Pejuang-pejuang Islam memang dituntut untuk mengasihi haiwan, dan mengkaji haiwan ini untuk dimanfaatkannya. Adapun memang Allah s.w.t cipta sesetengah haiwan itu sebagai perosak seperti nyamuk, tikus atau babi, namun hanya manusia yang berfikir tahu hikmah haiwan perosak ini lalu berjaya juga memanfaatkannya seperti nyamuk dimanfaat untuk pengetahuan virus, tikus dimanfaatkan dimakmal dan babi juga ada manfaat yang dikhabarkan pada saya mungkin tempat perangkap kuman, wallahua'lam.
adapun manusia-manusia yang keji mereka bukan saja gagal mengasihi haiwan, malah mereka liar terhadap manusia dengan mengejek-ejek manusia dengan nama haiwan, malah mereka juga bodoh dalam keilmuan namun tak malu menjadi pengutip ilmu bila mereka diasak dan dicabar. manusia yang keji semuanya dihumban ke neraka, sedang manusia yang menyebarkan kasih sayang dibawa ke syurga hatta kerana memberi minum seekor anjing.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment