|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Dalam entri yang lalu, saya menganalisis sedikit mengenai penglibatan pelajar yang akan terkesan dengan pemansuhan PPSMI.Maka kesimpulan saya, tidak ada satu pun kumpulan pelajar yang akan mengikuti PPSMI dari tahun satu hingga tingkatan lima secara lengkap. Akan ada 6 jenis pengalaman yang berbeza akan ditempuh oleh 15 kumpulan pelajar sepanjang tahun satu hingga tingkatan lima.

Lebih menarik adalah akan ada dua jenis kumpulan yang bertentangan yang terpaksa mengubah bahasa pengantar mereka dalam pembelajaran sains dan matematik, iaitu kumpulan pertama terpaksa beralih dari bahasa melayu ke bahasa inggeris iaitu kumpulan yang menghadapi perlaksanaan PPSMI, dan kumpulan kedua adalah yang perlu beralih dari bahasa inggeris ke bahasa melayu iaitu kumpulan yang menghadapi pemansuhan PPSMI.

BAHASA MELAYU BERDAULAT

Saya tertarik dengan wawancara Mingguan Malaysia bersama Prof. Ungku Aziz bahawasanya, Bahasa Melayu akan berdaulat setelah pemansuhan PPSMI.

Saya tak fikir pemansuhan PPSMI ada apa-apa kaitan dengan pendaulatan Bahasa Melayu kecuali di sekolah kebangsaan. Jangan kita lupa sebelum PPSMI dilaksanakan, Malaysia masih teraba-raba dalam mencari identiti pendidikan termasuk dalam bahasa pengantar yang berbeza di sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan pernah dianggap meraikan perbezaan tanpa menuju ke arah perpaduan. Sebab itu ada dicadangkan sekolah wawasan yang ingin menempatkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan di tanah yang sama atau bangunan infrastruktur yang sama.

Pemansuhan PPSMI hanya langkah kembali ke zaman sebelum PPSMI dijalankan, Bahasa Melayu masih hanya menjadi pengantar di sekolah kebangsaan sahaja, dan sekolah jenis kebangsaan masih menggunakan Mandarin dan Tamil. Tak ada banyak beza dari situasi dan fenomena silam bakal muncul iaitu kaum Melayu, Cina dan India akan terus berada dalam zon dan trek masing-masing hatta ke universiti pun samada awam mahupun swasta.

Mungkin pelajar India tidak begitu terpisah dari komuniti kaum Melayu kerana setakat ini saya dapati tidak ada sekolah menengah jenis india berbanding banyaknya sekolah menengah jenis cina. Oleh itu kita dapati kaum India lebih ramai yang mampu bertutur dalam Bahasa Melayu berbanding kaum Cina yang kebanyakan keluaran sekolah jenis kebangsaan cina kurang mampu bertutur dalam Bahasa Melayu.

Jadi, seblum kita berbicara soal "Mendaulatkan Bahasa Melayu" dalam subjek sains dan matematik , marilah kita fikirkan operasi atau misi "Memampututur Bahasa Melayu" dijadikan teras di semua sekolah. Apa pengajaran dari perlaksanaan PPSMI yang dikatakan gagal ini adalah keprihatinan masyarakat Malaysia kepada bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu.

Saya menyokong misi "Mendaulatkan Bahasa Melayu" dalam bidang keilmuan termasuk bidang Sains dan Matematik.Caranya semestinya dengan pengajaran dan pembelajaran digunakan Bahasa melayu, buku teks dan rujukan dalam Bahasa Melayu dan tentunya hasil tesis atau jurnal juga dalam Bahasa Melayu.

Namun, misi saya bukan sekadar mahu mendaulatkan Bahasa Melayu. Tetapi selepas misi itu adalah misi "Kembali pada Tulisan Jawi", kemudiannya ada misi "Membiasakan dengan Al Quran" seterusnya misi "Mendaulatkan Islam dan Daulah Islam".

Saya tak nampak diri saya bersama dengan para pejuang sastera dan bahasa jika mereka hanya semata-mata mahu mendaulatkan Bahasa Melayu atau hanya mahu mewujudkan Satu Bangsa Malaysia berteraskan Melayu atau dengan kata lain semangat Nasionalisme Melayu. Saya sering meletakkan diri saya dalam semangat dan saf para pejuang yang membawa segala-gala perjuangan mengarah dan menuju ke arah meninggikan KalamAllah dan meninggikan Islam yang bersifat tinggi dan tiada yang lain tinggi darinya.

Apatah lagi, kemungkinan besar penerusan Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar subjek Sains dan Matematik di tingkatan enam dan matrikulasi, akan membuahkan hal yang sama di universiti. Maka di mana pendaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu jika pada peringkat tertinggi yakni di Universiti masih dirancang untuk digunakan Bahasa Inggeris. Melainkan rancangan itu juga dimansuhkan.

MANSUH UPSR

Saya melihat sudah ada kesedaran banyak pihak akan bahaya Pendidikan Berorientasikan Peperiksaan. Cadangan memansuhkan UPSR bukan baru, ia pernah dicadangkan oleh beberapa pihak di tahun-tahun sudah contohnya artikel tahun 2007 di Utusan ini(rujuk 1) (rujuk 2).

Oleh itu , cadangan Datuk Razali Ibrahim bukan satu cadangan baru.

Malah saya sendiri sangat berkeyakinan tak ada masalah dimansuhkan segala jenis peperiksaan awam (UPSR,PMR,SPM,STPM dll), kerana saya tak nampak di mana penilaian boleh diberi pada kecemerlangan diri seorang manusia dengan menjawab soalan yang terhad, piawai, berskema,dan bertulis semata-mata.

Ya, ramai menganggap cadangan saya radikal, tapi realiti menunjukkan bukti yang jelas, hampir kebanyakan peserta-peserta peperiksaan awam yang cemerlang dalam peperiksaan tidak mampu untuk menghasilkan suatu yang baru, memperbaiki yang lama, atau menyumbang untuk berkembang dalam apa jua medan, bidang, sistem yang ada di dunia. Malah sindrom "lupa ilmu" bukan sedikit terjadi pada peserta peperiksaan awam baik cemerlang mahupun tidak, yang mana kes melibatkan pelajar tingkatan satu lupa ilmu dalam UPSR, pelajar tingkatan empat lupa ilmu dalam PMR, dan mahasiswa universiti jua lupa ilmu dalam SPM. Malah, sesetengah universiti yang hanya fokus kepada kecemerlangan peperiksaan mahasiswa juga menghasilkan pekerja yang lupa ilmu yang belajar di universiti.

Lupa ilmu bukan setakat lupa teori, tetapi yang lebih penting lupa itu merujuk kepada kehilangan kemampuan mengaplikasi teori untuk menyelesaikan masalah atau menyumbang. Itu lebih penting untuk difokuskan, kerana bagi saya, apa perlu pendidikan jika tiada sumbangan untuk berkembang, atau selalu disebut dalam tradisi ilmu islam, apa erti ilmu jika tak beramal?

Saya nak sebut di sini, supaya ia direnung oleh warga pendidik, pelajar mahupun pembuat sistem pendidikan negara, adakah anda tidak nampak "Demam Peperiksaan" yang terhasil dari sistem peperiksaan awam telah menguasai bilik-bilik darjah dengan para guru memfokuskan pembelajaran murid dan pelajar untuk skor peperiksaan semata-mata, para murid dan pelajar juga terkongkong pada usaha mempertingkatkan "skill" atau kemahiran menjawab peperiksaan, dan lebih dahsyat ibubapa dan masyarakat menilai dan hanya memandang pada kecemerlangan gred peperiksaan sahaja. Tidakkah itu satu kebodohan yang menguasai segala sistem hidup kita yang mmepercayai peperiksaan menghasilkan kecemerlangan?

Padahal hal di sebaliknya berlaku dalam masyarakat kita.Berapa ramai yang dikatakan cemerlang itu benar-benar cemerlang hingga boleh menyumbang dan membaiki keadaan? Dan berapa ramai yang dianggap gagal itu pula yang benar-benar gagal untuk menyumbang dan membaiki keadaan? Saya ambil contoh Syed Mokhtar alBukhari sudah cukup membuktikan bahawa penilaian sebenar bukan peperiksaan awam untuk tahu kecemerlangan seseorang. Syed Mokhtar alBukhari berjaya dalam perniagaan, berjaya dalam menyumbang, dan berjaya dalam prinsip hidupnya, tapi dia bukan peserta cemerlang peperiksaan awam.

Apa yang kita perlukan dari generasi muda? Sumbangan. Kita perlukan mereka untuk mereka menyumbang pembaikan dan pengembangan kebaikan, dan menghancur serta memusnahkan kejahatan. Itu yang kita perlukan dari generasi muda.

Jika sudah diketahui bahawa sistem peperiksaan hanya latihan tekanan jiwa yang siapa berjaya melepasinya adalah manusia yang boleh mengurus mental dengan baik, sedang yang tak berjaya lepasinya adalah lemah mentalnya. Berjaya lepasi atau tidak berjaya lepasi bukan pada kejayaan gred yang mereka perolehi, tapi betapa khusyuknya solat mereka sebelum dan selepas ujian peperiksaan awam tersebut.

Ramai saja pelajar kita yang menggila belajar hingga larut malam, tertinggal solat subuh, atau tak khusyuk solat kerana terpaksa berasa takut hafalan hilang dari kepala malah ramai juga yang mendapat gred yang baik, tapi sudah rosak jiwa dan mental mereka apabila fikiran mereka sudah terlalu serabut, penuh, menggila dan tertekan. Maka kawalan emosi yang tak stabil pun menjejas kehidupan seharian. Ini semua boleh dikutip dari pengalaman setiap pelajar, murid atau anak-anak anda sendiri. Apa mereka belum nampak lagi bahana Peperiksaan Awam ini? Hapus saja, mari kita mula sistem pendidikan yang ceria dan menyeronokkan.

BUTA HURUF, MATI SEBELAH TUBUH

Saya tertarik dengan kenyataan Dr Puad Zarkashi , Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia tentang "bilangan pelajar yang tidak tahu membaca dan menulis (buta huruf)" dan kenyataan mengenai "Kewujudan generasi “mati sebelah tubuh” yang berpunca daripada ketaksuban para pelajar yang hanya berjuang untuk lulus peperiksaan akan merugikan negara".

Kedua-dua kenyataan itu jelas tak lari dari perbincangan saya tentang bobroknya sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan ini.

Cadangan saya cukup jelas, jika tiada lagi Peperiksaan Awam, maka tentunya tiada lagi istilah generasi "mati sebelah tubuh" oleh Dr Puad Zarkashi itu. Maka bolehlah kita fokus kepada penggilapan dan pengasahan.

Membaca, menulis, mengira itu bukan suatu kemestian hingga siapa yang tak boleh membaca, menulis atau mengira maka dia adalah manusia gagal. Itu silap.

Penulisan wahyu dan Al Quran itu sendiri dilakukan oleh para sahabat bukan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Adakah Nabi Muhammad s.a.w manusia gagal kerana tidak tahu membaca ketika disuruh Jibril a.s. Iqra dalam wahyu pertama, dan tidak menulis wahyu-wahyu yang baginda terima itu? Tidak.

Ada manusia yang Allah sediakan kekuatan dan kelebihan di tempat lain, di sinilah para pendidik wajar dilatih untuk menggilap dan mengasah pada anak-anak kita sejak kecil lagi. Melukis, bertukang, atau bersyair, berpidato mungkin kelebihan yang boleh juga menjadi asas kepada anak-anak kita menyumbang. Soalnya, sudah bersediakah masyarakat menerima sistem pendidikan yang meraikan ilmu, bakat dan minat sebenar ini?

Saya sudi berbincang dengan mana-mana pihak akan cadangan pendidikan ini. Saya tidak kata ini cadangan terbaik yang boleh dilaksanakan, tapi inilah cadangan terbaik yang boleh saya fikirkan setelah melihat sendiri dan menghadam sendiri pelbagai cadangan lain berkenaan dengan sistem pendidikan.

SISTEM PENDIDIKAN PENGGILAPAN DAN PENGASAHAN

Saya tuliskan poin agar anda senang untuk menyemak semula dalam tulisan-tulisan saya yang sudah-sudah berkenaan sistem pendidikan pejuang yang saya selalu tekankan.

1. Tidak ada peperiksaan untuk penilaian kecemerlangan.

soalan: jika tiada peperiksaan, bagaimana menilai seorang pelajar sudah beroleh kemahiran ilmu?

2. Menggilap dan mengasah mereka hingga mereka boleh menyumbang.
soalan: bagaimana mungkin boleh menggilap dan mengasah jika tidak ada satu bentuk ujian pengesahan?

3. Menguji dalam pembelajaran, ujian bukan penilaian, tapi ujian sebahagian sillabus pendidikan.

soalan: adakah ujian itu bentuk bertulis atau bentuk praktikal?

4. Bertulis dikenali sebagai Kuiz, dijalankan bersama nota yang boleh dilihat.Jawapan dari guru akan diberi di akhir ujian, dan jawapan dari murid akan dibincangkan bersama. Maka Kuiz tadi menjadi titik tolak perbincangan ilmu.(ada dalam entri yang dulu)

Praktikal dikenali sebagai Latihan, tapi ujian dijalan secara pemantauan, ditegur sejurus saja kesalahan terjadi. Contohnya Guru Mekanik menjalankan Latihan pada pelajarnya membaiki mesin, apabila pelajar itu tersalah memusing skru, maka Guru terus membetulkan cara memusing pada ketika itu juga dan sepanjang Latihan itu. Maka Latihan tadi menjadi titik tolak pelajar memahami cara yang betul dan mengelak dari mengulang kesalahan.

Kuiz dan Latihan ini diulang-ulang bersama dengan kuliah Talaqqi iaitu sesi menadah kitab depan Guru yang bersyarah di samping menghasil nota sendiri.

Inilah titik tolak pendidikan yang menggilap dan mengasah bukan untuk jadikan pelajar penjawab peperiksaan, tapi pencinta ilmu, perbincangan ilmiah, belajar dari kesalahan diri dan meningkat diri sepanjang sistem.

5. Pendidikan adalah percuma.

Gaji guru dibayar kerajaan, manakala pelajar tak perlu bayar apa-apa.

6. Pelajar mencari guru.

Guru hanya menawarkan ilmu, manakala pelajarlah yang akan memilih guru mana yang dia cenderung. Malah, pelajar digalak belajar dari ramai guru.

Guru bebas mengadakan sistem belajar tapi boleh saja meraikan sistem Kuiz dan latihan yang saya utarakan bergantung pada pengkhususan keilmuan guru itu. Jika guru hadis, semestinya sesi Talaqi dan hafalan itu penting.Berbeza dengan Guru Mekanik atau Guru Perubatan.

Guru juga boleh menggunakan bahasa yang ia kuasai. Dan boleh disediakan penterjemah jika bilangan pelajar yang tak memahami bahasa ramai.Ini diamalkan sendiri dalam banyak persidangan antarabangsa di mana penterjemah disediakan kepada delegasi negara berlainan bahasa.

Pelajar digalakkan menguasai bahasa yang digunakan guru. Jika Guru itu seorang Jepun, maka pelajar digalakkan mencari Guru Bahasa Jepun untuk menguasai bahasa jepun sebelum pergi kepada Guru Jepun tadi.Pelajar berinisiatif sendiri atas kecenderungan mereka pada ilmu.

7. Sebelum sistem pelajar mencari guru diadakan, setiap anak-anak kecil mestilah melalui sistem 3M iaitu Mengenal,Merenung Memanfaat.(ada dalam entri yang lalu)

Soal membaca,menulis,mengira itu hanya kategori mengenal. Juga mengenal yang lebih awal sepatutnya mengenal Allah, mengenal diri, mengenal persekitaran dan dunia. Manakala sifat manusia itu perlu merenung untuk berfikir untuk insaf, mengambil tauladan dari kisah-kisah silam, menanam azam untuk mencipta kisah-kisah hadapan.

Dengan itu, cita-cita di sekolah rendah bukan saja "saya nak jadi doktor", "saya nak jadi cikgu", "saya nak jadi polis" tapi lebih dari itu adalah "saya nak masuk syurga", "saya nak ubah dunia jadi lebih baik", "saya nak selamatkan manusia" akan tercetus.


8. Tiada tempoh masa piawai untuk kuasai ilmu.

Pelajar yang genius tidak perlu dibebankan dengan proses yang panjang, sedangkan keupayaan penguasaan mereka lebih singkat. Ini membolehkan mereka mendaki peringkat lebih tinggi tanpa membuang masa pada suatu yang sudah dikuasai.

Sedangkan pelajar yang lemah, tidak wajar dibebankan suatu tempoh yang tidak memberikan mereka kesempatan untuk memperbaiki diri dan menjalani proses pematangan ilmu yang cukup.

Pelajar seharusnya diberikan masa mengikut keupayaan masing-masing untuk menjadi orang yang mahir ilmu sehingga dinilai oleh sang guru sebagai cukup untuk mampu menyumbang.

Manusia memiliki keupayaan berbeza. Adalah suatu kezaliman meletakkan piawai tempoh, piawai minat dan kecenderungan, malah piawai atau kayu ukur kecemerlangan seseorang hanya berdasarkan kertas-kertas peperiksaan yang punya soalan terhad untuk benar-benar menilai diri seseorang.

Kebebasan dalam pendidikan yang meletakkan diri pelajar sendiri maju dengan keupayaan sendiri akan mencetuskan suasana cinta ilmu, makin belajar makin gembira, makin banyak tersilap makin banyak peningkatan, dan bukannya suasana sistem sekarang yang menekan emosi dan jiwa pelajar, makin ke sekolah makin tak gembira, makin belajar makin tertekan, makin gagal makin mundur hingga sekolah dibenci, guru tak dihormati, ilmu tak dicintai.

wallahua'lam.

0 komentar: