|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH





MASALAH SISTEM


Sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan semakin dikritik oleh ramai pihak. Ini bukan suatu yang aneh, rata-rata semakin ramai menyedari semakin sistem ini berjalan semakin banyak perkara yang tak selari dengan jiwa dan fitrah manusiawi tercetus.

Banyak isu yang berkaitan dalam dunia pendidikan yang akhirnya menjejaskan institusi sosial,politik,ekonomi malah norma-norma hidup juga sudah semakin terhakis nilai dan keseimbangannya.

Kita sudah berkali-kali mendengar isu masalah sosial remaja yang anti-sekolah, disiplin merosot bukan saja terhad pada kes ponteng dan rokok, malah kes buli yang melibatkan kematian, kes rogol,cabul, sindrom seks bebas, dadah dan arak, rempit dan rompak, juvana,maksiat, dan entah apa lagi hasil-hasil produk remaja dan generasi muda aset negara yang rosak bukan kerana tercicir pengajian akan tetapi kes melibatkan pelajar kelas A asrama penuh, yang dah sampai menara gading pun begitu rupa bentuk kecelaruannya yang diperlihatkan. Bukankah ini menunjukkan kegagalan sistem apabila kes dan angka statistik sudah menunjukkan kenaikan peratusnya?

Kita juga mendengar rungutan dari pihak penggerak sistem sendiri, guru yang terbeban tugas, guru yang hilang jatidiri dan jiwa pendidik, guru yang bermasalah juga wujud, guru yang berkonfrantasi dengan murid, guru yang mendera murid dan guru didera oleh murid, guru yang tak bertanggungjawab, guru yang terpaksa dan dipaksa mengajar dengan cara yang tak direlakan hati, dasar pembelajaran yang bertentangan dengan kecenderungan guru, guru yang tak kreatif, guru makan gaji buta dan pelbagai lagi masalah yang timbul dari guru-guru yang terhasil dari sistem yang sama juga.

Bahkan, bukanlah suatu yang aneh jika masalah juga timbul kepada para ibubapa yang melihat sistem ini tidak membangunkan anak-anak mereka dengan mereka lihat anak mereka menjadi tertekan mental dan fizikal, hingga kadangkala buat para ibubapa menjadi kecewa dengan anak-anak yang sebenarnya dikecewakan oleh piawai sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan ini.
baca contoh kes bapa ini: http://saifulislam.com/?p=5744

JANGAN KRITIK SAJA, APA ALTERNATIFNYA

Saya tak melihat tiada langsung usaha mencadangkan alternatif, mahupun usaha memberikan alternatif dan cuba menjalankannya. Rata-rata mereka berfikir sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan ini boleh diseimbangkan dengan mempelbagaikan aktiviti sekolah dan mempelbagaikan kaedah memberi gred dan penilaian ke atas kecemerlangan pelajar.

Maka sistem ko-kurikulum mula diaktif dan diperkasakan, sistem merit dari aktiviti ini diambil kira sebagai tambahan dan sokongan beberapa peratus dalam penilaian pelajar disamping kelulusan bersama gred dalam peperiksaan umum kebangsaan.

Apa yang berlaku tanpa mereka sedar atau tidak, tapi telah terasa oleh sekalian pelajar "sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan bersama ko-kurikulum" ini adalah sistem yang menambahgandakan tekanan dan kerja diluar kemampuan baik pelajar mahupun guru dan sekolah. Akhirnya, kita dapat lihat sistem yang diberi kononnya sebagai penambahbaikan atau alternatif telah menjadi mala petaka yang lebih teruk dari asalnya.

Mengapa boleh jadi begitu?

Saya dimaklumkan oleh beberapa pelajar bahawa sistem berorientasikan peperiksaan dan sistem keaktifan ko-kurikulum ini berjalan serentak secara terpisah dan bertindih keutamaan dan waktunya.

Sebagai contoh, seorang pelajar yang kononnya dikenalpasti oleh sekolah sebagai pelajar yang cerdas dan cergas telah diberi tanggungjawab untuk mewakili sekolah dalam satu pertandingan forum. Untuk persediaan menjadi wakil sekolah, pelajar itu dikehendaki memperuntukkan sebahagian masa di sekolah atau selepas habis sekolah. Merit akan diberi kepada pelajar itu jika dia berjaya dalam amanahnya itu. Ini bahagian keaktifan ko-kurikulum yang ditambah tadi.

Dalam masa yang sama, pelajar yang sama masih tertakluk kepada kerja sekolah, ujian dan peperiksaan yang dikehendaki oleh sistem berorientasikan peperiksaan yang asal. Maka, adakalanya pelajar itu terpaksa tidak ke kelas bagi peruntukan masa latihan ko-kurikulumnya, ataupun ketika beliau pergi ke tempat pertandingan pastilah beliau tertinggal kelas-kelas tertentu. Akhirnya, sistem berorientasikan peperiksaan dan sistem keaktifan ko-kurikulum bermain tarik tali dalam diri pelajar itu, sehingga ini memberikan pelajar itu satu beban yang amat berat hingga nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Begitu jugalah dengan halnya bagi guru dan sekolah. Guru yang terlibat untuk sistem keaktifan ko-kurikulum adakalanya tidak dapat beri komitmen pula pada pembelajaran mereka di kelas. maka situasi sama berlaku dalam diri guru, 2 kerja berat perlu dilakukan, mempastikan A untuk peperiksaan pelajar mereka, dan mempastikan merit baik pada ko-kurikulum pelajar yang sama.

Sekolah juga begitu, membuat pelbagai aktiviti, sambutan, dan acara selain akademik, memerlukan pihak tenaga sekolah memberikan masa dan komitmen, juga mewajibkan pelajar duduk dalam program, dalam masa yang sama perlu memastikan kelas-kelas tidak tertunda untuk menghabiskan sillabus bagi persediaan peperiksaan yang pelbagai macam pula. Usaha mempercepatkan pengajaran sillabus menjadi salah satu perkara yang terpaksa dilakukan dan akhirnya nanti jadilah cerita kartun untuk sistem ini yang kononnya semua kefahaman oleh pelajar boleh sampai hanya dengan sekali hembus, memperlihatkan lagi betapa sistem ini memang digarap untuk robot dan bukannya manusia.

Sebenarnya mereka bukannya berikan alternatif, tetapi mereka telah berikan tambahan unsur yang menekan tanpa menukar atau mengubah masalah asal sistem iaitulah piawai,seragam dan tekanan.

PIAWAI, SERAGAM DAN TEKANAN

Saya menggariskan masalah sistem ini bukan disebabkan oleh adanya kecenderungan akademik semata-mata , maka perlunya pula ditambah lagi unsur ko-kurikulum.Masuklah pelbagai macam lagi unsur, dan terbaru nak dimasukkan unsur ketuhanan dalam setiap sillabus, penilaian akhlak dan nilai peribadi dan pelbagai macam lagi unsur yang pada asalnya baik akan jadi huru-hara buat pelajar jika masih sistem ini memakai piawai, seragam dan tekanan sebagai tema.

Pendidikan itu bukannya penghakiman. Masalah berlaku apabila pencipta-pencipta dasar pendidikan, mahupun pencadang-pencadang akademik hanya bertumpu kepada "bagaimana mahu menghakimi seorang pelajar itu sudah cemerlang pendidikannya". Oleh kerana itu mereka sibuk dengan mencipta piawai-piawai yang boleh menjadi tanda ukur seorang pelajar itu layak digelar cemerlang. Maka asal sistem ini adanya gred dalam UPSR,PMR,SPM,STPM dan pelbagai peperiksaan lain sebagai piawai intelektual pelajar, adanya merit dalam aktiviti persatuan,unit beruniform,sukan untuk piawai bakat pelajar, dan lain-lain sistem yang meletakkan piawai demi piawai yang sebenarnya menyalahi fitrah sebuah pendidikan.

Mengapa menyalahi?

Kerana apa yang berlaku nanti adalah keseragaman produk yang mengikut piawai, padahal itu bukannya sifat manusiawi tapi sifat mesin dan robotik. Sebuah kilang yang meletakkan piawai produknya mestilah menepati ciri-ciri standard, maka mesin dan robot di kilang akan bekerja dan membikin produk itu menjadi sama semuanya walaupun asal bahan itu dari pelbagai latar belakang yang tentunya tak sama. Produk di kilang boleh dibentuk dengan sistem mesin dan robot, tapi tidak produk MODAL INSAN yang ingin dilahirkan oleh sistem pendidikan yang merangkumi falsafah manusiawi.

Dan piawai yang berkehendakkan keseragaman inilah nanti menimbulkan tekanan dan konfrantasi jiwa dari peserta sistem pendidikan kerana mahu dipaksa falsafah robot kepada sebuah norma dan falsahan manusia. Dan setiap masalah yang timbul di awal perbincangan tadi semuanya kerana tekanan ini yang cuba mewujudkan sebuah arus, sedangkan sifat pesertanya yang berlainan arus menghasilkan kes-kes melawan arus yang sebahagian besarnya adalah arus songsang yang menghancurkan.

INI ZAMAN IDEA BARU DAN PENILAIAN HASIL

Pada pendapat saya sebagai orang yang sudah mengisytiharkan perang habis-habisan ke atas sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan sejak di bangku sekolah lagi , dengan menamakan diri sebagai pejuang anti-exam, meletakkan pendidikan adalah bagaimana manusia boleh dibentuk sebagai manusia, boleh menggilap dan mengasah ilmu, bakat dan idea, sehingga memberikan hasil-hasil yang bermanfaat untuk manusia dan alam seluruhnya.

Pembentukan sebagai manusia itu biar sifatnya seluruhnya sepertimana kehendak Tuhan yang menciptakan manusia itu mahukan, sifat manusia yang mengabdi pada Tuhan, sifat manusia yang mengenali asal diri dan arah tujuannya, dari mana wujud kekekuatan dari mana wujud kelemahan, amanah sebagai khalifah di muka bumi, tugasan dan tanggungjawab, kewajipan dan perjuangan, mengenali dunia dan sifat isi makhluk di dalamnya, kejahatan-tipu daya-muslihat- perangkap musuh-musuh, sifat kawan-kawan yang boleh didekati yang patut dijauhi, semuanya itu perlu diambil tempoh untuk digarap dan ditanam sebelum boleh berbicara lanjut mengenai sistem pendidikan.

Sebab itu jika dulu dalam dasar KBSR untuk sekolah rendah Malaysia diazamkan untuk penguasaan 3M- Membaca,Menulis,Mengira diperkenalkan, saya rasa tidak ada masalah jika 3M yang ini juga diazamkan penguasaannya- Mengenal,Merenung, Memanfaat. Soal membaca,menulis,mengira itu hanya kategori mengenal. Juga mengenal yang lebih awal sepatutnya mengenal Allah, mengenal diri, mengenal persekitaran dan dunia. Manakala sifat manusia itu perlu merenung untuk berfikir untuk insaf, mengambil tauladan dari kisah-kisah silam, menanam azam untuk mencipta kisah-kisah hadapan. Dengan itu, cita-cita di sekolah rendah bukan saja "saya nak jadi doktor", "saya nak jadi cikgu", "saya nak jadi polis" tapi lebih dari itu adalah "saya nak masuk syurga", "saya nak ubah dunia jadi lebih baik", "saya nak selamatkan manusia" akan tercetus. Hanya dengan itu, barulah pendidikan akan beri manfaat dari mengenal dan merenung seterusnya anak-anak tahu bagaimana memanfaat didikan yang telah diberi.

Saya cukup cenderung proses awal didikan anak-anak, hal 3M di atas perlu diselesaikan dahulu. Tak usah nak sibuk kononnya nak jadikan anak-anak sekolah rendah pakar matematik dan sains, padahal nanti apa tujuan belajar sains dan matematik, apa maksud hidup dan ke mana mahu pergi akan terus jadi dilema anak-anak sehingga dah bergraduasi dari menara gading pun. Hari ini bukan rahsia lagi, bukan sedikit mereka yang sudah bergraduasi, malah yang sudah bekerjaya pun masih belum selesai mencari erti hidup dan mengenali diri dengan soalan, "siapa aku sebenarnya, mahu ke mana sebenarnya aku ini?".

Sebab itu susah untuk kita melahirkan modal insan yang benar-benar boleh membenteng ummah dan membangunkan ummah dengan sistem mengarut sistem berorientasikan peperiksaan-piawai-seragam-tekanan ini.

Bagaimana mahu memikirkan sebuah idea baru jika, maksud dan tujuan idea difikirkan pun tidak dapat diletakkan asasnya lagi? Hari ini kita bukan sekadar mahu orang-orang kreatif mengeluar dan mencipta idea baru, tetapi lebih dari itu kita mahu idea-idea dicipta yang menyelamatkan, yang membangunkan, yang menyelesaikan, yang membantu ke arah menyusun dunia menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Sebab itu pada saya pendidikan adalah penggilapan dan pengasahan. Setelah selesai 3M yang saya nyatakan di peringkat rendah, pendidikan sepatutnya terbuka dan percuma yang menggariskan beberapa sifat iaitu ilmu dicintai, guru dihormati, murid mencari guru, guru cinta menyebar ilmu,menggilap dan mengasah dalam mendidik dengan mengikut fleksibiliti diri pelajar, meraikan sifat manusiawi yang ada kuat ada lemah, ada cepat ada perlahan, yang semuanya meruntuhkan 3 sifat penting dalam sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan itu iaitu piawai, seragam, dan tekanan.

Seterusnya anda boleh mengikuti idea saya selanjutnya berkenaan apa itu sistem pendidikan penggilapan dan pengasahan, bakat dan minat, anti-exam pro-kuiz yang semuanya terangkum dalam cita-cita pendidikan pejuang yang saya idamkan boleh ke link berikut (saya adalah mfrstudio dalam thread itu):

http://www.al-fikrah.net/ForumsPro/viewtopic/t=4835/finish=15/start=0.html

0 komentar: