Seorang manusia berkata,
"Politik ialah soal pengurusan bidang kuasa.Ada pun semangat dakwah, berpesan-pesan dengan kebenaran dan bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan taqwa, ia suatu medan yang berbeza."
Kalimah "medan berbeza" itu sangat mengejutkan. Kalau dulu saya merasakan manusia ini seorang tokoh bukan semata-mata manusia. Manusia ini cuba menjalankan kewajipan dakwah dengan penuh kesungguhan yang tinggi, dengan slogan mahu "memanusiakan manusia". Saya rasa beliau menganggap kalimah "manusia" itu mulia, sebab itu beliau mahu menjadikan manusia-manusia mad'u nya seorang manusia juga.
Maka izinkan saya memanggil beliau sebagai "manusia" wahai para peminat dan pentaksub totok beliau. Nanti dulu, tahukah kalian apa maksud "totok"? Totok maksudnya masih mentah, masih baru. Jadi bila saya sebut peminat dan pentaksub totok bererti peminat dan pentaksub yang masih mentah, masih baru kenal manusia ini, kita abaikan peminat dan pentaksub fanatik dan tegar. Saya lihat dah semakin ramai menyalahgunakan maksud "totok".
Kembali kepada persoalan "medan berbeza" itu, nampaknya manusia itu salah faham dengan maksud "dakwah". Patutlah saya lihat banyak pandangan beliau kadang kala tidak selari dengan maksud dakwah yang beliau sendiri pegang, rupanya beliau beriktikad dakwah ada medan berbeza dengan medan politik.
Saya cukup berminat semasa manusia ini berbicara mengenai beberapa isu yang kontra dengan keyakinan saya. Isu berkenaan antaranya adalah isu Earth Hour dan isu Dakwah Dunia Hiburan.
Pertama, isu Earth Hour, beliau berpandangan tidak mengapa kita turut serta bergelap seketika untuk menimbulkan kesedaran alam sekitar pada tarikh Earth Hour tersebut. Sedangkan saya berpandangan Earth Hour tidak perlu disambut kerana amalan berjimat umat Islam memang satu tuntutan, malah jangan sampai menghalang pemasangan lampu untuk keperluan beramal seperti di masjid, di mana salah seorang peminat beliau mencadangkan masjid juga bergelap dan memang cadangan itu diterima oleh Masjid Putrajaya.
Soal yang kelakar adalah adakah selepas jam Earth Hour berakhir masjid akan kembali menerangkan lampu yang digelapkan seketika itu? Jawapannya YA. Dan begitu jugalah perangai bangunan lain yang kembali menerangkan lampu-lampu yang mereka anggap sebagai "menutup lampu yang tidak perlu" semasa Earth Hour. Hairannya, kalau dah tak perlu mengapa kembali memasangnya, malah disambut pula dengan gembira oleh para pemuja Earth Hour kerana dunia kembali terang.
Kedua, isu Dakwah Dunia Hiburan dengan pandangan beliau dibolehkan kita menyertai dan menjayakan produksi yang mengandungi kemungkaran dengan beliau mengumpamakan industri hiburan ketika ini adalah umpama bank konvensional, di waktu tiadanya bank islam. Dengan kata lain, beliau nak umpamakan industri hiburan hari ini masih dalam zaman darurat, diperbolehkan beserta dan bertolong-tolong dalam perkara haram malah mempromosinya, asal saja matlamatnya dakwah.
Sedangkan saya berpandangan dakwah hanya menggunakan metod yang 100% syarie, dan tanggungjawab pendakwah mengajak pengusaha yang berniat menghasilkan produksi dakwah dipanggil untuk masuk dalam jalan dakwah yang 100% syarie. Bukan mencampurkan haq dan batil. Lagi pula, saya tak nampak di mana zaman darurat yang ada di zaman hari ini, di mana dunia hiburan bukannya kering dengan skrip islami, pengarah yang islami, dan pelakon yang sudi untuk melakonkan lakonan islami walaupun mereka bukannya islami di luar lakonan. Buktinya sangat jelas, apabila sudah berpuluh tahun produksi yang menggunakan skrip memanggil manusia kepada Allah, dengan wataknya seorang yang menjaga agama berjaya diarahkan oleh pengarah dan berjaya dilakonkan oleh pelakon bukan benda asing dalam dunia hiburan.
Apa yang belum dicapai adalah tidak mencampurkan batil dan mungkar bersama kejayaan itu. Dan nampaknya mereka salah faham dengan menganggap karya mereka tak akan berjaya jika batil dan mungkar tak disertakan kerana apa yang mereka faham dunia realiti itu bercampur jua haq dan batil. Malangnya mereka tidak sedar dunia realiti tak boleh kita kawal 100%, sedangkan lakonan dalam produksi mereka boleh dikawal 100% oleh skrip, pengarah dan penerbit. Oleh itu saya nampak yang belum ada adalah pembetulan kepada salah faham ini terhadap mereka, yang menjadi tanggungjawab pendakwah membetulkannya. malangnya, pendakwah pun turut tersenyum tersipu-sipu mendiamkan hal ini kononnya dengan alasan dakwah.
Baik, dari dua isu di atas, anda akan lihat manusia ini berpandangan:
1. Menyertai dan menjayakan suatu program yang bercampur mungkar dan kebodohan atas alasan darurat, dengan alasan peserta yang lain akan timbul kesedaran akan nilai yang kita bawa.
2. Tidak membesarkan mungkar yang berlaku, tapi memberi semangat akan kebaikan yang sudah dilakukan untuk ditambahbaikkan di masa hadapan.
Mari kita lihat apa pula yang beliau sering sarankan tentang dunia politik. Saya ambil satu isu saja tentang "kerajaan perpaduan". Ada dua pandangan beliau yang saya sangat tertarik,
1. Berpadu dengan kafir lebih baik daripada berpadu dengan munafik. Kerana kafir itu jelas kekafirannya, manakala munafik itu tidak jelas duduk letak sifatnya.
2. Tidak cenderung kepada orang zalim dengan bekerja bersama mereka (bersatu), tetapi menjauhkan diri dari mereka.
3. Tidak akan melupakan kekejaman seseorang kepada umat dan Allah, walaupun seseorang itu membuka jalan perdamaian.
Baik, mari kita bandingkan sifat beliau berhadapan isu kempen alam sekitar dan program hiburan dengan isu politik. Anda pasti lihat betapa ketaranya sifat dan pendirian beliau. Mengapa terjadi begini? Jawapannya boleh kita dapati dari kenyataan beliau di atas, dakwah dan politik adalah medan berbeza.
Mari kita lihat apakah itu dakwah dan apa itu pula politik dari kaca mata PAS sebenarnya.
Ustaz Nasruddin Hassan at Tantawi menyebut ,
"Penerangan atau dakwah kita jangan hanya berlegar dengan skima atau trend pengupasan isu semata – mata sebaliknya kita mahu dakwah atau penerangan yang berjaya membentuk thaqafah ( knowledge ) ahli dan wa’iyah ( kesedaran ) ummah , yang mesti tegak di atas 4 matlamat ( prinsip ) umum dakwah dan siasah kita :
1. Tamkiin Li Deenillah ( Memperteguh Perlaksanaan Agama Allah )
2. Iqaamatud Daulatil Islam . ( Mendirikan Kedaulatan Islam )
3. Ia’adatul Khilafah ( Mengembalikan Khilafah )
4. Tabliighul Islam Linnaasi Kaafah ( Menyampaikan Islam kpd Masyarakat seluruhnya )"
Ustaz Nasrudin meletakkan matlamat dakwah dan siasah dengan matlamat yang tak terpisah. Beliau jelas berhasrat menjadikan siasah jalan untuk beliau berdakwah iaitu akhirnya nanti meninggikan kalimah Allah, dan menegakkan hukum Allah di muka bumi.
Bagaimana nak kata dakwah dan politik adalah medan berbeza? Jika orang-orang PAS sendiri sudah ditanamkan bahawa perjuangan politik mereka bermatlamatkan dakwah? Nah, kalau ini prinsip yang ditanam oleh pimpinan PAS kepada ahlinya, bagaimana pula pemahaman manusia itu yang saya percaya beliau juga adalah ahli PAS boleh mengatakan dakwah dan politik punya medan berbeza.
Saya percaya bahawa sifat dakwah beliau tidak selari dengan pendirian politik beliau.
Lihat saja poin yang saya letakkan di atas bagaimana pendirian beliau menghadapi dunia hiburan dan bagaimana pula pendirian beliau menghadapi dunia politik.
Dalam dunia hiburan, beliau sanggup bersekongkol dengan pembikin yang sengaja mencampurkan haq dan batil, tetapi beliau diamkan kerana beliau mahu niat baik dan keinginan suci sang pembikin dirai untuk memberikan semangat untuknya berubah dan membaiki diri untuk seterusnya.
Berbeza dengan dunia politik, saya percaya beliau yakin PAS wajar terus bersama Pakatan Rakyat dan tidak berusaha bersatu dengan BN atau UMNO. Beliau menggunakan dua nama untuk menakutkan usaha mendekati BN atau UMNO dengan nama Munafik dan Orang Zalim.
Beliau beranggapan Munafik perlu dijauhi, Orang Zalim jangan dicenderungi. Saya bersetuju dengan prinsip ini, namun saya hairan apabila beliau tak nampak dalam dunia hiburan itu ada nifaq dan ada kezaliman? Mengapa beliau tidak menjauhi malah cenderung ke arahnya?
Nah, beliau terperangkap di sini. Saya melihat apabila beliau menulis dan berbicara , beliau mengambil pendirian yang beliau selesa dan selera saja. Sifat beliau pada diri saya sendiri , saya anggap suatu yang tidak adil dan banyak yang tidak adil. Jika dari pandangan peribadi saya sendiri, beliau tidak kelihatan adil dalam ilmu dan pendirian. Bukan saya seorang yang beranggapan sedemikian, banyak lagi orang nampak dengan jelas beliau sering memusing-musing hujah agama untuk memberikan beliau alasan dan justifikasi yang membenarkan diri beliau kelihatan tak langgar prinsip dan ilmu.
Saya nampak dengan jelas beliau sangat defensif ketika buku beliau ada kesilapan teknikal dengan mencontohkan bahawa buku dan kitab besar juga ada kesilapan teknikal jua. Seolah-olah beliau nak kata, "jangan bising-bising sangat". Padahal kesilapan patut disusuli dengan permohonan maaf dan keazaman untuk berubah bukannya defensif bahawa "aku tak ada lah salah sangat, orang lain lagi besar salah".
Begitu juga dengan banyak lagi isu dan hal yang anda sendiri boleh mengalami sendiri satu demi satu sifat "pusing dan halal" yang beliau akan utarakan.
Saya tertarik dengan Puan Nai antara muslimat maya yang saya kagumi, akan terus membela isi dan hujah manusia ini terutama ketika isu "AIDS Kucing" dahulu, alQasam menyebut,
"Samada menegur dengan qawl salim (kata-kata yang baik/berhikmah) ATAU biarkan sahaja. Kerana kita punya nafsu, mereka punya nafsu. Saling bercanggah dalam hal-hal yang kurang perlu membuatkan dua ahwal nafsu bertembung dan akhirnya kedua-duanya tidak peroleh kebaikan.
Hati manusia punya lapisan berbeza. Kita juga. Hati mereka belum sampai, maka biarkanlah."
Saya kira jika ahli politik PAS memakai kaedah dakwah suci Puan Nai itu maka saya terfikir adakah wujud ceramah berapi PAS dan wujud demonstrasi jerit pekik ahli PAS yang tercatat dalam realiti bukan fantasi lagi. Puan Nai yakin, dakwah beradab adalah dengan menegur dengan perkataan yang baik dan berhikmah, jika mereka tak mahu dengar, maka kita biarkan saja.
Saya yakin Puan Nai juga bukan sekadar aktif dalam keilmuan dakwah, malah beliau antara tenaga kerja dalam arena politik jua. Saya terfikir adakah beliau selama ini sedar akan tindak tanduk yang tidak mengikut kaedah dakwah teguran yang beliau utarakan pada saya itu di kalangan aktivis politik PAS atau PKR yang muslim? Aatau adakah Puan Nai juga berpendirian sama dengan manusia itu bahawa bicara dakwah itu lain, bicara politik itu lain.
Bila dakwah kita berlembut dengan pelaku mungkar dan menjauhi sifat yang boleh mencacatkan hati dan niat kita sendiri lalu kita tasamuh, tapi bila politik, inilah masanya kita kutuk berapi-api kemungkaran, tak ada qawl-qawl salim dah, bantai tetap bantai, lawan tetap lawan, sindir tetap sindir? Saya pernah dihujahkan oleh penyokong PAS kepada saya, "kau tahu dakwah hikmah itu apa? Jangan nama blog saja alhikmah. Keras dan tegas juga adalah hikmahlah bang". Saya pegang kata-kata itu yang menghalalkan segala bentuk ucapan keras ahli politik islami ke atas kekejaman dan kezaliman kerajaan. Namun bila saya nak aplikasi pada kemungkaran dan kezaliman pengusaha industri hiburan, saya dikatakan tidak hikmah?
Saya ada pendirian tentang dakwah sendiri, tapi saya suka melihat manusia-manusia yang bertukar prinsip dan pendirian apabila saya aplikasikan prinsip mereka pada medan yang mereka bertukar kulit itu. Saya memang suka lihat dokumentari pasal sesumpah.
2 komentar:
Janganlah memperbanyak perdebatan dalam berbagai bidang pembicaraan kecuali dalam hal yang penting. Pertengkaran ini semata-mata tak akan mendatangkan kebaikan, demikian wasiat Hasan al-Banna.
walaupun anda lebih muda lebih kurang 10 tahun dari saya...
tapi anda telah memberi ilmu pada saya dengan pandangan yang bernas..
yang saya kira benar mengikut kefahaman ilmu yang saya ada..
tahniah dan teruskan mengkritik..
terima kasih....
Post a Comment