|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
1. Asasnya, manusia terdiri dari Muslim dan Kafir. Muslim, golongan berserah diri pada Allah s.w.t sepenuhnya. Kafir, golongan yang enggan berserah diri dan memilih kekufuran.

2. Kafir itu ada yang jahil, tidak mendapat pengetahuan lengkap mengenai apa itu ajaran Islam hingga ia memilih kekufuran dan menolak berserah diri. Kafir itu ada yang fasik, kerana tidak mahu hidup taat pada Allah, membuat ia pilih kekufuran dan menolak berserah diri.Kafir itu juga ada yang kafir sejati, memusuhi Allah dan ajarannya, kerana itu ia memilih kekufuran dan menolak berserah diri.

3. Begitulah juga pada Muslim. Ada yang jahil, hingga terlihat kehidupannya tidak menurut ajaran Islam kerana ceteknya pengetahuannya tentang Islam. Ada yang fasik, berterusan melakukan dosa dan sengaja tidak taat pada Allah walau tahu kemurkaan Allah. Ada juga Muslim yang memusuhi Allah dan ajarannya, walau ia mengaku berserah diri pada Allah, hakikatnya ia memlih kekufuran dan menolak Allah dalam hatinya. Mereka itulah MUNAFIK.

4. Munafik lebih teruk dari kafir yang memusuhi Allah, kerana mungkin saja kafir musuh Allah diberi hidayah dan bertaubat lalu menjadi Muslim. Tapi Munafik, mereka tak lagi diberi hidayah dan mereka tak mahukan hidayah lagi dan tak mahu bertaubat (Al Munafiqun: 5). Mereka dijanjikan azab pedih dan neraka paling bawah (An Nisa:138,An Nisa:145).

5. Muslim wajib mengetahui kedudukan golongan Munafik di sisi Allah s.w.t. agar kita gerun dengan sifat Munafik jika menjangkiti diri. Ada satu atau dua sifat, segera kita taubat. Jika biarkan sifat Munafik sepenuhnya, kita bimbang kita telah jadi Munafik sejati tanpa kita sedar.

6. Muslim dilarang menuduh Muslim lain sebagai Munafik, boleh jadi Muslim itu ada satu dua sifat Munafik kerana sifat jahil atau sifat fasik pada diri. Jika mereka dinasihati lalu segera bertaubat, sifat itu akan hilang, mereka akan jadi Muslim sejati semula. Munafik sejati tidak akan bertaubat walau berjuta kali diberi nasihat dan berpeluang untuk taubat dari sifat Munafik. Munafik hidup sebagai Muslim, tapi mereka kafir, fasik dan memusuhi Allah serta Islam secara hakikatnya (Al Munafiqun:3, Al Munafiqun:6).

7. Muslim memusuhi Munafik dan segala sifatnya, maka dianjurkan berpaling dari perancangan yang mempunyai sifat Munafik. Penentangan kita ke atas Munafik adalah menjauhi sifat Munafik dari diri semua Muslim dan tidak menurut kehendak mana-mana permintaan yang berunsurkan Munafik (Al Ahzab:1, Al Ahzab:48, An Nisa:81).

8. Apakah sifat Munafik itu? Asasnya ada tiga, sebahagian hadith menyebut empat. Berdusta, tidak tepati janji, khianat pada amanah serta zalim dalam bermusuh. Sifatnya dijelaskan lagi dalam banyak ayat Al Quran sebagai:

i. Memilih untuk berkelompok dan berpendirian selari dengan orang kafir (jadi geng) dan tinggalkan orang beriman (jadi musuh). (An Nisa:139, Al Baqarah:14)

ii. Mengejek-ejek ayat Allah, iaitu hukum dan ajaran Al Quran (An Nisa:140, Muhammad: 16, At Taubah:124, Al Furqan:30)

iii. Menunggu siapa yang menang dahulu baru mendakwa menjadi penyokong untuk harapkan habuan kemenangan (An Nisa;141)

iv. Bertipu daya dalam beragama dan malas solat (An Nisa:142)

v. Tidak tunjuk pendirian teguh solid, pendiriannya samar-samar antara iman dan kufur. (An Nisa:143)

vi. Pengecut dengan hukuman (Al Hasyr:12, At Taubah:56)

vii. Sebarkan sangka buruk, mencela dan menghina kebaikan yang dibuat orang mukmin dengan dakwa mukmin buat kebaikan kerana riak (At Taubah:179, Al Anfal:49)

viii. Tak mengaku apa yang telah diucapkan (Al Munafiqun: 7-8)

ix. Berdamping dengan musuh Islam untuk cari perlindungan (Al Maidah:52)

x. Menunggu-nunggu kebinasaan Islam (Al Hadid:14)

xi. Menyeru kepada perbuatan mungkar ingkar agama dan melarang pada perbuatan makruf taat beragama (At Taubah:67, Al Hasyr:16)

xii. Berdendam dan hasad dengki dengan umat Islam (Muhammad:29)

xiii. Menggunakan hukum Taghut (menolak hukum Allah) (An Nisa: 60)

xiv. Menghalang manusia ikut hukum Allah dan Rasul (An Nisa:61, Al Munafiqun:2)

xv. Pandai berkata-kata dan boleh buat orang Islam tertarik pada kelakuannya padahal mereka memusuhi Islam (Al Munafiqun:4, Al an'am:112, As Saf:8,Al Baqarah: 204)

xvi. Suka dipuji walaupun tak beri apa-apa sumbangan untuk agama (Ali Imran:188)

xvii. Suka bermusuh sesama sendiri walau nampak bersatu (Al Hasyr:14)

xviii. Takut Allah dedahkan sifat sebenar mereka (At Taubah:64)

9. Al Hasan Al Bashri berkata,

“Orang yang khuatir terjatuh pada sifat Munafik, itulah orang Mukmin. Yang selalu berasa selamat dari sifat Munafik, itulah sebenarnya Munafik.”(Jami’ul ‘Ulum wal Hikam, 2: 491)

-mfr studio

0 komentar: