|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Pada 27 Mac 2018 lalu, saya telah rumuskan bahawa solusi bagi akar masalah politik di Malaysia adalah mengangkat Al Quran dan Hadith menjadi rujukan agung dalam Perlembagaan. Solusi ini diberikan oleh Allah s.w.t pencipta manusia dan alam ini sendiri dalam An Nisa ayat 59. Ini kerana masalah utama politik Malaysia adalah perselisihan, tuduh menuduh, dakwaan hukum-hukum zalim yang berlangsung. Tiada solusi lain bagi akar masalah sebegini adalah dengan memuktamadkan konsep kesepakatan akan apa itu adil dan apa itu zalim dengan neraca dari Allah s.w.t dan Rasul s.a.w iaitu rujukannya, Al Quran dan Hadith sebagai rujukan agung dalam Perlembagaan, supaya jadi titik temu yang tidak boleh dipertikai.

Pelan tindakan menjayakannya adalah memenuhkan Parlimen dengan Muslim Berwibawa yang memperjuangkan syariat dengan mengangkat Al Quran dan Hadith dalam Perlembagaan sebagai rujukan yang tidak boleh dipertikai. Langkah menjayakan pelan tindakan adalah menjadi rakyat yang tidak bodoh, malas dan lembik dengan bersepakat memenangkan hanya calon Muslim Berwibawa memperjuangkan syariat supaya parlimen dipenuhi ahli yang akan menyokong Al Quran dan Hadith diangkat jadi rujukan agung Perlembagaan Malaysia. Mudah faham.Titik.

Namun, solusi ini hanya menyelesaikan akar masalah kepada sistem kepercayaan untuk jalan persepakatan. Ia umpama menyelesaikan reka bentuk sebuah enjin mesin, tapi ke mana enjin itu nak dibawa adalah persoalan selanjutnya. Di sinilah kita mampu meletakkan politik kepada institusi pendekatan dan bukan lagi institusi kepercayaan untuk menjadi titik permusuhan rakyat Malaysia.Dengan politik menjadi institusi pendekatan, ia berpaksikan idea. Idea mesti dijana. Idea mesti dimusyawarah. Idea mesti datang dari solusi akar masalah tadi iaitu rujukan Al Quran dan Hadith, dari Allah dan Rasul, bersatu dan bersepakat pada tujuan syariah atau maqasidnya.

Bagaimana menjamin idea boleh dilimpahkan? Bagaimana menjamin idea yang dijana datang dari semangat menyelesaikan masalah atau sebuah solusi? Bagaimana menjamin solusi yang dijana datang dari petunjuk Allah dan Rasul? Itu hanya dapat dibangunkan oleh Sistem Pendidikan.

Maka selepas solusi pada akar masalah politik dicapai iaitu meletakkan Al Quran dan Hadith dalam Perlembagaan dijayakan, politik sebagai institusi pendekatan dalam memberikan solusi pembangunan negara asasnya adalah penjanaan serta musyawarah idea. Asas budaya idea adalah Sistem Pendidikan. Ini memberi erti Sistem Pendidikan datang dahulu sebelum politik sebagai institusi pendekatan berteraskan idea boleh dilaksanakan. Dan pelaksanaannya hanya boleh dijayakan apabila semua perselisihan telah kita kembalikan pada Allah dan Rasul iaitu mengangkat Al Quran dan Hadith sebagai rujukan agung dalam Perlembagaan.

Bagaimana meletakkan idea sebagai kemuncak Sistem Pendidikan? Di sini kita bincangkan.

Kita sering menggambarkan pendidikan adalah tapak melatih dan melahirkan pekerja berkemahiran untuk pasaran pekerjaan. Sama ada makan gaji atau bekerja sendiri, kita merasakan kelayakan sijil atau setidak-tidaknya kemahiran dapat diterap untuk memastikan individu yang keluar dari Sistem Pendidikan adalah berkelayakan atau berpeluang mendapat sumber pendapatan bagi kehidupan.

Kita melihat kehidupan mesti datang dari rantai pasaran tawaran dan permintaan dalam ekonomi. Kita memahami ekonomi mesti berasaskan sumber yang boleh dijual dan dapat pulangan. Kita terkongkong pada teori ini, maka kita menggambarkan jika seseorang tidak ada pelajaran, tiada pekerjaan, tiada pendapatan, tiada kehidupan. Produk rantai kehidupan selepas sistem pendidikan yang kita telah tetapkan adalah wang itu hidup.

Tapi hakikat hidup manusia sebenar bukan seperti itu. Manusia boleh hidup jika ada makanan, perlindungan dari ancaman dan peluang laksana tanggungjawab yang diberi Tuhan (ibadah, muamalat, dakwah dan lain-lain).

Kita percaya makanan, perlindungan dan peluang tadi hanya boleh diwujudkan jika ada tawaran dan permintaan dalam ekonomi dan asasnya perlu ada sumber, pendapatan atau wang. Hakikatnya ia boleh diwujudkan tanpa ekonomi tawaran dan permintaan berasaskan wang. Ia boleh diwujudkan dengan asas hukum bernegara.

Begini contohnya.

Makanan boleh muncul dari tanah yang diusahakan. Tanah adalah milik negara. Jika pemerintah melonggarkan syarat usaha tanah kepada semua rakyatnya dengan kaedah tertentu yang sistematik, semua rakyat mampu mempunyai sumber tanah untuk diusahakan tanpa wang. Gratis. Dengan tanah tadi, pemerintah juga mampu membekalkan apa-apa keperluan untuk rakyat mengusahakan tanah sama ada untuk bidang pertanian atau penternakan atau apa-apa usaha yang boleh mengeluarkan hasil makanan. Jika usaha rakyat tadi juga tidak meletakkan wang sebagai medium untuk dibahagikan sesama rakyat, makanan-makanan yang diusahakan boleh dibahagi untuk mencukupkan keperluan kehidupan tanpa wang juga. Nah, dengan itu tidak ada syarat kehidupan memerlukan wang jika urusan sumber bumi boleh dibina atas kesepakatan gratis antara pemerintah dan rakyat serta rakyat sesama rakyat.

Begitulah seterusnya formula yang sama pada elemen perlindungan dan peluang juga. Kita mampu mengusahakan sistem perlindungan kesihatan rakyat secara percuma (gratis) dan sistem pendidikan rakyat secara percuma (gratis) sepertimana contoh di atas berkaitan sistem bekalan makanan percuma (gratis) dapat diusahakan.

Dengan itu, persoalan Sistem Pendidikan mesti berprinsip dan berfalsafah melahirkan pekerja untuk pasaran tidak timbul lagi. Lalu meletakkan asas baru penjanaan idea solusi sebagai kemuncak pendidikan boleh diadakan.

Bagaimana mahu melangsungkannya?

Begini antara asas idea perlangsungannya.

Dunia hari ini telah wujud kajian-kajian alam dan teori-teori alat untuk membawa solusi kepada pengurusan alam dan kehidupan manusia. Kajian-kajian ini terus dibangunkan terutama oleh negara-negara kuasa besar yang menguasai lapangan akademik dan pengujian untuk pembangunan teknologi. Mereka jadi penentu ke arah mana manusia harus hidup dan bagaimana mahu hidup. Inilah asas ketamadunan. Persoalan di sini adakah ketamadunan yang wujud sebagai tamadun moden hari ini bersesuaian dengan sistem kepercayaan yang kita mahu angkat dalam Perlembagaan tadi, iaitu Al Quran dan Hadith, dari Allah dan Rasul?

Ia hanya boleh dijawab dengan dua persoalan. Pertama, adakah masalah yang dipermasalahkan dalam Al Quran dan Hadith adalah masalah yang sama mencetuskan kajian dan pembangunan teknologi dalam Tamadun Moden itu? Kedua, adakah penyelesaian yang ditawarkan dalam Al Quran dan Hadith adalah sama dengan apa yang ditawarkan oleh kajian dan pembangunan teknologi dalam Tamadun Moden itu? Kita boleh menapis segala tawaran tamadun moden berasaskan rujukan agung kita dan akan mendapati sebahagiannya menepati dan sebahagian yang lain tidak menepati. Tapi sekadar menapis, dan mengambil sebahagian solusi dan menghadapi masalah dalam sebahagian yang tiada solusi, bukanlah sebuah solusi. Kita perlukan solusi lengkap untuk kehidupan. Kita mampu tawarkan solusi ketamadunan dari pakej kajian dan pembangunan teknologi berasaskan rujukan agung kita.

Di sinilah peri penting kita ada Sistem Pendidikan berfalsafahkan penjanaan idea solusi yang berteraskan sumber rujukan agung Al Quran dan Hadith. Tamadun yang kita ingin bangunkan adalah PERADABAN. Kata akarnya ADAB. Adab inilah buah idea solusi yang kita maksudkan. Ia adalah pakej lengkap solusi atau solusi penuh yang menepati keseluruhannya dengan rujukan agung dari Allah dan Rasul. Adab inilah yang akan buat suatu kajian dan pembangunan teknologi itu menawarkan solusi pada apa yang tidak ditawarkan oleh tamadun moden malah menjadi polemik dan dilema yang dihadapi umat hari ini.

Permasalahan yang kita mahu selesaikan adalah masalah-masalah yang dipermasalahkan dalam Al Quran dan Hadith. Solusi-solusi yang kita mahu janakan adalah idea dari solusi-solusi Al Quran dan Hadith.

Berteraskan prinsip dan asas di atas, maka Sistem Pendidikan berfalfasahkan penjanaan idea boleh dikembangkan tanpa terikat malah perlu bebas dari konsep sistem sekolah dan universiti yang ada pada hari ini. Sistem penilaian piawai yang kita panggil sebagai peperiksaan untuk gred, markah dan status sijil harus kita lupakan. Solusi idea ertinya menyelesaikan permasalahan yang ada dan yang dijangka akan timbul. Asas kemahiran pendidikan di sini adalah mengenalpasti permasalahan bukan lagi pendoktrian teori kajian yang ada. Kajian yang ada hanya menjadi asas kepada perkembangan kajian baru, matlamatnya mengenalpasti masalah dan menjana idea untuk selesaikan.

Jika 2 juta penduduk Malaysia berkecimpung dalam medan pendidikan, bererti kita ada 2 juta permasalahan tamadun yang kita kaji lalu cari solusinya. Jika dalam 5 tahun sepenggal kita tukar pemerintah yang berusaha membangunkan pendidikan penjanaan idea, kita mampu ada 5 generasi penyelesai masalah dan pembangun PERADABAN untuk dilahirkan bagi menggerakkan politik sebagai institusi pendekatan berteraskan idea.

Ringkasnya, kita mesti meletakkan rujukan agung dalam perlembagaan. Dengan rujukan itu, kita mencukupkan kehidupan bebas dari prinsip kehidupan berasaskan ekonomi tawaran dan permintaan, tetapi kehidupan berasaskan kesepakatan gratis untuk mencukupkan keperluan tanpa wang. Dengan kecukupan itu, kita mampu ubah sistem pendidikan kita kepada gratis dan falsafahnya menuju ke arah penjanaan idea solusi dan pembangunan PERADABAN. Kita akan lihat politik itu nanti menjadi institusi pendekatan berteraskan idea solusi dan bukan lagi budaya pasif rakyat yang menyerah tengkuk pada politkus untuk mengheret rakyat pada konflik yang membuang masa dan lembah kezaliman serta penindasan berpanjangan akibat rakusnya mereka kepada kuasa bukan pada solusi.

mfr studio

0 komentar: