|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
(Tulisan asal diterbit di Facebook pada 27 Mac 2018)

Dukacita sekali saya membaca soalan sebegini dari kalangan rakyat Malaysia beragama Islam.

"Antara menumbangkan Najib dan menaikkan Mahathir", tulis Ustaz Masri yang berkongsikan poster saya naikkan sebelum ini dengan tajuk "Adakah dua pemimpin yang dulunya saling menuduh kini bekerjasama, boleh disahkan sebagai bermoral tanpa menarik tuduhan lampau?"

Tahukah anda poster saya naikkan itu menyimpulkan kedua-dua pemimpin itu tak bermoral bukan sekadar merujuk kepada persoalan "Anwar peliwat atau Mahathir pemfitnah", "Mahathir perompak duit rakyat atau Anwar pemfitnah", tapi ia sebenarnya jauh melangkaui semua watak politikus Malaysia dari zaman selepas merdeka hingga sekarang, dari zaman Perikatan, Barisan Nasional, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Kongres Rakyat, Pakatan Harapan atau Gagasan Sejahtera muncul.

Soalan paling asas ditanya pada Muslim Malaysia adalah apakah akar masalah politik Malaysia dan apa solusi kemuncak yang ingin dicapai?

Ada yang kata Najib adalah akar masalah, ada kata 1MDB adalah akar masalah, ada kata GST akar masalah, ada kata pilihanraya tak adil akar masalah dan bermacam lagi.

Soalnya Muslim Malaysia tak sepakat nak guna neraca apa untuk kenal pasti akar masalah.

Padahal sudah ada perintah Allah nak guna neraca apa jika kita semua selisih:"...Jika kalian berselisih dalam suatu hal, maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhir.Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya" (An Nisa:59)

Baik, katakanlah semua Muslim Malaysia benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhir lalu mahu kembalikan segala perselisihan politik kepada Allah dan Rasul. Jadi, dengan neraca itu sekarang apa akar masalah politik Malaysia? Kali ini kita mudah nak jawab. Jawapannya, Perlembagaan Malaysia. Sebab dari perlembagaanlah akan wujud undang-undang dan dasar negara.

Kalau perlembagaan Malaysia mengangkat Al Quran dan Hadith sebagai sumber hukum teragung yang tak boleh dipersoal oleh semua pembuat dasar dalam Parlimen, adakah anda ingat semudah itu 1MDB boleh tercipta untuk membuat pinjaman riba? Ada sistem cukai boleh wujud tanpa mengira miskin kaya? Ada kezaliman boleh berlaku pada tuduhan-tuduhan yang memerlukan pembuktian? Ada salah guna kuasa ketidakadilan dalam proses menghukum? Pertindihan kuasa antara sivil dan syariah yang jadi polemik panjang juga mudah selesai apabila kedua-dua sistem kehakiman kali ini sudah angkat Al Quran dan Hadith sebagai common law.

Semua itu, solusinya adalah penuhkan Muslim Berwibawa dalam Parlimen yang akan memperjuangkan Al Quran dan Hadith diangkat dalam Perlembagaan Malaysia. Sekarang, mudah kita nak cerita strategi PRU14. Soalannya satu sahaja, bagaimana nak penuhkan Muslim Berwibawa tersebut selepas PRU14?

Kita ada pelbagai pendapat sehingga ada yang mendakwa mengundi pejuang sekular yang menentang islam juga boleh memenuhkan Muslim Berwibawa dalam Parlimen. Kononnya, setelah mengundi pejuang sekular menentang islam itu, kita akan dakwah dia nanti selepas dia menang. Selepas kita dakwah dengan metod perasan boleh bagi hidayah, dia akhirnya akan sokong Al Quran dan Hadith diangkat dalam perlembagaan. Begitu sekali wujudnya kepelbagaian pendapat hingga pendapat tidak logik pun boleh kita dengar.

Solusinya sebenarnya sangat mudah. Mahu buat atau tidak buat. Itu saja.

Jika tak mahu buat, cakap berjela-jela pun tak menjadi juga Muslim Berwibawa penuh dalam Parlimen Malaysia. Itulah apa yang berlaku selama ini.

Jika anda setuju, mahu buat. Mari jawab tiga soalan ini:

1. Adakah kami bodoh?
2. Adakah kami malas?
3. Adakah kami lembik?

ADAKAH KAMI BODOH?

Jika anda mengaku anda bodoh, maka betullah apa yang selalu anda buat selama ini. Sudah resam orang bodoh, ikutlah orang pandai. Maka ikut sajalah siapa yang anda rasa pandai memandai-mandai dalam politik yang selalu buat anda tertipu, janji dicapati, berluka kecil, dikhianat, diberi harapan palsu dan sebagainya oleh politikus kesayangan anda masing-masing itu. Ikut saja. Sampai masa PRU, buang undi. Kemudian,kena tipu lagi, diberi harapan lagi, diberi janji lagi. Melawan lagi, luka kecil lagi, memaafkan lagi. Sampai lagi PRU, buang lagi undi. Buat sampai mati, sebab anda bodoh. Teruskan saja. Biar politikus-politikus yang anda sayang yang licik dan pandai itu uruskan segala.

Tapi jika anda tidak bodoh. Anda boleh tahu semua politikus tak boleh dipercayai. Yang boleh dipercayai pun bila masuk parti politik jadi politikus terjangkit juga penyakit sama. Kita bukan bercakap soal politik sehari dua ini. Kita bercakap 6 dekad punya sepak terajang politik. Kaji dan simpulkan sendiri. Anda kan tidak bodoh.

Jika anda tidak bodoh, maka anda bijak. Jika anda bijak, anda masih nak suruh ahli politik dan politikus uruskan hidup anda, negara anda, rakyat jelata? Anda bijak, maka andalah rancang pelan pembangunan Malaysia. Jika anda bijak, anda tahu anda tak boleh buat seorang. Anda perlukan usaha kolektif rakyat Malaysia yang bijak. Rakyat Malaysia yang bodoh boleh terus membodohkan diri. Jika telah capai kolektif, letakkan calon dari komuniti bijak anda sendiri ke PRU14. Undi dan menangkan calon komuniti.Itulah Muslim Berwibawa yang anda akan bawa ke Parlimen Malaysia.

Bagaimana jika calon kita gagal dimenangkan? Maka calon dari komuniti bodohlah yang dimenangkan dan dibodohkan lagilah politik Malaysia sepenggal lagi. Itulah peraturan pilihanraya demokrasi yang bodoh yang boleh memenangkan calon bodoh oleh komuniti bodoh yang lebih ramai yang terpaksa kita terima. Sekarang, adakah rugi kita usaha mencalonkan calon komuniti bijak ke PRU? Tak rugi langsung. Kita tahu apa akar masalah politik Malaysia, kita tahu apa kemuncak solusi, dan kita telah usaha bawakan solusi ke PRU tapi ternyata orang tak suka solusi, orang suka tradisi pembodohan dan suka memanjang-manjangkan lagi masalah. Adakah Allah akan hukum orang yang berusaha bawa solusi tapi kalah, atau hukum orang yang tolak solusi tapi menangkan pembodohan?

Mahu atau tidak, kita kena fahamkan pengundi-pengundi bahawa inilah solusinya. Calon komuniti yang menggabungkan rakyat jelata yang bijak-bijak. Bawa Muslim Berwibawa ke Parlimen untuk angkat Al Quran dan Hadith jadi neraca agung perlembagaan Malaysia.

ADAKAH KAMI MALAS?

Jika anda tidak malas, maka bergeraklah sekarang menggabung dan menghimpunkan ahli komuniti setempat untuk jadi sebuah gerakan di DUN dan Parlimen tempatan anda. Luruskan fahaman, tekadkan matlamat, bulatkan pelan tindakan, dan menangkan calon Muslim Berwibawa kawasan anda.

Tapi jika anda jawab anda malas, maka terpaksalah anda desak parti politik yang buat kerja. Mereka sudah ke hulu ke hilir menyebut-nyebut mahu ikut suara rakyat, mahu ikut denyut nadi rakyat, suara rakyat suara keramat, maka angkat suara anda sebagai suara rakyat, ini suaranya: SILA LETAK HANYA CALON MUSLIM BERWIBAWA YANG AKAN MEMPERJUANGKAN SYARIAT-AL QURAN DAN HADITH SEBAGAI NERACA AGUNG PERLEMBAGAAN MALAYSIA.KAMI HANYA UNDI CALON MUSLIM BERWIBAWA.

Tapi macam biasa, mereka tak akan peduli suara anda. Bukankah sudah kata, politikus akan kencing macam biasa. Anda bijak, anda patut tak jadi malas.

ADAKAH KAMI LEMBIK?

Jika anda tidak lembik, maka anda akan pilih untuk tak jadi malas.

Jika anda jawab, ya anda memang lembik. Maka walaupun anda bijak, anda tidak malas, tapi sebab anda lembik, maka jadilah seperti orang yang jawab dia bodoh tadi. Ikut sajalah apa yang orang lain buat.

Orang bincang jatuhkan Najib, anda bincangkan sama. Orang bincang naikkan Tun M, anda bincanglah juga. Orang bincang 1MDB, GST, ringgit jatuh, minyak naik, bincanglah berlembik-lembik.

Padahal isu Najib, Tun M, 1MDB, GST, ringgit, minyak tak timbul jika kita sepakat abaikan parti politik dan menangkan calon komuniti rakyat, berjaya penuhkan parlimen dengan Muslim Berwibawa, berjaya ubah perlembagaan, berjaya ubah sistem ekonomi riba, berjaya ubah sistem percukaian, berjaya ubah minda rakyat jadi bijak dan sepakat kembali pada Allah dan Rasul.Kita akan mandiri, kita akan banyak musyawarah, kita akan angkat idea dan solusi, kita akan jadi bangsa pembina teknologi, kita akan memimpin dunia ke satu dimensi kenegaraan yang baru. Jika mahu, semua itu boleh dilakukan.

Orang risau nanti ubah macam-macam sistem negara Malaysia, nanti lari pelabur, nanti kita miskin. Jika isunya takut miskin,renungkan perintah Allah yang melarang orang musyrik dari Masjidil Haram:

"Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (At Taubah:28)

Malaysia negara yang subur, jika tanah kita boleh tanam pelbagai tanaman, tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, sayur-sayuran, herba dan rempah ratus, anda fikir rakyat yang sepakat yang tolak parti politik lalu memerintah Malaysia dengan acuan sendiri sambil bergotong royong dan berkongsi sumber sesama sendiri tadi boleh mati kebuluran? Kita akan hidup inshaAllah. Malah hidup dengan lebih bebas dan berkembang minda berbanding zaman dikuasai parti politik dengan minda disempit pada isu picisan, dirompak dan ditindas pula selama ini.

Sekali lagi, isunya mahu buat atau tidak saja.

Tuntas.

mfr studio

0 komentar: