1. Saya mula melukis gratis di Internet sejak tahun 2005, tahun saya mula beli PC dengan duit tajaan rakyat, duit biasiswa ke Jepun. Umur 20 tahun ketika itu. Melukis tangan kemudian scan dan upload ke portal seperti Alwan Comic atau melukis menggunakan tetikus dengan stroke bergetar dan upload ke blog atau conteng-conteng di web oekaki sahabat saya, Dee.
2. Saya memperjuangkan komik gratis di internet sejak itu bersama-sama dua tiga sahabat yang menyokong. Zaman itu susah sekali nak dapat baca komik bahasa melayu tentang islam kecuali komik i-komik oleh lagenda yang tidak didendang, Kamal-san. Inspirasi pertama saya.
3. Walaupun saya banyak menconteng-conteng, tetapi karya yang betul-betul boleh dianggap karya mungkin dapat dikira. Saya anggap karya saya, Komik Cinta Kambing Gurun di Alwan Comic, Komik Adab di Iluvislam dan Komik Ayat-ayat Cintan di pcmansurah itulah antara karya gratis di internet yang boleh saya banggakan walaupun kualitinya amat rendah berbanding para pengkarya lain.
3. Pada tahun 2010 selepas graduasi, saya memulakan gerakan Komik Dakwah Online, dengan mengumpul karya-karya di internet yang bermesej baik oleh pengkarya tempatan dan luar negara dengan misi untuk menyenaraikan 1000 link karya mereka dalam blog Komik Dakwah Online.
4. Pada tahun 2011, Doodle Dakwah diwujudkan oleh Daledale di facebook antara penyumbang terbesar kejayaan misi 1000 karya Komik Dakwah Online yang berakhir pada tahun 2012. Sejak itu bersemarak komik-komik dilukis secara gratis tersebar dengan pelbagai mesej.
5. Melihat kejayaan Doodle Dakwah di facebook, saya juga mula cuba-cuba melukis dan upload ke facebook bermula tahun 2011. Komik Permintaan adalah antara idea yang saya rasa paling mencapai misi untuk saya lebih produktif melukis gratis di internet. Saya kumpul dan jadikan ia komik ebook gratis pertama saya dengan 127 muka surat siap pada tahun 2012 dan letak di Google Books secara gratis pada tahun 2013.
6. Pada tahun 2014, seorang pembaca karya saya di Indonesia maklumkan karya Komik Permintaan saya telah diterjemah, dibuku dan dijual di Indonesia. Tercapai satu lagi misi saya untuk membuktikan berkarya gratis di internet juga mampu menerobos ke kedai buku, malah bukan sekadar dalam negara tetapi diterjemah dan dijual di luar negara. Inilah fakta yang tak mampu dipadam oleh sesiapa. Saya telah buktikan.
7. Saya terus berpegang kepada prinsip gratis saya dalam berkarya, tidak akan menuntut royalti, tidak akan mengambil upah, tidak akan mengidam keduniaan, tidak akan turunkan tanda tangan perjanjian dengan mana-mana penerbit, tidak akan menghamba diri pada orang yang menyuruh-nyuruh berkarya untuk mereka, tidak akan tunduk pada eksploitasi, saya kekal merdeka, mandiri, berlepas diri dari mengejar keduniaan dan kemasyhuran. Orang nak ejek, hina, merendahkan, nak kata saya bodoh, gagal, loser, lawan arus ke apa, saya biarkan.
8. Sejak tahun 2015, saya percaya perjuangan saya unik untuk diri saya. Karya saya adalah nota peribadi saya, terpulang bagaimana Allah s.w.t mahu mengadili nota-nota saya ini. Saya bukan pendakwah, saya hanya berniat mengusahakan dakwah atas diri saya. Karya saya bukan contoh komik dakwah atau komik islamik atau komik patuh syariah, tapi al quran dan hadith adalah panduan untuk saya berkarya. Ilmu, pesan, nasihat, kalam dari asatizah adalah rujukan, inspirasi dan iktibar yang saya abadikan dalam karya.
9. Ramai sahabat saya dulu yang bersama memperjuangkan karya gratis, mereka tak mampu produktif seperti dulu. Perkara yang sama juga saya alami, untuk dapatkan masa berkarya apabila telah bernikah, mengurus keluarga, beban kerja di pejabat bertambah dan berlaku insiden dalam hidup yang mengganggu emosi dan semangat.
10. Namun, saya masih di sini sehingga 2019, masih berkarya, masih dengan prinsip gratis, masih memerlukan karya menjadi nota peribadi untuk merekodkan nasihat penting bagi perjuangan unik diri saya ini malah telah berjaya melebarkan prinsip gratis saya dalam menjayakan empat buah bengkel gratis di tahun 2018 lalu yang inshaAllah akan saya teruskan di tahun 2019 ini.
11. Ini semua diizinkan Allah kerana doa orang-orang yang saya tak kenali yang mereka rasakan manfaat dari karya saya lalu berdoa moga Allah terus berikan saya kekuatan dan ikhlas menyumbang tanpa maklumkan apa yang mereka dah usahakan untuk memanjangkan manfaat itu, sukarela mencetak dan menyebarkan di masjid, menampal di papan kenyataan pejabat, malah diselit dalam buku-buku rasmi terbitan jabatan mereka.
12. Apa yang saya ingin maklumkan dari tulisan panjang lebar ini, dah macam ini punya terbukti berusaha tanpa harap apa balasan pun, masih lagi orang anggap Melayu Malas. Saya ini Melayu. Malas lagi saya? Itu saya belum cerita macam mana anak-anak Melayu di Jepun berjuang membina masjid dan menghidupkan biah solehah di bumi Jepun lagi.
mfr studio
6 Januari 2019
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment