|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Mfrstudio Ibnmukhtar·Thursday, 3 November 2016

Pada tahun 2005, ketika zaman saya aktif berforum maya dan berperang siber berkaitan politik, empat perkara ini sering jadi tajuk diskusi: Sistem Subsidi, Cukai, Harga Barang dan Pendapatan Negara.

Ringkasnya, pandangan saya sudah tuntas ketika itu lagi iaitu:
1. Subsidi patut dihapuskan kesemua sekali, biar pasaran yang tentukan harga.
2. Cukai patut dihapuskan kesemua sekali kecuali dalam bentuk Zakat untuk Muslim dan Jizyah untuk Non Muslim.
3. Harga barang biar ditentukan oleh pasaran dan kuasa pengguna, pemerintah hanya menghukum perniagaan yang menjual produk merosakkan peradaban dan berunsur penipuan.
4. Pendapatan negara 100% datang dari Infak ikhlas rakyat jelata.

Bagi menghurai lebih panjang, saya tulis di bahagian bawah perenggan ini dan saya tahu anda tak sanggup membacanya kerana majoriti memang tak suka dan tak setuju dengan saya atas kesimpulan saya di atas, yang saya nilai dari hujah-hujah pelbagai pihak zaman berzaman.

SUBSIDI

Ringkasnya ada dua pendapat berkaitan subsidi ini.
Pertama, pihak yang mahu item-item tertentu yang dianggap sebagai keperluan diberikan subsidi secara umum. Inilah yang dilaksanakan dahulu untuk minyak petrol, gula, minyak masak dan lain-lain yang sudah dikurangkan atau ditarik sama sekali subsidinya hari ini.

Kedua, pihak yang mahu subsidi diberikan secara langsung pada golongan sasar, maka tidak semua pihak mendapat manfaatnya. Ini yang kita alami sekarang seperti BR1M, Baucar buku pelajar, rumah PR1MA dan lain-lain.

Pihak yang pertama sebenarnya cuba menutup mata pada persoalan “manfaat pada semua” yang sebenarnya bukan sahaja golongan Marhaen mendapat manfaat, tetapi juga Elit Kaya, Tauke Besar dan Penyamun. Mereka rasa ia tak ada masalah kerana semua itu rakyat Malaysia jua. Untuk Elit Kaya dan Tauke Besar, mereka harap dapat dicukaikan semula kekayaan hasil manfaat dari subsidi tadi. Untuk Penyamun, mereka optimis boleh banteras sebarang salah guna subsidi. Hakikatnya pihak pemerintah perlu keluarkan lebih banyak peruntukan untuk penguatkuasaan cukai dan salah guna subsidi. Tolak campur tolak campur, kerugian jua lebih banyak berlaku.

Pihak yang kedua harapkan jika diubah konsep subsidi pada golongan sasar, maka pemerintah dapat jimat dari segi peruntukan subsidi. Tetapi sebenarnya elemen yang tidak diambil perhatian adalah kecenderungan amat besar rakyat untuk duduk dalam kelompok golongan sasar kerana itulah zon selesa untuk survive. Jadi melihat statistik juga, kelompok golongan sasar ini akan bertambah dari tahun ke tahun, dan ini bukanlah peradaban yang kita mahukan. Apatahlagi mengalih subsidi ke golongan sasar tak menghapuskan Penyamun yang masih wujud dalam masyarakat, yang suka ambil kesempatan untuk keuntungan sendiri.

Disebabkan itulah saya fikir, solusi terbaik adalah tiada langsung subsidi untuk apa-apa item sekalipun. Ada orang ambil kesempatan? Ada Penyamun nak salah guna lagi? Ada kerugian? Langsung tak ada kerana tiada langsung peruntukan subsidi. Persoalan yang timbul kemudiannya, bagaimana rakyat yang susah dapat dibantu? Solusi itu ada pada perbincangan Pendapatan Negara di bawah sekali nanti.

CUKAI

Apabila bincang bab subsidi, saya kena sebut tentang cukai. Masalah harga barang perlu diberikan subsidi kerana masalah harga tak terkawal. Harga tak terkawal ini boleh selesai jika hanya ada satu faktor yang menentukan harga barang iaitu Pasaran. Pasaran pula boleh dikawal dengan mudah dan dijinakkan oleh Kuasa Pengguna. Namun masalah harga barang menjadi rumit apabila faktor-faktor tambahan memonopoli dunia perniagaan dan antara faktor itu adalah Cukai.

Baik sistem SST atau GST, kedua-duanya terdedah kepada manipulasi ahli perniagaan untuk menaikkan harga barang, dan ia sangat susah untuk dikawal oleh pemerintah melainkan meletakkan harga siling atau berikan subsidi.

Apabila dilaksanakan GST, terdedah pula pada kezaliman mengutip cukai daripada golongan miskin. Walaupun disasarkan subsidi kemudiannya baik dalam bentuk BR1M atau bagaimana, ia tak menjamin kezaliman tak berlaku kerana subsidi golongan sasar itu juga hakikatnya dalam bentuk umum yang tak mengambilkira situasi spesifik keluarga miskin tersebut. Setiap keluarga mempunyai keperluan berbeza, maka boleh sahaja berlaku ketidakcukupan subsidi yang diberikan berbanding cukai yang diperas kembali.

Isu yang paling saya cukup tak selesa bab Cukai, adalah kerana pembayar terbesar Cukai sebenarnya adalah syarikat-syarikat besar atau golongan-golongan Elit Kaya. Apabila mereka adalah minoriti yang sangat diperlukan dalam Bajet Negara, maka unsur-unsur ‘balas budi’ oleh politikus amat kuat hingga pengurusan negara mengambilkira keselesaan para pembayar cukai terbesar ini berbanding rakyat marhaen. Jadi kita akan terus mendengar rengekan bahawa projek-projek mega, pembangunan mapan, pertumbuhan ekonomi negara tak dirasai oleh rakyat. Memanglah susah untuk dirasai kerana kepentingan diberikan kepada para pembayar cukai utama negara, mereka inilah yang rasa kekayaan melampau-lampau.
Oleh sebab itulah, saya berpendapat Cukai apa pun di negara ini dari sekecil-kecil cukai pintu, cukai tanah, cukai pendapatan, cukai barang dan perkhidmatan, cukai korporat, semuanya wajar dihapuskan. Kita tak mahu ada majikan yang mengemudi di balik tabir para ahli dewan rakyat, malah lebih dahsyat menaja dan manipulasi politikus dan drama politik negara. Cukai perlu dihapuskan semua sekali. Dan untuk menambah efisyennya mandiri politik negara, kita runtuhkan politik kepartian sekali, rakyat bergerak ke arah politik gotong royong, Musyawarah Umat, dan itu saya bicarakan dalam karangan yang lain.

HARGA BARANG

Disebabkan dua perkara, Subsidi dan Cukai saya minta dihapuskan, persoalan yang timbul seterusnya apa akan jadi pada harga barang. Ia akan jadi sepertimana sabda Nabi s.a.w:

“Harga melambung pada zaman Rasulullah SAW. Orang-orang ketika itu mengajukan saran kepada Rasulullah dengan berkata: “ya Rasulullah hendaklah engkau menentukan harga”. Rasulullah SAW. berkata:”Sesungguhnya Allah-lah yang menentukan harga, yang menahan dan melapangkan dan memberi rezeki. Sangat aku harapkan bahwa kelak aku menemui Allah dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntutku tentang kezaliman dalam darah maupun harta.” (Riwayat Abu Dawud, At Tirmidzi-sahih)

Dan berkaitan harga juga, Rasulullah s.a.w tak menghalang pun sahabat buat untung sehingga 100% dari jumlah modalnya.

Dari Urwah al Bariqi Radhiyallahu anhu, bahwasanya Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam memberinya satu dinar uang untuk membeli seekor kambing. Dengan uang satu dinar tersebut, dia membeli dua ekor kambing dan kemudian menjual kembali seekor kambing seharga satu dinar. Selanjutnya dia datang menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan membawa seekor kambing dan uang satu dinar. (Melihat hal ini) Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam mendoakan keberkahan pada perniagaan sahabat Urwah, sehingga seandainya ia membeli debu, niscaya ia mendapatkan laba darinya. (Riwayat Bukhari-sahih)

Maka, dua faktor (tidak menentukan harga, malah merestui peniaga buat untung hingga 100% dari jumlah modal) menginsafkan saya akan hasrat Rasulullah s.a.w untuk melihat perniagaan ditentukan oleh Pasaran itu sendiri dan bukan apa-apa faktor pemaksaan dari luar. Dan kita sedia maklum Pasaran di sini bermaksud Persetujuan antara Peniaga dan Pembeli dalam keadaan Suka Sama Suka. Di sinilah kata kunci bagaimana Pembeli boleh mengawal ketamakan haloba Peniaga, dengan berani katakan “Tak Suka” jika harga itu buat pembeli tak suka.

Itulah kuasa pengguna. Dan persoalan kuasa pengguna ini menjadi dilema apabila timbul situasi Pembeli sudah berani katakan “Tak Suka” tetapi Pembeli tak akan jumpa produk yang sama di tempat lain pula. Situasi sebegini amat menekan, apabila produk yang diingini itu adalah keperluan. Contoh di zaman ini, persoalan harga rumah, harga petrol, harga barang makanan dan sebagainya. Dilema ini langsung tak terjadi jika situasi perniagaan hanya tertumpu pada produk Kehendak dan bukannya produk Keperluan. Oleh itu saya letakkan solusi masalah produk keperluan ini pada perbincangan terakhir berkaitan Pendapatan Negara di bawah.

PENDAPATAN NEGARA

Persoalan yang timbul apabila dimansuhkan subsidi tadi, adalah bagaimana nak membantu rakyat yang susah jika tidak wujud subsidi? Dan persoalan sama apabila berbicara soal Harga Barang tadi, bagaimana aspek produk keperluan dapat diatasi apabila berhadapan monopoli oleh peniaga yag meletakkan harga “Tak Suka”?

Jawapannya adalah GOTONG ROYONG. Solusi yang sama saya bangkit dalam persoalan politik Musyawarah Umat. Rakyat perlu hidupkan semula budaya Gotong Royong.Dan budaya Gotong Royong ini bertepatan dengan hadith perumpamaan orang mukmin seperti bangunan:

“Orang mukmin dengan orang mukmin yang lain seperti sebuah bangunan, sebagian menguatkan sebagian yang lain.” (Riwayat Muslim- Sahih)

Kita perlu hidup berkongsi. Perlu banyak memberi. Perlu banyak berkorban. Perlu banyak ikhlas tanpa minta pulangan dunia. Banyak gratis. Banyak kesukarelawanan. Percayalah, setiap rezeki apabila dikongsi sentiasa cukup. Tak akan ada yang tertinggal.

Dari Jabir bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau menyatakan bahwa beliau mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Makan satu orang itu cukup untuk dua orang. Makanan dua orang itu cukup untuk empat orang. Makanan empat orang itu cukup untuk delapan orang.” (Riwayat Muslim-Sahih)

Kita telah hilang konsep Gotong Royong dan Semangat Berkongsi itu sedikit demi sedikit sebagaimana konsep keindahan Poligami juga telah hilang di zaman ini di kalangan wanita kita. Padahal Poligami itu sebahagian semangat Gotong Royong dan Perkongsian tadi.
Apabila para peniaga memonopoli harga rumah, kita berani katakan “Tak Suka” kerana komuniti kita sedia untuk bergotong royong membina rumah untuk kita, dan berkongsi tanah yang ada. Gotong royong, semangat berkongsi, kesukarelawanan memberi tanpa upah ini semua adalah pembunuh-pembunuh ekonomi kapitalis yang tamak.

Begitu jugalah halnya dalam aspek makanan, pakaian, pendidikan dan lain-lain hal yang semua itu mampu diusahakan secara bersama dengan SYARAT pemerintah tidak menyekat atau meletakkan apa-apa undang-undang untuk rakyat jelata meneroka dan membangunkan tanah dengan panduan pemeliharaan alam sekitar yang terkawal.

Lalu, untuk apa lagi bantuan pemerintah diperlukan? Untuk apa lagi subsidi? Apabila masyarakat dan rakyat mampu bantu membantu sesama sendiri, hidup bersama, berkongsi dan membangun bersama.

Apatahlagi cukai juga telah saya minta dimansuhkan, maka negara tiada langsung wang untuk membantu. Persoalan timbul, bagaimana dengan institusi perkhidmatan awam terutama bidang kritikal seperti Tentera, Polis, Bomba, Guru, Hakim, Doktor, Ahli Parlimen dan sebagainya, dari mana gaji untuk mereka?

Di sinilah saya harapkan sistem Infak dapat berlangsung. Saya harapkan apabila para peniaga mampu berniaga membuat untung hingga 100% pun tak apa, tanpa dicukai apa-apa, akan sudi menginfakkan sebahagian harta untuk Bajet Negara. Begitu juga ahli masyarakat yang sudah mampu membangunkan diri dengan bergotong royong tadi, akan dapat menghasilkan pula produk-produk inovasi lalu dieksport ke negara luar dan menjadi pelabur dan usahawan yang kaya raya dapat menginfakkan juga sebahagian harta pada negara.
Berkaitan infak ini, suka saya nak kongsi pandangan salah seorang ahli jemaah masjid berketurunan Pakistani ketika saya mengikuti program musafir sambil berdakwah di Jepun dahulu. Saya ada bangkitkan padanya situasi masjid yang dibina di Malaysia sukar untuk diimarahkan. Beliau bertanya dari mana datangnya kos bina masjid di Malaysia? Saya katakan, dari Cukai. Beliau lalu berkongsi, di Pakistan, mereka infak harta sesama mereka untuk bina masjid. Kerana nilai pengorbanan dalam menginfak itu, mereka jadi sayang pada masjid yang mereka sendiri bina. Begitulah harapan saya, jika kita sesama rakyat menginfak harta sendiri pada negara, nescaya semangat cinta untuk mempertahankan negara ini lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang.

Perbelanjaan kerajaan sekarang pun banyak boleh diperbaiki lagi. Banyak jawatan dalam kerajaan yang fungsinya bertindih, banyak yang dapat gaji besar tetapi produktiviti zero atau tak relevan. Saya tak nampak sangat ketua-ketua jabatan atau pengarah-pengarah atau penolong pengarah berfungsi sangat dalam perkhidmatan awam. Pekerja kaunter dan ahli teknikal sahaja saya nampak betul-betul kritikal di samping anggota Tentera, Polis, Bomba, Guru, Hakim, Doktor, Ahli Parlimen dan sewaktu dengannya. Jika kira betul-betul kos perkhidmatan awam tak sebesar hari ini.

Memang sistem infak ini sangat-sangat bergantung pada keikhlasan hati, semangat memberi dan berkongsi, yang disemai pada ahli masyarakat. Inilah peradaban yang saya idamkan, dan inilah "Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur" yang saya fahami. Inilah juga titik tolak politik Musyawarah Umat dapat berjalan dengan jayanya di Malaysia.

Sekian.

mfr studio



0 komentar: