|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Mfrstudio Ibnmukhtar·Sunday, 4 September 2016

Semalam saya mengikuti dan menyertai komentar pada posting Saudara Wan Ahmad Fayhsal (WAF), berkaitan isu cadangan merobohkan tugu berbentuk helang di Langkawi yang didakwanya bermotifkan politik (menghapuskan legasi Tun Mahathir atau mengalihkan perhatian umum daripada isu 1MDB).

Saya amat terkilan kerana hujah dan persoalan yang saya timbulkan untuk Saudara WAF hanya dianggap sebuah troll ( offensive or provocative online post), sedangkan maklumat yang saya lampirkan dalam komentar berhubung keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-86 tahun 2009 beserta ulasan Mufti Wilayah dalam Irsyad Fatwa ke-27 Hukum Pembinaan Monumen atau Memorial Sebagai Peringatan itu, merupakan jawapan paling tuntas sama ada tugu burung helang di Langkawi itu dipersetujui atau tidak oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Jawapannya, Majlis Fatwa Kebangsaan berpegang islam melarangnya secara mutlak. http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/773-27

Walaupun akhirnya saya mendapat jawapan daripada Saudara WAF bahawa beliau lebih memegang fatwa dari Dar al Ifta Mesir yang mengambil pandangan tokoh Sheikh Muhammad Abduh dan Rasyid Redha berkaitan dengan hukum pembinaan tugu atau patung iaitu dibenarkan selagi tiada unsur syirik dan pemujaan pada tujuan pembinaannya. http://www.dar-alifta.org/Foreign/ViewFatwa.aspx?ID=8377



Irsyad Fatwa Mufti Wilayah dalam mengharamkan pembinaan tugu berbentuk manusia dan haiwan pula berpegang kepada pandangan Imam Nawawi dan Ibn Hajar yang kedua-duanya ulama besar mazhab syafi’i yang meletakkan membina patung adalah satu dosa besar. Dan diketahui umum oleh segenap tokoh bermazhab syafi’i di Malaysia berpegang pada pandangan hukum yang sama. Maka Saudara WAF tidak boleh mendakwa pengharaman patung adalah pandangan kelompok salafi wahabi semata-mata.

Bagi Saudara WAF, Tugu Negara bukan sekadar tugu peringatan malah pendidikan dan tugu helang Langkawi adalah hiasan yang tidak termasuk dalam kemewahan atau pembaziran (kerana mungkin padanya memberikan pulangan kepada ekonomi perlancongan negara). Dengan alasan ada tujuan pendidikan dan sekadar hiasan yang memberikan pulangan ekonomi, maka bagi Saudara WAF, kedua-dua tugu itu tak termasuk dalam hukum yang diharamkan apatah lagi perlu diroboh.
Berbeza pula pandangan umum yang selalu ditekankan bahawa Tugu Negara dan tugu helang di Langkawi kedua-duanya adalah tugu peringatan kepada peristiwa sejarah.

Pandangan ini jelas berbeza dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-86 yang dipetik dalam Irsyad Fatwa ke-27 Mufti Wilayah yang menyatakan:

“Muzakarah telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.”
“Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.”

Oleh kerana perbincangan akhirnya tak menjurus kepada perbahasan hukum dan dalil, maslahah dan mafsadah, dan lebih fokus kepada dakwaan bahawa fatwa mengharamkan patung dan cadangan merobohkan patung helang di Langkawi itu berorientasikan politik, maka ramai pihak mengulang-ulang hujah yang sama di mana-mana jua laman yang berbincang hal ini dengan soalan, “Bagaimana dengan Tugu Negara? Bila mahu roboh? Beranikah bersuara?”

Bersempena perasmian Taman Tugu yang berlangsung sebentar tadi, saya di sini mengusulkan supaya cadangan Tugu Negara yang berbentuk manusia perlu diroboh atau diubah kepada bentuk abstrak yang bukan objek makhluk hidup dibincangkan seberapa segera. Ini bagi menepati keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-86 yang telah menggariskan pendirian bahawa adalah dilarang pembinaan patung manusia atau haiwan bagi tujuan peringatan apatah lagi ia menyamai perbuatan jahiliyyah, berlebih-lebihan dan membazir yang bukan dari ajaran Nabi s.a.w.

Ini juga bagi menyelesaikan polemik masyarakat awam (baca:netizen) yang berulang kali mendesak jawapan para mufti berkaitan Tugu Negara. Bagi mereka, para mufti tidak sesekali akan berani bercakap sebutir pun berkaitan hukum Tugu Negara walaupun pada tahun 2009 telah lama diputuskan pendirian Majlis Fatwa berkaitan hal ini. Di manakah netizen ini pada hampir 7 tahun yang lalu?

Ini juga bagi menjunjung dan mengukuh agenda Islam sebagai Agama Persekutuan.

Apatah lagi adalah satu kesalahan bagi mana-mana individu Muslim dalam agensi kerajaan yang menguruskan Taman Tugu untuk melanggari fatwa yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 Seksyen 12 yang menyatakan:

Mana-mana orang yang memberikan, mengembangkan atau menyebarkan apa-apa pendapat tentang ajaran Islam, Hukum Syarak atau apa-apa isu yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Saya mohon mencadang.

Muhammad Fakhrul Razi/mfr studio

0 komentar: