|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
 
 Mfrstudio Ibnmukhtar, 5 September 2016


“Bilakah wujud negara Palestin merdeka?”

Itu soalan saya yang amat dibenci oleh segelintir pihak.
Sebelum ada orang tuduh saya bukan-bukan, saya ingin jelaskan di sini, saya juga mahu menyelamatkan tanah Palestin.

Saya pernah adakan sedikit ceramah kesedaran sewaktu menjadi tok siak tak bertauliah di Gofuku Musolla semasa belajar di Toyama, Jepun dahulu. Video masih ada di youtube:
https://www.youtube.com/view_play_list?p=9A0E94AEC8D1B55E

Saya juga ada ilustrasikan cadangan saya kaedah menyelamatkan Palestin dengan tiga cara iaitu guna senjata doa, harta/jiwa dan ketenteraaan:
https://mfrstudio.blogspot.my/2012/08/bagaimana-nak-selamatkan-bumi-palestin.html

Jadi berbalik kepada soalan tadi:
“Bilakah wujud negara Palestin merdeka?”

Berkali-kali saya lihat orang mengulang-ulang gambar Palestin pada zaman 1920-1948. Di pihak ISMA, pernah ada aktivisnya meletak gambar matawang Palestin zaman itu dan mendakwa itulah buktinya Palestin pernah wujud sebagai negara merdeka. Kemudian aktivis itu menarik semula gambar tersebut setelah saya menegur. Seniornya mesej saya memohon maaf atas kesilapan. Kini, sekali lagi di pihak ISMA mengulang kesilapan sama, kali ini pimpinannya sendiri, Dr Zainur Rashid:


Gambar-gambar Palestin tahun 1920-1948 didakwa sebagai zaman Palestin merdeka oleh Dr Zainur Rashid

Ini pula jawapan dari Dr Zainur Rashid selepas teguran saya:


Walaupun saya masih tak tahu apa hujah Dr Zainur Rashid mendakwa Palestin merdeka pada 1920-1948 menurut buku-buku yang dikarangnya itu namun hakikat sejarah sememangnya tahun 1920-1948, Palestin dijajah British. Bagaimana tanah yang dijajah oleh pihak luar kita panggil sebagai “Merdeka”?

Saya tulis note ini supaya lepas ini harapnya tidaklah lagi berulang hal yang sama baik di pihak ISMA atau lain-lain pihak lagi. Moga ia menjadi rekod rujukan.

----------------------------------------------------
Samalah macam tak habis-habis orang perli hoax berkaitan maksud pokemon itu “saya yahudi”. Dr Yusuf al Qaradhawi ketika mengharamkan pokemon pada tahun 2001 sudah lama selesaikan hal tersebut seperti yang diterjemah dalam buku terbitan PTS, Fiqh Hiburan dan Rekreasi menyatakan pada muka surat 221-222:

“Selain itu, ada yang mendakwa perkataan-perkataan dalam permainan itu ada yang bermaksud ‘saya seorang yahudi’, ‘jadilah seorang yahudi’, ‘Allah lemah’ dan lain-lain tidak dapat kami pastikan kesahihannya dan sudah dinafikan oleh sebahagian rakyat Jepun yang berada di Arab Saudi dan selainnya. Maka, tidak wajar bagi menghukum sesuatu perkara tanpa bukti yang kukuh dalam disiplin ilmu”-Dr Yusuf al Qaradhawi, Fiqh Hiburan dan Rekreasi terbitan PTS, muka surat 221-222.

Dr Yusuf al Qaradhawi yang mengharamkan pokemon pun menolak hoax itu pada tahun 2001, tapi masih lagi dimainkan kononnya ulama mengharamkan pokemon kerana maksud pokemon adalah “aku yahudi”.

Sama juga dengan isu pengharaman patung dan tugu berbentuk manusia dan haiwan yang sudah diputuskan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-86 pada tahun 2009, tetapi pada baru-baru ini pada tahun 2016 apabila timbul isu haram membuat patung berbentuk helang, orang berkali-kali bertanya, “bila mufti nak bincang hukum tugu negara?”. Bincang apa? Dah putuskan hukumnya pada tahun 2009 lagi. Masih nak ulang-ulang tanya lagi.

Penat kita melihat orang mengulang-ulang kesilapan, persoalan dan isu yang sudah lama diselesaikan dan dituntaskan. Isu sebenar adalah menyelesaikan masalah. Isu Palestin tak akan selesai jika kita bawa fakta salah bahawa Palestin merdeka pada tahun 1920-1948 waktu dijajah British. Masalah pokemon adalah masalah pendidikan anak-anak kita kepada hiburan islami yang ketinggalan. Masalah patung dan tugu, kita tak dapat kesepakatan dan kerjasama melaksanakan fatwa dengan pihak berkuasa sama ada PBT atau kerajaan memerintah. Kita tak amalkan bergerak ke arah solusi. Sudahlah itu, kita masih ulang-ulang berbincang hal yang sudah muktamad kerana kemalasan mengkaji.
----------------------------------------------------------

Baik, berbalik kepada persoalan:
“Bilakah wujud negara Palestin merdeka?”

Saya sudah menjawab persoalan itu dalam blog post saya pada tahun 2009 bertajuk, “Benarkah Wujud Negara Palestin?”:https://alhikmah-diari.blogspot.my/2009/01/benarkah-wujud-negara-palestin.html

Ringkasnya, saya sebut:

Dan kita tahu bumi Palestin tak pernah wujud sebagai sebuah negara seperti yang difahami hari ini. Sejak pembebasan dari Rom, Palestin bernaung bawah pemerintahan empat kerajaan islam, kerajaan Khalifah arRashidin, kerajaan Umayyah, kerajaan Abbasiah, dan kerajaan Fatimiyah. Selepas itu bumi itu ditakluk tentera Salib, seterusnya dibebaskan oleh kerajaan Mamluk,dan berada di bawah Uthmaniyyah ketika kebangkitan khilafah itu.

Hari ini apabila berbicara mengenai mendapatkan "negara Palestin" ada pula pemimpin muslim yang menandatangani wilayah 1967 pembahagian Israel-Palestin, dan ada pula sibuk mahukan wilayah 1947,padahal mereka tak sedarkah wilayah baki yang dipanggil Israel samaada tahun 1948 atau 1967 semuanya adalah tanah umat islam yang diceroboh yang wajib dipertahankan bukan diberimilik pada musuh.

Pada 1947, fatwa Al-Azhar menyatakan haram membahagikan tanah antara Arab dan Yahudi di Palestin dan haram mengiktiraf kewujudan negara Israel di Palestin. Pada 1956 fatwa Syaikhul Azhar dan Mufti Mesir ketika itu, al-Imam al-Akbar al-Syaikh Hassan Makmum menyatakan menjadi fardu ain ke atas Muslimin semua untuk membebaskan bumi Palestin kerana Islam tidak mengenal persempadanan antara negara.

Dan tengok saja bendera Palestin hari inipun, saya rasa sedih. Kalau tengok gambar cover note ini, itu semacam bendera Palestin hari ini. Ya, itu bukan bendera Palestin tetapi bendera yang dikibarkan mewakili gerakan Nasionalisme Arab menentang Empayar Turki Uthmaniyyah sejak Jun 1916. Lebih menyedihkan Sharif Hussein yang antara awal menggunakan bendera ini bekerjasama dengan Sir Mark Sykes ,diplomat British yang merupakan sekutunya untuk hasilkan desain bendera ini. Dr Mahdi Abdul Hadi menerangkan sejarah bendera ini,menyatakan orang-orang Palestin yang pro kepada Sharif Hussein juga mengangkat bendera ini pada tahun 1917 menentang Empayar Uthmaniyyah yang berlaku tidak lama sebelum akhirnya pada tahun 1920 hingga 1948, orang-orang Palestin dijajah oleh British.

Sedih saya kisah perjuangan menuntut negara Palestin ini, ia berkaitan dengan isu tertipu dengan nasionalisme Arab yang akhirnya negara-negara umat terpecah malah berbangga pula dengan permainan percaturan “nation state” yang akhirnya buat tiada lagi umat sebagai binaan.

Saya petik ulasan saya sendiri tentang hal ini dalam blog post yang saya beri sebelum ini, saya menyatakan:

Ranumnya "demokrasi" atas kalimah "kuasa rakyat" atau "power of the people" akan sentiasa membuatkan manusia-manusia yang Allah jadikan bersuku puak (berbangsa-bangsa) ini akan berbangga dengan bangsa seterusnya negara bangsa mereka. Inilah yang dinamakan semangat kebangsaan atau "nasionalisme".

Dan atas nilai ini, walaupun seorang manusia itu memanggil dirinya muslim, sampai bila-bilapun mereka tak akan ada sifat bersaudara sesama muslim (ikhwanul muslimin) jika nasionalisme sangat menebal. Ingatlah kata-kata Kamal Attarturk ketika menjatuhkan khilafah terakhir di bumi Turki, mahu "menjadikan Turki sebagai negara demokrasi".Sehingga Mustafa Kamal itu mengubah azan dalam bahasa Turki untuk meletakkan semangat Nasionalisme dan kebanggaan menjadi seorang Turki lebih daripada menjadi seorang Muslim.

Hari ini kita mendengar ungkapan "bangla", "indon","pak arab" sebagai manifestasi sindiran ke atas bangsa menjarakkan lagi perasaan sayang pada saudara muslim di bangladesh, indonesia atau negara arab. Malah ungkapan "melayu layu", "jawa totok", atau "mamak" juga kini mula didendang supaya ungkapan "anak malaysia" menjadi kuat. Padahal ungkapan "saya muslim" atau "I'm muslim" itulah yang menyatukan manusia-manusia beriman seluruh dunia.

Kesimpulannya, marilah kita berbangga sebagai muslim, marilah kita sayang sesama muslim, marilah kita menitikberatkan maqasid syariah atas peliharaan 5 asas yang perlu dijaga untuk umat, agama, jiwa, akal,keturunan dan harta. Marilah kita merasakan seluruh harta umat menjadi tanggungjawab umat untuk menjaganya, sepertimana agama umat (islam) menjadi tanggungjawab seluruh umat menjaganya.

Marilah kita merasakan seluruh wilayah umat Islam adalah tanah-tanah umat islam keseluruhannya. Marilah kita runtuhkan benteng kebangsaan kerana kita umat islam seluruhnya adalah SATU binaan bukan dua,tiga atau berpecah-pecah. Marilah kita hancurkan cerita-cerita kartun yang cuba ditanam oleh para musuh bahawa nasionalisme itu suci, demokrasi itu agung. Marilah kita kembang dan sebarkan bahawa iman itu terasnya, ukhuwwah itu penyatunya, taqwa itu titikpuncaknya, dan syariah itu sistem yang sebetulnya bukan lain-lain ideologi.

“MUSLIM SEPAKAT, ISLAM BERDAULAT”

Sekian, tulisan panjang saya. Lama dah tak berblog macam dulu.

0 komentar: