|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH

Bismillah.

Aku memilih pandangan bahawa cukai itu hanya harus dikutip bagi yang mampu membayarnya. Dan aku memilih pandangan bahawa cukai itu haram dikutip dan dipaksa dari mereka yang tak mampu membayarnya. Aku berlapang dada dengan pandangan yang berpegang kepada dharuriyat atau hajiyat seperti yang diulas oleh muzakarah fatwa atau yang diulas terperinci oleh sheikh zulkifli albakri mufti wilayah.

Dalam konteks GST, aku tak nampak ada unsur pemaksaan mengutip cukai kepada mereka yang tak mampu membayarnya. Sebab dalam senarai barang GST, barang-barang keperluan asas dikecualikan GST dan barang-barang lain dikenakan GST dengan nilai kurang dari cukai sebelumnya iaitu SST. Ada peniaga jahat ambil kesempatan, itu kita bincang bagaimana strategi penguatkuasaan undang-undang anti pencatutan supaya peniaga jahat dapat dihukum. Ada pemimpin yang boros dan tiris, itu kita boleh bincang penguatkuasaan undang-undang rasuah dan integriti ke atas pemimpin. Ada ahli parlimen sokong ahli parlimen naik gaji, itu kita boleh bincang bagaimana cara supaya ahli parlimen yang sokong ini dapat kita jatuhkan waktu pilihanraya.

Aku tetap sokong cadangan inspirasi dari kisah imam nawawi tadi agar para pemimpin guna duit sendiri untuk bangunkan negara termasuk infrstruktur. Pemimpin paling banyak tabungan di negara kita adalah para sultan. Para sultan perlu dididik oleh ahli ilmuwan agama untuk berinfak demi pembangunan negara dan hidup secara qanaah. Tabung perbendaharaan negara perlu mengambil konsep baitulmal di zaman Rasulullah dan para sahabat. Rakyat jelata yang kaya raya juga perlu mengikut contoh teladan para sultan untuk sentiasa berinfak pada negara. Para pemimpin dari kalangan rakyat perlu diangkat dari kalangan mereka yang hidup qanaah, bekerja dengan gaji cukup makan dengan gaji diberi dari baitulmal. Jika para pemimpin tak tahan hidup qanaah, boleh berhenti dari menerima amanah memimpin, boleh jadi peniaga. Tapi apabila telah banyak harta, sama juga, disarankan berinfak juga pada negara. Infak dan qanaah adalah kata kunci kepada masalah percukaian.

Antara GST dan cukai tanah, aku lebih cenderung melihat keharaman cukai tanah. Cukai tanah dikenakan pada semua yang ada tanah, tanpa melihat tanah itu mengeluarkan hasil atau hanya ada lalang dan tempat berteduh saja. Orang miskin terpaksa bayar cukai tanah kerana dia mewarisi tanah dari keluarganya, padahal dia miskin, dia nak berkebun pun tanah tak subur tak ada hasil tak ada wang, tapi dia masih dikenakan cukai tanah secara paksa! Dia tak ada pilihan. Berbeza dengan GST, dia boleh pilih untuk beli keperluan asas yang zero GST, dia masih boleh makan dan hidup, GST tak memaksa dia beli barang yang ada GST dan dipaksa bayar GST. Dia masih ada pilihan.

Aku berlapang dada kalau ada orang yang memilih pendapat cukai itu haram mutlak dari segi agama. Tapi apabila dia berkata, orang yang mengharuskan cukai menempah ke neraka, aku berlepas diri dengan orang seperti ini. Dia tentunya tak baca pendapat Ibn Hazm, Ibn Taimiyah, Ibn al-Musili al-Syafi'i, al-Syatibi dan Ibn Khaldun yang mengharuskan cukai dan menerakakan para ulama dengan mudah tentunya timbul dari kejahilan diri yang tak mahu membaca.

Tuntas.

Wallahua'lam.

Muhammad Fakhrul Razi
21/4/2015

Jemput baca juga karya komik lamaku yang menyentuh bab infak dan qanaah:
1. Pendidikan Percuma: http://mfrstudio.blogspot.com/search/label/pp
2. Nasihat Buat Orang Politik Tahun 2012: https://plus.google.com/photos/+mfribnmukhtar/albums/5748319840322228865

0 komentar: