oleh: mfr
Beberapa bulan sebelum aku graduasi, hujung tahun 2009, berita mengenai misi NASA untuk menghantar teleskop ke angkasa untuk mengkaji bintang telah heboh diperkatakan di laman-laman sains. Hanya selepas tahun 2010, baru aku faham apa yang NASA cuba kaji dengan Misi Kepler bukan bintang-bintang, tapi lebih untuk mencari planet yang boleh didiami seperti bumi.
Apabila diterima masuk ke Agensi Remote Sensing Malaysia pada tahun 2010, dan didedahkan dengan pengetahuan satelit dan antena serta bagaimana teknologi remote sensing yang mencerap imej bumi berkembang di abad ini, aku mula obses untuk tahu cabang remote sensing di sebelah sana iaitu mencerap angkasa berkembang, maka aku tak habis-habis membaca perkembangan Misi Kepler.
Pada tahun 2011 ketika berkursus induksi di MOSTI, aku bangun bertanya pada pembentang modul, adakah cerapan angkasa dilaksanakan di Malaysia? Walaupun tak mendapat jawapan jelas dari pembentang modul, seorang peserta kursus dari Agensi Angkasa Negara merapati aku ketika senggang rehat dan menjawab bahawa di Malaysia bawah Agensi Angkasa Negara terdapat Observatari Negara di Langkawi khusus untuk mencerap langit dan bintang. Ya, Malaysia sudah ada infrastruktur untuk kajian bintang.
Pada Mei 2013, kapal pembawa teleskop Kepler mengalami masalah pointing dan pada November 2013, Misi K2 dihantar untuk menyambung Misi Kepler dengan memanfaatkan baki peralatan kapal Kepler yang masih boleh berfungsi dan mengumpul data. Sehingga hari ini misi K2 masih berjalan dan dijangka mati pada tahun 2017. Berpuluh planet telah diklasifikasi sebagai berpotensi besar boleh didiami dengan mempunyai unsur air dan batu dari berpuluh ribu planet dikaji mengelilingi beribu-ribu bintang.
Aku yakin kajian planet-planet dan bintang-bintang di langit menjadi sangat-sangat mencabar dan misteri buat saintis NASA. Apatah lagi jika tokoh saintis seperti Stephen Hawking yang pernah membangkitkan sejak beberapa dekad lalu soal hidupan lain atau alien mungkin mendiami planet di angkasa dan teori akan tiba masanya matahari dan bumi akan hancur atau mati, maka kumpulan saintis NASA berasa bertanggungjawab untuk segera mencari solusi jika nanti manusia perlu lari dari "kiamat dunia" untuk memulakan semula hidup manusia di planet lain.
Misteri itu akan terus misteri jika para saintis mengkaji alam tanpa letak apa-apa kepercayaan melainkan alam ini patuh pada hukum sains (fizik, kimia, biologi) semata-mata. Bagaimana hukum ini mampu menjadi konsisten baik di bumi atau angkasa jika tiada penetapan dibuat oleh sesiapa? Siapa yang mencipta aturan supaya di bumi ini berkembang biak hidupan dengan segala hukum, dan bintang dan planet di angkasa pula hidup dan mati dalam aturan mengikut hukum konsisten jua. Siapa yang menjalurkan segala hukum-hukum ini yang walaupun dikaji secara berasingan oleh sesetengah ahli sains dengan bidang fizik, kimia dan biologi, boleh meletakkan alam ini dalam satu aturan kompleks universal yang diungkap oleh Hawking sebagai The Theory of Everything itu? Siapa pencipta teori universal tersebut?
Maka sesiapa yang membaca surah Al Mulk setiap malam pasti sampai kepada ayat 3 yang berbunyi:
"Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?"
Kemudian Allah s.w.t berfirman lagi dalam ayat 4:
"Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia)"
Sungguh! Jika saintis yang telah berulang-ulang mencerap bintang itu membaca ayat ini seakan-akan langsung kalamAllah ini menuju pada diri mereka! Apatah lagi sepanjang saintis ini mengkaji planet-planet yang mengelilingi bintang itu sebenarnya mereka menggunakan teori jumlah cahaya bintang yang dikumpul oleh teleskop itu akan memberikan polar perubahan jumlah cahaya yang konsisten setiap kali planet melintasi hadapan bintang yang dicerap. Polar konsisten inilah yang membantu mereka mengagak wujud atau tidak, planet mengelilingi bintang tersebut. Dan polar yang konsisten ini menunjukkan betapa kiraan pusingan itu sangat seimbang dan sempurna!
Sungguh jika para saintis NASA faham apa yang saya cuba sampaikan, nescaya mereka akan beriman dengan Al Quran lalu misteri kejadian bintang ini akan terjawab pada firman Allah s.w.t pada ayat seterusnya, ayat 5 surah Al Mulk:
"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang."
Langit yang mengandungi bintang-bintang itu benar-benar hiasan untuk kita. Bukan tempat untuk kita tuju dan bina hidup selepas kiamat. Dan Allah s.w.t dah janji kiamat akan berlaku di dunia bumi ini tanpa ada seorang manusia pun tertinggal. Lagi pula fungsi bintang itu pun telah dijelaskan oleh Allah s.w.t bahawa ia punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan. Maka planet-planet yang mengelilinginya jua pasti dan pasti tiada satu pun yang sesuai untuk mengambilalih fungsi bumi.
Semua ini dijelaskan dalam banyak ayat mengenai kiamat dalam alQuran. Dan jika para saintis berasa janji Allah mengenai kiamat yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w itu palsu dan dusta dan betapa manusia mampu berusaha untuk lari dari kiamat, maka bacalah surah alMulk itu dari ayat 6 hingga tamat: http://www.surah.my/67
Betapa firman Allah s.w.t seterusnya adalah berkaitan manusia-manusia yang mengingkari kebenaran ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, apa yang akan terjadi pada mereka, apa yang akan mereka katakan setelah dihukum, dan betapa manusia-manusia yang beriman dan takut untuk melanggar hukum Allah benar-benar selamat di akhirat nanti, dan Allah khabarkan betapa Allah Maha Berkuasa menghukum manusia yang ingkar dan sudah pernah pun hukum beberapa umat manusia sebelum umat Nabi Muhammad, seterusnya Allah tanyakan pada kita tentang siapa yang lebih tahu, kita atau Allah dan betapa semua yang ada di bumi ini Allah kuasai.
Benar-benar saya pasti akan mengalir air mata para saintis yang mengkaji bintang apabila membaca semua ini. Segala kajian bumi, air, hidupan, bintang dan kiamat (kemusnahan bumi) yang mereka telah bincangkan disebut secara langsung dan tak langsung dalam ayat ini.
Jika tak keberatan, saya syorkan juga, sesudah baca Al Mulk, bacalah jua apa yang Allah ingin khabarkan pada kita dalam Surah Bintang (An Najm): http://www.surah.my/53
Betapa surah ini dimulakan dengan sumpah Allah ke atas bintang, dan sekali lagi Allah isi surah ini dengan firman-firmanNya berkisar tentang manusia yang tak percaya pada apa yang Nabi Muhammad s.a.w telah sampaikan dan hanya percaya pada hawa nafsu, menyembah selain dari Allah, hukuman-hukuman ke atas kaum terdahulu yang ingkar dan 4 ayat terakhirNya benar-benar menyusuk ke jiwa:
"Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)? Sedang kamu adalah orang-orang yang sombong angkuh, lagi yang melalaikan kewajipan? Oleh yang demikian, hendaklah kamu sujud kepada Allah (yang telah menurunkan Al-Quran itu), dan beribadatlah kamu kepadaNya (dengan sepenuh-penuh tauhid)." (Surah An Najm ayat 59-62)
Tiga soalan bertubi-tubi dan dijawab dengan jawapan tuntas yang pasti buat semua saintis akhirnya faham segala misteri bintang-bintang itu untuk kita semua manusia ini sujud pada Allah dan beribadat padaNya dengan sepenuh tauhid.
Menitis air mataku.
22/4/2015
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 komentar:
Post a Comment