|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Bismillah.

Alhamdulillah, saya telah cuba e-mel pihak editorial PTS akan masalah Syariah Compliant. Saya cukup yakin Syariah Compliant Comichat hanyalah salinan dari Syariah Compliant PTS. PTS wajar membetulkan dahulu apa yang tak betul, baru boleh menjadi contoh pada generasi muda seperti Comichat.

Berikut saya paparkan e-mel yang dihantar.

from: mfr studio <mfakhrulrazi@gmail.com>
to: editorial@pts.com.my
date: Mon, Oct 6, 2014 at 10:59 AM
subject: SYARIAH COMPLIANT DALAM KOMIK-M

Assalamualaikum.

Tuan,

Dengan segala hormatnya saya merujuk perkara di atas.

2. Saya mendapati beberapa buah produk Komik-M tidak menepati syariat baik dari segi lukisan mahupun isi cerita. Saya bimbang tafsiran syariah compliant yang menjadi polisi PTS longgar dan tidak menepati sepertimana garis panduan para alim ulama.

3. Beberapa contoh Komik-M yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

i. Watak perempuan yang dilukis dalam Komik Reda #2 jelas ketat menampakkan bentuk tubuh walaupun dilukis bertudung:
http://pts.com.my/buku/reda-2-pintu-hati/

ii. Cerita yang memaparkan kuasa ajaib dan makhluk ganjil dalam Ultra Qalif #5 jelas bertentangan sunnatullah dan tidak mempunyai asas dalil aqli mahupun naqli.

4. Saya menyedari Tuan Wanzu (Wan Zuhairi) yang dipertanggungjawabkan membangunkan produk Komik Malaysia PTS dengan polisi Syariah Compliant berpegang kepada fatwa Dr Yusuf AlQaradhawi dalam Fatawa Muasarah dan Malamihu AlMujtama' Al Muslim Allazi Nasyuduh dalam hal melukis tetapi bukankah fatwa Dr Yusuf AlQaradhawi dalam hal pengharaman animasi Pokemon ada menyebut pentingnya animasi kartun dibuat melambangkan akidah, nilai akhlak, syariat, serta tamadun Islam. Dan antara sebab Pokemon difatwa haram juga kerana kandungan ceritanya yang bertentangan dengan sunnatullah dan tidak mempunyai asas dalil aqli mahupun naqli. (Rujuk Fiqh Hiburan dan Rekreasi oleh dr Yusuf AlQaradhawi terbitan PTS, muka surat 218,219,222).

5. Saya berharap pihak PTS dapat membina polisi sesuai dengan nama yang digunakan iaitu Syariah Compliant yang mengikut Syariat Islam sebagaimana yang digariskan oleh para alim ulama muktabar tanpa melonggarkan atau membina peraturan yang bertentangan syariat agar salah tafsir ini tidak mengelirukan terutama generasi muda yang kita sayangi yang bakal mengikut jejak langkah PTS dalam hal penerbitan ini.

6. Semoga Allah sentiasa memelihara niat baik para penggerak PTS agar berada di jalan lurus yang benar-benar lurus sesuai dengan petunjuk Al Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.

Perhatian pihak tuan dalam hal ini amat dihargai dan moga dirahmati Allah s.w.t.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Fakhrul Razi
mfr studio

0 komentar: