Dengan merasakan tanggungjawab ke atas generasi muda, saya cuba mengusahakan sebuah komik bertajuk "Apa Erti Aku Melukis Komik?" dengan harapan dapat menyampaikan seluruh prinsip dan dasar komik bagi seorang pengkarya Muslim. Namun kerana keterbatasan diri saya, saya masih belum menyiapkan komik tersebut.
Maka di sini, saya ingin menyampaikan sebahagian nota penting komik tersebut yang saya rasa sangat kritikal untuk dipaparkan segera, apabila membaca apa yang ditulis oleh Comichat dengan projek Supreme mereka. ( Rujuk:https://www.facebook.com/comichatconsultancy/photos/a.733601893317726.1073741828.733590983318817/855738774437370/ )
"Syariah compliant bukan bermaksud melukis komik dakwah"-satu kenyataan yang terpapar pada description photo itu jelas membuka perbahasan yang sepatutnya dituntaskan oleh semua pengkarya muslim.
Saya melihat antara yang disenaraikan sebagai "tidak melanggar arahan agama" itu adalah tidak melukis perkara-perkara lagha yang membawa kepada dosa. Komik jenis apa yang bukan bertujuan dakwah tapi dalam masa yang sama juga tidak lagha?
Kajilah komik yang bagaimana yang diharuskan oleh agama, akhirnya semua pengkarya muslim akan sedar hanya komik dakwah sahaja diharuskan agama.
Kemudian marilah kita kenali dalam-dalam apa itu dakwah, kemuliaan perjuangannya, objektif dan matlamatnya, pengisian dan halatujunya.
Suka untuk saya selitkan di komen ini juga tentang apa yang dihuraikan oleh sheikh yusuf al qaradhawi ketika komen tentang fatwa pengharaman anime pokemon (saya rujuk terjemahan Fiqh Hiburan dan Rekreasi terbitan PTS):
"Perkara yang wajib kita lakukan sebagai umat Islam adalah menghasilkan produk yang khusus buat umat Islam yang melambangkan akidah, nilai akhlak, syariat, serta tamadun Islam. Kerjasama perlu diwujudkan antara pakar-pakar daripada golongan sasterawan, cerdik pandai, ahli-ahli seni, para hartawan dan kerajaan bagi menghasilkan filem ataupun kartun animasi yang membawa mesej, keperibadian, identiti, serta tamadun yang BERSANDARKAN KEPADA AGAMA ISLAM dengan kaedah penyampaian yang mudah difahami".
(muka surat 222)
Itu pandangan al Qaradhawi dalam hal kartun animasi yang saya kira merangkumi jua aspek komik. Jadi, agak-agak komik apa yang membawa mesej, keperibadian, identiti, serta tamadun yang BERSANDARKAN KEPADA AGAMA ISLAM dengan kaedah penyampaian yang mudah difahami, yang bukan bernama KOMIK DAKWAH?
Dan apabila mereka (admin Comichat) setuju dengan karya fantasi yang tak berkaitan dengan dakwah, saya ingin jelaskan kekeliruan ini.
Secara asasnya komik berdiri atas imaginasi dan imaginasi itu satu fantasi. Tapi serupa dengan kisah-kisah tauladan yang dicipta oleh para alim untuk pemahaman orang awam, semuanya atas tujuan dakwah.
Bagi memahami batasan fantasi yang dilarang, mari kita selami apa yang disebut Dr Yusuf AlQaradhawi yang saya petik dari terjemahan Fiqh Hiburan dan Rekreasi terbitan PTS, mengenai hujah kedua kenapa pokemon diharamkan:
"Rancangan ini juga boleh memberikan kesan negatif kepada kanak-kanak dari segi pertumbuhan pemikiran mereka. Ini kerana, rancangan ini menanamkan KHAYALAN yang TIDAK BERASAS dan perkara-perkara PELIK YANG BERTENTANGAN DENGAN SUNNATULLAH ke dalam akal kanak-kanak. Binatang-binatang dalam rancangan ini digambarkan mempunyai keajaiban yang SAMA SEKALI TIDAK MEMPUNYAI ASAS, sama ada MENURUT DALIL AQLI MAHUPUN DALIL NAQLI...."
"...Alangkah baiknya kita menyarankan kepada pelajar-pelajar kita supaya mereka mempelajari dan mengkaji haiwan, burung-burung, dan serangga yang berada di sekeliling mereka daripada binatang-binatang yang dizahirkan dengan rupa bentuk yang PELIK dan GANJIL yang sama sekali TIDAK PERNAH WUJUD."
(muka surat 218-219)
Melihat pada hujah alQaradhawi di atas, fantasi atau khayalan yang dilarang itu adalah:
1. Tidak mempunyai asas menurut dalil aqli mahupun naqli.
2. Rupabentuk pelik dan ganjil bertentangan dengan sunnatullah.
3. Tidak pernah wujud di dunia nyata.
Maka tentulah jika fantasi, imaginasi dan khayalan yang ingin diterap dalam komik kita perlu:
1. Ada asas menurut dalil aqli dan naqli.
2. Tidak pelik dan ganjil dan tak bertentangan dengan sunnatullah.
3. Pernah wujud di dunia nyata.
Seterusnya bagi memenuhi syariah compliant, tentunya semua fantasi, imaginasi dan khayalan itu TIDAK LAGHA YANG MEMBAWA DOSA. Maka apa lagi dalam dunia ini yang tidak lagha malah bermanfaat beri pahala kalau bukan BERKAITAN DENGAN DAKWAH?
Maka hujah fantasi yang tak berkaitan dengan dakwah sangat-sangat tidak berhujah syariah compliant.
Saya bimbang Syariah itu dikelirukan. Saya bimbang apa yang sudah terjadi hari ini, orang sudah berkata, "Sekular itu juga syariah compliant asalkan adil", "Semua agama adalah syariah compliant asalkan menyeru manusia sembah Tuhan", "Tak masuk Islam asal buat baik itu sudah cukup syariah compliant", maka syariah itu syariat agama mana?
Perjuangan Komik Dakwah rupanya masih panjang.
Tuntas.
mfr
ATAS RASA INTEGRITI: SAYA PAPARKAN PM BALASAN SAYA PADA SALAH SEORANG AHLI COMICHAT YANG MESEJ SAYA (DENGAN PINDAAN NAMA AHLI ITU DIRAHSIAKAN)
Waalaikumussalam.
Saya telah berlepas diri dari menasihati Comichat atau ahlinya. Saya telah cuba menyampaikan sekadar mahu melepaskan tanggungjawab sekiranya ditanya oleh Allah di akhirat kelak, telah bersungguh-sungguh memberikan teguran atau tidak, ya, saya telah bersungguh-sungguh hingga berjela-jela panjangnya.
Saya harap Allah ampunkan saya kerana tidak lagi mampu meneruskan nasihat khususnya orang dalam Comichat yang saya telah perhatikan setiap satu perkembangannya, karyanya, tulisannya, komen-komen dan perbincangannya yang saya kira sangat berpotensi menjadi teraju komik dakwah di Malaysia. Saya doakan dia terus dipelihara Allah, tingkatkan sensitiviti imannya kepada sebarang ajaran islam yang cuba diberikan penafsiran lain dari apa yang diajar oleh para alim ulama muktabar. Saya sayang dia kerana Allah, bimbang dia kerana Allah, sayangkan agamanya, potensi dirinya, usaha usrah dan tarbiyah yang dia sedang jalani kerana Allah. Sekarang, saya sudah melepaskan diri saya dari dia, maka buatlah apa saja, moga Allah berinya petunjuk.
Saya cukup anti dengan orang yang berkata, "pembaca tidak suka membaca komik yang mempunyai ayat yang penuh seperti karangan."
Jika diri dia tak suka, atau kawan-kawan dia tak suka, adakah dia betul-betul pasti langsung tiada seorang pembaca pun yang suka? Dia tak pasti, kerana dia tak pernah bergaul dengan pembaca-pembaca tegar yang boleh baca apa saja ayat berjela baik dalam komik hatta dalam status facebook jua. Dulu ada orang kata, status facebook yang tulis panjang berjela tak akan ada orang baca, sebab kononnya orang melayari facebook bukan niat nak baca surat khabar. Tapi bila kawan saya tulis cerpen dan siri novel di status facebook, beribu orang baca, apa nak dikata? Kata kuncinya, kita tak habis kaji, kita fikir kita dah tahu semua dalam dunia ini.
Adapun bila orang komplen saya lukis komik dialog penuh panel, saya terfikir apa standard minimum jumlah perkataan dalam satu panel? Memang ada komik saya berjela dialog, ada yang nampak crowded sebab font saya guna, kalau saya guna arial atau times new roman, ok je tak crowded. Saya tengok juga ikon comichat punya komik Hyperman, adakah tidak crowded dialog dalam beberapa page komik itu? Apa standardnya? Jawapannya tidak ada standard. Penipuan besar dalam medan kreativiti apabila ada orang mengatakan jangan buat begitu, jangan buat begini, padahal bila ada orang buat yang lain yang kononnya dilarang itu, tup tup hasil dialah paling kreatif. Bergelumanglah dengan semua karya komik dunia, anda akan faham rupanya komik ini pelbagai bukan citarasa ala manga saja. Hatta manga pun banyak yang crowded dialognya setelah diterjemah! Itupun bukan orang ambil kira. Kata kuncinya kita tak cukup kaji dan hanya duduk dalam komuniti sendiri.
Kemudian, bila saya mula lukis komik dialog pendek. Ada orang rujuk komik itu sebagai karya yang mewakili diri saya? Tidak ada. Sebab kalau mereka rujuk itu komik mewakili diri saya, maka macam mana mereka nak komplen dialog penuh satu panel, sebab 4-7 perkataan saja satu page! Manusia. Mereka nak komplen tak mampu mengkaji seluruh.
Jika sudah karya saya itu pelbagai, maka jika ada karya yang tak suka, tinggalkan. Jika tak suka semua pun, tinggallah semua. Kita tak baca, ada orang lain baca. Kalau tak ada orang baca langsung pun, saya tak nampak sebesar zarah masalah dunia melanda umat pun. Pelik sungguh.
Saya pernah tulis dulu kenapa ada komik saya dialog panjang. Saya malas nak ulang semula. Ringkasnya saya hidup dah tak lama. Saya risau sangat jika saya meringkaskan dialog, kemudian saya mati, maka mesej sebenar komik saya tak sempat disimpulkan. Orang bahas isinya lepas saya mati terus buat kesimpulan salah. Jadi lantaklah saya nak tulis dialog panjang dalam komik yang dibenci orang pun. Memang tujuan saya melukis bukan nak tunjuk kat orang, saya nak Allah tengok saya dah berusaha menyampaikan. Allah tak pernah syaratkan kejayaan dakwah adalah mengumpul banyak pengikut. Kesianlah Nabi-nabi yang dikisahkan dalam isra mikraj, ada yang langsung tak ada pengikut adakah usaha dakwah mereka gagal? Pengertian perjuangan Dakwah tak difahami. Dakwah adalah usaha, bukan melihat hasil usaha. Ya, dalam dakwah kena kekal akhlak. Tapi berdialog panjang itu tak berakhlakkah? kalau begitu matilah semua kitab karangan ulama.
Ada orang kata, komik bukan novel, bukan kitab. Siapa yang tetapkan definisi komik? Kasihan. Ini medan kreatif, satu masa komik tak serupa komik sekarang pun tak ada masalah. Tak nak disebut nama komik pun tak ada masalah. Kreativiti tak ada standard. Kreativiti islami hanya ada batas, dan itulah hududullah, hukum Allah, syariah.
Bila guna nama syariah, tapi tak nak berhukum syariah macam yang ditetapkan Allah, apa akibatnya? ini basic bila kita baca quran. Takkan tak pernah jumpa ayat keras dari Tuhan kita sendiri berkaitan betapa sensitifnya hukum Allah ini. Bolehkah kita guna nama syariah, kemudian kita tetapkan rules yang lain? Beranikah kita buat begitu bila dah khatam quran yang kita baca jumpa macam-macam ketegasan Allah dalam soal hukum Allah dan menjaga batas-batas yang ditetapkan? Jangan dik, jangan.
Walau apa pun, saya dah berlepas diri dengan Comichat. Buatlah sesuka hati kalian.
Sebagai tambahan kepada pemerhatian dan soal selidik *kalian ke atas pembaca, nah ambil sampel komik saya bertajuk Kahwin Awal yang berjela, crowded gila dialog penuh panel ini dibaca juga oleh 1000 orang dan dishare oleh 700 orang. Tanyalah mereka semua itu. Apa masalah mental mereka ini, gila atau sewel? Apa pasai sebagai pembaca yang tak suka baca komik penuh dialog pergi baca juga komik Kahwin Awal ini?
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=250428425060298&set=a.249749441794863.37057.100002794267166
(Saya paparkan ini supaya saya tak dilihat oleh Allah cuba berbahasa lain di public dan berbahasa lain pula di dalam PM.)
0 komentar:
Post a Comment