|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH


Saya tertarik dengan cadangan dari Ahli Parlimen Kalabakan,

"Apahal wanita-wanita Islam di seluruh negara yang pakai seluar pusat keluar, apa jadi? Kenapa itu tak diambil tindakan? Kenapa? Ini Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya duduk bincang buat peraturan apa yang patut kita buat, apa yang patut kita tidak buat"

Beliau menambah,

"Sekiranya ada ulama-ulama, ada orang pakar agama, masuk ke Sabah, biar siapapun masuk ke kawasan saya Kalabakan saya benarkan. Sebab ini untuk kebaikan agama."

Aurat

Pertama, saya gembira dengan cadangan untuk menangkap perempuan-perempuan Islam YANG MEMBUKA AURAT di seluruh negara termasuk golongan Istana, Menteri-menteri, isteri-isteri menteri, tokoh-tokoh, aktivis NGO, artis-artis hatta sesiapa saja yang muslimah telah MEMBUKA auratnya, kerana adalah menjadi tanggungjawab para muslimin menjaga maruah para muslimah yang kita sayangi dan cintai ini. Tentu saja pembukaan aurat oleh kaum lelaki juga wajib dibendung.

Tapi, saya kira MP Kalabakan tidak bermaksud perempuan membuka aurat, beliau hanya bermaksud perempuan membuka pusat. Jika benarlah MP Kalabakan bermaksudkan aurat, operasi tangkapan ke atas muslimah kita yang membuka aurat pastinya memerlukan kakitangan dan pegawai penguatkuasa yang ramai, kerana jumlah muslimah yang membuka aurat berjuta jumlahnya.

Penglibatan golongan istana yang muslimah membuka aurat saja sukar dibendung dan pastinya boleh menimbulkan konflik dan kontroversi jika ditangkap pegawai agama. Walaupun ada saja permaisuri yang berhijab namun kita sedia maklum siapa yang tidak berhijab, kecuali jika kes muslimah yang sudah berumur ada kelonggaran yang diberikan para ulama. Begitu jugalah kes-kes menteri-menteri muslimah yang membuka aurat dan lebih ramai jumlahnya jika dihitung di kalangan isteri-isteri menteri pula. Para tokoh dan aktivis NGO muslimah terutama yang menganut feminisme memang susah untuk kita lihat berhijab dan menutup aurat dengan kemas, apatah lagi para artis dan pengacara juga pembaca berita muslimah kita.

Namun, jikapun MP Kalabakan serius dalam cadangannya untuk membendung fenomena "buka aurat" di kalangan orang Islam seluruh negara, ia bukanlah suatu yang radikal atau mustahil untuk dilaksanakan. Apatah lagi, bukankah samaada pihak kerajaan UMNO-BN mahupun pembangkang PAS-PKR sendiri yang menyokong Dr. Asri sebagai agamawan tidak harus dimalukan dengan operasi tangkapan itu,sewajarnya menyokong idea menangkap ahlul bidaah dan ajaran sesat sebenar iaitu nun dalam industri hiburan sana.

Saya fikir jikalau semua artis baik dalam nyanyian mahupun lakonan yang membuka aurat dapat ditangkap dan diberi tarbiyah, ini sudah bagus untuk rencana kita kepada industri hiburan islamik yang saya pernah canangkan iaitu betapa soal aurat ini wajar dipelihara dalam revolusi lakonan islamik dahulu.

Namun, kasihan juga nanti para pembikin dan pejuang drama dakwah kontemporari menggigit jari dan mati kutu untuk mencari pelakon muslimah yang sudi untuk berlakon watak jahat yang membuka aurat dengan pakaian setengah dan ketat. Mereka pasti pening kepala hingga terasa ingin menghentak kepala di dinding, memikirkan bagaimana mahu menjayakan filem dan drama dakwah jika semua watak muslimah mereka WAJIB MENUTUP AURAT. Bukankah mereka pernah mengatakan, "mustahil untuk menutup aurat watak jahat".Itulah saya sudah bilang, supaya jadi kreatif dengan taat perintah Allah dan perjuangkan sunnah di mana jua hatta dalam industri hiburan dakwah. Sekarang, kalau benar kerajaan Malaysia menerima saranan MP Kalabakan untuk menangkap muslimah membuka aurat, kan sudah gagal filem dan drama dakwah suci kalian itu.

Orang yang menyokong Dr Asri memang ramai. Mereka semua berasa hairan kenapa bekas mufti yang punya phd dalam pengajian agama boleh dikatakan tidak bertauliah, malah mereka meminta para ulama dihormati. Jika benarlah semua orang Islam sudah sepakat menghormati para ulama dan para mufti mahupun bekas mufti, maka saya kira sudah sampai masanya fatwa-fatwa yang sudah digariskan di negara Malaysia ini wajar ditaati dan dilaksanakan sesungguh hati.Bukan hanya termaktub dalam lembar-lembar kertas cuma.

Pilih Bulu

Tapi seperti yang dibangkitkan oleh MP Kulim Bandar Baru, isu tak menghormati para ulama, mufti atau bekas mufti sudah berlaku sejak dulu.

MP Kulim Bandar Baru hanya menyebut dua contoh yang berlaku pada kes almarhum Dato Ishak Baharom bekas mufti Selangor yang ditahan kerana tidak diberikan tauliah di negeri sendiri, atau Mufti Perak SS Harussani Zakaria yang tidak punya tauliah di Johor, tapi kedua-dua BN dan PR ada kes tidak menghormati ulama.

Bukan orang UMNO tak sedar apa yang mereka telah lakukan pada Mufti Perak dahulu semasa isu murtad dan Datuk Azhar Mansor di Perhimpunan Agung UMNO. Bukan main sindir dan lancang sekali mulut-mulut perwakilan yang tak ingat dunia, menyindir Mufti Perak tanpa adab dan sopan. Apa jadi dengan UMNO Perak semasa fatwa haram sureheboh dulu, ada mereka pertimbangkan pandangan mufti negeri mereka?

Orang PAS pun jangan lupa apa yang mereka kata pada Mufti Perak semasa PR terguling dek lompatnya Adun mereka kepada Bebas. Penuh halaman buku tamu pejabat mufti Perak dengan bahasa-bahasa kesat dan kurang ajar. Apa ada erti menghormati Mufti dalam kamus perjuangan mereka? Dicarut dan dimaki Mufti Perak macam sudah lupa dahulu Mufti itulah yang mereka sanjung kerana lawan Islam Liberal, Murtad, dan Hedonisme.

PKR juga ada kes tidak menghormati mufti, walaupun mungkin hanya soal individu, namun individu itu antara tokoh pimpinan PKR yang punya jawatan tinggi jua. Lupakah Dr Badrul Amin panggil Mufti Perlis ketika itu Dr. Asri dengan panggilan "bapak setan"? Adakah ada sempadan pangkat "Mufti" untuk mereka beradab sopan, bak kata MP Gombak, "bertindak tidak beradab, zalim".

Penyokong Dr. Asri dan sekian banyak makhluk-makhluk "wahabi ekspres" pun jangan lupa adab mereka pada sekalian mufti yang menolak wahabi di Malaysia.Apa sindirian mereka, semua orang boleh baca dalam internet. Dr. Asri sendiri berapa kali perli "tidak sarjana" pada tokoh-tokoh mufti kita. Jika benarlah Dr.Asri meletakkan pangkat "Mufti" sebagai pangkat mulia yang berkehendakkan kita beradab sopan, sudah berapa banyak hati Mufti di malaysia terluka dengan tujahan kata Dr. Asri, pernahkah beliau memeriksa dan muhasabah?

Dan bukan penyokong-penyokong salafiyyah, wahhabiyah, manhaj salafi, gerakan tajdid tidak kenal dengan Sheikh Zaini Dahlan. Apa yang mereka kata mengenai Sheikh Zaini Dahlan? Padahal umum tahu Sheikh Zaini Dahlan yang mengarang kitab Fitnatul Wahhabiyah itu adalah Bekas Mufti Makkah Mukarramah. Adakah kebebasan bersuara untuk bekas mufti Sheikh Zaini Dahlan di Mekah? Adakah pemberian tauliah pada Sheikh Zaini Dahlan yang bertaraf bekas mufti oleh para pimpinan ulama wahhabi di Arab Saudi ketika itu? Semua ini terakam buat kita mengetahui "pilih bulu" yang ada adalah suatu yang "common" baik dalam politik mahupun dunia ilmu islam.

Kebaikan 'Wahabi'

Namun, ada kebaikan jua konflik dan kontroversi yang terjadi mutakhir ini seputar isu wahhabi dan Dr. Asri ini. Ada beberapa salah anggapan masyarakat sudah mula diperjelaskan oleh para ulama, tidaklah para ulama berdiam diri tanpa menjalankan tanggungjawab menyebarkan ilmu-ilmu di dada mereka. Ustaz-ustaz lepasan universiti timur tengah juga membuka balik kitab-kitab mereka untuk dibuat rujukan bagi melawan hujah antara satu sama lain. Baguslah, ilmu yang lumat itu adalah dengan perbincangan dan bukan dengan menelan mukasurat kitab semata-mata.

Saya yang tidak tahu selama ini majoriti ahlus sunnah wal jamaah berpegang pada mazhab akidah Asyairah dan Maturidiah pun menjadi lebih faham akidah setelah kontroversi ini tercetus. Sebab ulama-ulama mula menjelaskan. Dalil sana dalil sini, kupas sana kupas sini, kitab sana kitab sini. Orang mempersoalkan perihal mazhab-mazhab ini adakah salafus soleh itu bermazhab. Pelik saya, mereka yang mengaku tak bermazhab dan menjadi "wahabi ekspres" pun hanya bertaklid pada fatwa-fatwa guru manhaj salafinya saja. Itulah mazhab kamu, kalau itu yang kamu ikut dan tiru bukan kamu kaji sendiri pun. Kalau dia kaji dan cipta kaedah menilai hukum dan tafsir sendiri, barulah boleh mengaku tak ikut mazhab. Pelik sungguh.

Saya kira ada baiknya kumpulan manhaj salafi ini muncul untuk kita tahu apakah yang lebih utama dan dikehendaki oleh agama.Kontroversi yang mereka bawa membuatkan kita merenung semula apakah kita benar-benar memahami apa yang kita taklidkan. Asasnya memang mazhab fiqh yang 4 dan mazhab akidah yang 2 kita itu menawarkan metod menuju salafus soleh pun. memang tujuannya sama iaitu mencontohi jalan salafus soleh. Tak ada beza pun matlamat. Cuma mungkin metod dan hasil ijtihad penyudahnya saja sedikit saja yang kurang sama.Dan memang wujud sesetengah amalan kita yang aneh yang tak diajar oleh mazhab mahupun yang bukan mazhab.

Pengalaman saya sendiri, ketika menjalankan bacaan Yasin malam Jumaat di Gofuku Mosalla, ramai pelajar-pelajar datang. Yang tak solat Isyak berjemaah pun datang juga sebab nak sertai Yasin. Tapi setiap kali pun dah diperingatkan bacaan Yasin jangan diperuntukkan malam jumaat saja, disuruh dan dianjur sungguh-sungguh untuk dibaca bila-bila atau setiap malam pun untuk mendapat fadhilatnya yang tidak disangkal. Dianjur juga jangan melupakan surah-surah lain yang punya fadhilat-fadhilat besar. Kemudiannya setelah merasakan peringatan sudah cukup lama ditanam, mulalah kami mengubah Tadarus malam Jumaat pula menggantikan Yasin. Sudah, dua tiga kerat saja yang datang. Ada yang datang berjemaah Isyak, bila tiba Tadarus terus cabut. Apa masalah? Anti Al Quran dan Pro Yasin sajakah? Ini sudah pelik. Padahal ulama-ulama kita yang menyarankan bacaan Yasin itu awal-awalnya mahu mendidik untuk kita rajin membaca al Quran. Kalau boleh baca surah Yasin 5 muka surat tiap minggu, cukup 100 minggu boleh hampir khatam al Quran.

Ada artis dan orang awam tubuh kelab sokong Dr.Asri, baguslah sokong tokoh agama, jangan tokoh hedonis yang dipuja dan diangkat-angkatkan. Asasnya para ulama non wahabi yang ilmiah tidak ada masalah dengan Dr. Asri kecuali beberapa sikap beliau dalam menulis dan berceramah sahaja kadang kala dipertikaikan, contohnya Dr Asmadi Mohamed Naim. Malah golongan manhaj salaf yang ilmiah juga tidak ada masalah dengan Asya'irah atau Sifat 20 , apatah lagi dengan fiqh Syafiiyah, contohnya Maulana Asri Yusof.

Yang bergaduh dan bersengketa ini cuma yang menjadi mangsa-pemangsa dalam tikam-menikam, luka-meluka, kata-mengata, label-melabel, dan kebanyakannya digerakkan oleh makhluk-makhluk perosak yang mengelilingi tokoh-tokoh tertentu. Makhluk perosak inilah sejak dulu lagi sudah saya jejak dan sasarkan banyak kritikan pada mereka yang menjadi pejuang maki dan pengadu domba. Saya sendiri pernah difitnah oleh seorang tokoh gara-gara makhluk perosak ini salah mengadu pada tokoh kesayangannya.

Persaudaraan dan Masjid

Saya fikir orang yang tidak sukakan perdamaian, kaki carut marut dan tidak menghormati ulama ini adalah ahlul bidaah sebenar (carutan sebenar terlempar atas muka mereka), seangkatan dengan pelaku-pelaku bidaah di kalangan pembuka aurat atau pemberi restu untuk membuka aurat atas alasan berdakwah untuk disukai orang ramai.

Saya selalu mengatakan bahawa perdamaian dan penyatuan umat boleh berlaku dengan 2 perkara yang ditunjukkan Nabi selepas hijrah ke madinah, Persaudaraan dan Masjid.

Persaudaraan adalah rasa kasih kita pada siapa saja yang mengaku beriman kepada Allah. Kita bukannya boleh mengetahui hati manusia, siapa imannya yang benar,siapa yang munafik. Siapa saja yang mengaku muslim dan mukmin, kita ambil mereka sebagai saudara dan mengasihi mereka. Rasa kasih inilah akan buat kita tak sampai hati untuk melukakan saudara kita. Kecualilah sudah terpampang depan mata kita bukti saudara kita itu bersifat nifaq atau kufur yang jelas dan terang. Memang refleks iman kita tak akan menyimbah kasih pada mereka. Mustahil iman dapat mengasihi nifaq dan kufur.

Salah satu kaedah persaudaraan adalah bersilaturahmi, melawat, menziarahi, bertemu muka. Mengetuk pintu-pintu saudara kita bertanyakan khabar-khabar iman mereka dan saling ingat mengingati akan kewajipan, amanah dan iman. Kalau hari raya itu, gembira pula kita bila bersama sanak saudara. Tapi mengapa selepas hari raya, seluruh umat Islam yang merupakan saudara kita tak membuahkan rasa gembira dan kasih kita pada mereka? Saya dulu dari Jepun balik Malaysia membelah 5 negeri untuk bertemu tokoh pelbagai aliran. Mengapa sesama tokoh pula tak boleh bertemu dan berbincang berdepan dengan rasa kasih dan sayang?

Itu kerana ada satu faktor lagi belum selesai, iaitu Masjid kita. Benarkah masjid yang kita bina besar dan megah di merata malaysia itu tempat menyatukan umat? Jika menyatukan umat, mengapa tiap kali azan, tidak sepenuh masjid datang berkumpul? Mengapa sudah berkumpul tak duduk pula bermusyawarah hal umat? Mengapa bina pelbagai kumpulan dan lakukan mesyuarat sendiri-sendiri padahal masing-masing memekik minta umat bersatu? Kalau mesyuarat tak dapat lakukan bersama, apa ada jalan bersatu di situ? Padahal jika benar setiap kumpulan punya kepakaran masing-masing, jika digerakkan atas satu keputusan mesyuarat bersama, bukankah lebih cantik gerakan umat,lebih lengkap melengkapi, lebih tersusun barisan dan saf pejuang?

Meningkatkan hubungan persaudaraan berkasih sayang kerana Allah dengan bertemu dan berpisah kerana Allah, juga hati yang terpaut pada masjid adalah antara usaha-usaha untuk menjadi golongan yang mendapat naungan Arasy Allah.

Maka jika dua perkara di atas diperjuangkan tentulah kita menjadi pejuang yang mencintai sunnah. Tapi jika kita mengada-adakan jalan persaudaraan baru dengan jenama firqah masing-masing, dan jalan penyatuan yang menyepikan masjid sesepinya, pasti dan pasti bidaah-bidaah muncul dengan pelbagai resepi-resepi kejayaan yang sangat aneh lagi pelik.

4 komentar:

Anonymous said...

salam MFR. nih azmizal nih. Nak tanya sikit. di ruangan Puisi tuh hasil karya semua di akhiri dengan Ibnu Muhktar adakah itu nama pena saudara atau penulis lain?

mfrstudio said...

salam.

itu nama pena akulah tu.

mfr ibn mukhtar.

mfr anak mukhtar.

mfr=anak mukhtar=ibn mukhtar

Anonymous said...

salam nak tanya mfr apa pendirian mfr dengan wahabbi...?
adakah dr asri tu wahabbi..?
tentu ramai yang confuis macam saya... bagaimana nak tau kita di landasan yang betul dalam islam..?

mfrstudio said...

pendirian saya mengenai wahabi sudah ada dalam surat terbuka saya no.8:

8.Saya menganggap wahabi itu sunni.

Begitu jugalah apabila wahabi itu mengaku sunni, maka saya akan menganggap mereka sunni. Walaupun sebahagian mereka tidak menganggap saya sunni kerana saya mengambil mazhab asyairah dan maturidiah dalam akidah. Walaupun sebahagian mereka mencela saya kerana tidak mahu bebas mazhab.Walaupun sebahagian mereka mengkafirkan saya kerana saya tidak beriktikad Allah duduk di langit dan bertangan. Saya beriktikad Allah tidak sama dengan makhluk, dan saya beriktikad saya tidak tahu dan haram untuk saya ambil tahu atau memperkatakan tentang zat Allah. Yang halal untuk saya bicarakan hanya nama Allah, sifat Allah, dan kebesaran Allah.


untuk tahu kita di landasan yang betul dalam islam,adalah dengan tidak berhenti menuntut ilmu quran dan hadis, serta selalu berada dalam jumhur ulama-ulama muktabar yang diterima oleh jumhur umat islam.