Isu ini sudah begitu lama saya cuba tegakkan. Memberi percuma hasil karya kita sama ada tulisan, lukisan, syarahan, lakonan, persembahan dan apa saja yang kita hasilkan dari hati mahu berkongsi.
Setiap suatu yang terhasil dari bakat dan kebolehan kita yang membawa jalan kepada diri kita dan orang lain sama-sama mendaki dan menerokai suatu lumrah dan fitrah, wajar dikurniai secara gratis.
Namun sewaktu isu ini hangat apabila saya menyerang ideologi ini kepada para pelukis, ilustrator, kartunis, animator dan sewaktu dengannya yang menjual karya mereka berasa amat panas hati dan tidak bersetuju. Persoalannya mudah yang sering disoal mereka, "Adakah haram untuk kami menjual karya kreatif kami? Sedangkan wang keuntungan jualan itu boleh membantu kehidupan kami dan membantu kami untuk maju berkarya lagi?"
Di situ beza mereka dengan saya. Saya tidak melihat "menjual karya" itu sebagai isu halal-haram, tapi persoalan mereka itu sebenarnya adalah bukti mereka terdesak dalam mencari rezeki untuk hidup. Mereka tak akan bising dan tidak bersetuju dengan ideologi yang saya selalu canangkan sebagai "Gratis 200%" ini, jika mereka sudah ada mata pencarian yang kukuh. Oleh itu, apa penting sangat saya memperjuangkan supaya karya-karya kreatif disebar secara percuma adalah kerana masalah "mata pencarian umat" atau "ekonomi umat" yang membelenggu kita hari ini.
Apa masalah ekonomi umat itu?
Saya selalu menekankan ekonomi atau khususnya urusan jual-beli ini perlu melihat kepada keperluan hidup. Kita berniaga sesuatu yang umat perlukan untuk hidup. Saya tidak fikir ada isu demonstrasi atau protes para pengguna berkenaan dengan harga karya kreatif. Jika karya kreatif itu mahal, pengguna akan abaikannya jika tak mampu, sambil pengguna yang fanatik akan sanggup belanjakan berapa saja. Tidak ada isu bantahan, tuntutan atau desakan untuk menurunkan harga komik, harga filem, harga DVD, harga lukisan potret dan sebagainya.
Isu yang sering kita dengar punya protes, demonstrasi, bantahan, tuntutan atau desakan itu pada harga barang-barang keperluan umat. Harga minyak misalnya, harga ayam misalnya, harga gula misalnya, atau harga beras misalnya. Ini yang saya sebut sebagai barang-barang keperluan umat tadi.
Kita sering mendengar kenaikan harga barang oleh para peniaga adalah disebabkan kenaikan harga bahan mentah atau kos proses pembuatannya. Sedangkan harga bahan mentah dan kos pembuatan itu bergantung kepada kuantiti penawaran yang ada berbanding kehendak pasaran yang mendesak. Inilah dua isu asas kepada masalah ekonomi umat, pertama kita umat yang bukan pengawal pengeluaran bahan mentah, kedua kita umat yang bukan peniaga tadi. Nah, ini halnya yang saya sebutkan betapa penting dan utama, afdal lagi mendesak untuk kita menjadi peniaga-peniaga barang keperluan umat berbanding menjadi peniaga karya kreatif yang tak membantu umat kita keluar dari kesempitan mahupun cekikan dari para kapitalis ini.
Apa beza jika kita berniaga dengan puak kuffar berniaga? Banyak bezanya. Apabila saya mencadangkan supaya kita (umat Islam) menjadi peniaga barang keperluan, maka apa yang saya mahu kita gerakkan adalah sistem muamalat Islam yang berpaksikan pada "timbangan yang adil lagi berkebajikan". Sedangkan apa yang menjadi paksi puak-puak kuffar itu berniaga? Kapitalisme. Itu masalahnya, tidak lain adalah kapitalisme.
Hari ini apa sudah jadi pada anak-anak muda kita apabila disebut hal perniagaan? Anda tahukah apabila dibuat pencarian bakat anak-anak muda, tidak ada lain itulah dianya "nyanyian", "tarian", "lakonan". Mereka terpesona dengan dunia yang dipanggil gilang gemilang itu, dunia "artis". Benar, asalnya "artis" adalah merujuk kepada kata Inggerisnya "artist" yang datang dari kata "art" atau seni. Nah, inilah halnya yang sedang berlaku. Mereka melihat seni adalah satu anugerah yang sangat menguntungkan kerana boleh beranakkan wang dan kemewahan.
Mari saya cerita sikit kitaran hidup duit yang berlegar dalam dunia artis ini. Pertama, artis diambil bekerja dalam sebuah syarikat atau produksi atas kerana bakat seni mereka. Kedua, selepas diambil bekerja, maka mereka dibayar gaji untuk menghasilkan karya seni. Ketiga, hasil karya mereka diproduksikan dan dijual pada khalayak awam. Keempat, khalayak awam akan membeli hasil karya itu. Kelima, keuntungan jualan itu dapat pada syarikat produksi. Keenam, jika hasil untung banyak, maka artis tadi dapatlah bonus. Ketujuh, jika karya sudah tidak laku, maka syarikat akan mencari bakat baru di kalangan awam. Kelapan, orang awam yang teruja dengan hasil karya artis-artis mula bercita-cita mahu menjadi artis. Kesembilan, apabila syarikat mendapat bakat baru, maka bakat sudah tak laku akan disingkirkan. Kesepuluh, ulang semula pada pertama.
Apa masalah dengan kitaran ini? Masalahnya hal ini langsung tak menguntungkan umat kebanyakan, malah membantutkan dan menyempitkan kehidupan umat sekadar dapat disemai cita-cita untuk glamor dan hidup senang sebagai artis. Yang paling untung dalam kitaran itu, tak lain tak bukan adalah orang-orang yang memegang alat kawalan kepada hidup para artis, sang kapitalis syarikat produksi. Ini yang saya sifatkan sebagai suatu yang tak membantu ekonomi umat.
Mereka beralasankan Hollywood yang menjana ekonomi Amerika dengan produk dan karya kreatif mereka. Benar, sambil Amerika menjadi kaya, orang yang melabur sebagai pelanggan karya mereka dapat apa? Setakat mahu hiburan dan rekreasi, saya fikir tak wajar ada pemerasan wang dari umat keluar ke industri ini. Lainlah jika umat ini mengawal dunia, punya kapasiti makanan yang cukup malah berlebihan dan bukan setakat menjadi pengguna tapi juga peniaga, pembekal, pengusaha.
Saya teguh percaya dan yakin bahawa manusia wajar berkongsi karya mereka sesama mereka secara gratis (percuma). Ini lebih memeriahkan industri kreatif berbanding jika ada sekatan-sekatan ongkos, wang, duit, jual-beli dan sebagainya. Saya melihat fenomena yang wujud dalam dunia Internet sebagai contoh, laman yang gratis dan mengamalkan perkongsian rekreasi dan kreatif secara percuma seperti Google, Linux, Youtube, Facebook, atau Blogger merupakan bukti bahawa kekreatifan manusia semakin menyerlah dan bersinar apabila perkongsian itu tidak terhad dalam ruang lingkup jual beli, tapi percuma 200%!
Sedang si Kapitalis pula yang terpaksa mengeluar ongkos dan melabur untuk sistem gratis ini hidup dan beri manfaat pada mereka dengan mereka melanggan ruang-ruang iklan atas laman-laman gratis itu. Masih seluruh pengguna laman tidak diperas apa-apa wang untuk dibayar pada si kapitalis, malah boleh saja menyahfungsikan iklan-iklan sang kapitalis jika mereka menyampah dan enggan untuk lihat atau muncul. Ini sistem baru yang sangat mengejutkan telah berlaku, sebagai timbal balas sistem kapitalis yang meletakkan hanya yang berduit boleh menikmati produk atau karya kreatif.
Suatu masa dulu ketika saya mengatakan semua karya tidak patut diletakkan "hak cipta terpelihara" yang menyekat untuk disebar mahupun dikongsi, kawan saya pernah berikan gelaran "lanun" pada saya. Tapi hari ini, mereka semakin faham, lanun sebenar adalah kapitalis yang mengambil kesempatan atas naluri manusia untuk berrekreasi, berhibur dengan seni, berkongsi dan bertukar-tukar ilham akan tetapi si kapitalis menggunakannya untuk keuntungan material jejeran mereka. Merekalah lanun sebenar. Sedangkan para pejuang yang memperjuangkan "gerakan seni gratis" bukan lanun kerana kita berkongsi apa yang kita ada, bertukar-tukar karya dengan harga percuma. Harga percuma bukan bererti karya yang tidak bernilai, tapi nilainya cukup tak terkira hingga ia boleh dipindahkan dengan rasa dan nilai "fitrah manusia" sahaja. Seperti jika kita suka bersadaqah, apa pula nilai sadaqah bukankah harganya percuma tapi nilainya tinggi hingga mendapat ganjaran berlipat ganda yang dijanjikan Tuhan kita?
wallahua'lam.
p/s: memang saya mahu berniaga kambing. kambing juga keperluan umat.
Label:
politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 komentar:
gratis tu apa ye dik? akak x faham laa.. hehe :-)
gratis tu percuma kak.
MFR, saya sokong ente mau bela kambing. Sebab utama, jika ditadbir dgn betul, punca rezeki ente tu akan bebas dr segala jenis virus riba dan syubahat yang mengotorkan hati.
Tapi....ente kene tau, mau bela kambing, ente kene;
1) kesediaan DIRI 100%, bukan kebergantungan dgn lain2.
2) Ade minat - keyword; sabar.
3) Ilmu - keyword, knowledge investment yang memakan masa dan harta
4) Fulus utk mulakan perniagaan.
5) Rakaniaga, member, xifoo, advisor dr govt dan sebagainya, yang boleh anda dpt menerusi pencarian (3).
6) Yang utama dan utama, mintak pd Allah utk jadikan ia asbab utk berjaya dunia akhirat. Jika fikir utk buat duit, ente akan merana.
http://www.bernama.com/bernama/v5/newsfeatures.php?id=454518
http://thestar.com.my/metro/story.asp?file=/2009/11/20/southneast/5104095&sec=southneast
-Aliuddin AFN-
terima kasih akhi ali.
saya akan berusaha capai 6 perkara itu.insha Allah.
Post a Comment