Di Malaysia "Kaum Muda" yang berpolitik dan berpolemik dalam lipatan sejarah bukan lagi rahsia yang boleh disembunyi. Tema "Kaum Muda" ini tidak lain tidak bukan untuk menampakkan "Tajdid" atau "Pembaharuan" bagi memecahkan "Tradisi", "Jumud" dan "Bida'ah" yang terjadi samada dalam pemikiran, pegangan, kepercayaan, perjuangan seterusnya gaya tindakan dan amalan yang dikatakan membelenggu umat dan masyarakat untuk dilihat segar, kembali tulen, sesuai dengan zaman, maju dan ke depan.
Tokoh seperti Sheikh Tahir Jalaludin dan Syed Sheikh Al Hadi merupakan dua ikon yang awal di Tanah Melayu yang dilihat cenderung kepada tajdid Kaum Muda ini sekitar tahun 1900-an. Majalah seperti Al-Imam, Al-Ikhwan dan akhbar Saudara merupakan antara media-media yang mendedahkan intipati ideologi kaum muda itu banyak digerakkan oleh pengaruh tokoh luar negara Muhammad Abduh, Jamaluddin alAfghani dan Rashid Ridha.
Namun antara ketiga-tiga ikon "Reformis" yang mempengaruhi "Kaum Muda" awal Tanah melayu itu juga ada perbezaan di kalangan mereka.
Muhammad Abduh dilihat bermula dengan tasawuf, ilmu falsafah dan logika dan kemudian terpengaruh dengan "Islah" Jamaluddin alAfghani untuk menentang "taklid buta". Manakala gurunya Jamaluddin alAfghani pula cenderung kepada akidah Syiah membawanya mempelopori gerakan Islah sebagai satu reformasi. Rashid Ridha bermula dengan tasawwuf melalui tareqat dan akhirnya menutup perjuangannya kepada gerakan "Salafi" yang mengagumi pemikiran Ibn Taimiyyah dan perjuangan Muhammad Ibn Abd Wahab di Arab Saudi.
Kita sukar untuk menentukan apakah dasar utama "Reformasi", "Islah" atau "Tajdid" yang utama dalam perjuangan "Kaum Muda" era Sheikh Tahir dan Syed al Hadi. Adakah sebenarnya mereka cenderung kepada tasawuf yang memurnikan, ilmu logik dan rasional yang dipanggil sebagai moden, syiah atau salafi? Namun yang kita pasti mereka ingin memecahkan suatu tradisi yang sudah lama menjadi amalan di Tanah Melayu ke arah kesegaran ilmu yang lebih memajukan umat termasuk dalam menentang kekuatan kuasa Imperialis Barat seterusnya menandingi mereka dan mengembalikan kemasyhuran agung Empayar Islam.
Lebih membingungkan adalah apabila terbitnya Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang ditubuhkan sekitar tahun 1939 yang membawa semangat nasionalisme dan sosialisme yang diadunkan dengan semangat awal "Tajdid", "Islah" dan "Reformis" yang digerakkan berdekad sebelumnya. Ikon seperti Pendeta Zaaba, Ibrahim Yaacob dan Dr Burhanuddin alHilmy antara yang boleh dikesan sebagai ikon berkarisma dalam perjuangan memecah taklid, tradisi atau pemikiran Kaum Tua ini. Apatah lagi apabila KMM mula bergabung dalam perjuangan radikal politik Parti Kebangsaan Melayu Muda (PKMM) yang dilihat jelas "Tajdid", "Islah" atau "Reformasi" yang ingin digerakkan sudah total Nasionalisme atau semangat Kebangsaan KeMelayuan yang tinggi diserapi oleh pengaruh sosialisme dan komunisme juga marhaenisme Sukarno di Indonesia.
Semangat Nasionalis-Islam yang cuba digerakkan oleh Dr Burhanuddin kemudiannya menerajui Parti Islam SeMalaya (PAS) mungkin memberi erti baru lagi dalam perjuangan pengislahan dan pentajdidan Kaum Muda ini. Anwar Ibrahim yang muncul sebagai pejuang golongan marhaen dalam gerakan pelajar lewat 1970-an dan ketika menerajui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dilihat kesinambungan Kaum Muda yang banyak dipengaruhi oleh Ikhwanul Muslimin di Mesir. Namun ketika kejayaan Revolusi Iran pada 1979 oleh Khomeini dan naiknya semangat "Kepimpinan Ulama" dalam PAS, sekali lagi "Tajdid" dan "Islah" punya tafsiran tersendiri.Apatah lagi apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang punya pengaruh India dan Mesir menjadi Mursyidul Am PAS bukanlah orang yang dipengaruhi oleh Syiah.
Krisis ABIM yang melahirkan Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan kemudiannya lahir pula Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang masing-masing merasakan membawa "Tajdid" ala "Ikhwanul Muslimin" setelah ABIM dilihat cenderung meraikan tasawwuf dan Kaum Tua yang kemudiannya mengangkat manhaj sendiri Manhaj Malizi.
Kini kita sukar untuk meletakkan identiti sebenar siapakah Kaum Muda asli dalam perjuangan di Malaysia? Jika dilihat dalam sejarah pengaruh tasawwuf, ilmu logik dan rasional, nasionalisme, sosialisme, komunisme, marhaenisme, syiah, salafi, Muhammad Abduh, Jamaluddin alAfghani, Rashid Ridha, Muhammad ibn Abdul Wahab, Sukarno, Hasan alBanna dan lain-lain pengaruh terdapat dalam gerakan Kaum Muda ini.
Saya kira tokoh seperti Dr Asri Zainul Abidin yang banyak membawa gaya tafsiran manhaj salafi aliran Yusuf al Qaradhawi dan kadang kala melihat juga pengaruh lain dalam arena dakwah dan islah hanya salah satu dari susur Kaum Muda dan bukanlah Kaum Muda asli atau wakil perjuangan Kaum Muda sebenar. Saya tidak bersetuju jika nama Kaum Muda diletakkan dalam mentafsirkan perjuangan Dr Asri kerana Dr Asri kadang kala dilihat membawa strategi sendiri baik arena dakwah islamiyah atau permainan politik tempatan.
Walaupun pernah menerima tarbiyah PAS, dilihat cenderung pada fikrah Ikhwanul Muslimin, pengkagum Dr Yusuf alQaradhawi, anti-Islam Liberal ketika isu debat dengan Astora Jabat, atau kes-kes menyinggung ulama aliran Tradisional seperti Mufti Perak Harussani Zakaria, tokoh ISTAC Uthman el Muhammady, Sheikh Nuruddin al Banjari, dan lain-lain tokoh tradisional, tariqat,Mufti-mufti dan pegawai jabatan agama,namun ada beberapa perkara menarik lagi dalam perjalanan dakwah dan publisiti yang ada pada sosok tokoh Dr Asri ini.
Beliau pernah dipanggil "bapak setan" oleh Ustaz Badrul Amin PKR, dilihat cenderung pada suruhan bermubahalah dalam isu liwat Anwar Ibrahim (tak selari dengan pendirian Anwar), meraikan Islam Hadhari ketika era Pak Lah, cenderung pada muqabalah UMNO-PAS, kesatuan UMNO-PAS-PKR, disukai oleh SIS, Marina Mahathir, Mahathir Mohamad, disokong oleh Ungku Aziz, diminati oleh Kerajaan Malaysia untuk mengetuai YADIM, disokong oleh Pemuda UMNO dan Pemuda PAS dan sesetengah Angkatan Muda Keadilan PKR, tidak digemari kebanyakan Mufti-mufti di Malaysia, lunak dengan arena muzik dan nyanyian tapi keras dengan Yasinan dan Tahlilan, anti-Syiah, anti-Ahbash, dan terbaru sedang menimbang-nimbang idea penubuhan Parti Politik Sunnah (Manhaj Salafi).
Saya tidak kira strategi dan modus operandi perjuangan "politik" Dr Asri adalah mewakili Politik Kaum Muda hatta Politik Gerakan Salafi sendiri.Ini kerana gerakan salafi sebenar (wahabi) cenderung kelihatan pada sosok tokoh Rasul Dahri (politik gaya fatwa Arab Saudi) lebih daripada Dr Asri. Dr Asri mungkin mewakili banyak ajaran Dr Yusuf alQaradhawi (politik gaya Ikhwanul Muslimin) dengan sedikit sentimen-sentimen yang bercampur dalam kancah politik tempatan (UMNO-PAS-PKR) dan suntikan-suntikan individu berpengaruh yang berebut untuk menunggangi beliau samada dengan sedar atau tidak disedari disamping beberapa makhluk-makhluk perasan yang duduk mengampu kononnya sebagai pembela Dr Asri atau pengikut setia Dr Asri dan tidak segan silu menampakkan kehodohan perasan yang teramat sangat sebagai wakil-wakil Dr Asri yang bertebaran dalam alam maya yang penuh kelakar ini. Saya kira ini hanya salah satu drama politik publisiti imej seperti yang pernah berlaku pada Asaari Muhammad dan Anwar Ibrahim. Tidak lebih dari itu.
Wallahua'lam.
1 komentar:
adakah Dr Maza ini kebal undang2?
dah dia salah ngajar tak ada tauliah, nak argue cara penahanan dia yg dikatakan salah pula?
seperti kitaran skrip anwar ibrahim la pulak?
Post a Comment