|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
Ini sebuah coretan sebagaimana yang dikhabarkan oleh orang melalui cakap-cakap mengenai perihal dirinya.

Suatu hari di awal tahun 2000,di dalam minggu bina insan,telah bertanya seorang guru pada murid-muridnya seorang demi seorang perihal cita-cita."Apakah cita-cita kamu di dalam hidup ini?",maka menjawablah seorang demi seorang pelajar di dalam kelas itu yang duduk di dalam sebuah bulatan besar. Banyaklah jawapan-jawapan yang diberikan antaranya cita-cita mahu menjadi doktor,jurutera,polis,bomba,arkitek,guru dan sebagainya.Maka apabila tiba sahaja gilirannya,suasana menjadi sunyi kerana bukan orang tidak tahu dia ini aneh-aneh sahaja perilakunya. Maka dia pun memulakan bicaranya.

"cita-cita saya ada tiga. Dan saya ada satu matlamat."

Belum sempat dia habiskan bicaranya,ada teman sekelasnya sudah tidak tahan untuk ketawa. Maka berdekah-dekahlah mereka ketawa kerana mengapa begitu pula jawapan yang dituturkan. Bukankah soalan dari guru itu mudah sahaja. Guru yang seorang itupun tersengih-sengih menahan gelihati namun dia cuba juga menenangkan kelas."Kita dengar dulu bicaranya."Dia menyambung.

"Pertama saya bercita-cita mewujudkan sebuah empayar perniagaan buat menjana ekonomi umat.Kedua saya bercita-cita mengumpul seramai mungkin saintis,cendikiawan,pakar-pakar teknologi untuk berada di dalam sebuah organisasi bagi membangunkan sebuah tamadun.Ketiga saya bercita-cita untuk membeli sebuah pulau."

Terdengar sahaja perkataan "pulau" itu,maka sekali lagi berderailah ketawa dan kali ini pelajar perempuan turut terkekeh-kekeh ketawa."Mengapa pulau? apa ada di pulau itu?"bertanyalah guru tadi kepadanya.

"Adapun pulau itu cuma sebuah ungkapan. Mungkin sememangnya ia sebuah pulau,atau ia cuma desa,atau mungkin lembah,atau mungkin juga ia cuma lereng bukit di mana-mana banjaran. Pulau bererti terasing. Saya bercita-cita untuk membeli sebuah kawasan yang terasing dari pengaruh luar untuk dicurahkan tamadun yang diusahakan oleh organisasi yang menjadi cita-cita saya yang kedua tadi. Di situ akan saya bangunkan sebuah bandar Islam sebagai contoh sebuah negara Islam."

"Besar sungguh cita-cita kamu ini,kamu rasa kamu mampu mengejar cita-cita sebegini?"

Dia menggeleng.

"Jadi jika tidak mampu mengapa tidak permudahkan cita-cita kamu supaya kamu lebih realistik." kata guru itu dengan wajah yang cukup menyenangkan.

"Tiada manusia yang mampu,sama ada kecil atau besar sebuah cita-cita semuanya bergantung pada keizinan dan kudrat yang dikurniakan Allah.Jika saya bercita-cita untuk menjadi tukang kebun sekalipun,sekiranya Allah tidak mengizinkan maka cita-cita itu tidak akan kesampaian.Manusia serba tidak mampu,yang berkuasa itu hanyalah Allah.Kita merancang Allah yang menentukan".

Ada cakap-cakap orang yang diberitakan dari mulut ke mulut bahawa dia itu tidak sukakan politik.Ada orang menyebut dia itu bencikan politik dan menolak politik sepenuhnya.Akan tetapi ada pula golongan yang menyanggah pendapat sedemikian kerana telah disaksikan bahawa dia pernah membaca banyak buku-buku politik malah rajin pula dia menyimpan risalah-risalah politik pada era reformasi yang kebanyakan risalah itu adalah bahan cercaan dan kutukan kepada peribadi-peribadi orang kerajaan.

Ada orang berpendapat dia pengkagum Ashaari Muhammad pengasas Al Arqam. Kerana kebanyakan idea-idea yang dilontarkannya mirip idea Ashaari cuma dia tidak bawa tareqat dan dia tidak berserban dan berjubah seperti kumpulan itu. Ada orang pula tidak bersetuju dengan dakwaan sebegitu kerana pernah dia bercerita kepada rakan-rakannya perihal kesesatan kumpulan Al Arqam itu.

Ada orang berpendapat dia penentang kerajaan. Dia sering dilihat suka bersyarah ala-ala Anwar Ibrahim ketika Anwar menjadi Presiden ABIM. Dia juga barangkali penyokong reformasi kerana dia sememangnya kerap dilihat membaca risalah politik parti Keadilan.Akan tetapi diberitakan oleh sumber yang lain pula dia itu bukan penyokong demonstrasi jalanan dan dia bukan orang yang bersetuju dengan fitnah liar mengaibkan individu seislam menggunakan risalah-risalah haram.

Ada orang mengatakan dia penyokong parti PAS. Dan ada juga yang mendakwa bahawa dia pernah mendaftar secara senyap-senyap menjadi ahli PAS seumur hidup.Tetapi dakwaan itu amat lemah dan barangkali fitnah,kerana telah disaksikan sendiri oleh beberapa sumber yang boleh dipercayai bahawa dia pernah menghalang beberapa juniornya untuk berbaiah dengan parti politik itu,kerana dia tidak bersetuju budak-budak belasan tahun dipergunakan oleh orang politik.Namun ramai menganggapnya jika bukan ahli PAS jua pun dia itu nampak sangat suka mengkritik kerajaan malah menghamburkan idea-idea ekstrim ala-ala PAS. Contohnya diberitakan bahawa dia pernah cuba memperlekehkan menteri dan pemimpin wanita dalam UMNO yang tidak bertudung untuk bercerita berkenaan agama.Dia juga menentang idea perlembagaan tidak boleh diubah dan sememangnya pernah didengari dari mulutnya sendiri bahawa Al Quran dan As sunnah itu perlembagaan umat Islam.

Malah bukan orang tidak tahu ketika kursus BTN yang dihadiri olehnya telah timbul sedikit suasana tegang antara dia dan pembentang modul berkenaan dengan sistem demokrasi dan pilihanraya. Dia juga persoalkan status Islam dan Melayu dalam perlembagaan dan dia bangkitkan isu kaum India Muslim dan Cina Muslim yang tidak diberi hak keistimewaan orang Melayu padahal yang disebut di dalam perlembagaan itu Melayu itu orang Islam dan orang Islam itu Melayu. Dia persoalkan keikhlasan kerajaan dalam memperjuangkan Islam kerana meminggirkan usaha dakwah. Dia menyarankan usaha dakwah dijadikan agenda UMNO. Dan banyak sekali idea yang ingin dicurahkannya termasuklah strategi membangunkan ekonomi Melayu dengan menjadikan setiap keluarga Islam mesti mempunyai sebuah perniagaan. Perniagaan keluarga perlu dijadikan strategi untuk membangunkan ekonomi Melayu. Dan dia juga mencadangkan orang-orang miskin diberi bantuan untuk berniaga.Semua itu dianggap bodoh oleh peserta-peserta kursus yang lain,malah mereka menganggapnya terlalu banyak bercakap dan harap dia boleh berambus sahaja jika tidak mahu mengikuti kursus.Pembentang modul juga menganggapnya seorang yang keras,malah anggapan bahawa dia adalah penentang kerajaan adalah amat tepat.

Di sebalik peristiwa-peristiwa di atas telah dikisahkan pula di zaman dia menuntut di Taiping sekitar tahun 2001-2002 bahawa dia adalah orang yang menolak sillabus usrah yang dikeluarkan oleh PMIUM (Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya) yang ketika itu bermentorkan perjuangan parti PAS. Malah dikhabarkan bahawa terdapat sebuah muzakarah antara dia dan dua utusan parti PAS yang berkemungkinan agen-agen sukarela untuk meresap masuk dalam sistem usrah di sekolah-sekolah berasrama penuh zon utara. Dia telah menyediakan sillabus sendiri bagi menggantikan sillabus usrah dari agen-agen sukarela itu.Tidak dapat dipastikan bagaimana muzakarah itu berjalan kerana ia diadakan dalam bilik tertutup dan semenjak muzakarah itu agen-agen itu tidak lagi muncul di sekolah berkenaan.

Ada kemungkinan dia bukan penentang kerajaan sebagaimana yang disebut oleh beberapa sumber bahawa dia pernah memuji PM Mahathir tentang idea dinar emas dan pembongkaran berkenaan dengan proksi-proksi yahudi. Dia juga seakan bersetuju dengan Mahathir bahawa masalah palestin merupakan masalah teras kepada masalah terorisme.Dan dia nampaknya bersetuju sahaja dengan 10 prinsip Islam hadhari yang dikemukakan PM yang baru iaitu Abdullah Ahmad Badawi.Tetapi untuk menyebut dia adalah ahli UMNO adalah sukar kerana dia nampaknya bukan orang yang suka akan suasana dan kaedah pemikiran UMNO tentang perjuangan bangsa Melayu kerana dia lebih suka merujuk bahawa perjuangannya adalah untuk membina kekuatan umat Islam.Pernah dikhabarkan bahawa dia tidak bersetuju dengan Tuan Pengetuanya di Taiping yang membezakan antara songkok dan kopiah putih. Dia tidak suka sehingga pakaian dijadikan sumber politik yang memecahkan.

Untuk memastikan dia sebenarnya berada di pihak mana sememangnya sukar.Namun amat jelas bahawa dia amat berminat dengan idea-idea Hizbut Tahrir untuk melantik seorang khalifah dan menggabungkan seluruh negara Islam di bawah naungan sistem khalifah.Adakah selepas ini dia akan lebih cenderung untuk berada di pihak Hizbut Tahrir yang menolak UMNO dan PAS?Namun harus difikirkan semula dakwaan dan ramalan sebegitu kerana pernah dikhabarkan oleh sumber bahawa dia menekankan usaha membina generasi pemuda dan pemudi yang bersemangat juang lebih daripada usaha mendapatkan kuasa politik. Dia melihat bahawa sekiranya masa dan tenaga dicurahkan untuk mendapatkan kuasa politik merupakan suatu yang sia-sia jika barisan pejuang pemuda pemudinya telah rosak binasa dengan fahaman hedonisme dan sekularisme.Dia menekankan lebih banyak usaha dakwah digembleng oleh gerakan jamaah yang mahu menegakkan kebenaran dengan membaiki semula kerosakan yang berlaku dalam sistem akhlak dan akidah remaja pemuda pemudi Islam di Malaysia.

Dia menyarankan "perang" dicetuskan terhadap golongan artis-artis Melayu yang mempromosikan budaya kotor dan jijik,pergaulan bebas,pemujaan artis,perlekehan terhadap hukum aurat dan budaya sopan ketimuran,dan dia menyarankan supaya "peluru-peluru" itu adalah dari kalimah Allah di dalam Al Quran dan As sunnah Rasulullah.Nampaknya seakan-akan dia ini lebih cenderung kepada usaha dakwah daripada usaha berpolitik. Maka ada beberapa pihak yang beranggapan mungkin dia ini datang dari jamaah tabligh kerana mesej-mesej dakwahnya banyak kepada penyatuan hati-hati manusia untuk tunduk pada Allah yang esa daripada mesej-mesej menyindir peribadi manusia dan bermain dengan emosi rakyat untuk membangkitkan kemarahan bertali arus dengan bahasa-bahasa yang tidak sopan dan berakhlak mulia sebagaimana yang dipamerkan oleh hikmahnya dakwah rasulullah.

Akan tetapi kita tidak boleh ketepikan peristiwa muzakarah antara dia dan beberapa rakan dalam isu khulasoh dakwah jamaah tabligh.Telah diberitakan dari meraka yang duduk dalam muzakarah itu bahawa dia banyak menegur kaedah dakwah jamaah tabligh dan cuba untuk menyampaikan pendapatnya erti perjuangan Islam dan dia kelihatan tidak bersetuju dengan perkara-perkara tertentu dalam jamaah itu dan ramai beranggapan dia lebih cenderung kepada fahaman ikhwanul muslimin.Ini dikuatkan lagi apabila dia telah mengucapkan yang dia mahu berdakwah seperti imam Hassan Al Banna.

Tetapi tidak ada bukti-bukti yang jelas menunjukkan bahawa dia pernah mendaftar menjadi ahli ikhwanul muslimin,atau ahli kepada mana-mana pertubuhan islam yang lain sebagaimana dia bukannya ahli kepada UMNO,PAS dan Hizbut Tahrir.Yang pasti dia bukan seorang pengkagum kepada aliran Asrisme ataupun aliran-aliran Protaz,mahupun pengkagum Ustaz Maszlee Malik.Mungkin kerana dia tidak berada dalam suasana semangat berjulap-julap beberapa kelompok mahasiswa universiti tempatan yang mahu berstatuskan mujtahid. Dia tidak sibuk untuk berdebat hukum dan mungkin kerana dia sendiri adalah pengikut mazhab syafie dan mengkaji kaedah pemikiran imam asy syafie dan sudah pula beramal dengan kaedah mazhab itu dalam kehidupan sehari-harinya lebih 21 tahun dan dia sendiri tidak ada masalah untuk didebatkan berkenaan hukum mahupun mazhab kerana dia tidak rasa yang mazhab yang dipegangnya adalah mazhab sesat.Dia lebih suka jika umat Islam bersatu hati dan menggemblengkan usaha menghadapi ancaman dan serangan musuh yang datang dari pelbagai sudut.

Ada pula segolongan manusia yang mempercayai dia pengikut sebuah aliran sufi dan memegang sebuah bentuk tareqat yang tidak dapat dipastikan. Tetapi pernah ditanya kepadanya bahawa adakah dia adalah pengikut mana-mana aliran sufi dan siapakah sheikh tareqat itu,dia cuma tersenyum dan berkata,"aku solat subuh pun kadang-kadang tertinggal,yang wajib pun aku tak sempurna,hang ingat aku ni sapa? aku manusia biasa juga.Ada salah ada silap,aku tak ikut mana-mana kumpulan sufi dan aku bukan jenis yang suka taksub dengan sheikh. Aku cuma seorang pelajar Melayu kat Jepun yang nak belajar teknologi Jepun,yang cuba baiki diri,bertaubat dari dosa-dosa silam,yang cuba kumpul banyak-banyak ilmu,yang cuba bina iman dan jatidiri,prinsip dan idealisme,aku bukan manusia yang kaya harta,aku bukan manusia yang bijak laksana,aku bukan manusia yang kuat perkasa,aku cuma manusia yang nak lakukan kebaikan,mati dalam keberanian,demi menggapai redha Tuhan."

sumber menyebut kemungkinan besar dia masih bukan ahli mana-mana jamaah,dan dia menyokong dan bersedia membantu semua kebaikan yang dilakukan mana-mana jamaah,dia juga menentang mana-mana keburukan yang dilakukan mana-mana jamaah,cuma dia dikhabarkan pernah mengutarakan satu idea yang amat aneh. Idea itu berkenaan dengan "kebangkitan generasi pejuang kebenaran".Dia sebut bahawa dia akan menulis mengenai perihal itu dalam tulisan blognya. Dia katakan blog itu merupakan blogevolusi.


TAMAT

3 komentar:

Kay J said...

dulu.. penah gak terpk nak ada pulau sendiri.. tp matlamat berbeza.. hehe! teruskan perjuangan..

Dyat said...

Naruto cita-citanya juga tinggi... jadi hokage!

Ummu Yazid said...

akak teringin nak tau pemikiran adik..
dekat jepun camner uslub daawah dia?
akak teringin nak tau