|KUMPULAN BLOG MFR
|RANGKAIAN MFR
|MISI MFR
|KOLEKSI TULISAN TOKOH
semasa proses rakaman dokumentasi "dakwah lapangan"

Misi Menjelajah Dengan Bas

Sebelum mengubah perancangan bercuti bersama Dee dengan Misi Jelajah Wawancara Tokoh,saya dan Dee telah bersepakat untuk mengembara dengan kancil buruk ayahnya. Namun Dee berkira-kira untuk meminjam wang dari saya untuk menservis kereta itu dan membeli radio untuk mengelak mengantuk ketika memandu nanti. Saya memiliki lesen, cuma saya jarang memandu maka kemungkinan besar Dee seorang akan memandu.

Oleh itu, atas kerana menghargai kesudian Dee menemani saya dan untuk mengurangkan kesulitan jika memandu (iaitu berkait dengan keletihan memandu dan kesulitan mencari jalan ke lokasi-lokasi pertemuan dengan tokoh), maka saya telah buat keputusan untuk menaiki bas ekspres sepanjang misi. Lagipun di Jepun, budaya bergerak dengan pengangkutan awam tidak menjadi kesulitan. Keluar bersama tabligh dengan bas dan keretapi suatu yang lumrah.

Namun tidak bagi Dee. Dia tak selesa berjalan jauh dengan bas. Saya seawal duduk dalam bas, sudah mencari mood untuk tidur bagi menjana tenaga untuk berjalan kaki selepas turun nanti. Namun Dee tidak mampu untuk tidur kerana katanya tengkuk terasa sakit. Jadi, dia bercakap seorang diri tanpa sedar saya sudah pun lena.

Sampai di Sg Petani

Sampai sahaja di Sungai Petani, sudah pun jam 3.30 pagi. Saya seperti biasa mula menggunakan instinct untuk mengesan lokasi masjid. Selalunya Allah membantu saya dengan menggerakkan hati untuk mengesan lokasi masjid di mana. Tapi bila hati saya tak mampu nak kesan, saya mula rasa hati ini ada penyakit dah bertimpa. Anak muda yang mencintai masjid amat dikasihi Allah s.w.t. Jika kita berjalan menuju Allah, Allah berlari menuju kita.

Misi ini bajetnya kecil. Ia bagus untuk anak muda bermujahadah. Saya telah merancang bergerak ke mana-mana dengan pengangkutan awam atau berjalan kaki, menimbang mana lebih wajar dan murah. Kemudian tempat tidur dan berehat, saya memilih masjid-masjid utama di setiap lokasi. Di samping melepaskan penat, ia boleh dimanfaatkan dengan menjadikan rehat dan tidur itu suatu ibadah iaitulah dengan niat iktikaf di masjid. Ini berkat apa yang saya amalkan sejak di sekolah asrama dulu, semasa belajar di UM, dan juga semasa khuruj bersama tabligh. Iktikaf di masjid Malaysia memerlukan kesabaran dan ketabahan yang tinggi. Ini kerana saya amat memahami sistem mengunci masjid yang memang sistem bahlol orang-orang tak tahu malu yang malas mengimarah masjid.

Bahlol terkena pada saya juga kerana tidak mampu mengimarah masjid di malaysia kerana belajar di Jepun.

Turun saja dari bas, saya gagal untuk merasakan 'aura' masjid datang dari arah mana. Maka saya pun bertanya kepada pemandu teksi yang berdiri berseorang diri dalam kegelapan pagi buta itu. Dia berkata, hanya perlu terus saja belah kiri. Saya dan Dee berjalan sambil kedua kami mengendong beg berat penuh peralatan. Beg saya berat dengan pakaian,buku-buku dan peralatan rakaman. Beg Dee berat kerana berisi pakaian dan sterika. Ya, sterika itu demi menjaga profesionalisme dalam berimej. Ya lah, kita mesti memuliakan tokoh-tokoh besar yang bakal kami ketemu.

Makan di Restoran Pelita

Berjalan punya berjalan, depan kami ada restoran nasi kandar 24 jam masih beroperasi. Saya mencadangkan supaya kami berehat untuk mengisi perut dahulu sambil menjana tenaga. Dee bersetuju saja dengan suara lemah mungkin mengantuk kerana berjaga sepanjang dalam bas.

Sesudah menyantap nasi berkari ikan dan ayam masing-masing, Dee bertanyakan pada si mamak, di manakah masjid sungai petani. Dia minta kami terus, belok kiri dan terus lagi. Lalu kami pun berjalan dengan penuh kesyukuran. Ertinya masjid itu tak jauh dari restoran nasi kandar itu.

Kami berpusing di sekitar dataran jam besar namun tak juga kelihatan masjidnya. Lalu saya pergi masuk ke restoran McD berhadapan dengan dataran sungai petani itu bertanyakan pada pekerja perempuannya, di manakah masjid. Dia yang pada awalnya ingatkan saya ingin memesan makanan terus memanggil pengurusnya. Pengurusnya pun kata, masjid itu di simpang empat terus lagi belah kanan.

Saya pun entah macam mana, terus rasa dah faham. Mengajak Dee berpusing ke arah belakang dataran di lorong medan selera yang sedang tutup dan terus menuju simpang empat dan nah, itu dia Masjid Sultan Muzaffar tersergam kelam di atas bukit. Sampai saja di masjid, pintu-pintu masjid sudah pun siap-siap untuk dibuka untuk menyambut tetamu subuh. Kami berjalan tenang menuju satu sudut lalu meletak barang, mengambil wuduk dan solat tahiyatul masjid dan mula niat iktikaf dan tidur.

Kami bangun semula ketika hampir azan subuh. Mandi-manda seketika dan bersolat subuh lalu bersama mendengar kuliah subuh yang disampaikan oleh seorang ustaz. Ustaz itu bercerita tentang sifat adil pemimpin.

Bertemu Ustaz Kamaruddin

Dalam pukul 10.30 pagi, saya menghubungi Ustaz Kamaruddin memaklumkan yang kami telah tiba di Sungai Petani. Ustaz Kamaruddin meminta kami menunggu di masjid itu, dan seketika kemudian beliau tiba dengan penuh ceria. Kemesraan Ustaz Kamaruddin dapat dirasakan kami berdua. Lalu kami dijemput ke rumahnya di Taman Nilam seterusnya bersiap solat jumaat bersama di sana.

Sebelum solat Jumaat, Ustaz Kamaruddin kelihatan tidak duduk diam. Beliau memanfaatkan setiap masa dan ruang dengan berisi. Sambil beliau bertaaruf bersama kami, sempat juga beliau memeriksa info-info di internet di komputer peribadinya dan seterusnya mencari bahan untuk tazkirah sebelum khutbah. Beliau juga bersiap-siap jika perlu menjadi khatib kerana kemungkinan besar rakannya tidak sempat sampai untuk menjadi khatib.Sebenarnya Ustaz Kamaruddin juga baru pulang dari Kuala Lumpur kerana ada program dakwah di sana. Disamping TERAS, Ustaz Kamaruddin memegang jawatan-jawatan penting dalam beberapa NGO lain, selain mempunyai tauliah sebagai pegawai agama di Kedah.

Kami sempat menjamah kuih dan teh di rumah Ustaz sebelum ke masjid berdekatan untuk bersolat jumaat. Dan saya tanpa segan silu memohon keizinan Ustaz Kamaruddin untuk merakam sesi solat jumaat hari itu. Memasang kamera video bersama tiangnya di satu sudut, sambil Ustaz Kamaruddin memberikan tazkirah tentang solat dan seperti biasa mempromosikan tentang betapa penting 'dakwah lapangan' menjenguk anak remaja untuk memimpin kembali mereka ke trek jalan hidup yang bahagia. Sesi khutbah jumaat hari itu juga saya rakam, dan saya teringat pernah merakam khutbah hari raya tahun lepas di Jepun, perasaannya hampir sama.

Mula dokumentasi Dakwah Lapangan

Petang itu sesudah solat jumaat dan dihidang makan tengahari yang enak-enak oleh isteri Ustaz Kamaruddin sambil ditemani anak lelakinya, kami pun mula bersiap-siap untuk program dokumentasi Dakwah Lapangan. Sebenarnya itu bukan pelan saya. Saya cuma berhasrat untuk bertemubual dengan Ustaz semacam wawancara TV, namun Ustaz merasakan adalah lebih baik merakam aksi dakwah dari merakam beliau menjawab soalan tentang dakwah.

Kami bergerak ke Stesen Bas Sungai Petani. Walaupun ia berlaku secara spontan, rakaman dokumentasi itu amat berjaya! Audio kamera video saya bermasalah ketika rakaman, namun saya telah berusaha mengurangkan gangguan audio dengan mengeditnya setelah sampai ke Jepun pada April. Bagi menutup 'noise' yang timbul, saya meletak muzik latar yang diambil secara spontan dari satu video 'response filem Fitna' di youtube. Rakaman yang telah diedit itu boleh disaksikan di link berikut:

Part 1: http://www.youtube.com/watch?v=owHd8MQFigg
Part 2: http://www.youtube.com/watch?v=yn2TMJ0npC0
Part 3: http://www.youtube.com/watch?v=ewVeNB8HIW4
Part 4: http://www.youtube.com/watch?v=SvsgpDlsqiM

Memang video yang diedit punya masalah kerana kedaifan peralatan rakaman saya. Lebih teruk, kamera video yang saya gunakan itu pernah dipinjam untuk merakam pengembaraan kawan saya di Jepun dengan konvoi motosikal kuasa besar beberapa temannya ke Hokkaido tahun lepas. Bunyi motosikal mereka yang kuat sepanjang rakaman konvoi telah berjaya menjejaskan kamera video saya.

Hati saya bersedih sepanjang rakaman

Mereka yang terjebak dalam gejala sosial yang ditemui kami semasa berdakwah itu adalah anak-anak muda bawah umur, sekitar 16 hingga 17 tahun. Mereka hidup bagai serangga. Duduk terhuyung hayang di celah-celah sudut kehidupan pekan Sungai Petani. Saya yang merasakan sungguh berat untuk menerima nasib anak-anak muda yang seusia seperti adik-adik saya sendiri, apatah lagi perasaan Ustaz Kamaruddin yang bukan sekali, bukan dua kali, tetapi berpuluh kali turun menjenguk mereka, tentunya hati Ustaz pedih dan pilu lebih dari saya.

Senyuman ustaz ketika berbicara dengan mereka adalah senyuman pedih seorang ayah. Salah satu kata-kata ustaz yang sempat saya rakam, ustaz berkata, "saya seru para ustaz dan alim ulama untuk turun ke lapangan, melihat anak-anak muda kita, memimpin mereka ke jalan yang benar". Hari ini, Malaysia semakin ramai ustaz, namun anak-anak muda malah terlalu muda juga semakin ramai hanyut dan tiada yang peduli akan mereka. Sebab itu saya amat sinis pada kaum ustaz yang berpoyo-poyo gah berkata mengenai memimpin anak-anak muda, tapi mereka hanya berani berhadapan dengan anak muda yang menjemput mereka sendiri untuk berceramah. Tidak kisahlah di Ireland kah, di Jogkajarta kah, di Dubai kah, tapi amat malu lah, mereka tak jenguk sedikit pun anak-anak yang dekat di Malaysia sendiri yang benar-benar memerlukan pimpinan rohani.

Adakah dakwah hanya tunggu jemputan? celaka sungguh. Itupun menunggu jemputan juga, masih merasakan tol dan minyak adalah ongkos yang tak termasuk dalam senarai korban dalam berdakwah. Itu ongkos yang perlu dipulang balik.Ya lah, "aku bukan kerja bagi dakwah, aku ada kerja lain, aku ada anak isteri nak bagi makan, aku nak sambung master". Entah, aneh sungguh semangat dakwah para daie hari ini. Sungguh hampir pasti, mereka akan berasa aneh pada jamaat tabligh jika mengetahui para karkun berhabis separuh harta mereka untuk dakwah. Sungguh hampir pasti, mereka akan berasa aneh para karkun tabligh merasakan beban dakwah untuk mendatangi umat amat dituntut, hatta sanggup dimaki dan dihambur dengan sumpah seranah ketika mengetuk pintu rumah orang, hanya untuk berbicara mengenai kebesaran Allah dalam satu minit saja. "Dakwah juga bersifat mendatangi" kata Cikgu Sidek Baba pada saya ketika bertemu beliau itu amat menterjemahkan sifat dakwah Ustaz Kamaruddin.

Dokumentasi itu akan menjadi bahan sejarah

Kepentingan setiap rakaman dalam misi saya ini adalah bahan sejarah untuk tatapan pejuang islam akan datang (termasuk diri saya jika belum mati lagi saya yang sudah semakin lanjut usia ini). Sewaktu itu mereka harus melihat suasana sekitar dan usaha mereka, adakah berubah atau semakin parah? Jika parah walaupun usaha telah bertambah, itu masih boleh diterima. Tapi jika parah kerana usaha semakin mengarah pada dakwah untuk budak-budak usrah semata-mata, gathering sana sini, ukhuwwah fillah, cinta anta anti, aku terima nikahnya, tapi anak-anak muda belia yang minum arak, seks bebas, ganja dan sebagainya terus dikesampingkan dari pimpinan rohani, memang celakalah.

Bahan rakaman saya juga akan dilampirkan oleh Ustaz kamaruddin dalam kertas cadangan beliau kepada exco kerajaan Kedah, untuk menubuhkan unit dakwah kariah masjid untuk sama-sama turun ke lapangan menyelamatkan anak-anak muda yang telah terkesamping dari perhatian umat ini.

Saya tak nampak benda paling bodoh tentang kepimpinan mana-mana kumpulan atau parti yang sekonyong-konyong mendakwa diri adalah 'wakil rakyat', 'pemimpin berjiwa rakyat', 'pemimpin unggul mengubah nasib rakyat' jika erti 'rakyat dan negara' langsung tak difahami. Ada sesetengah mereka, tak ramailah, hanya mikro 2% saja yang tak fikir pasal nasib anak muda, iaitu hanya 'berkhidmat untuk rakyat' itu merujuk pada 'berkhidmat pada para pengundi'. Ya lah, bagi pimpinan pada rakyat dengan memimpin tangan untuk buang undi. Penting tu.Hampir 500 juta% pemimpin lagi adalah yang turun ke lapangan, berdakwah dan memimpin semula anak muda ke jalan benar. Celaka sungguh.

Mereka lupa anak-anak muda yang berumur 16, 17 tahun ini hanya muda kurang 5, 4 tahun saja untuk mengundi. Dan tak payah fikir pasal undilah sayang, memang pemimpin itu adalah orang yang merasa paling bertanggungjawab menjaga harta dan aset ummah, dan ketahuilah aset ummah paling berharga adalah generasi muda. Pemimpin yang perasan diri mereka pemimpin adalah yang banyak cakap tapi akhirnya berakhir di restoran untuk menjamah selera, memotong reben merasmikan itu ini, dan tidur lena di atas katil empuk king size.

Rakaman misi ini juga akan menjadi bahan sejarah untuk generasi akan datang, bahawa pada zaman ini, ada anak muda yang tidak dipeduli nasib mereka oleh umat, dan bilangan mereka bertambah dari sehari ke sehari.

-----------------------------------------

bahagian 5 saya akan kisahkan pengalaman lain bersama Ustaz kamaruddin.



1 komentar:

Anonymous said...

Salam.
Satu perkara yang telah lama saya terfikir ialah tentang bagaimana perjalanan dakwah yang terbaik, dan yang sepatutnya dilakukan oleh kita untuk menarik generasi sekarang terutama anak-anak muda agar memilih kehidupan yang berteraskan Islam.

Saya tak punya cadangan dan tak juga punya kebolehan untuk menjadi sebahagian dari ajen dakwah walaupun jauh disudut hati ada keinginan sebegitu. Terlalu banyak keterbatasan yang saya miliki yang mana ia berpunca dari kelemahan saya sendiri. Lalu saya hanya mampu menyumbang dengan doa saja, doa yang bergema di setiap sudut hati saya, yang seiring dengan degupan jantung saya... yang sehingga kini masih bernada atas keizinanNya...

Perjalanan dakwah Ustaz Kamaruddin sememangnya harus dipuji. Alangkah baiknya jika ramai lagi yang sanggup meluangkan masa untuk melakukan apa yang beliau lakukan. Sesungguhnya setiap dari kita punya tanggungjawab untuk menyeru kearah kebaikan (dakwah) tak kira dengan apa cara sekalipun.

Bagi saya punca utama segala kerosakan akhlak adalah kerana kecintaan kepada dunia. Andai cinta dunia ini dapat dididik agar tidak keterlaluan, agar redha dan syukur menjadi pegangan, pasti ramai yang mampu diselamatkan. Cinta dunia bukan hanya cinta antara sesama insan tapi juga cinta harta, cinta kesenangan, cinta hiburan dll...

Semoga Allah memelihara perjalanan dakwah anda agar sentiasa berada di landasan yang terbaik untuk kehidupan didunia dan diakhirat.